“Generasi harapan pencorak wajah negara pada masa hadapan”
As-Sarawaki, 7 Jun 2004 (Refresh): Sistem pendidikan yang berkualiti mampu melahirkan tenaga kerja yang boleh menjadi ‘global player’ dengan ciri-ciri peribadi unggul seperti jati diri yang tinggi, inovatif, produktif, berkemahiran, berdaya saing dan kreatif bagi menangani cabaran negara dan arus dunia tanpa sempadan hari ini. Selain itu, dunia telah menyaksikan dan sejarah telah membuktikan bahawa kelemahan di dalam konteks intelektual dan kegagalan merencana dengan baik sistem pendidikan hanya akan menyebabkan sesuatu bangsa, masyarakat, negara, tamadun dan Ummah itu dinyahbelakangkan, dikesampingkan dan dipandang rendah.
Justeru, mutu sistem pendidikan di negara kita perlu terus dipertingkatkan agar mampu bersaing di arena global dan sekaligus bagi memecahkan monopoli penguasaan Barat dalam pelbagai bidang khususnya bidang sains dan teknologi. Universiti-universiti tempatan perlu mempunyai kriteria-kriteria tertentu yang setanding dengan universiti antarabangsa. Perlu difahami, kini universiti bukan lagi sekadar pangkalan ilmu yang melahirkan para pemikir, ilmuwan dan cendekiawan, sebaliknya turut diasak untuk menelurkan seramai mungkin tenaga kerja mahir yang boleh memenuhi pasaran kerjaya. Lantaran itu, usaha untuk memberikan penekanan kepada peningkatan piawaian kurikulum institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi memastikan ia mencapai kualiti yang ditetapkan setanding universiti di luar negara adalah suatu langkah yang sewajarnya dijana dengan sesegera mungkin.
Alhamdulillah, saya berpeluang untuk mengikuti Latihan Industri Kejuruteraan di bumi Jerman atas biaya Pelikan PBS-Produktiongesellschaft mbH selama tiga bulan iaitu bermula pada bulan April hingga Jun 2004. Justeru, saya suka untuk berkongsi serba sedikit tentang sistem pendidikan Jerman sebagai suatu analisis dan perbandingan dengan sistem pendidikan di Malaysia dan semoga ianya mampu membantu usaha Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk menjadikan sistem persekolahan dan IPTA semakin dinamik dan progresif.
Pendidikan Percuma
Perkara pertama yang menarik mengenai pendidikan (atau Bildung) di Jerman ialah pendidikan diberi secara percuma serta menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri masing-masing dan bukannya Kerajaan Pusat. Model sistem pendidikan di negara berbahasa Jerman (Jerman, Austria dan Switzerland) dan kebanyakan negara Eropah terdiri daripada pelbagai jenis sekolah menengah untuk pendidikan akademik dan vokasional berbanding model pendidikan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai hanya satu jenis sekolah menengah bersepadu bagi semua pelajar.
Justeru, sistem pendidikan di Jerman adalah berbeza dengan sistem pendidikan di Malaysia atau di negara-negara Anglo-Saxon (AS, UK dan Australia). Secara umumnya, hampir semua institusi pendidikan dan pusat pengajian di Jerman mempunyai mutu yang standard dan berkualiti cemerlang. Lebih daripada itu, sistem pendidikan awam Jerman membolehkan semua kanak-kanak yang berkelayakan belajar sehingga ke peringkat universiti tanpa mengira status dan latarbelakang kewangan keluarga mereka.
Seperti negara-negara maju yang lain, pendidikan di Jerman menawarkan keunggulan komparatif yang pelbagai. Antaranya ialah sumbangan dana pendidikan dari pihak kerajaan dan badan swasta Jerman (Industri, Institusi, Lembaga Penelitian dan lain-lain) adalah cukup besar sehingga membolehkan kemudahan dan prasarana pendidikan adalah cukup memadai serta bertaraf antarabangsa. Standard kualiti pendidikan tinggi di Jerman sangat ketat sehingga kualiti di antara sebuah universiti dengan universiti yang lain adalah relatif sama. Selain itu, sistem dan silabus pendidikan membolehkan pelajar yang dilahirkan adalah berkualiti dari segi teori dan praktikal, menjurus kepada industri dan sekaligus memenuhi kehendak pasaran kerja.
