Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for November 2007

Semoga Jadi Isteri Solehah

“Wan Lydia Salmi Wan Junaidi – Bakal Isteri Di Hari Pertunangan”

As-Sarawaki, 29 November 2007: Alhamdulillah atas segala-galanya. Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kerana mengambil masa agak lama untuk kembali mengemaskini laman weblog ini. Bukan niat di hati untuk ‘membunuh peminat’ komunikasi maya, tetapi urusan peribadi sekitar menjelangnya perkahwinan sedikit sebanyak sukar untuk mengizinkan saya berkongsi dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian entri-entri terbaru. Kedua, saya dengan rasa syukur ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih di atas ucapan tahniah dan doa sama ada melalui komen-komen di entri ‘Doakan Kami Bahagia Hingga Ke Syurga…‘, Friendster, e-mail, sms mahupun yang menyampaikannya secara bersemuka. Alhamdulillah, syukran jazilan di atas persahabatan dan ukhuwwah yang terbina. Jazakumullahu khairan kathiran. Semoga kita semua bahagia lagi cemerlang dunia dan Akhirat. Amiin.

 

Inilah yang dinamakan jodoh. Saya dan Wan Lydia Salmi sama-sama sepengajian semasa di UIA dulu. Saya lulusan Kejuruteraan Mekatroniks manakala beliau pula adalah lulusan Sains Kemanusiaan (Psikologi) minor Pengajian Ilmu Wahyu dan Warisan Islam dan seterusnya turut menyambung kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) di UPSI dalam bidang kaunseling.  Meskipun kami pernah diamanahkan melaksanakan program-program anak-anak Sarawak dan program-program mahasiswa secara bersama sepanjang tempoh pengajian selama lebih 5 tahun di Pusat Matrikulasi UIA dan Kampus Induk Taman Ilmu dan Budi, tetapi bibit-bibit cinta tidak muncul dan belum tersemai ketika itu. ‘Rasa nan indah’ itu hanya muncul di hati selepas bergraduasi sehinggakan ramai rakan-rakan Sarawakian yang tidak percaya apabila dimaklumkan tentang perancangan perkahwinan kami. Terus-terang, saya pernah menyimpan hati dengan beberapa wanita malah sudah sering kali ‘dipinang’ oleh Muslimat, namun ditaqdirkan dialah jodoh yang bertakhta di sanubari saya – Wan Lydia Salmi Wan Junaidi. Alhamdulillah ‘ala kulli hal!

 

Seorang jurutera bakal mendirikan rumahtangga dengan seorang guru kaunselor! Dua profesyen yang jauh berbeza suasana dan persekitarannya. Saya di dunia ‘sains dan teknologi’ yang berbicara tentang industri minyak dan gas serta pe’el-pe’el mesin, manakala Wan Lydia Salmi pula di medan pendidikan dan kaunseling yang berhubung dengan hati-hati manusia dan pe’el-pe’el insan. (selanjutnya…)

Read Full Post »

kad-kahwin-main.jpg

“Walimatul ‘Urus Muhtar Suhaili – Wan Lydia Salmi Wan Junaidi”

As-Sarawaki, 20 November 2007: “Wahai Anak Muda, Berkahwinlah! Sesiapa yang mampu, berkahwinlah kerana ia lebih memelihara mata dan menjaga faraj. Sesiapa yang tidak mampu untuk berkahwin hendaklah dia berpuasa kerana puasa adalah penahan (daripada gelojak nafsu)” (Hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari).

 

Alhamdulillah! Insya Allah saya akan melangsungkan perkahwinan (akad nikah) pada 14 Disember 2007 ini. Dengan memohon rahmat dan keredhaan Allah SWT, kami sekeluarga dengan  segala rasa hormat dan penuh takzimnya mempersilakan sahabat-sahabat dan tetamu ziarah yang budiman sekalian ke Majlis Perkahwinan (Walimatul ‘Urus) kami yang akan diadakan seperti berikut:

 

1. Majlis Sebelah Perempuan – 15 Disember 2007, Kampung Bako, Kuching

2. Majlis Sebelah Lelaki – 29 Disember 2007, Kampung Muhibbah, Niah, Miri

 

(Nota: Diharap sahabat-sahabat sekalian dapat menghantar alamat melalui email ke al_akhyar81@yahoo.com untuk penghantaran kad. Terima kasih).

