“Career Talk @ SMK Luar Bandar Miri: Getting To Know Shell”
As-Sarawaki, 11 Julai 2007: Alhamdulillah, pagi tadi saya telah menjadi duta syarikat untuk menyampaikan ceramah: “Career Talk: Getting To Know Shell” di SMK Luar Bandar Miri sempena Minggu Kerjaya sekolah berkenaan. Saya telah menyampaikan ceramah tersebut melalui dua sesi iaitu Sesi 1: 8.30am – 10.00am kepada lebih 100 orang pelajar Tingkatan 6 yang bakal menduduki peperiksaan STPM dan Sesi 2: 10.30am – 12.00pm kepada lebih 200 orang pelajar Tingkatan 5 yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Antara maklumat kerjaya yang telah disampaikan termasuklah Introduction to Shell, Snapshot of Shell’s Businesses, Shell Scholarship & Bursary Program, Areas of Graduates’ Employment, Why Shell? dan People Like You. Untuk maklumat lanjut, sila ke laman www.shell.com.my dan www.shell.com/career/.
Entry ini bagaimanapun tidak akan membicarakan secara terperinci ceramah kerjaya dan pengisian yang telah disampaikan. Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang power point presentation pack (70 slides) yang disampaikan tersebut boleh menghubungi saya secara peribadi.
Tajuk yang saya gunakan untuk entry ini ialah “The Because Is…”. “The Because Is…” adalah satu frasa Bahasa Inggeris broken yang pernah saya gunakan dan saya anggap betul suatu masa dahulu ketika di sekolah menengah bagi perkataan Bahasa Melayu “Sebabnya ialah…”. Ini semua kerana kelemahan penguasaan Bahasa Inggeris saya. Malah salah satu perkara yang akan dikenang di sekolah menengah ialah tentang “My mother is a good cooker!” yang digunakan untuk menceritakan ibu yang pandai memasak tanpa mengetahui betapa sebenarnya tukang masak di dalam Bahasa Inggeris bukannya cooker, tetapi cook. Cooker adalah periuk pemasak nasi! Semuanya ini kerana terpengaruh dengan penghujung -er pada kebanyakan pekerjaan seperti teacher, headmaster, engineer, lawyer, farmer, carpenter, etc.
Atas segalanya, terima kasih kepada sistem pembelajaran subjek bahasa di UIA yang telah banyak membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan serba sedikit Bahasa ‘Arab saya! Alhamdulillah.
Ceramah kerjaya saya pagi tadi sepatutnya disampaikan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Namun oleh kerana masalah yang ada kaitannya dengan kisah “The Because Is…” di atas iaitu masalah pemahaman dan penguasaan Bahasa Inggeris para peserta, pilihan yang saya ada untuk memastikan mesej yang disampaikan mampu difahami ialah dengan menggunakan Bahasa ‘Campurization’.
“Bahasa Inggeris dan Dilemma Pelajar Luar Bandar”
Sungguh, ini merupakan satu dilemma khususnya kepada pelajar-pelajar malah guru-guru di kawasan pedalaman! Para peserta ceramah kerjaya ini terdiri daripada pelajar-pelajar peribumi dan Bumiputera berbangsa Iban, Kedayan, Melayu, Melanau dan Bugis yang tinggal di luar bandar dan bagi saya merupakan sebahagian daripada kelompok utama yang paling menerima kesan hasil daripada Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Malah inilah keluhan yang mereka luahkan!
[Nota: Saya perlu nyatakan di sini bahawa entry ini bukan bertujuan menafikan kepentingan Bahasa Inggeris di dalam pasaran kerjaya. Malah saya akui, penguasaan Bahasa Inggeris diperlukan khususnya dalam bidang teknikal dan teknologi. Entry ini sesuai dengan tajuknya “Satu Dilemma!” lebih bertujuan untuk menyuarakan keprihatinan dan kebimbangan akan prestasi pelajar-pelajar dalam mengikuti pelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris khususnya pelajar-pelajar Bumiputera dan yang berada di luar bandar.]
Mengapa saya mengatakan pelajar-pelajar luar bandar merupakan ‘mangsa’ utama kepada PPSMI ini? Secara jujur, saya bersimpati dengan mereka yang sebenarnya ingin cemerlang tetapi dengan penguasaan Bahasa Inggeris yang kritikal akan semakin melemahkan semangat mereka untuk mempelajari dan lulus cemerlang di dalam subjek Sains dan Matematik. Lebih daripada itu, sebelum dasar ini diperkenalkan pun subjek Sains dan Matematik sudah sememangnya subjek yang paling sukar untuk difahami oleh mereka!
Sebenarnya isu PPSMI ini hangat diperdebatkan dan dibahaskan di peringkat nasional ketika saya menjawat jawatan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UIA. Secara dasarnya, saya antara pemimpin mahasiswa pada ketika itu yang tidak begitu bersetuju dasar ini dilaksanakan tanpa kajian amat teliti terlebih dahulu kerana melihat ia dibuat dengan terlalu tergesa-gesa serta tidak mengambil kira pandangan cendikiawan Melayu dan pejuang Bahasa Melayu, selain faktor sumber manusia untuk melaksanakannya yang belum bersedia sepenuhnya. Selain itu, saya juga bimbang langkah ini akan hanya menimbulkan konflik antara yang miskin dan yang kaya dan semakin melebarkan jurang antara masyarakat bandar dan luar bandar.
Saya juga sebenarnya berkesempatan mengikuti penerangan ’set minda’ agar pimpinan mahasiswa menerima baik dasar ini di dalam satu Konvensyen Majlis Perwakilan Pelajar yang diadakan pada tahun 2003. Malah di dalam konvensyen ini sebahagian besar daripada kertas kerja yang dibentangkan adalah tentang PPSMI! Sila lihat Strategi dan Persediaan Pelaksanaan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di sini dan di sini.
