“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah”
As-Sarawaki, 2 Jamadits Tsani 1430H: Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin atas segala-galanya. Sudah lebih 2 bulan saya ‘berpuasa’ daripada menulis entri baru di blog ini. Maaf kepada yang masih sering menjenguk kerana mungkin mengecewakan antum dan terima kasih di atas kesudian terus bersama-sama mengambil manfaat dari blog yang tidak sepertinya ini. Saya boleh saja memberi pelbagai alasan seperti sibuk bekerja, sibuk berprogram dan sibuk-sibuk lainnya, akan tetapi saya memilih untuk tidak menerangkan alasan-alasan tersebut yang rasanya tidak mengundang faedah untuk didiskusikan. Apa yang pasti, sama-sama kita doakan semoga diri kita semua terus istiqamah dalam kebaikan dan beroleh taufiq, hidayah dan redhaNya sentiasa. Amiin Ya Rabb!
Melalui entri ini, saya ingin menasihatkan diri saya dan mengajak tetamu ziarah yang budiman sekalian melihat asas-asas kejayaan dakwah dengan memetik beberapa kata-kata du’at abad ini sebagai renungan. Entri ini juga mungkin wajar dijadikan perkongsian pintar oleh seluruh ahli dan sukarelawan AMAL Sarawak (yang kini Allah taklifkan kepada saya untuk menjadi Pengerusinya) untuk sama-sama kita memuhasabah diri sekaligus mengorak langkah khair menggerakkan dakwah secara paling berhikmah di Bumi Kenyalang tercinta.
Menjadi Pekerja Dakwah dan Pengembang Amanah Jihad
Imam Hassan Al-Banna rahimahullah pernah menyebut:
“Rijalul qaul (orang yang pandai berbicara) tidak sama dengan rijalul ‘amal (orang yang pandai bekerja) dan rijalul ‘amal tidak sama dengan rijalul jihad (orang yang optimal dalam bekerja). Rijalul jihad pun tidak sama dengan Rijalul jihad yang muntij (produktif) wal hakim (bijaksana) iaitu orang yang mampu memberikan hasil yang optimal dengan pengorbanan yang paling kecil.”
“Sesungguhnya orang yang pandai berbicara itu banyak, tetapi sedikit di antara mereka yang tetap konsisten ketika bekerja. Dan banyak orang yang pandai bekerja tetapi sedikit yang mampu mengembangkan amanah jihad yang berat dan mahu bekerja keras (bersungguh-sungguh).”
As-Sarawaki: Nasihat ini cukup terkesan di hati saya! Semoga saya dan anda juga berusaha sebaik mungkin menjadi pekerja dakwah yang serius bekerja dan bukan sekadar menjadi burung kakak tua yang sering sembang kemas!
Kerja dan Ikhtisas Sebagai Mujahid Di Jalan Allah
Ustadz Fathi Yakan menukilkan di dalam buku “Abjadiyyat Al-Tasawwur Al-Haraki Li Al-‘Amal Al-Islami (Tasawwur Asasi Gerakan Islam)”:
“Pendidikan jihad ialah pendidikan yang menjadikan insan itu satu makhluk, apa juga kerjanya dan ikhtisasnya sebagai mujahid di jalan Allah, menjadikan manusia yang mempergunakan ikhtisasnya untuk jihad di jalan Allah. Oleh itu, di samping ia seorang ‘alim ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang doktor ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang jurutera ia juga seorang mujahid, di samping ia seorang guru ia juga seorang mujahid dan seterusnya jihad itu menjadi satu simbol yang istimewa di kalangan mereka.
Pendidikan jihad perlu diberi perhatian lebih kepada dua perkara asas yang penting:
Pertama: Perhatian terhadap jiwa yang ada hubungan dengan Allah, rindu untuk menemuiNya serta mati di jalanNya. Seterusnya menjaganya dari perkara-perkara yang boleh menjatuhkannya dan menjaga nafsunya sekalipun perkara yang halal dan baik. Dengan ini terbentuk jiwa mujahid.
Kedua: Perhatian terhadap jasad supaya ia sihat dan kuat, memiliki setiap kemampuan untuk bertahan, menyerang dan memiliki pengalaman bertahan dan menyerang, lebih-lebih lagi di zaman yang terdapat pelbagai pengalaman dan keilmuan.”
As-Sarawaki: Piawaian yang wajar untuk dijadikan sandaran para dae’i dalam dirinya ialah bahawa dia hendaklah mempertahankan iman dan bukan sekadar beriman, serta dia memahami akan kepentingan dirinya untuk berkorban dan bukan sekadar menyumbang. Sama-sama kita ikhtiarkan insya Allah.
Jaringan Setiakawan – Mencari Teman Dakwah
Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam bukunya yang diberi tajuk “Insan, Ingatlah!” memperihalkan tentang Mengenal Sikap Taulan Sebelum Berkawan seperti berikut:
“Saidina Ali r.a. pernah berkata, bahawa rakan karib itu ibarat sepasang kasut. Jika anda ingin mengetahui rupa bentuk dan ukuran kasut sebelah kanan, maka perhatikanlah kasut yang satu lagi iaitu kasut sebelah kirinya.
Ini membawa maksud bahawa manusia sering mencari keserasian dalam berkawan, jika mereka tidak memiliki persamaan sikap dan pandangan, pasti mereka tidak berkawan.