 

muhtar-suhaili-wan-lydia-salmi.jpg

 

Doakan semoga perkahwinan kami diberkati oleh Allah SWT, dipenuhi sakinah, mawaddah dan rahmah serta berkekalan bahagia dunia dan Akhirat. Mendamba ‘syurga’ membawa ke Syurga! Amiin Ya Rabbal ‘Alamin. (selanjutnya…)

Read Full Post »

Mukmin

“…Dan Gembirakanlah Orang-orang Yang Beriman!”

As-Sarawaki, 19 November 2007: Alhamdulillah! Semalam saya telah dijemput untuk menyampaikan ceramah bertajuk ‘Kewajipan Bersyukur Kepada Allah’ di dalam ‘Program Taqarrub’ anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak di Dewan Serbaguna Bakam, Kampung Bakam, Miri. Saya menerima jemputan ini lebih kerana tanggungjawab agama dan sesuai dengan nama hebat program ini iaitu ‘Program Taqarrub’, tanpa menyedari rupa-rupanya ia adalah program politik anjuran N62 DUN Lambir (kawasan YB Aidan Wing) sebagai modus operandi untuk mendekati rakyat menjelang pilihanraya. Rencam ragam politik saya perhatikan sepanjang program tersebut. Dewan dihiasi dengan bendera Barisan Nasional (BN), logo Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), poster Perdana Menteri, poster Ketua Menteri dan poster YB Aidan Wing. Ini mengukuhkan lagi telahan saya sepertimana yang dinyatakan melalui entri Kepimpinan, Politik dan Survival betapa Pilihanraya Umum Ke-12 akan dilaksanakan dalam masa terdekat. Sejauhmana dekatnya… hanya Allah, Perdana Menteri dan penasihat-penasihatnya sahaja yang tahu. 

 

Adakah saya khilaf kerana berceramah di atas pentas parti politik tertentu untuk berhujah agama di mimbar masyarakat? Salahkah saya membawa wacana ad-deen di dalam gelanggang politik? Sama sekali tidak. Saya pernah diberitahu bahawa Prof. Dr. Yusof Al-Qaradhawi telah dipetik pernah menyatakan bahawa sekiranya beliau diminta untuk menulis hatta di dalam Majalah Playboy sekalipun beliau akan melakukannya, asal saja mesej dan dakwah Islam dapat disampaikan!

 

Benar program tersebut merupakan program siasah untuk menerangkan dasar-dasar dan mengabsahkan janji-janji politik, namun tidak salah rasanya untuk menjadi burung ciak sepertimana di dalam kisah ketika Nabi Ibrahim cuba dibakar oleh kaumnya. Burung ciak pun turut sama berusaha memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim dengan membawa air yang amat sedikit dengan paruhnya. Nampak peranannya terlalu kecil untuk diambilkira, malah sebahagian orang akan sekadar memandangnya sebelah mata.. Tetapi itu bukan persoalannya. Apa yang penting dan utama, burung ciak telah menjalankan tanggungjawabnya dengan bersungguh-sungguh. Mudah-mudahan kelak sekiranya Allah bertanya tentang fungsinya, bolehlah juga dia menjawab bahawa dia sudah mencuba sehabis baik, apakan daya paruhnya kecil sahaja dan tidak mampu untuk membawa air yang banyak. Walhal burung ciak tersebut boleh sahaja sekiranya dia mahu mengangkut rumput-rumput kering dan meletakkannya di dalam api supaya lebih marak lagi, namun itu tidak dilakukannya. Burung ciak memilih berbuat kebaikan, dan sesungguhnya itulah pilihan yang tepat lagi benar. Bahkan itulah jalan yang lurus. Semoga kita demikian juga hendaknya. (selanjutnya…)

Read Full Post »

BKPIP Donation Drive

“Program Kebajikan ‘Bersamamu… BKPIP’: We Care, We Share”

As-Sarawaki, 16 November 2007: Alhamdulillah, puji dan sanjungan adalah hak Allah SWT yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat hamba-hambaNya, Maha Suci Allah yang telah menjadikan bintang-bintang di langit, dan menjadikan pula matahari dan bulan yang terus bersinar. Dia pula yang menjadikan malam dan siang silih berganti bagi orang-orang yang ingin mengambil pelajaran atau orang yang ingin bersyukur.

 

Selawat dan salam semoga dilimpahkan kepada manusia yang diutus Rabbnya sebagai pemberi dan penunjuk arah, pembawa berita gembira, pemberi peringatan, penyeru kepada agama Allah dengan izinNya dan cahaya yang menerangi. Baginda telah menyampaikan risalah, menunaikan amanah, memberikan nasihat kepada umat dan berjihad dengan bersungguh-sungguh di jalanNya hingga datang kematian kepadanya. Melalui baginda, Allah memberi petunjuk kepada manusia, menerangi fikirannya dan menggoncang jahiliyyah.