Alhamdulillah, sebelum menulis entry ini saya berpeluang berdiskusi dan berbincang dengan beberapa orang guru dan warga pendidik tentang isu ini. Antara cadangan penambahbaikan yang wajar dilaksanakan bagi memastikan pelajar luar bandar dan yang lemah Bahasa Inggeris ini tidak terus di’anak tiri’kan termasuklah meneruskan soalan-soalan peperiksaan di dalam dwi-bahasa selepas 2008, membenarkan guru-guru menggunakan dwi-bahasa sewaktu dalam Pengajaran dan Pembelajaran, dan juga menjadi satu keperluan untuk guru-guru diberi latihan intensif penguasaan Bahasa Inggeris. Semoga cadangan penambahbaikan ini akan memberi kebaikan kepada anak bangsa dan kemajuan masa depan mereka. Mudah-mudahan, saya mengharap dan berdoa ia membawa khair!
Seterusnya, saya secara peribadi juga ingin mengajak tetamu ziarah sekalian untuk kita melihat isu ini secara ilmiah dan keluar dari ruang lingkar politik kepartian yang kadangnya saya lihat terlalu beremosi. Malah isu ini perlu dilihat dari sudut dan skop yang lebih luas, neraca pertimbangan yang berat dan perspektif yang menyeluruh. Sebagai perkongsian, saya syorkan kita sama-sama baca dan kaji isi kandungan e-book Persatuan Penterjemah Malaysia bertajuk “Mengapa Kami Bantah” susunan Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan. E-book ini mengandungi kertas kerja dan kajian ilmiah cendikiawan Melayu sekitar isu dan cabaran PPSMI khususnya terhadap kemandirian bahasa dan bangsa. Sila download e-book ini di sini.
“Mengiayakan yang Benar, Menidakkan yang Bukan!”
Prof. Emeritus Abdullah Hassan ketika membicarakan tentang “Bahasa dan Pembinaan Tamadun Bangsa” menyebut:
Tidak pernah ada bangsa yang membina tamadunnya tanpa kepustakaan. Tidak pernah juga ada bangsa yang membina tamadunnya atas kepustakaan dalam bahasa orang lain. Setiap bangsa, walaupun kecil membina tamadun bangsanya atas kepustakaan dalam bahasanya sendiri. Negara kecil yang maju seperti Belanda, Finland, Sweden, Norway, Denmark, Belgium, Luxemberg, Switzerland dan Austria mempunyai kepustakaan masing-masing dalam bahasa sendiri.
Malah Tun Abdul Razak Hussein mengingatkan kita bahawa:
Kebudayaan sebuah bangsa itu juga bergantung kepada himpunan ilmu dalam bahasanya, iaitu kepustakaan dalam bahasanya. Kita akan terus berjuang membina kepustakaan dalam bahasa Melayu. Tinggi rendahnya tahap kebudayaan sesebuah bangsa bergantung kepada kepustakaan yang diwujudkan dalam bahasa bangsa itu. Apabila kita melihat bangsa-bangsa yang agung, dalam bahasanya terhimpun suatu kepustakaan yang besar.
Dato’ Dr. Hassan Ahmad pula menyatakan dengan sangat berterus-terang:
Masalah besar yang dihadapi oleh dasar untuk mengembangkan bahasa Melayu di negara ini sebagai bahasa pendidikan, bahasa ilmu dan ‘bahasa pembangunan’ atau ‘kemajuan negara’ sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara Malaysia, bukan masalah yang ada kena-mengena dengan bahasa Melayu itu sendiri tetapi masalah yang timbul dan ditimbulkan di luar sistem bahasa itu.
Aminuddin Baki ketika membentangkan satu kertas kerja di dalam Kongres Bahasa Dan Persuratan Melayu Ke-III pada tahun 1956 pula menyebut:
Memang telah menjadi pendapat ‘umum, bahkan keperchayaan ‘umum, bahawa sekolah ada-lah satu alat yang berpengaroh dan berkesan sa-kali dalam usaha perkembangan bahasa Melayu untok menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi yang sa-benar2-nya bagi Persakutuan Tanah Melayu. Harus pendapat dan keperchayaan itu di-asaskan atas kenyataan yang nyata bahawa sekolah berupa suatu tempat membentok semangat, faham, sikap dan keta‘atan bakal ra‘ayat, juga harus di-asaskan atas kemungkinan sekolah menjadi satu kanchah membentok kanak2 berbagai bangsa menjadi satu rupa bangsa dan dengan didekan semangat dan keta‘atan serta dengan tegasan pengajaran yang betul2 maka bahasa Melayu sa-sunggoh-nya boleh menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi yang sa-benar2 bagi Persekutuan Tanah Melayu.
Sebagai penutup, suka untuk saya kongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian Kata Aluan Ketua Kumpulan Prihatin, Dato’ Zainal Abidin bin Abdul Wahid di dalam e-book tersebut. Bacalah dengan mata hati!
Kami daripada Kumpulan Prihatin bersyukur kepada Ilahi kerana membolehkan kami sedar dan insaf terhadap nasib dan masa depan kaum Melayu di Malaysia. Pada kami, kaum Melayu menghadapi masalah besar yang akan meminggirkannya di Tanah Airnya sendiri. Inilah faktor yang mendorong kami berbincang dengan tokoh-tokoh daripada berbagai pertubuhan dan orang-orang perseorangan yang peduli terhadap masa depan kaum Melayu demi keamanan negara Malaysia. Kongres ini adalah salah satu daripada langkah tersebut.
Oleh kerana penduduk negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, maka terdapat beberapa isu sensitif yang memerlukan penerangan dan pemahamannya dari segi sejarah.
Bagi mencapai kemajuan negara Malaysia seluruhnya, kaum Melayu perlu dimajukan dengan saksama. Tetapi ini bukanlah perkara mudah. Umpamanya, dua tahun lalu, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri pada masa itu menyatakan bahawa hanya 25% daripada pelajar Malaysia di seluruh dunia mempelajari ijazah pertama terdiri daripada kaum Melayu. Lalu beliau menyatakan hasrat menambah bilangan pelajar Melayu di institusi pengajian tinggi. Ini adalah hasrat yang wajar.
Pada masa itu pelajar di institusi pengajian tinggi swasta berjumlah lebih daripada 200,000 orang. Hanya 15% (30,000 orang) daripadanya pelajar Melayu. Pelajar di institusi pengajian tinggi awam pula berjumlah 170,000 orang dan 55% (93,500 orang) adalah pelajar Melayu. Ini bermakna hanya 123,500 orang adalah pelajar Melayu daripada 370,000 pelajar di institusi pengajian tinggi. Ini adalah 33.3% sahaja, padahal pada masa ini, nisbah jumlah penduduk Bumiputera adalah 66% berbanding dengan penduduk bukan Bumiputera.