Sistem Persekolahan
Carta Sistem Pendidikan (atau Bildung) Jerman
Sistem persekolahan di Jerman dimulai dengan ‘Kindergarten’ (Tadika) iaitu bagi kanak-kanak berusia 3-5 tahun. Pendidikan ini dinamakan “Vorschulische Einrichtungen”, yang bermaksud “Persediaan sebelum Pendidikan” yang sebahagiannya dibiayai oleh kerajaan dan sebahagiannya lagi dibiayai oleh gereja. Sebenarnya kedua-dua suku kata di dalam perkataan ‘kindergarten’ (atau secara literalnya di dalam bahasa Inggeris “children’s garden”) adalah berasal dari bahasa Jerman. Malah falsafah sistem pra-sekolah ‘kindergarten’ dimulai di negara Jerman hasil idea Swiss Johann Heinrich Pestalozzi (1746-1827) yang akhirnya membawa kepada terlaksananya ‘kindergarten’ pertama di dunia oleh Friedrich Froebel (1782-1852).
Selepas itu, kanak-kanak di Jerman akan memulakan pendidikan formal mereka pada usia 6 tahun. Mereka perlu menghadiri sekolah dasar (Grundschule) dari Grade 1 hingga Grade 4, di mana subjek yang diajar adalah sama di semua sekolah. Tempoh ini dikenali sebagai “Orienterungsstufe” yang bermaksud Tahap Orientasi. Selepas itu, satu peperiksaan khas akan dijalankan bagi menentukan keupayaan akademik para pelajar. Selalunya, pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang (1.0-2.5) akan terpilih mengikuti Gymnasium dan yang lain akan menyambung pelajaran di Hauptschule atau Realschule. (Nota: Sistem penilaian di sini tidak menggunakan gred A (cemerlang), B (baik) dan seterusnya, tetapi menggunakan sistem seperti berikut: 1.0-1.5 (cemerlang), 1.6-2.5 (baik), 2.6-3.0 (memuaskan), 3.1-4.0 (kurang memuaskan) dan 4.1-5.0 (gagal)).
Maka secara mudahnya, selepas Grade 4 pelajar dipecahkan menurut kemampuan akademik dan kehendak keluarga masing-masing sama ada untuk mengikuti salah satu daripada tiga jenis sekolah seperti berikut: Hauptschule, Realschule atau Gymnasium. Hauptschule dan Realschule lebih ditekankan kepada mereka yang ingin terus bekerja setelah tamat tempoh persekolahan. Bagi yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti, laluan terpantas adalah melalui Gymnasium. Laluan pendidikan yang lain turut membolehkan pelajar mengikuti pengajian di universiti tetapi dengan melalui jalan dan tempoh masa yang panjang.
Hauptschule (Grade 5-9 di kebanyakan negeri) mengajar subjek yang sama seperti di Realschule dan Gymnasium, tetapi pada kadar yang lebih perlahan dengan tambahan kursus yang berorientasikan vokasional. Seterusnya, para pelajar ini juga juga perlu menghadiri sekolah vokasional dan latihan perantis secara separa-masa sehingga berumur 18 tahun.
Realschule (Grade 5-10 di kebanyakan negeri) pula memerlukan pelajar untuk mengikuti sekolah vokasional dan sekolah tinggi vokasional secara separa-masa. Selain itu, pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang di Realschule boleh bertukar ke Gymnasium apabila bergraduat.
Gymnasium (Grade 5-13 di kebanyakan negeri) membolehkan pelajar memperolehi degree yang dipanggil Abitur dan ianya menyediakan pelajar untuk belajar di universiti atau untuk mengikuti program tauliah dual akademik dan vokasional. Biasanya pengajian yang ditawarkan oleh kebanyakan Gymnasium adalah bahasa moden, bahasa klasik, serta subjek berteraskan matematik dan sains alam.
Kebiasaannya, guru-guru Grundschule akan mencadangkan kepada para pelajarnya ke sekolah mana yang sepatutnya mereka masuki berdasarkan kepada pencapaian akademik, keyakinan diri dan kemampuan pelajar berkenaan untuk bekerja secara berdikari. Bagaimanapun, di kebanyakan negeri, ibu bapa adalah penentu mutlak tentang jenis sekolah mana yang akan dihadiri oleh anak-anak mereka selepas Grade 4.
Gesamtschule, atau sekolah bersepadu adalah satu lagi jenis sekolah yang kian popular, tetapi hanya terdapat di sesetengah negeri. Ianya menggabungkan Hauptschule dan Realschule. Sekolah jenis ini menerima kemasukan pelajar dari pelbagai tahap kebolehan dari Grade 5 sehingga Grade 10. Pelajar yang berjaya menghabiskan Gesamtschule dengan keputusan yang memuaskan ketika Grade 9 akan menerima sijil Hauptschule, manakala yang berjaya menghabiskannya ketika Grade 10 akan menerima sijil Realschule.