 

Aku naik saksi bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan aku bersaksi Nabi Muhammad SAW adalah hamba dan RasulNya, kesaksian yang aku simpan di sisi Allah yang Maha Agung dan Maha Berkuasa untuk hari Kiamat, hari yang tiada bergunanya harta, takhta dan anak-pinak kecuali orang yang datang kepadaNya dengan hati yang bersih.

 

Alhamdulillah, syukur di atas segala nikmatNya.. Mohon maaf kepada tetamu ziarah yang budiman sekalian kerana sudah 5 hari tidak menulis entri baru di laman weblog www.muhtarsuhaili.com ini. Saya agak sibuk minggu ini dengan persiapan untuk satu ‘majlis penting’ di dalam hidup saya (insya Allah saya akan membuat pengumuman rasmi kemudian…), selain turut menduduki peperiksaan untuk Kursus EP00: Introduction to Oil and Gas Industry yang merupakan sebahagian daripada program Master of Technology (Petroleum) di bawah Curtin University of Technology dan Shell International Exploration and Production BV.

 

Melalui entri kali ini, saya suka untuk berkongsi dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian satu program yang dilaporkan di dalam Iqra’ Newsletter – The Voice Of BKPIP iaitu Buletin 2 minggu sekali terbitan Badan Kebajikan Pekerja Islam Petroleum (BKPIP). Program ‘Bersamamu… BKPIP’ (selanjutnya…)

Read Full Post »

Ziarah Hospital

“Program Ziarah Hospital Miri Inisiatif Yayasan ‘Amal Malaysia Miri”

As-Sarawaki, 11 November 2007: Alhamdulillah, sepanjang hujung minggu ini saya terlibat di dalam menjayakan 2 aktiviti inisiatif Yayasan ‘Amal Malaysia (YAM) Cawangan Sarawak Unit Miri, selain satu program Sembang Santai Bersama Calon SPM SM Sains Miri yang diadakan malam semalam. Dua program YAM yang dimaksudkan ialah Ziarah Hospital Miri yang diadakan petang semalam bersama lebih 30 sukarelawan dan sepanjang hari ini telah diadakan Halaqah Ilmu, Al-Liqa’ Al-Fikri di mana saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ceramah motivasi yang diberi tajuk “Dakwah dan Jihad: Di Mana Kedudukan Kita?”. Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

 

Ziarah Hospital merupakan aktiviti pertama seumpamanya yang julung-julung kali dianjurkan oleh Yayasan ‘Amal Malaysia (YAM) Cawangan Sarawak Unit Miri. Insya Allah program ini bukan yang pertama dan terakhir kerana program-program susulan dan berkala akan diusul dan diikhtiarkan selepas ini dengan kerjasama pihak hospital. Sungguh, program kebajikan sebegini saya rasakan amat wajar untuk mendapat perhatian warga masyarakat yang prihatin lebih-lebih lagi rakyat Malaysia yang masih kukuh adat budaya ketimurannya. Bahkan Nabi SAW pernah bersabda (maksudnya):

 

Hak Muslim terhadap Muslim yang lain ada enam iaitu:

(1) Apabila engkau bertemu, berilah salam padanya, (2) Apabila engkau diundang, penuhilah undangannya, (3) Apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya, (4) Apabila dia bersin lalu mengucapkan ’alhamdulillah’, doakanlah dia (dengan mengucapkan ’yarhamukallah’), (5) Apabila dia sakit, ziarahilah dia, dan (6) Apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).

Sebagai perkongsian, berikut dikongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian beberapa gambar program yang telah dilaksanakan tempoh hari. Gambar kadangnya boleh memberi seribu makna dan pengertian. Semoga ada khair dan manfaatnya (selanjutnya…)

Read Full Post »

Miri City.jpg

“Bandaraya Peranginan Miri.. Bumi Kelahiran di mana Hidup, Jasa, Perjuangan dan Survival Dipertaruhkan!”