Malangnya hasrat Dato’ Seri Perdana Menteri ditolak oleh Kabinet melalui Datuk Dr. Ling Liong Sik yang mengatakan penambahan pelajar Melayu itu tidak boleh melibatkan institusi pengajian tinggi swasta. Pada hal inilah yang mengakibatkan ketidakseimbangan itu.
Di samping itu ada peristiwa lain yang menunjukkan perkembangan yang tidak sihat. Penubuhan Kolej Era Baru di Kajang dianggap oleh Dong Jia Zong (Gerakan Pendidikan Cina) sebagai menggantikan Universiti Merdeka. Ini bermakna bahasa Cina menjadi bahasa penghantar utama, walaupun Universiti Merdeka telah ditolak oleh mahkamah. Apa yang berlaku sekarang ialah Kolej Era Baru telah menggantikan Universiti Merdeka, pada hal Kolej Tunku Abdul Rahman diwujudkan bagi menggantikan Universiti Merdeka masih juga wujud dan diteruskan.
Seterusnya, MCA meminta supaya Kolej Tunku Abdul Rahman dinaikkan taraf menjadi universiti. Ini dipersetujui oleh Kerajaan Barisan Nasional. Tetapi, di samping itu Kolej Tunku Abdul Rahman masih wujud dan diteruskan.
Tetapi, ingatkah kita, apabila Institut Perguruan Sultan Idris dinaikkan taraf menjadi universiti, IPSI dihapuskan. Juga, apabila ITM dinaikkan taraf menjadi universiti, ITM dihapuskan.
Bagaikan apa yang diberi kepada kaum Cina tidak mencukupi, Kerajaan Negeri Perak menghadiahkan pula 200 hektar tanah untuk Kolej Tunku Abdul Rahman. Kemudian, pemimpin UMNO memberi pula 15% tempat di MRSM kepada pelajar Cina. Baik sungguh hati orang Melayu.
Beralih pula kita kepada isu lain yang sangat menyedihkan. Bahasa penghantar pendidikan Sains dan Matematik ditukar pula ke bahasa Inggeris.
Kami daripada Kumpulan Prihatin merasakan masanya sudah tiba bagi orang Melayu memastikan supaya tindakan ini dikaji semula dengan teliti dan diperbetulkan. Dalam keadaan sekarang, kita memerlukan ketegasan daripada pimpinan, UMNO mahupun PAS. Kita tidak boleh lagi melayan tuntutan demi tuntutan, tuntutan yang akhirnya merosakkan keseimbangan antara kaum. Keseimbangan yang merosakkan kaum Melayu. Kaum Melayu sudah banyak beralah.
Pada tahun 1955, dalam pilihan raya parlimen pertama, 50 daripada 52 kawasan pilihan raya mempunyai majoriti pengundi Melayu. Tetapi UMNO memberi 17 kawasan itu kepada MCA dan MIC, iaitu 750% lebih daripada sewajarnya. Undi Melayulah yang memenangkan mereka.
Sekali lagi pada tahun 1957, satu persefahaman lain dibuat. Dari 31 Ogos 1957 hingga 31 Ogos 1958, kaum bukan Melayu yang mempunyai kelayakan pemastautinan dan lain-lain, tetapi tidak mengetahui bahasa kebangsaan, iaitu bahasa Melayu dibolehkan mendapatkan hak kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam masa satu tahun, lebih daripada 800,000 orang bukan Melayu menjadi warganegara. Ini adalah satu kelonggaran yang luar biasa.
Kerajaan Perikatan juga menyediakan pendidikan aliran Cina dari darjah satu hingga enam dengan membelanjakan kewangan negara. Pada hal negara lain seperti kita tidak melakukannya.
Banyak peristiwa begini dalam sejarah kita. Kita perlu tahu sejarah kita. Juga kaum bukan Melayu perlu tahu. Pemimpin Melayu perlu menerangkan peristiwa penting ini kepada pemimpin bukan Melayu. Mereka seterusnya boleh menerangkannya kepada kaum masing-masing, supaya mereka bersetuju dengan dasar-dasar yang digubal sekarang. Dasar seperti Dasar Ekonomi Baru adalah digubal bagi mencari keamanan. Banyak matlamatnya yang dicapai, tetapi masih banyak lagi yang perlu dijayakan.
Dalam hal kepentingan Melayu, UMNO dan PAS perlu bekerjasama. Kepentingan Melayu adalah lebih penting daripada kepentingan parti, terutama dalam bidang pendidikan, bahasa dan ekonomi.
Kita perlu bersepakat. Badan-badan bukan kerajaan Melayu (BBK) perlu membuat kajian tentang isu-isu penting, terutama yang berkaitan dengan pendidikan. Kita tidak mahu peristiwa 13 Mei 1969 berulang.
Pemimpin-pemimpin Melayu perlu tahu di mana garis pemisah antara tuntutan yang wajar dengan yang melampau. Sebagai contoh, nisbah agihan kemasukan pelajar ke IPTA yang sudah lama digunakan ialah 55% Bumiputera dan 45% bukan Bumiputera. Ini adalah menurut nisbah komposisi penduduk Malaysia. Tetapi, menurut bancian tahun 2000, jumlah kaum Bumiputera meningkat menjadi 66% dan bukan Bumiputera menurun menjadi 34%. Oleh sebab itu, nisbah kemasukan ke IPTA juga perlu diselaraskan menurut nisbah penduduk sekarang.
Kita bukan mengungkit
Kita bukan ada perkauman
Kita telah banyak berkorban
Demi perpaduan
Demi kemajuan.
Ambillah teladan
Dari negara-negara jiran
Berterima kasih dan
Ucapkan kesyukuran
Agar dapat kita sama-sama
Menikmati kemajuan
Serta keamanan.
Bahasa Melayu pun sudah menjadi Bahasa Malaysia.. Apa pula seterusnya?
‘Ala kulli hal, saya tetap percaya.. Dengan IMAN, takkan hilang Melayu di dunia!
Wallahu a’la wa a’lam.
Salam Bro Muktar,
Sudah lama saya tidak membaca isu sebegini dan cuba saya elakkan. Ini disebabkan saya mudah merasa marah dengan perkara yang terjadi dengan bangsa kita ini.