Secara kesimpulannya, tidak kira sekolah manapun yang dihadiri, para pelajar perlu mengikuti pendidikan sekurang-kurangnya selama sembilan tahun. Sebagai contoh, seorang pelajar yang berhenti atau dikeluarkan dari Gymnasium perlu mengikuti Realschule atau Hauptschule sehingga tempoh sembilan tahun tersebut selesai. Lebih daripada itu, semua pengajaran dan pembelajaran bermula dari ‘kindergarten’ sehingga peringkat universiti dijalankan di dalam bahasa Jerman atau ‘Deutsche’.
Pengajian Tinggi
Pengajian tinggi di Jerman menawarkan pelbagai peringkat kelulusan dengan sekurang-kurangnya memiliki diploma Abitur Jerman. Sebagaimana yang disebutkan sebelum ini, pendidikan di lebih seratus institut pengajian tinggi awam Jerman adalah diberi secara percuma berdasarkan bona fide dan dengan syarat pelajar perlu membuktikan bahawa mereka berkelayakan setelah melalui peperiksaan-peperiksaan tertentu. Walaupun tiada yuran pengajian dikenakan (dan hampir tiada kolej swasta), kebanyakan pelajar memerlukan bantuan kewangan untuk perbelanjaan seharian dan biaya penginapan. Justeru itu, di Jerman terdapat satu program yang dinamakan BAFOG yang membolehkan pelajar memohon bantuan kewangan. Bantuan kewangan ini sebahagiannya diberikan sebagai geran dan selebihnya sebagai pinjaman yang perlu dilunaskan setelah bekerja.
Selepas menamatkan Haupschule dan Realschule, pelajar berpeluang mengikuti Berufsschule atau Fachoberschule, yang menggabungkan pembelajaran akademik dan latihan perantis secara selari dan separa-masa. Kejayaan menamatkan program perantis ini membolehkan pelajar memperolehi sijil di dalam industri atau bidang pekerjaan yang berkenaan. Sekolah ini berbeza dengan sekolah-sekolah yang lain kerana ianya tidak tertakhluk kepada pihak berkuasa sekolah tempatan tetapi tertakhluk terus kepada Kerajaan Pusat, industri dan kesatuan sekerja.
Terdapat beberapa jenis pusat pengajian tinggi yang bertaraf universiti yang boleh diikuti oleh para pelajar. Universiti klasik di dalam tradisi Alexander von Humboldt menyediakan peluang pengajian umum yang meluas dan selalunya mahasiswa perlu menghadirinya untuk tempoh masa enam setengah tahun. Terdapat juga Hochschulen untuk pendidikan sastera dan musik. Selain itu, Universiti-universiti Teknikal (Technische Hochschulen) yang lebih menumpukan kepada melatih pelajar untuk kerjaya tertentu dan selalunya mengambil masa selama empat setengah tahun turut boleh didapati di setiap negeri. Sepanjang tempoh pengajian di universiti ini, pelajar perlu melalui Latihan Teknikal dan Praktikal selama enam bulan di dalam industri.
Lebih daripada itu, jumlah pusat pengajian tinggi yang berorientasi praktikal dan teknikal adalah cukup banyak. Secara amnya, institusi-institusi ini bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja yang terlatih, berkualiti, menguasai masalah dan menguasai teknologi yang diceburi. Hubungan antara pusat pengajian tinggi dan badan swasta adalah sangat erat sehingga membolehkan jumlah tempat untuk latihan industri dan praktikal yang disediakan oleh badan swasta tersebut adalah memadai untuk menampung keseluruhan jumlah pelajar.
Selain itu, sistem pendidikan tinggi di Jerman tidak menggunakan Sistem Kredit Semester. Pemilihan mata pelajaran, aktiviti kuliah, aktiviti praktikal serta perancangan peperiksaan diserahkan sepenuhnya kepada mahasiswa. Dengan demikian mahasiswa dituntut agar berdikari, inisiatif dan mempunyai motivasi yang sangat tinggi. Kejayaan dan kegagalan pengajian banyak bergantung kepada mahasiswa itu sendiri.
Di peringkat universiti, pelajar akan memperolehi ijazah yang dipanggil Diplom. Diplom lulusan Jerman setaraf dengan Master di Malaysia dan terus dapat mengikuti program Doktor Falsafah (PhD). Ijazah degree di Malaysia pada dasarnya setaraf dengan Vordiplom di Jerman. Seterusnya, selepas PhD, seseorang yang bergelar Dr. boleh meneruskan usaha mereka untuk memperolehi gelaran Professor (atau kadang-kadang juga dipanggil sebagai “Professor Doktor”) dengan memenuhi kelayakan-kelayakan dan kriteria-kriteria yang tertentu.
