“The Reality: Palestinian Loss of Land 1946 to 2000!”
As-Sarawaki 7 Mac 2008: Alhamdulillah wa astaghfirullah! Dalam kehangatan bahang pilihanraya di Malaysia (meskipun suasana pilihanraya di seantero Sarawak tidaklah sehangat mana), jangan sampai kita lupa tentang satu isu besar umat Islam. Isu Palestin! Ya, isu Al-Quds! Sesungguhnya sejarah dan derita Bumi Palestin merupakan salah satu daripada isu ummah yang sewajarnya sentiasa dekat di hati seluruh Muslimin sedunia. Suasana kian meruncing di sana khususnya di Gaza seharusnya membuat kita bangkit sedar dan bingkas bangun dengan ikhlas untuk membantu dengan apa jua kapasiti yang kita ada dan termampu. Sebagai bacaan lanjutan, sila baca juga entri-entri saya sebelum ini: Palestin Bermandi Darah, Kita Hanya Berpura-pura Marah! dan Zionis Semakin Mengganas, Umat Semakin Lemas!.
Nota: SMS yang baru saya terima (15 Mac 2008, 2.35 petang) dari sahabat penggerak Aman Palestin, Dr. Zainurrashid Zainuddin yang kini berada di Timur Tengah: “Ana di atas gunung, sempadan Jordan-Palestin-Syria. Jelas Yarmuk, Tasik Galilee, Golan dan Perkampungan Yahudi. Saudara-saudara kita di Palestin seru tingkat sumbangan kewangan!”.
Firman Allah SWT di dalam Surah al-Hujurat, ayat 10:
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.
Melalui entri ini, suka untuk saya kongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian wawancara di antara wartawan Utusan Malaysia, Mohd. Radzi Mohd. Zin bersama Pengarah Pusat Kecemerlangan Palestin (PACE), Prof. Madya Dr. Hafidzi Mohd. Noor yang membincangkan isu penting dan genting ini. Semoga ada manfaat dan khairnya. Mudah-mudahan wawancara ini akan membangkitkan semangat berjuang serta meningkat dan mengobarkan enthusiasme rasa berkorban kita! Amiin Ya Rabb!
Apakah keadaan terkini umat Islam di Palestin?
DR. HAFIDZI: Sebenarnya situasi di Gaza tidak banyak berubah dalam tempoh satu dua bulan ini. Malah, ia semakin gawat sebenarnya.
Cuma kalau kita mahu gambaran sebenar kita tidak boleh bergantung kepada media antarabangsa Barat. Sebabnya mereka lebih diselubungi isu lain terutama pemilihan Presiden Amerika Syarikat (AS). Di Malaysia pula, kita juga lebih tertumpu kepada kempen Pilihan Raya Umum ke-12.
Saya ada mendapat maklumat terkini daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Azzaituna Institute yang beribu pejabat di Beirut. Pertubuhan ini menangani isu Palestin dan juga nasib pelarian.
Daripada mereka gambaran di Palestin adalah seperti berikut:
Tiada lagi transaksi masuk atau keluar bekalan makanan, kecuali yang sangat asas dan itu pun sangat minimum dan sebahagian besarnya adalah melalui agensi Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB). Sebagai gambaran, suri rumah di Semenanjung Gaza hanya membelanjakan 10 peratus daripada perbelanjaan mereka sebelum ini. Contohnya, kalau sebelum ini suri rumah membelanjakan RM100 seminggu, kini mereka hanya belanja RM10 seminggu.
Israel juga menyekat bekalan klorin yang mana sebelum ini sudah pun berhadapan dengan krisis air. Klorin ini digunakan untuk merawat air minuman kerana ia membunuh bakteria. Apabila Israel sebelum ini menyekat bekalan minyak, telaga-telaga air di Palestin sudah tidak boleh digunakan kerana telaga ini menggunakan pam yang memerlukan tenaga elektrik untuk berfungsi. Dilaporkan kira-kira satu pertiga (1/3) daripada pam tidak berfungsi bermakna 1/3 daripada penduduk Palestin tidak dapat bekalan air bersih.
Dari segi kesihatan, setakat Januari lalu 75 pesakit mati akibat peralatan hospital tidak berfungsi. Alat-alat seperti bantuan pernafasan, mesin hemodialisis dan inkubator semuanya tidak berfungsi kerana ketiadaan bekalan elektrik.
Penduduk Gaza juga berhadapan dengan serangan roket Israel setiap hari. Disebabkan peralatan hospital banyak yang tidak berfungsi, sudah tentulah mereka yang cedera tidak akan dapat rawatan yang sewajarnya.
Bilangan pengangguran di Palestin kini mencecah 50 peratus setakat Januari lalu. Sebabnya kilang-kilang perusahaan tidak dapat beroperasi. Apabila tidak bekerja, maka sudah tentu tidak dapat menyediakan keperluan asas keluarga.