Saya mohon maaf Bro Mukhtar,
“Jangan Biar Melayu Menangis Lagi”.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh;
Bro. Muqay;
Terima kasih atas maklumbalas anda. Sebahagian tujuan artikel ini juga adalah agar “Jangan Melayu Menangis Lagi” dan agar “Masa Depan Menjanjikan Lebih Sinar Cemerlang Buat Melayu!”
Komentar tetamu ziarah sekalian dan cadangan penambaikan tentang perkara ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan setingi-tinggi terima kasih.
Wallahu a’lam bissawab.
Syeikh,
Saya juga benar2 tidak setuju atas PPSMI. Semasa awal perlaksanaannya, saya cuba membayangkan saya berada di tempat adik2 saya itu. Sukar saya bayangkan betapa sukarnya jika saya berada di tempat mereka.
Saya tinggal dan dibesarkan di bandar. Bukan di kampung atau pendalaman. Tetapi masih saya sukar menguasai BI. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana anak2 di kampung dan pendalaman maju dalam Sains dan Math jika bahasa menjadi penghalang.
Setelah masuk tahun 1 di UKM, nota2 hampir semuanya dalam BI. Saya seolah tidak dapat menerima kenyataan. Pernah satu ketika di awal pengajian saya itu, saya translate semua nota2 ke BM. Bukan saya seorang, tetapi juga beberapa rakan saya. Alhamdulillah, kekurangan itu dapat saya atasi sedikit demi sedikit dengan peredaran masa. Suasana ketika itu dan persekitaran mungkin membantu (mungkin juga memaksa saya). Itu nasib saya.
Lain nasib adik2 saya, mereka tidak diberi peluang sejak di awal usia. Saya mungkin bersetuju jika ada yang mengatakan perubahan polisi dan corak pendidikan ini akan ‘membangunkan’ mereka dalam penguasaaan BI. Itu konteks atau view point yang kecil. Tetapi jika dilihat dari aspek yang lebih luas atau melihat dari helicopter view, ia lebih membawa mudarat dari manfaat.
PPSMI lebih mencorotlkan akademik Melayu dan Bumiputera. Itu realiti yang telah berlaku. Bukan andaian atau anggapan mana2 pihak.
Bagi saya, mereka yang bertanggungjawab mestilah mencari punca sebenarnya……punca penyakit berlaku dan rawatilah penyakit itu. Bukan hanya merawat simptom. Sepatutnya kurangkan makan makanan manis, bukan hanya pandai cucuk insulin sahaja.
Jangan salahkan bahasa Melayu kerana ketinggalan Melayu. Saya masih mencari jawapan.
Syeikh,
Terima kasih atas “Mengapa kami bantah”. Saya belum membacanya lagi, cuba sempat membeleknya tadi. Penuh luahan dan harapan. InsyaAllah, akan saya telaah selepas ini.
Sukar juga perjalanan kita, penuh cabaran dan dugaan. Alhamdulillah, Allah menjadikan kita orang yang prihatin. Prihatin kepada agama dan bangsa. Tidak hanya dalam kepompong sendiri yang senang dalam ‘zon selesa’ yang melekakan.
Bersama kita meneruskan kekuatan dan perjalanan ini.
Salam….
Kita ambil yang positif… mungkin sudah tiba masanya untuk menerima pembaharuan dan perubahan….
Pahit macam mana pun kena tempoh…. kalau tidak kita sendiri yang akan ‘tertinggal’…
Sekadar pandangan…
Pada mulanya mungkin ia satu ‘beban’… tapi percayalah lama-kelamaan kita pasti berterima kasih dengan perubahan ini…
Cemburu rasanya tengok adik bongsu saya darjah 4….sering membaca buku komik n buku cerita dalam bahasa Inggeris sambil tergelak-gelak…..dan….cuba ‘translet’ isi cerita tu dalam bahasa Melayu pada anak buah saya yang belum sekolah…..
Saya sendiri mula ok sikit penguasaan bahasa Inggeris masa sekolah menengah…masa sekolah rendah memang ‘blur’….
PPSMI…
Policy = OK
Preparation = KO
Implementation = KO!
assalamualaikum,
LOL ! tergelak besar saya baca entri ini. mungkin sebabnya ialah ‘the because is’.
approach begini amat sesuai dengan rakan-rakan seni saya yang belum melihat dengan mata hati. mereka takut dengan perkataan wajib. kena pujuk sikit-sikit.
apa pendapat syeikh?
Assalamualaikum Warohmatullahi Wabarokatuh,
Itu tentang bahasa tapi bagaimana pula tentang tulisan jawi yang kini semakin beransur hilang di dalam warisan dan sistem pendidikan kita…
Assalamualaikum wbt
Saya kira akh muhtar suhaili telah mengupas dengan baik isu ini… cumanya untuk difikir-fikir oleh teman-teman semua, saya merasa sedikit kecewa dengan rata-rata masyarakat melayu di negara kita khususnya yang beragama islam yang runsing jika anak-anak mereka kurang pandai berbahasa inggeris, tetapi tidak pula bimbangkan anak-anak mereka tidak pandai membaca al-quran… barangkali akh muhtar suhaili boleh mengupas dalam entry yang lain insyaAllah…
Ya Akh..semasa konvensyen MPP tu, kita sama2 membahasnya di Genting , di Esset Bangi pun masih ada rasanya kan..sejak 2001 rasanya, isu PPSMI ini diutarakan oleh pimpinan mahasiswa, kerana sayangkan generasi adik-adik kita. Kita cuma lontarkan pandangan dan ‘suara’ kita sebagai mewakili kaum muda Malaysia!
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Dr. Firdaus dan Akhi Nizam;
Terima kasih atas komentar. Apa yang dicatatkan hanyalah pandangan seorang marhaen, semoga mendapat tempat di hati ‘orang di hadapan’ dan ‘orang berfikiran’. Doing right is a might!
Kak Tum;
Alhamdulillah, tidak dinafikan terdapat sisi positifnya. Saya bersetuju dengan pelaksanaan dan strategi terancang, sistem ini ada kebaikannya. Namun dalam masa yang sama kepustakaan Melayu perlu terus dianjakkan dan dipersada.