As-Sarawaki, 10 November 2007: Alhamdulillah! Semalam saya telah diberi amanah untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Membina Jatidiri Pemimpin: Satu Perkongsian” kepada 80 orang pemimpin kelab-kelab dan persatuan-persatuan unit beruniform Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Miri. Selain itu alhamdulillah, pada hari Sabtu, 3 November yang lepas bertempat di Soon Hup Villa, saya juga berkesempatan menyampaikan ceramah bertajuk “Kepimpinan dan Survival” kepada para peserta Nadwah Kepimpinan Pelajar Islam yang terdiri daripada 72 orang pelajar terpilih daripada sekolah-sekolah di seluruh bahagian Miri. Persoalannya, mengapa saya memberi komitmen dalam program-program kepimpinan sebegini? Asasnya ialah kerana hal berikut:

 

“I am more afraid of an army of 100 sheep led by a lion than an army of 100 lions led by a sheep!” 

Saya sesungguhnya teruja dan berdoa semoga para peserta ini akan menjadi pemimpin hebat yang berwibawa, berkarisma, berintegriti, berakhlak mulia, berfikiran positif, bermotivasi tinggi, seimbang IQ+EQ+SQ dan lebih penting lagi pemimpin yang menjadikan ‘bersahabat’ dengan Tuhan sebagai asas pembinaan karakter dan jatidirinya. Semoga mereka menjadi pemimpin cemerlang masa depan bermodalkan unsur al-qawi dan al-amin dalam menabur khidmat kepada kemanusiaan serta dalam masa yang sama merupakan pemimpin yang bertaqwa kepada Allah! Nota: Taqwa = Takut tetapi rindu!

 

Apabila menyebut tentang kepimpinan, kepimpinan politik adalah salah satu juzuk yang sering mendapat perhatian dan sinonim dengan terma ini. Justeru insya Allah melalui entri kali ini, saya suka untuk mengajak tetamu ziarah yang budiman sekalian ‘jom berfikir seketika tentang siasah’ atau ‘mari berfikir sejenak tentang politik’. Desas-desus yang kita dengar kini memperihalkan bahawa Pilihanraya Umum Ke-12 akan menjelang tiba tidak lama lagi. Senario semasa, mood pemain politik dan gimik politik membenarkan kesahihan hal ini. Secara peribadi, bacaan politik saya juga melihat dengan kacamata sama yakni mengiyakan kemungkinan-kemungkinan tersebut. (selanjutnya…)

Read Full Post »

AYA Awards Night

“Bersama Ibu dan Cikgu Lily Sebelum Majlis Anugerah Bermula”

As-Sarawaki, 7 November 2007: Alhamdulillah! Sebagai hamba Allah, marilah kita sentiasa melakukan muhasabah agar terus cemerlang di dalam Sekolah Kehidupan. Ayuh kita teruskan usaha memperbaiki diri dan mengajak orang lain untuk sama-sama memberi sumbangan untuk agama. Sesungguhnya, ‘title is not the measurement of a man but by his contribution’. Rasulullah SAW iaitu Sifu Terbesar umat Islam telah bersabda: “Yang paling disukai Allah ialah mereka yang paling bermanfaat untuk manusia yang lain.” Dan wahai insan sedarlah kita, ‘doing the best at this moment put us in the best place for the next moment’. Bahkan, kita telah diberi berita gembira melalui firman Allah SWT di dalam Kitab Suci Al-Qur’an Al-Kariim yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memasukkan orang-orang beriman dan mengerjakan amal yang soleh ke dalam syurga-syurga yang di bawahnya mengalir sungai-sungai. Di syurga itu mereka diberi perhiasan dengan gelang-gelang dari emas dan mutiara, dan pakaian mereka adalah sutera..” (Surah Al-Hajj, ayat 23).

 

Alhamdulillah, banyak hikmah dan coretan rasa yang ingin dikongsikan lanjutan daripada Most Outstanding Youth Of 2007 Award dan entri sebelum ini “Dream Malaysia Awards.. Jadilah Dirimu Yang Terbaik!“. Terima kasih kepada sahabat-sahabat, teman-teman dan tetamu ziarah yang budiman sekalian di atas ucapan tahniah, kata-kata peransang dan do’a yang diberikan, amat saya hargai. Semangat membara kalian membangkitkan semangat juang dan menyemai rasa kebangkitan dalam diri saya! Jazakumullahu khairan kathira!

 

Sebagai muqaddimah, mari kita baca terlebih dahulu petikan berita tentang AYA Dream Malaysia Awards Night tersebut dan insya Allah dari sini saya akan membincangkan tajuk entri kali ini iaitu ‘Kehadiran Memberi Kesan, Pemergian Dirasai’. Semoga ada khair dan manfaatnya.

 

Selfless doctor wins top youth award

Source: NST Online, 5 November 2007  (selanjutnya…)

Read Full Post »

Older Posts »