Situasi ini diburukkan lagi apabila pada 20 Januari lalu, Israel menyekat bekalan minyak. Natijahnya, hampir seluruh Gaza bergelap. Stesen janakuasa sedia ada hanya mampu bekalkan elektrik ke 1/3 kawasan Gaza. Selebihnya dibekalkan oleh Israel sebelum ini.
Melihatkan kepada perbuatan zalim dan ganas Israel seolah-olah tiada berakhirnya penderitaan rakyat Palestin. Jadi apakah penyelesaian dalam hal ini?
DR. HAFIDZI: Kita perlu kembali kepada asas isu. Siapakah yang menceroboh, lakukan penjajahan dan melanggar hak asasi manusia. Jawapannya, tidak syak lagi yang berada di pihak yang salah ialah Israel.
Jadi, kalau nak selesai Israel kena berundur dari wilayah yang ditaklukinya iaitu Tebing Barat, Semenanjung Gaza dan Baitul Maqdis Timur. Memang ini pun Resolusi 242 yang dibuat di PBB pada 1967.
Pada tahun 2005, Israel berundur dari Gaza dan memindahkan semua pendatang haram Israel. Namun, pada masa yang sama, rejim zionis itu melakukan sekatan udara, laut dan darat. Dengan kata lain, Gaza masih terus terjajah.
Apabila isu ini tidak mendapat pembelaan masyarakat antarabangsa, sudah tentulah rakyat Palestin perlu membela diri sendiri. Ini adalah tindakan semula jadi manusia.
Para pejuang Palestin menyerang sebab mahu mempertahankan diri dan melepaskan daripada kepungan.
“Zionis Semakin Mengganas, Namun Umat Masih Ketiduran!”
Bagaimanapun, media antarabangsa Barat pula sering melabelkan serangan itu sebagai kumpulan pengganas. Apakah kesannya dalam jangka panjang?
DR. HAFIDZI: Kadang-kadang media Barat dan masyarakat antarabangsa tidak adil menilai situasi di Gaza. Mereka lebih banyak menguar-uarkan serangan oleh pejuang Palestin tetapi tidak kaitkan langsung serangan Israel ke atas penduduk Palestin.
Apalah sangat kesan serangan pejuang Palestin yang hanya guna roket buatan sendiri berbanding Israel yang menggunakan segala kekuatan tentera baik kereta kebal, serangan udara dan juga meriam.
Roket pejuang Palestin ini jarang mengenai sasaran dan boleh dibilang rakyat Israel yang cedera atau terkorban disebabkannya. Dalam tempoh dua tahun ini, tidak sampai 10 rakyat Israel yang terbunuh.
Walhal setiap kali serangan Israel membunuh 10 ke 20 penduduk Palestin. Malah, kanak-kanak kecil dan wanita kerap menjadi mangsa kekejaman zionis.
Apa pula tindakan negara-negara Arab dalam hal ini?
DR. HAFIDZI: Saya suka membahagikan isu ini kepada dua iaitu pemimpin Arab dan masyarakat Arab.
Rakyat Arab memang amat prihatin terhadap apa yang berlaku di Gaza. Antara sebab ia masih bertahan sehingga kini ialah bantuan daripada masyarakat Arab dan saudara yang berdekatan.
Sebagai contoh, apabila Israel menyekat bekalan ubat-ubatan, Persatuan Doktor di Mesir mengumpulkan 5 juta pound membeli bekalan ubat-ubatan untuk dihantar ke Gaza.
Pergerakan Ikhwan Muslimin pula bersetuju mengetepikan 25 peratus pendapatan mereka untuk disalurkan kepada rakyat Palestin.
Cuma masalahnya ialah para pemimpin Arab. Untuk menyelesaikan isu serantau begini ia perlukan campur tangan rasmi kerajaan. Dan di sinilah para pemimpin Arab gagal.
Sebabnya, pemimpin yang ada itu tunduk kepada kehendak dasar luar AS atas kepentingan peribadi atau politik. Negara-negara Arab kini setidak-tidaknya sudah ada hubungan dagang dengan Israel menyebabkan mereka tidak bersungguh dalam isu Palestin.
Mereka lebih pentingkan hubungan dagang itu dan bimbang jika cuba ‘khianati’ syarat damai sebelum ini, mereka mungkin dikenakan tindakan oleh AS.
Contohnya, apabila Tembok Rafah diletupkan oleh rakyat Palestin untuk mendapatkan bekalan makanan di Mesir, ia ditutup semula atas desakan Israel. Alasan Israel, supaya Palestin tidak diceroboh oleh kumpulan pengganas.
Kerajaan Mesir nampaknya tunduk kepada Israel mengatasi tanggungjawabnya kepada penduduk Gaza.
Apakah nasib perjanjian damai yang kononnya mahu dimuktamadkan sebelum Presiden Bush tamatkan penggalnya tahun 2009?
DR. HAFIDZI: Memang Bush sudah beberapa kali cuba mencari jalan damai dalam isu ini. Bukan beliau sahaja, malah ia dilakukan oleh semua presiden AS sebelum ini. Mereka cuba mencipta nama dengan wujudkan usaha damai di Asia Barat tetapi semuanya gagal.