Kak Acciaccatura;
Pendekatan berhikmah.. Biar kita semua sedia berubah dan celik mata hati. This is the because.. 🙂
Ukhti Aida dan Akhi Muhammad;
Apa yang diputuskan semalam memberi kesan kepada hari ini. Apa yang diputuskan hari ini akan memberi kesan kepada hari esok dan masa depan. Semoga yang punya kuasa sentiasa diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT dalam melaksanakan dasar yang baik serta tidak mengundang sesal, dan dalam masa yang sama memastikan segala keputusan yang dibuat menguntungkan agama dan bangsa pada masa akan datang.
Wallahu a’lam. Siiru ‘ala barakatillah!
assalamualaikum…
saya gembira saudara menyuarakan ttg keluhan kebanyakan pelajar dan guru akan penggunaan english utk both science dan math…tindakan menukar ke english mmglah bagus ttp perlulah dilakukan secara berperingkat dan bukannya sekali gus begini..yg ruginya anak bangsa juga..mcmanapun terdetik jugak dalam hati bilakah kita boleh menjadi spt negara maju spt di Jepun, France dan sebagainya yg maju tanpa bahasa inggeris?..pernah suatu ketika saya dapati mereka ini lebih suka menjawab pertanyaan dalam b.melayu dari b.inggeris biarpun mereka tidak faham..
Assalamualaikum,
Terima kasih kpd akhi Muhtar kerana mengutarakan isu ini yang hampir tenggelam dalam masyarakat kita hatta tokoh-tokoh akademik dan bahasa pun mungkin sudah lenguh untuk bersuara.
Kadang-kadang saya merasa kecewa, ke mana perginya pejuang-pejuang bahasa Melayu termasuk golongan cendekiawan? Kalau sebelum tahun 90-an pejuang bahasa dan tokoh akademik berperanan dalam memartabatkan bahasa Melayu sehingga bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu. Apakah hari ini tokoh-tokoh akademik hanya sekadar berkokok dalam bilik-bilik kuliah dan berlumba-lumba mendapat tempat yang selesa. Maaf , kalau sengaja berkasar sedikit… Namun inilah yang terjadi hari ini, golongan ilmuan dalam pelbagai bidang lebih suka mengikut pandangan arus perdana dari memperkatakan sesuatu yang benar dan menepati suara rasa kebanyakan rakyat.
Dalam hal PPSMI, sebenarnya tidak banyak tokoh bahasa Melayu yang bersetuju secara total perubahan ini. Rata-rata tokoh-tokoh yang dekat dengan masyarakat dan melihat persekitaran mereka dari kehidupan rakyat Melayu dan Bumiputera secara langsung, bukannya dari bilik berhawa dingin dan golongan elit (yang sudah tahu bahasa Inggeris dari usia remaja) pasti mahu mengekalkan sistem dahulu yang mampu melahirkan cendekiawan Melayu yang tidak kurang hebat.
Mengambil contoh yang lama, cuba kita lihat negara-negara yang maju dan mampu bersaiang dengan dunia hari ini seperti Jepun, Korea, Thailand dan lain-lain mereka tidak pernah mengorbankan bahasa sendiri. Mereka tetap maju dalam pembangunan dan mampu mempunyai teknologi yang canggih.
Apabila kita menggunakan bahasa lain sebagai bahasa ilmu dan diajar di institusi pendidikan dengan sendiri kita merendahkan bahasa sendiri. Bagi para penyokong PPSMI pasti akan bertegas kita tidak pernah berniat untuk itu dan ini,…. Namun hakikatnya kita telah menganggap bahasa kita tidak boleh menjadi bahasa ilmu.
Lihatlah iklan-iklan, papan tanda di sekitar kita termasuk di Sarawak.. Berapa banyak yang menggunakan bahasa Inggeris. Pergilah ke pajabat TELEKOM Msia… ke bank-bank hampir semuanya dalam BI. Di mana kedudukan Bahasa Malaysia (terkini, bukan lagi Melayu)???? Kalau adapun tertulis, kecil sahaja. Lihatlah papan tanda syarikat2, kadang-kadang BM dilupakan terus. Tidak salah kalau saya nyatakan ini kesan dari sistem pendidikan sama ada di sekolah mahupun di IPTA/ IPTS.
Maka tidak salah juga kalau dikatakan.. Bangsa Melayulah yang melemahkan bahasa sendiri, bukan bangsa lain.
Kembali kepada persoalan tadi, saya melihat apa yang disuarakan oleh pihak-pihak yang dingin dengan dasar ini ada kesahihannya. Saya pernah bertanya pelajar-pelajar Tingkatan Tiga yang gagal berkali-kali dalam Matematik dan Sains, apakah faktor mereka gagal, antara puncanya mereka gagal untuk memahami kehendak soalan. Jadi kita telah membebankan mereka; pertama mereka/ pelajar tidak menguasai mata pelajaran tersebut ditambah pula mereka tidak memahami soalan. Bagi pelajar yang terdedah dengan keluarga berpendidikan dan ibubapa mereka menguasai BI mungkin boleh membantu tetapi bagi ibubapa yang terdiri dari petani, nelayan, buruh, peneroka dan masih ramai yang terdiri dari Melayu/ Bumiputera yang kediaman mereka jauh nun di pedalaman bahkan bekalan letrik dan air belum sempurna, bagaimana? Fikir-fikirkan bersama…
Ukhti Sumaiyyah dan Najibah;
Terima kasih atas perkongsian maklumat, amat dihargai.
Siiru ‘ala barakatillah! Wallahu a’lam.
