Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Kembara Muhandis’ Category

AMAL Malaysia 

Ya Allah, Janganlah Hancurkan Keimanan Kami!

As-Sarawaki, 10 Dzulqaedah 1430H: Alhamdulillah, selamanya puji dan sanjungan kepada Allah Ta’ala Tuhan seluruh alam kerana masih beroleh kesempatan untuk meneruskan penghidupan dan mensyukuri rahmat kasih sayangNya. Semoga selawat dan salam sentiasa tercurah buat Kekasih Allah dan Rasul yang paling mulia, Nabi Muhammad SAW, keluarganya, para sahabatnya, para tabi’in, para tabi’at-tabi’in dan sesiapa sahaja yang mengikuti jalan yang lurus berpaksi kepada kebenaran Islam sehingga hari Kiamat. 

  

Alhamdulillah, saya telah beroleh taufiq dan hidayahNya untuk turut serta dalam misi kemanusiaan membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera, Indonesia pada 22-27 Oktober 2009 yang lepas. Banyak ‘ibrah pengajaran yang diperolehi dan banyak juga muhasabah maknawi untuk diteliti secara terperinci. Atas segalanya, amat benarlah peribahasa orang Minangkabau: “Alam takambang jadi guru – Alam terkembang jadi guru” yang membawa maksud bahawa kita harus dinamis dan boleh belajar dari alam, harus boleh menyesuai dan mengembangkan diri di mana saja kita berada baik di rantau ataupun di kampung, serta kita turut dituntut mampu menjadi Rahmatan Lil ‘Alamin! Takana juo! 

  

Saya menulis entri kali ini dengan niat ingin berkongsi rasa, menyebarluaskan pengalaman lewat pemerhatian jaulah dan mengembangkan fikir untuk sama-sama kita memperbaiki diri sebagai hamba Allah yang lebih soleh. Semoga penulisan ini juga akan turut memberi manfaat kepada tetamu ziarah yang budiman sekalian dalam banyak hal yang kita sama-sama cita-citakan bagi ummat yang mulia ini. Amiin Ya Rabb! 

 

(Nota: Tertarik dengan peringatan Ustaz Nik Abduh kepada para bloggers: “Jika anda gian sangat nak menulis, menulislah yang kekal baik hingga ke lubang kubur. Yang memberkati anda dan kehidupan manusia.” Ini sahih!]

  

‘Ibrah 1: Meramaikan Pekerja Sukarelawan Dakwah Di Medan 

  

Saya suka untuk memulakannya dengan memetik kata-kata daripada buku “Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah” tulisan Almarhum Ustaz Fathi Yakan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu oleh Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin dan Ustaz Zawawi Ali. Kata-kata ini adalah muhasabah buat insan-insan yang benar-benar ingin menjadi pejuang agama tercinta agar terselamat dari sifat buruk kemunafiqan. Mungkin juga muhasabah khusus buat pimpinan gerakan-gerakan Islam di Malaysia yang kini ‘bertelagah’! 

  

Sheikh Fathi Yakan rahmatullah ‘alaih menulis: 

  

“… Para pendakwah Islam patut insaf bahawa pendokong-pendokong dakwah ialah para mujahid dan para syuhada’. Mereka bukan sekadar sebagai seorang ahli falsafah atau tukang pidato penggegar pentas semata-mata!! 

  

… Keimanan bukan sekadar omong kosong. Malah beriman bukan sekadar iman teori; menggembur-gemburkan tentang Tarbiyyah Rabbaniyyah dengan lidah ataupun ungkapan yang enak kedengarannya di lidah sahaja. 

  

… Sesungguhnya berjihad dengan lisan memang mudah. Ramai yang melakukannya tanpa mengenal lelah. Malah jihad seperti ini mungkin disertai oleh ramai di kalangan orang yang tamakkan populariti serta kemahsyuran di kalangan orang ramai. Akan tetapi jihad dengan harta amat sukar bagi jiwa yang berpaut kepada dunia, takut miskin dan bimbang untuk menderma.” 

(selanjutnya…)

Read Full Post »

AMAL Malaysia

Majlis Penyerahan Sumur Bor (Water Tube Well) Daripada Yayasan AMAL Malaysia Kepada Wali Nagari (Penghulu) Lubuk Pandan

AMAL Sarawak, 08 Dzulqaedah 1430H: Alhamdulillah, pasukan Misi Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa Bumi Padang daripada Yayasan Amal Malaysia (AMAL Malaysia) telah selamat kembali ke tanahair setelah memberi khidmat hampir seminggu di Padang Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia. Pasukan ke-7 ini terdiri daripada 27 orang sukarelawan dari pelbagai bidang iaitu Doktor, Pembantu Doktor, Jurutera, Juruteknik, Kaunselor dan Sukarelawan Am. AMAL Malaysia telah menyalurkan khidmat melalui Team Medikal untuk pemeriksaan kesihatan, Team Teknikal untuk mencari serta membekal air bersih melalui projek Water Supply Tube Well atau Sumur Bor dan Team Logistik yang bertanggungjawab mendirikan khemah sementara (rumah tenda) selain mengedarkan bantuan pakaian, selimut dan makanan.

