Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for Disember 2009

Getting To Know The Qur'an  

As-Sarawaki, 14 Muharram 1431H: Enggau nama Allah Petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau (Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang). Alhamdulillah, segala puji bagi Allah! Entri ini adalah kesinambungan entri Penterjemah Al-Qur’an Ke Dalam Bahasa Iban & Kadazan. Setinggi-tinggi tahniah buat Puan Ainon Mohd, Presiden Universiti Terbuka PTS dan seluruh warga PTS di atas usaha menterjemah dan menerbitkan al-Quran ke dalam bahasa Iban. Saya terharu dan bersyukur dengan komitmen PTS dalam menjadikan inisiatif ini satu realiti! Insya Allah dengan adanya naskah Al-Qur’an terjemahan ke dalam Bahasa Iban akan dapat membantu usaha dakwah khususnya di bumi Sarawak yang tercinta. Saudara Kita pastinya gembira dengan ikhtiar mulia ini! Sama-sama kita doakan yang terbaik.  

 

Allah Subhanahu Wa Ta’ala berfirman di dalam Surah Al-Ikhlas:  

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.
1. Katakanlah (wahai Muhammad): “(Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa;
2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat;
3. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan;
4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya”. 

   

Terjemahan Surah Al-Ikhlas ke dalam Bahasa Iban:  

Enggau nama Allah Petara ti pemadu manah serta ti pemadu penyayau.
1. Sebut meh (ulih nuan oh nabi Muhammad): “Allah Taala tu Petara ti siko aja (nadai dua nadai tiga);
2. Allah Taala tu endor semua utai begantong serta dikarap;
3. Ia nadai beranak lalu nadai mega diperanak ke sapa-sapa;
4. Lalu nadai mega sapa-sapa ti sama tauka sebaka enggau Ia”. 

   

Berikut adalah petikan berita dari Malaysiakini(selanjutnya…)

Advertisements

Read Full Post »

“Manusia Insan Lemah, Allah Yang Maha Kuasa Mampu Menguatkannya!”

As-Sarawaki, 05 Muharram 1431H: Alhamdulillah, segala puji selamanya milik Allah SWT Yang Maha As-Samad. Marilah kita sentiasa memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunan kepadaNya. InnalLaha ma’ana!

 

Semoga tetamu ziarah yang budiman sekalian berada dalam keadaan iman dan kesihatan yang baik serta terus diberi kekuatan ber’amal kerana Allah. Mungkin mereka yang masih setia menjenguk blog ini tertanya-tanya bilakah blog ini akan dikemaskini? Mengapa tiada entri baru? Tuan punya blog masih sihat? Mana menghilang Muhtar Suhaili dari alam siber? Ya, saya perlu akui kelemahan diri yang kurang istiqamah dalam hal ini sejak akhir-akhir ini. Sudah hampir 2 bulan iaitu semenjak kembali dari Misi Kemanusiaan AMAL Malaysia ke Padang, Sumatera blog ini tidak diupdate. Saya terkenang kata-kata Buya HAMKA betapa “sebesar-besar karamah adalah memegang istiqamah.” Astaghfirullah!

 

“Kami berlindung kepada Allah dari kejahatan jiwa-jiwa kami dan kejelekan amalan-amalan kami. Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka tidak akan ada yang menyesatkannya. Dan barangsiapa disesatkan oleh Allah maka tidak akan ada yang memberi petunjuk kepadanya.” 

Salam Tahun Baru Hijrah 1431H! Pastinya banyak ‘ibrah yang kita perolehi dan marilah kita bersama-sama menghayati pengajaran dari peristiwa hijrah Rasul dan sahabat-sahabat. Prof. Dr. Syaikh Yusuf Al-Qaradawi pada Sabtu 19 Disember lepas di Masjid Shah Alam menyatakan antara pengajaran Hijrah termasuklah Hijrah itu adalah kemenangan dalam mempertahankan aqidah, hendaklah kita sentiasa yakin dengan janji Allah, pentingnya sabar dalam perjuangan, perlunya perancangan dan penuh berstrategi dalam berdakwah, pembinaan masyarakat Islam, fungsi masjid sebagai hub kecemerlangan, pasar sebagai hub ekonomi berlandaskan syara’, Islam mementingkan jemaah dan persaudaraan Islam, bahaya golongan munafiqin dan lain sebagainya. Untuk bacaan lanjut, sila baca catatan di blog Saudara Riduan KhairiSaudari Azniza dan Saudari Nashita Md Noor.

 

1Aqidah: Allah Didahulukan, Rasulullah Diutamakan

 

Di mana-mana sahaja di seluruh Malaysia, kita pasti bahkan tidak dapat melepaskan diri dari mendengar slogan “1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Satu doktrin yang cuba diterapkan oleh Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pentadbirannya. Dalam semangat Hijrah, alangkah baiknya slogan “1 Aqidah: Allah Didahulukan, Rasulullah Diutamakan” juga dicanangkan di seantero negara agar rakyat juga cinta akan hal ini sekaligus menghayatinya. “1Malaysia” dibentuk atas wacana dan tujuan politik, manakala konsep “1Aqidah” perlu diarusperdanakan atas faktor iman dan agama.