Saya nak campur tangan sikit…Saya kira kita perlu menguasai BI di dalam dunia yang semakin mencabar ini.Kita berlainan dengan Jepun,Korea,France dll kerana mereka,memiliki teknologi, pencipta teknologi,kita tidak begitu,kita hanya mengharap teknologi dari luar,so perlukan BI untuk tarik lebih pelabur.Tetapi dalam masa sama kita perlu kembangkan BM sebagai bahasa sains dan teknologi,so kena guna kedua2 bahasa.Saya ada article berkaitan …kongsiii:
“Isu pengajaran mat&sains dlm bahasa Inggeris timbul semula.Kali ini isu ini ditimbulkan oleh perwakilan UMNO.Ramai dikalangan mereka mahukan kerajaan mengkaji balik dasar pengajaran mat&sains dlm bahasa Inggeris.Mereka minta agar subjek tersebut diajar dalam Bahasa Melayu semula.Saya rasa tindakan mereka ini ada wajarannya.Memandangkan Bahasa Melayu menjadi agak terpinggir kerana penggunaannya semakin susut,maka dasar pengajaran mat&sains dalam bahasa Inggeris perlu dikaji semula.Tetapi kalau difikirkan tujuan asal daripada dasar itu adalah untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di Kalangan pelajar bumiputera,tentu tindakan kerajaan ada rasionalnya.Sesetengah pelajar di pusat pengajian tinggi mengeluh kerana kurang rujukan dlm Bahasa Melayu sedangkan mereka kurang menguasai bahasa inggeris.Pakar BM kita masih belum mampu untuk terjemahkan buku rujukan secukupnya ke dalam BM.Tambahan pula dunia kerjaya sekarang juga memerlukan pekerja yang boleh menguasai BI.Oleh itu nampaknya kita berada dalam dilemma antara hasrat nak jadikan BM sebagai bahasa ilmiah&saintifik dengan keperluan kita kepada BI.Kenyataan TPM bahawa kerajaan mungkin akan menggunakan BM dalam pengajaran mat&sains di sekolah rendah dan gunakan BI di Sekolah menengah dan seterusnya seperti di negara Brunei adalah tidak konstruktif.Hal ini kerana pembelajaran sesuatu bahasa adalah lebih baik dimulakan seawal mungkin,kerana pada ketika itu pelajar lebih mudah menguasai bahasa.
Saya fikir jalan keluar kepada masalah ini ialah kita kekalkan pengajaran mat&sains dalam BI tetapi buku teks dan rujukan diadakan secara dwi bahasa,ditulis dalam BI dan BM secara bersebelahan.Pengajaran dilakukan dalam BI,ulangkaji dijalankan dalam BM.Dalam peperiksaan pelajar dibenarkan memilih untuk menjawab dalam BI atau BM. Di Universiti sesetengah subjek diajar dalam BI dan sesetengah lagi diajar dalam BM. Saya rasa dengan cara ini kita dapat dedahkan pelajar dengan BI dan pada masa yang sama kekalkan BM sebagai bahasa sains&teknologi.Bagaimana mungkin kita nak jadikan BM sebagai bahasa saintifik sekiranya kita sisihkan secara total BM daripada pengajaran subjek sains&teknologi.Sekiranya kita sisihkan BM dari subjek sains &teknologi secara berterusan maka kita akan kerugian untuk jangka panjang.Kita akan dapati kesukaran jadikan BM sebagai bahasa berwibawa pada masa akan datang.Di samping indentiti kita terjejas kerana penggunaan bahasa melayu secara lemah.Sebelum perkara ini menjadi lebih buruk ada baiknya kita buat sedikit penyesuaian dengan meletakkan BM juga sebagai bahasa buku teks,buku rujukan dan peperiksaan.”
1. Tidak ada siapapun yang menafikan kepentingan bahasa Inggeris dalam ekonomi, teknologi bahkan komunikasi harian dan komunikasi dakwah, tetapi bukanlah dengan mengorbankan bahasa Melayu dan menjadikan BI sebagai bahasa untuk pembelajaran Matematik dan sains.Namun kita mungkin mengubah caranya dengan memperkasa dan memudahkan pembelajaran BI sendiri dari aspek P&P nya.
2. Saya juga berpandangan perlunya orang-orang penting dalam sesebuah jabatan kerajaan diberi kursus singkat berkaitan penggunaan tatabahasa yang betul.Kadang-kadang kita rasa keliru ,apabila pak menteri , ahli -ahli parlimen dan orang-orang penting dalam masyarakat kerap menggunakan BM yang salah dalam sidang akhbar dan ucapan-ucapan mereka .Sebagai contoh; penggunaan “para-para”, “mereka-mereka”dan sebagainya , sedangkan ” kepimpinan melalui teladan”.
Kalau kakitangan awam disediakan ujian PTK dan kursus-kursus berhubung dengan etika & protokol ,apa salahnya ahli-ahli parlimen juga ada “bahagiannya” bagi menyahut kempen “BUDI BAHASA BUDAYA KITA”.
salam…
bahasa jiwa bangsa…bahasa jambatan ilmu…
saya terasa muak dengan keadaan kita yang terlalu mengagungkan bahasa orang putih…terasa malu nak cakap bahasa sendiri di bumi sendiri…dalam majlis-majlis rasmi yang ada majoriti orang melayu pun nak cakap orang putih…
belajar untuk mencari ilmu berbeza dengan belajar untuk mencari glamor…mungkin ada yang tak suka dengan pendapat saya…mungkin ada yang kata saya terlalu emosi…
tetapi jika direnungkan itulah hakikatnya…ada yang rasa high class bila berbicara dalam bahasa orang putih…
kita perlu yakin dengan bahasa kita tetapi kita tidak meminggirkan bahasa orang putih dan bahasa pengantar yang lain atas dasar bahasa itu jambatan ilmu bukan bahasa untuk glamor sahaja…
biarlah anak2 Islam kita belajar dengan tenang…
Salam akh Muhtar,
Setuju sangat dengan pandangan akh tu, kesian tengok adik-adik yang terkial-kial belajar sains & maths dalam BI. Pernah tengok soalan exam diaorg, soalan paling senang pun ada yang tak dapat jawab. Diaorang tak berapa faham soalan in english, tu soalan yang senang.. kalau yang lebih rumit lebih-lebih lagi la. Memang la ada positifnya jugak sebab apa2 sekalipun perkara dalam dunia ni, ada baik dan buruknya, tapi kajian yang lebih terperinci dan mengambil kira dari segenap dan pelbagai sudut dan pertimbangan yang baik itulah yang perlu dilakukan sebelum melaksanakan sesuatu perkara.
Lagi satu, isu orang melayu terlalu baik hati ni.. emakin lama semakin menjadi-jadi nampaknya. Lepas satu, satu lagi yang timbul dan begitulah seterusnya..
Wahai orang-orang yang mengakui bahawa mereka MELAYU, marilah kita bersama-sama bersatu & berusaha memartabatkan kembali bangsa kita.