 

Sepanjang berada di sana, Yayasan AMAL Malaysia telah bekerjasama dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau di Indonesia disebut sebagai Lembaga Swadaya Masyarakat (LSM). Antaranya termasuklah Baitul Maal Indonesia, Muslim Care, Consuyu Turki, Bulan Sabit Merah Indonesia (BSMI), DSUA, IMWU, PPA, P3B (PKN) dan Relawan Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Pusat Bantuan atau Pos Komando (Posko) AMAL Malaysia di sana terletak di Korong Balai 1, Nagari Lubuk Pandan, Kecamatan 2X11 Enam Lingkung, Kabupaten Padang Pariaman, Sumatera Barat.

 

Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Saudara Muhtar Suhaili juga telah turut serta dalam Misi Kemanusiaan kali ini. Beliau telah membawa bersama sumbangan yang diterima daripada warga Sarawak yang keseluruhannya berjumlah RM12,847 bersamaan dengan Rp34.3 juta dan kesemua sumbangan ini telah disalurkan terus kepada mangsa-mangsa yang memerlukan melalui projek-projek yang disebutkan di atas.

 

AMAL Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih kepada warga Sarawak yang prihatin di atas sumbangan yang dihulurkan khususnya daripada jamaah Masjid At-Taqwa Kampung Gita Kuching, Masjid Al-Muhajirin Matang Jaya, Staff Sarawak Shell Berhad, Staff Petronas Carigali Sdn Bhd, Sukarelawan AMAL Sarawak dan semua penyumbang-penyumbang yang ikhlas Lillahi Ta’ala. Semoga Allah menerima ‘amalan dan sumbangan jariah kita semua.

 

Berikut dikongsikan keratan akhbar Padang Ekspress dan Koran Singgalang mengenai Kerjasama NGO/LSM Malaysia-Indonesia Dalam Membantu Mangsa Gempa Bumi Di Padang, Sumatera, Indonesia: (selanjutnya…)

Read Full Post »

AMAL Malaysia

Mappada Jukuk Na Kanuku, Sipatuo Sipatongkok

…Falsafah Hidup: Mappada Jukuk Na Kanuku, Sipatuo Sipatongkok…

As-Sarawaki, 02 Dzulqaedah 1430H: Alhamdulillah! Sangat bersemangat rasanya setiap kali mengulang-ulang baca kata-kata motivasi Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. tatkala berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku adalah panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka.” Ya, mudah-mudahan kita terus menjadikan tekad membara ini sebati di dalam jiwa!

 

Insya Allah, saya akan berangkat pada malam ini untuk turut serta dalam Misi Kemanusiaan AMAL Malaysia Ke Padang, Sumatera, Indonesia untuk membantu mangsa gempa bumi yang menggegarkan wilayah Sumatera Barat 30 September lepas. Insya Allah saya dan rombongan Yayasan AMAL Malaysia seramai 27 orang akan berada di sana dari 22-27 Oktober 2009 bagi meneruskan beberapa siri bantuan kemanusiaan AMAL Malaysia semenjak 3 minggu yang lepas.

 

Sesungguhnya Allah SWT menjadikan orang-orang beriman itu bersaudara. FirmanNya di dalam Al-Qur’an Al-Kariim:

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Wallahi, syukur kepada Allah! Masih ramai dalam kalangan umat ini yang peduli dan prihatin akan nasib masyarakat serumpunnya. Manifestasi ini dapat saya rasakan dalam persiapan Kembara Kemanusiaan kali ini. Bagi pihak AMAL Sarawak, dalam masa 4 hari yang lepas sahaja saya telah menerima sebanyak RM10,347 derma kilat yang datangnya daripada sahabat-sahabat di Miri, Kuching dan Bintulu. Semoga Allah menerima segala ‘amal jariah antum. Insya Allah semua sumbangan ini akan diserahkan secara terus kepada saudara-saudara yang memerlukan di sana selain untuk projek Water Supply Tube Well yang akan dijalankan. Ketahuilah betapa benar bahawa di dalam hidup ini manusia terbaik ialah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lainnya! Hidup ini bukan sekadar Que Sera, Sera!