… Oleh kerana di antara dosa itu ada yang berpunca dari rakan pergaulan, oleh itu soal mencari sahabat dan rakan, menjadi satu dari agenda utama dalam hidup seseorang. Sebab itu Islam menggariskan berbagai-bagai cara bagi menentukan siapa sahabat yang bakal kita gauli. Rasulullah SAW menganjurkan agar setiap orang yang beriman itu sentiasa berada dalam jamaah Muslimin yang dianggotai oleh orang-orang yang mempunyai cita-cita ke arah kebaikan Islam.”
As-Sarawaki: Saya terkenang sejarah ketika mana Sultan Muhammad Al-Fateh berjaya membuka Kota Konstantinople dengan gilang-gemilang dan di kala semua pihak memuji kehandalannya, guru merangkap sahabatnya iaitu Sheikh As-Shamsuddin telah mengingatkan beliau dengan kata-kata yang ringkas tetapi mendalam maknanya: “Walaupun pada hari ini engkau telah mencapai kejayaan yang paling besar, tetapi biarlah aku menjadi satu-satunya manusia yang terus mengingatkan engkau bahawa engkau adalah hamba kepada Allah SWT!.” Itulah gunanya sahabat, mengingatkan di kala lupa dan nasihatnya menjadi pedoman kecemerlangan dunia dan Akhirat. Peribahasa Inggeris juga ada menyebut “Friendship without self-interest is one of the most beautiful things in life”, yang sekiranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu membawa maksud: “Persahabatan tanpa kepentingan diri merupakan salah satu perkara terindah di dalam hidup.” Saya suka menambah betapa “persahabatan atas dasar akidah adalah perkara paling terindah!”
Pendekatan Bijaksana (Smart Approach) Dalam Berdakwah
Prof. Dr. Hj. Abdul Malik Karim Amrullah (HAMKA) ketika mentafsirkan Surah An-Nahl, ayat 125 di dalam Tafsir Al-Azhar menyatakan seperti berikut:
“Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala ini mengandungi ajaran kepada Rasul Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tentang methodologi pelaksanaan dakwah, atau seruan kepada manusia agar mereka berjalan di atas Jalan Allah (Fi Sabilillah) atau Jalan Yang Lurus (Shiratahal Mustaqim) yakni Agama yang benar (Ad-Dinul Haqq). Melalui ayat ini, Allah Subhanahu Wa Ta’ala menuntun Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam untuk melakukan dakwah melalui tiga cara iaitu melalui hikmah (kebijaksanaan), al-mau’izhatul hasanah (pengajaran yang baik) dan jadilhum billati hiya ahsan (bantahlah mereka dengan cara yang baik atau dewasa ini disebut sebagai berdebat).
Maka, ketiga-tiga cara pelaksanaan dakwah yang disebutkan di dalam firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala tadi sesungguhnya amatlah relevan kerana ajakan atau seruan membawa ummat manusia kepada jalan yang benar itu sekali-kali bukanlah propaganda, meskipun propaganda itu sendiri kadang-kadang menjadi sebahagian daripada mekanisma dakwah. Dakwah meyakinkan manakala propaganda atau di’ayah adalah memaksakan. Dakwah dengan jalan paksa tidaklah akan berhasil menundukkan keyakinan insan bernama manusia sebagaimana Al-Qur’an telah menegaskan dengan jelas bahawa dalam hal agama sekali-kali tidak ada paksaan (Surah Al-Baqarah, ayat 256).”
As-Sarawaki: Justeru itu, marilah kita bersama memikirkan dan seterusnya mengusahakan pendekatan paling bijaksana dalam melaksanakan agenda dakwah khususnya di bumi Sarawak yang unik masyarakat dan suasananya ini. Approach terbaik diperlukan dalam membaca masyarakat kerana bak kata Prof Dr HAMKA: Ramai di kalangan kita yang pandai membaca kitab tetapi gagal membaca masyararakat! Memetik kata-kata Ustaz Hj Elias Hj Zakaria di dalam Bengkel Pemerkasaan AMAL Sarawak baru-baru ini pula, kita sebenarnya perlu melahirkan dae’i yang boleh “ketawa di hadapan orang miskin yang menangis dan boleh menangis di hadapan orang kaya yang ketawa.” Dengan latihan berterusan, usaha istiqamah dan berkat keikhlasan do’a kita pasti mampu melakukannya, insya Allah.
Ayuh jadikan solat, ibadah, hidup dan mati kita semata-mata kerana DIA Yang Maha Segala-galanya. Allahu Akbar!
Wallahu a’lam bissawab.
Wakil dari Curtin Islamic Society
Ingin berganding bahu beramal dan berdakwah!
Salam,
Ayub Jamil
Salam… Semoga Allah terus berikan kekuatan… dalam kerja-kerja dakwah.
Majlis Ceramah di Masjid Al-Hidayah bersama Sheikh Muhamad Fuad Kamaluddin (Ahli Majlis Fatwa N.Sembilan):
Tarikh: 28 Mei 2009 (Khamis – Malam Ini)
Masa: Lepas Solat Maghrib &
Masjid Al-Hidayah Taman Melawati
Muslimin Muslimat semua dijemput hadir.
Jazakallah. InsyaAllah,ingin cuba membaca masyarakat.
Seorang da’ie :
“ketawa di hadapan orang miskin yang menangis dan boleh menangis di hadapan orang kaya yang ketawa.”
“persahabatan atas dasar akidah adalah perkara paling terindah!”
Jaringan Setiakawan – Mencari Teman Dakwah
Salam Setiakawan dari ana, ustaz.
Suka untuk belajar gaya tulisan ustaz, insyaAllah ingin cuba praktiskan. Penyampaian yang jelas.
nampak macam bukan senang nak jadi pendakwah.
Semoga allah swt memberi kmudahan kpd anda..sy tertarik dgn penulisan anda..