“Kalau bukan kita, siapa lagi.. dan kalau bukan hari ini.. bila lagi..”
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh;
Sdr Sufi, Najibah, Nurul81 dan Nur Amni Shahirah;
Terima kasih di atas input-input dan pandangan kalian – bernas dan bermaklumat. Jazakallahu khairan kathira.
melayu oh melayu!!!
Syabas kerana isi kandungan artikel yang dipersembahkan ini bernas dan membawa impak yang mendalam kepada pembaca.
Hai… Apa khabar…
Saya Gareth dari SMK Riam.. Masih ingat?
Sdr Yonex Lee;
Terima kasih. Semoga diambil perhatian oleh mereka yang punya kuasa.
Sdr Gareth;
Baik, terima kasih. Pastinya masih ingat. Selamat maju jaya. 🙂
Dalam zaman “Renerssanse” di Eropah orang Inggeris dah cuba belajar Sains dan Matematik dalam bahasa asing (bahasa Rom Yunani dan bahasa Arab) tapi tak mampu. Beberapa tahun mereka terkial-kial cuba mempelajari isi kandungan buku dalam bahasa Rom Yunani dan bahasa Arab tetapi mereka tidak terdaya untuk mempelajari isi kandungannya. Bukan orang Inggeris sahaja malah seluruh bangsa Eropah termasuklah bangsa Perancis, Jerman, Itali dan lain-lain juga cuba mempelajari kandungan Ilmu dalam bahasa Yunani dan bahasa Arab tetapi tetap sia-sia.
Apabila Negara Rom Yunani “Byzantine” dan kota “Kontantinopel” ditawan oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Sultan Muhammad berlakulah perpindahan besar-besaran orang-orang bijak pandai Rom Yunani yang telah kehilangan Negara ini ke Negara jirannya iaitu Itali dan Jerman. Di Negeri baru ini mereka terpaksa mempelajari bahasa baru iaitu bahasa Ibunda negara berkenaan. Di tempat baru ini orang-orang bijak pandai Rom Yunani ini menjadi “guru” dan mengajarkan orang Itali dan Jerman tentang Ilmu Sains dalam bahasa Ibunda Itali dan Jerman. Dengan begitu cepatnya Itali dan Jerman berkembang maju dan membangun dengan pesatnya berkat belajar Ilmu Sains dalam bahasa Ibunda. Orang-orang Itali dan Jerman dapat menguasai Ilmu pengetahuan baru ini dengan begitu pantas.
Melihat perkembangan luarbiasa ini hasil belajar Sains dalam bahasa Ibunda orang-orang kaya Inggeris telah berpakat mengumpul dana yang besar dan menubuhkan pusat pelajaran. Mereka membeli dan mengupah orang-orang bijak pandai Yunani Rom. Mereka berhijrah ke Inggeris dan belajar bahasa Ibunda B Inggeris, untuk mengajar dalam bahasa Ibundanya (Bahasa Inggeris). Segala buku-buku diterjemahkan semula kedalam Bahasa Inggeris dan diajarkan kepada anak bangsa mereka dalam Bahasa Ibunda mereka iaitu bahasa Inggeris. Mereka menggunakan bahasa Inggeris keraba mereka adalah bangsa Inggeris. Lucunya orang melayu mahu anak cucu mereka belajar sains dalam bahasa Inggeris. Begitulah terbuktinya betapa bodohnya pemimpin Melayu.
Pusat pendidikan mereka berjaya mengumpul dana sehingga berbillion dolar dan masih aktif menterjemah segala bahan dan sumber Ilmu dari semua bangsa dari seluruh pelosok dunia kedalam bahasa Ibunda mereka iaitu Bahasa Inggeris. Hasilnya mereka orang-orang Inggeris ini berjaya menjadikan bahasa Ibunda mereka Bahasa Inggeris sebagai bahasa Ilmu didunia ini. Pusat pendidikan mereka ini menjadi sangat terkenal di seluruh dunia. Antaranya ialah “Universiti Oxford” dan “Universiti Cambridge”.
Orang Inggeris dah cuba belajar Sains dalam bahasa asing (bahasa Yunani) tetapi tidak berjaya. Mereka telah menunjukkan cara untuk berjaya dan maju hanyalah mempelajari Ilmu Sains dalam bahasa Ibunda mereka sendiri. Lucunya orang melayu dengan pemimpin bodoh mahu maju dengan menyuruh anak bangsa mereka belajar Sains dalam bahasa asing iaitu bahasa Inggeris. Cubalah bayangkan apa agaknya kata orang Inggeris ini bila melihat kebodohan orang Melayu. Tentulah mereka akan ketawa besar dan mengatakan memang sahlah orang melayu ini memang bodoh.
Sains Dan Matematik Dalam BM Dan Bahasa Ibunda 2012
PUTRAJAYA, 8 Julai (Bernama) — Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.
Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan.
“Strategi ini dirangka berdasarkan hasil kajian dan pemantauan yang telah dilakukan oleh Kementerian Pelajaran mengenai pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak dasar ini mula dilaksanakan pada 2003,” katanya ketika mengumumkan perkata itu di Kementerian Pelajaran di sini, hari ini.
PPSMI diperkenalkan pada 2003 dan kumpulan pertama murid-murid yang mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sejak Tahun Satu ialah mereka yang menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lepas.
Muhyiddin berkata pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran dua mata pelajaran itu dalam Bahasa Malaysia dan bahasa ibunda akan diadakan secara bertahap di Tahun Satu dan Tahun Empat di sekolah rendah dan Tingkatan Satu dan Tingkat Empat di sekolah menengah yang bermula 2012.
Bagaimanapun, katanya, perubahan itu tidak melibatkan Tingkatan Enam dan matrikulasi.
Beliau berkata untuk memastikan pelaksanaan strategi baru itu tidak menjejaskan pencapaian murid yang sedang mengikuti PPSMI, pengajaran dan peperiksaan untuk kedua-dua mata pelajaran itu akan dibuat dalam dwi-bahasa sehingga kohort terakhir PPSMI tamat pada 2014.
Beliau berkata kerajaan mengambil keputusan itu setelah meneliti secara terperinci hasil kajian dan pemantauan mengenai PPSMI yang menunjukkan bahawa PPSMI tidak dapat dilaksanakan seperti mana yang dihasratkan.