 

Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Penyayang berfirman:

“Dan sesiapa yang mengerjakan ‘amalan soleh (perbuatan baik), lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, nescaya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” (Surah an-Nahl, ayat 97)

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperolehi pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dan dari pahala-pahala mereka yang mencontohinya itu, sedang barangsiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperolehi dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu.” (Riwayat Muslim)

Alhamdulillah, kali terakhir saya ke Padang ialah ketika mengikuti lawatan sambil belajar Pemimpin Pelajar UIA ke Provinsi Riau dan Sumatera Barat pada Januari 2004. Sebagai perkongsian, berikut disertakan Artikel Perjalanan “Kembara Ilmu di Bumi Minangkabau” yang telah diterbitkan oleh Majalah Minda Mac-April 2004. Semoga ada khairnya buat tetamu ziarah yang budiman dan beriman sekalian. Mudah-mudahan. (selanjutnya…)

Read Full Post »

AMAL Malaysia

Misi AMAL Malaysia di Sumatera Barat

AMAL Malaysia, 13 Oktober 2009/23 Syawal 1430H: Yayasan Amal Malaysia (AMAL) akan meneruskan Misi Kemanusiaan ke Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Bencana yang menimpa Kota Padang baru-baru ini meninggalkan kesan yang besar kepada rakyat di sana. Masih ramai lagi mangsa yang memerlukan bantuan kemanusiaan khususnya dari masyarakat antarabangsa.

Justeru itu, hasil pemerhatian dari beberapa misi kemanusiaan yang dilakukan oleh AMAL Malaysia sebelum ini, maka bantuan akan cuba disalurkan secara berterusan sehingga suatu tahap yang stabil di sana. Pihak AMAL Malaysia telah mengatur beberapa jadual Misi Kemanusiaan ke Padang iaitu pada 15-19 Oktober 2009 yang terdiri dari Team Teknikal (Water Supply Tube Well), 22-26 Oktober 2009 terdiri dari Team Medik dan seterusnya.

Selain itu, pihak AMAL Malaysia juga mempelawa para sukarelawan yang ingin turut serta boleh menghubungi Pejabat Yayasan Amal Malaysia di Batu Caves, Gombak di talian 03-6187 4382 (Cik Juisa). Pendaftaran awal sangat diharapkan bagi memudahkan AMAL Malaysia menyusun jadual berdasarkan kepakaran-kepakaran yang dimiliki oleh para sukarelawan Malaysia.

AMAL Malaysia turut amat mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan khususnya sumbangan kewangan daripada semua pihak yang prihatin terhadap bencana yang menimpa masyarakat serumpun di Padang, Sumatera Barat, Indonesia. Sumbangan boleh disalurkan ke Akaun Maybank, 553010122090 YAYASAN AMAL MALAYSIA dan sila maklumkan ke 019-9831927 atau 019-6644796. Semoga Allah menerima ‘amalan kita semua.

“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”

Read Full Post »

AMAL Malaysia

…Allah The Almighty is the Forgiving, the Merciful… [Photo Source]

As-Sarawaki, 11 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah! Sa’ad bin Abi Waqqas r.a dikatakan pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku adalah panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka.” Ya, mudah-mudahan kita juga mempunyai semangat tekad ini!

 

Tekad (Dendangan Izzatul Islam)

Kami sadari jalan ini kan penuh onak dan duri
Aral menghadang dan kezhaliman yang akan kami hadapi
Kami relakan jua serahkan dengan tekad di hati
Jasad ini, darah ini sepenuh ridho Illahi

Kami adalah panah-panah terbujur
Yang siap dilepaskan dari busur
Tuju sasaran, siapapun pemanahnya

Kami adalah pedang-pedang terhunus
Yang siap terayun menebas musuh
Tiada peduli siapapun pemegangnya
Asalkan ikhlas di hati tuk hanya ridho Illahi Robbi…

Kami adalah tombak-tombak berjajar
Yang siap di lontarkan dan menghujam
Menembus dada, lantakkan keangkuhan

Kami adalah butir-butir peluru
Yang siap ditembakkan dan melaju
Dan mengoyak, menumbang kezhaliman
Asalkan ikhlas di hati tuk jumpa wajah Illahi Rabbi…

Kami adalah mata pena yang tajam
Yang siap menuliskan kebenaran
Tanpa ragu ungkapkan keadilan

Kami pisau belati yang slalu tajam
Bak kesabaran yang tak pernah padam
Tuk arungi da’wah ini jalan panjang
Asalkan ikhlas di hati menuju jannah Illahi Robbi…

  

Fahamilah dan semoga bermanfaat buat tetamu ziarah yang budiman sekalian dan paling penting bermanfaat buat diri saya sendiri. Semoga kita menjadi generasi dakwah yang unggul. Amiin Ya Rabb! (selanjutnya…)

Read Full Post »

Bersama Fasilitator Muslimin Kem Eksplorasi Minda Borneo 2008 di KKIA. [Duduk: Mohd Syamirulah, Shazif, Mohd Nazir, Nur Izat, Ahmad Faisol. Berdiri: Syafeeq, Izzul Syazwan, Mohd Afif, Mohd Latiffi, Nasiruddin, Hairul Adhan, Hijaz Ridzwan, Muhtar Suhaili, Azri Bohari, Mohd Izzat, Mohd Shazani]

As-Sarawaki, 3 Ogos 2008: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT di atas rahmat kasih sayangNya yang tidak terhingga. Tuhan Yang Maha Agung berfirman di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 218: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Sungguh, wawasan Akhirat melalui prestasi hidup di dunia!