Seperkara lagi, sebelum memasuki universiti para mahasiswa di Jerman diwajibkan untuk mengikuti “Latihan Wajib Tentera” yang mirip seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Malaysia. Bezanya ialah “Latihan Wajib Tentera” di Jerman hanya diwajibkan kepada pelajar lelaki dan perlu dilalui selama sekurang-kurangnya 9 bulan berbanding hanya tiga bulan di Malaysia. Bagi yang mempunyai masalah kesihatan dan tidak dapat mengikuti “Latihan Wajib Tentera” ini, maka sebagai gantinya mereka dikehendaki menjalani “Zivilliansdienst” atau lebih dikenali sebagai Zivis. Zivis memerlukan mahasiswa terbabit menjadi sukarelawan untuk bekerja di hospital, badan sosial ataupun badan Pendidikan di bawah seliaan Kerajaan.
Kesimpulan
Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa sistem pendidikan Jerman amat menekankan kepada pemahaman teori dan aplikasi praktikal secara sekaligus. Selain itu, hubungan erat di antara pusat pengajian tinggi dan industri juga membolehkan graduan yang dihasilkan adalah benar-benar mahir, berkebolehan, menguasai sepenuhnya bidang yang mereka ceburi dan secara langsung boleh mengatasi dilemma siswazah menganggur. Lebih daripada itu, sistem pendidikan percuma yang diamalkan oleh negara Jerman dan kebanyakan negara maju yang lain turut wajar untuk dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi.
Buat akhirnya, selaras dengan misi pendidikan di Malaysia iaitu untuk membangunkan sistem pendidikan yang berkualiti bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan memenuhi aspirasi negara, maka langkah untuk menjadikan sistem pendidikan nasional bertaraf dunia dengan nilai dan etika wajar terus dijadikan sebagai agenda utama negara serta diletakkan sebagai misi terpenting seluruh warga Malaysia. Kita optimis sekiranya masyarakat khususnya golongan muda dan mahasiswa terus-menerus mempertingkatkan potensi intelektual mereka, maka pastinya sekolah-sekolah dan universiti-universiti di negara ini mempunyai peluang cerah untuk dibangunkan sebagai institusi bertaraf dunia. Negara maju menjelang 2020 hanya akan dapat direalisasikan dengan penggembelingan tenaga dan usaha bersepadu semua pihak. Ingatlah, jatuh bangunnya negara di masa hadapan bergantung kepada kemajuan dan pencapaian generasi hari ini!
Oleh: MUHTAR BIN SUHAILI
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
al_akhyar81@yahoo.com
7 Jun 2004
Satu yang menarik untuk dikongsikan.
Salam taaruf buat saudara. Saya BroHamzah JR.
Ni blog saya : http://brohamzh.blogspot.com
analisa ini menarik… dan reflek kepada diri saya sendiri; bila negara islam nak buat lebih baik dari itu?
sesuatu yang menarik mengenai sistem pendidikan di sana. saya amat tertarik dengan latihan wajib tentera tersebut di mana yang menghadapai masalah kesihatan lebih tertumpu kepada kerja-kerja kebajikan. sekiranya diamalkan di negara sendiri, saya rasa sudah tentu PLKN mendapat sambutan.
Bro. Hamzah, Ukhti Maryam dan Ukhti Nooraida;
Terima kasih atas komen yang dikongsikan. Teruskan perjuangan – aslih nafsak wad’u ghairak (perbaiki diri dan dakwahkan kepada orang lain).
Wallahu a’lam.
“Secara keseluruhannya, dapatlah disimpulkan bahawa sistem pendidikan Jerman amat menekankan kepada pemahaman teori dan aplikasi praktikal secara sekaligus”
Sistem pendidikan bersepadu seperti inilah seperti yang selalu saya fikirkan selama ini. Mengapa tidak kerajaan kita menghantar para pensyarah dan pelajar kita ke sana. Berikan mereka keistimewaan. Selain Jerman, Jepun juga mempunyai sistem pendidikan yg baik.
Bila lagi nak berpaling dari sistem UK dan US yang menuju bengkrap tu.
Mungkinkah kita (Muslim) akan terpuruk terus menerus dalam kehidupan yang kita jalani ini mari bersama bangkit.
Salam Mahasiswa Indonesia (Jogjakarta)
BEM (Badan Eksekutif Mahasiswa) STIENUS
Artikel yang menarik. Penerangan dan kesimpulan yang padat mengenai sistem pendidikan di Jerman. Salam Ukhwah. Auf Wiedersehen!
Gutan Morgen,Tag and Abend.Sistem pendidikan di Jerman sungguh berkesan dan berjaya dalam membangunkan negara Jerman sebagai sebuah negara yang maju dan berpelajaran di dunia.Harap2 kerajaan Malaysia mengambil model contoh sistem pendidikan di Jerman untuk direalisasikan di Malaysia.