“Apa yang dilaksanakan ialah PPSMI/BM iaitu guru-guru mengajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam dwi-bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia,” katanya.
Muhyiddin berkata pemantauan kementerian pada tahun lalu mendapati hanya sebahagian kecil guru menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pengajaran Sains dan Matematik.
“Secara purata, peratusan penggunaan bahasa Inggeris adalah antara 53-58 peratus daripada keseluruhan masa yang diperuntukkan bagi mata pelajaran Sains dan Matematik,” katanya.
Selain itu, katanya, hanya sebahagian guru Matematik dan Sains di sekolah menengah dan rendah yang mengambil ujian Penilaian Tahap Profisiensi bahasa Inggeris pada tahun lalu mencapai tahap profisiensi.
Katanya peratusan murid yang mendapat gred A, B dan C bagi mata pelajaran Sains dalam UPSR tahun lalu telah merosot daripada 85.1 peratus kepada 82.5 peratus bagi sekolah bandar dan daripada 83.2 peratus kepada 79.7 peratus bagi sekolah luar bandar.
“Bagi mata pelajaran Matematik, pencapaian murid bandar telah merosot daripada 84.8 peratus kepada 80.9 peratus manakala pencapaian murid luar bandar merosot daripada 80.9 peratus kepada 77 peratus,” katanya.
Beliau berkata jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar dalam mata pelajaran Sains dan Matematik semakin melebar semasa PPSMI dilaksanakan.
Muhyiddin berkata laporan “Trends in Mathematics and Science Study 2007” turut menyatakan kedudukan murid Malaysia dalam mata pelajaran Sains telah merosot daripada tangga ke-20 pada tahun 2003 ke tangga ke-21 pada tahun 2007.
“Bagi mata pelajaran Matematik pula, kedudukan murid kita telah merosot daripada tangga ke-10 pada tahun 2003 ke tangga ke-20 pada tahun 2007,” katanya.
Beliau berkata kajian universiti-universiti tempatan pula mendapati tahap peningkatan penguasaan bahasa Inggeris murid adalah nominal iaitu tidak lebih tiga peratus sepanjang pelaksanaan PPSMI.
“Tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan murid terutamanya di luar bandar masih rendah menyebabkan mereka sukar untuk memahami pengajaran Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Katanya berdasarkan pengamatan ini, kerajaan yakin bahawa Sains dan Matematik perlu diajar dalam bahasa yang mudah difahami oleh murid iaitu Bahasa Malaysia di sekolah kebangsaan, bahasa Cina di SJK(C) dan bahasa Tamil di SJK(T).
— BERNAMA
Salam akhi Mukhtar,
It’s timely to bring up this issue. And frankly I do not agree with the implementation of PPSMI, though there are some good implication. It’s good that it will be abolished, albeit the fact it will take 3 yrs to commence the abolishment. Alhamdulillah ex-IIUM are given to chance to master the language. But still, it’s not our first language, there are still difficulty to deliver ideas in English. A dilemma, indeed it is!
Assalamualaikum,
Sdr Muhtar,
Terima kasih sdr atas ceramah kerjaya, semoga dapat di maanfaat oleh para pelajar di SMK Luar Bandar.
Lama sik ketemu muka, ingin rasa hati dapat duduk sekejap kita berbincang dan berkongsi idea dalam beberapa isu tetapi sejak kebelakang tok kamek agak sibuk dengan tugas jabatan dan mikir permasalahan rakyat bersama-sama yang berhormat kawasan Sibuti. (oh blom beruban gik rambut.. hihi)
Sebuah entri yang bagus daripada saudara. Bersetuju dengan
Policy = OK
Preparation = KO
Implementation = KO
Tidak banyak yang ingin kamek ulaskan daripada entri ini dan saya bersetuju jika isu ini diulas keluar dari lingkungan politik yang ketika ini memang terlalu emosi.
Kamek mahu berkongsi satu isu dan info yang agak panas di parlimen beberapa minggu lepas, yang mungkin boleh di bincang.
35 penerima biasiswa di bahagian Miri, 14 penerima adalah Bumiputera (dengan pecahan 9 Islam dan 5 Bukan Islam)
5 penerima menolak tawaran atas sebab mendapat tawaran lebih baik dari Shell dan Petronas (pecahan 3 Cina 2 Melayu)
Daripada 35 penerima TIADA SATU pun pelajar dari kawasan Luar Bandar. (4 dari SMK Marudi tetapi saya sik kategorikan penerima kawasan luar bandar sebab sidak tinggal di kawasan Pekan Marudi, mempunyai akses internet di rumah, pergi ke tuition dan kedudukan ekonomi keluarga kukuh- semua pernah berkunjung ke Kuala Lumpur berjalan-jalan).
Dari segi kedudukan ekonomi pula 9 orang pelajar Bumiputera Islam mempunyai ibu bapa dari golongan kelas menengah profesional dan sumber ekonomi yang kukuh.
Persoalan yang kamek fikirkan adakah wujud peluang kepada pelajar luar bandar untuk mendapat tempat dalam program biasiswa JPA dan bolehkah pelajar luar bandar diberi handicap bagi melayakkan mereka mendapat biasiswa or kita bersetuju dengan persaingan terbuka?
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Saudara Lukanisman menyatakan: “Persoalan yang kamek fikirkan adakah wujud peluang kepada pelajar luar bandar untuk mendapat tempat dalam program biasiswa JPA dan bolehkah pelajar luar bandar diberi handicap bagi melayakkan mereka mendapat biasiswa or kita bersetuju dengan persaingan terbuka?”
As-Sarawaki: Keadilan ialah meletakkan sesuatu sesuai pada tempatnya. Untuk mewujudkan Biasiswa Nasional berdasarkan merit, “padang yang sama rata” atau “level field” perlu menjadi syaratnya. Selagi perbezaan “padang tempat bermain” antara pelajar luar bandar dan bandar masih ketara, maka natijah besar dari pelaksanaan dasar Biasiswa Nasional yang baru diperkenalkan akan menjadikan jurang ini kian melebar!
Seperti tertera di dalam artikel di atas:
Kita bukan mengungkit
Kita bukan ada perkauman
Kita telah banyak berkorban
Demi perpaduan
Demi kemajuan.
Wallahu a’lam bissawab.