 

Alhamdulillah, saya baru selamat tiba di rumah setelah berada di Kota Kinabalu, Sabah selama 4 hari dan 4 malam untuk mengisi program Kem Eksplorasi Minda Borneo 2008 anjuran ISAC Studio dan Iluvislam.Com. Program Jaulah Borneo ini adalah program berbentuk motivasi dan tarbiyyah yang terdiri daripada dua fasa iaitu Fasa 1 di Kuching, Sarawak pada 24-29 Julai 2008 di mana Ustaz Hasrizal Abdul Jamil hadir memberi pengisian dan Fasa 2 di Kota Kinabalu, Sabah pada 30 Julai – 3 Ogos 2008 di mana alhamdulillah saya telah dijemput untuk memberi pengisian bersama-sama fasilitator-fasilitator yang terdiri daripada mahasiswa-mahasiswi Malaysia yang kini tengah menuntut di United Kingdom, United States, Ireland, Republik Czech, Perancis, Rusia, Mesir, Malaysia dan Indonesia.

 

Tahniah dan syabas kepada semua fasilitator selaku penganjur khususnya kepada Pengarah Program, Saudara Azri Bohari (anak jati Sarawak yang menuntut di NUI Galway) di atas inisiatif dan usaha murni kalian! Alhamdulillah melalui program ini, saya turut berkesempatan bertemu rakan-rakan alam maya seperti Saudara Syamirulah, Saudara Isa Azzaki, Saudara Syafeeq, Saudara Shazani dan Saudara Mohd Afif dari Iluvislam.Com. Penghargaan istimewa juga buat Saudara Hairul Adhan, anak tempatan Kota Kinabalu yang menjadi teman perjalanan dan memandu saya ke tempat-tempat program sepanjang berada di Sabah. Semoga Allah SWT menerima segala ‘amalan kita. Amiin Ya Rabb!

 

(selanjutnya…)

Read Full Post »

 

Kompleks Dewan Undangan Negeri Sarawak… Untukmu Ibu Pertiwi!

As-Sarawaki, 18 Mac 2008: Alhamdulillah atas segala perkara. Innal hamda lillah! “Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang kepimpinannya!” Sepertimana yang dijanjikan, entri ini adalah lanjutan entri sebelum ini Tsunami Politik: BN Menang Hasil Ehsan Sabah+Sarawak. Insya Allah, saya akan berkongsi dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian hasil pengalaman Jelajah Siasah Seantero Sarawak saya sempena pilihanraya baru-baru ini. Melalui entri ini saya mahu berkongsi suasana dan sentimen politik semasa negeri Bumi Kenyalang dari kacamata dan perspektif saya.

 

Sebagai pembuka bicara, saya ingin mengucapkan tahniah kepada 2 orang Menteri dan 9 orang Timbalan Menteri dari Sarawak yang telah tersenarai dalam Kabinet Malaysia 2008 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad hari ini. Selamat menjalankan tugas dengan penuh amanah, adil, bersih dan bertanggungjawab!

 

Berikut adalah barisan Menteri dan Timbalan Menteri dari Sarawak:

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Datuk Peter Chin Fah Kui (SUPP)

 

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar

Datuk Douglas Uggah Embas (PBB)

 

Timbalan Menteri Kerjaraya

Datuk Yong Khoon Seng  (SUPP)

 

Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi

Datuk Joseph Salang Gandum (PRS)

 

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Datuk Jacob Dungau Sagan (SPDP)

 

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani

Datuk Rohani Abdul Karim (PBB)

 

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan HEP

Jelaing anak Mersat (SPDP)

 

Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi

Hj. Fadillah Yusof (PBB)

 

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Datuk Robert Lau Hoi Chew (SUPP)

 

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Joseph Entulu anak Belaun (PRS)

 

Timbalan Menteri Pelancongan

Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib (PBB)

 

Sarawak (سراوق) Ke Arah Pilihanraya Negeri Ke-10 

 

Alhamdulillah, berlalulah sudah kehangatan Pilihanraya Umum Malaysia Ke-12 dan kini tiba masanya buat wakil-wakil rakyat untuk mengotakan segala janji-janji serta sekaligus berkhidmat kepada rakyat. Masanya untuk menjadi ‘khadam’ kepada para pengundi! (selanjutnya…)

Read Full Post »

Older Posts »