 

 Ya, saya maklum ia tidak semudah menulis dan bercakap, kerana pelaksanaan konsep “1Aqidah” memerlukan anjakan minda dan sikap. Sebagai orang awam (ya..  sesungguhnya sebagai orang awam), saya lebih menekuni dan cenderung bersetuju dengan pandangan Ustaz Hasrizal Abdul Jamil dalam artikelnya “Pengitlakan Istilah Yang Mengundang Fitnah” khususnya dalam mendepani 2 aliran ‘sekolah’ pemikiran yang wujud kini.

 

(selanjutnya…)

Read Full Post »

Pusara Abu Ayyub

“Pusara Abu Ayyub Al-Anshari r.a. Berhampiran Masjid Eyyub, Istanbul”

As-Sarawaki, 21 Disember 2009 (Siaran Semula): Alhamdulillah, segala puji selamanya milik Allah SWT. Setiap hari saya menerima pelbagai e-mail dengan rencam isu dan tajuk. Ada yang menghulurkan tali persahabatan dan silaturrahim, ada yang berkongsi ilmu, fikrah dan rasa, ada yang menyampaikan tawaran istimewa, ada yang memohon petua-petua kejayaan, ada yang menjemput memberikan ceramah, ada yang menawarkan diri untuk menjadi teman hidup (kenangan dan kisah dulu-dulu semasa diri masih bujang.. -)), ada yang berkongsi masalah yang pelbagai dan mohon nasihat penyelesaian, malah ada yang meminta saya menyelesaikan masalah rumahtangga (kadang-kadang perlu menjadi kaunselor keluarga meskipun baru lebih 2 tahun berkahwin, yang mungkin menjadi penanda aras akan pengalaman yang sedikit cuma.. -)) serta bermacam-macam lagi. Saya amat menghargai e-mail-e-mail yang diberikan. Cuma saya memohon maaf seandainya balasan yang diberikan agak lewat kerana sekadar makluman di dalam inbox saya kini ada lebih 13,959 e-mail (tidak termasuk ribuan spam e-mail selain YahooGroups e-mail) yang belum saya baca! Maafkan saya kerana kurang efisien dalam hal ini.

 

Saya menerima banyak e-mail yang memohon saya memberikan nasihat penyelesaian kepada ujian (malah ada yang datang bertimpa-timpa) yang mereka tempuhi termasuk krisis iman yang dihadapi, virus keruntuhan nilai akhlak yang dihidapi, penyakit lemah semangat juang yang terjangkiti, masalah kewangan yang ditanggungi, kerenggangan hubungan anak dengan ibu ayah, kepincangan perhubungan rumahtangga yang kian meruncing dan pelbagai dilemma kehidupan. Dalam situasi sebegini, apa yang termampu saya lakukan ialah memberi kata peransang, bantuan sewajarnya dan dorongan motivasi, selebihnya ialah usaha diri dan tentunya solusi paling konklusif datangnya dari Allah SWT, dengan sifat Maha Ar-Rahman dan Ar-RahimNya Penyelesai dan Pemilik segala-segalanya. Ketahuilah sesungguhnya Allah itu Maha As-Samad!

 

Atas segalanya, dalam menghadapi apa jua mehnah dan tribulasi kehidupan, saya ingin mengajak tetamu ziarah yang budiman sekalian untuk mencontohi seorang sahabat bernama Khalid ibn Zayd ibn Kulayb. Anda kenal siapa Khalid ibn Zayd ibn Kulayb? Mungkin nama ini tidak familiar dengan ramai di kalangan kita. Namun sekiranya saya menyebut nama Abu Ayyub al-Anshari ra, siapakah di antara kita kaum Muslimin yang tidak mengenal nama besar ini?

 

Abu Ayyub al-Anshari ra atau nama sebenarnya Khalid ibn Zayd ibn Kulayb dari Bani Najjar merupakan seorang sahabat yang mulia dan terkenal dengan keindahan budi pekerti. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW dan bersama Baginda di dalam semua peperangan. Malah Allah telah memuliakan penduduk Timur dan Barat yang me­nyebutnya, manusia yang paling tinggi darjatnya yang mana rumah­nya telah dipilih di antara rumah kaum Muslimin lainnya untuk persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah. Ini merupakan kemuliaan terbesar bagi Abu Ayyub al-Anshari ra.

 

Apakah motto hidup anda? Adakah sekadar Que Sera Sera (apa nak jadi, jadilah)? Anda ingin mengetahui motivasi unggul yang digenggam utuh oleh Abu Ayyub al-Anshari ra? Mari kita hayati motto hidup sahabat yang hebat ini. Beliau sentiasa membawa motto diri yang mana sepanjang hari Abu Ayyub al-Anshari ra sering mengulang-ulang suatu ungkapan yang diangkat menjadi motto kepada dirinya. Saya juga telah menjadikan kata-kata ini sebagai salah satu motto hidup dan ingin mengajak tetamu ziarah yang budiman sekalian untuk sama-sama kita menilai dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Pasti ada khairnya dunia dan Akhirat, insya Allah.

 

(selanjutnya…)

Read Full Post »