Sebab utama kegagalan ialah Israel sendiri yang tidak bersungguh-sungguh sejak tahun 1948 lagi. Hamas yang muncul pada 1987 hanya dijadikan alasan untuk tidak mahu berdamai. Apa yang mereka mahukan ialah penjajahan yang berkekalan.
Apakah peranan yang boleh dimainkan oleh Malaysia dalam isu ini?
DR. HAFIDZI: Kita berada dalam kedudukan yang baik untuk membantu sebagai Pengerusi Persidangan Negara-negara Islam (OIC).
Sewajarnya, usaha menjuarai isu ini di peringkat antarabangsa sehingga ke PBB dilakukan. Ruang ini belum kita terokai dengan baik.
Kita masih ada ruang menghulurkan pelbagai bantuan. Beberapa NGO seperti Aman Palestin, Jamaah Islah Malaysia dan PACE adalah antara yang aktif menggerakkan kesedaran masyarakat dalam isu ini.
Media juga diharap membantu mengetengahkan isu ini untuk elak rakyat beranggapan isu ini dah reda. Hakikatnya, keadaan makin tenat.
Kita sememangnya telah, sedang dan akan bantu Palestin. Yang penting jangan putus asa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW:
Seorang Muslim itu adalah bersaudara dengan Muslim yang lain. Dia tidak boleh menganiayanya dan tidak boleh menyerahkannya (kepada musuhnya). (Muttafaq alaihi)
Semoga Allah memberikan kekuatan kepada kita semua!
Bacaan lanjutan sebagai peningkat nyala rasa:
1. Laman Yahudi Pro Palestin: http://ifamericansknew.org/
2. Laman Info Palestinkini: http://palestinkini.info/
3. Laman Aman Palestin: http://amanpalestin.com/
4. Ucapan Dr. Khalil al Haya: Pesanan Buat Umat Islam di Malaysia
5. Fikrah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: Palestin: Antara Ilusi dan Realiti
6. Fikrah Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: Palestin Dan Orientalisma
7. Motivasi Mutiara Dr. Danial Zainal ‘Abidin: Untukmu Palestin
Sumbangan ke akaun Aman Palestin Berhad:
Bank Islam Malaysia Bhd :: 12029010047880
Maybank Malaysia Bhd :: 562263010787
Wallahu a’la wa a’lam.
Salam,
Ada baiknya kita solat setiap waktu buat qunut nazilah (jika solat sendirian ataupun orang yang menjadi imam)… Mungkin sesiapa yang boleh berbahasa arab dengan baik boleh menyusun susunan kata-kata dalam doa.. Qunut nazilah ni sunnah baginda nabi saw.. Baginda pernah melakukannya ketika utusan baginda yang terdiri daripada penghafal al-quran (betulkan ana jika ana silap). Ulama mengatakan boleh doa itu boleh diucapkan mengikut keadaan/ situasi yang berlaku,tapi didalam bahasa arab… Cuba rujuk balik dalam Shahih Imam Muslim rh…
Kuliah yang ana pernah dengar ada mengajar cara bacaan qunut nazilah ni secara ringkas,umpamanya (betulkan ana jika ana silap);
Allahuma suril islam ma wal muslimin (Ya Allah selamatkanlah islam dan kaum muslimin)
Allahuma mujahiddin na fi falestin (Allah bantulah mujahidin dipalestin)
Allahuma mujahidin nafi Yala (Allah bantulah mujahidin di Yala)
Allahuma mujahidin na fi kul li ma kan (Allah bantulah mujahidin dimana-mana tempat)…
Diatas adalah contoh (mungkin bagi sesiapa yang mahir bahasa Arab boleh betulkan)
Disamping tu mungkin kita boleh memberi bantuan kewangan ke dalam akaun seperti dalam artikel di atas…
W’hualam..
Salam,
Tambahan.. terlupa;
Qunut nazilah ni sunnah baginda nabi saw.. Baginda pernah melakukannya ketika utusan baginda yang terdiri daripada penghafal al-quran dibunuh oleh kaum kafir (betulkan ana jika ana silap). Rujuk dalam Shahih Imam Muslim…
Komen 1
Pada masa kini Israel sedang mengepung GAZA setelah
menamatkan kepungan pertama sebelumnya.Kepungan
pertama menyebabkan lebih seratus kematian di pihak
Palestin.Sudah menjadi sindrom kini apa-apa yang
berlaku di Palestin tidak dihirau oleh sesiapa pun
sama ada kuasa besar maupun umat Islam sendiri.Kalau
ada pun yang bersimpati,mereka adalah minoriti,suara
mereka tidak kedengaran.
Israel sudah mengeluarkan amaran “sebarang pihak
yang mengancam negara Israel atau penduduknya mesti
membayar harga yang mahal”.Kuasa- kuasa Barat merestui
tindakan Israel ini.Dalam diam-diam mereka membantu
negara Yahudi yang dianggap terinaya.
Negara Islam dan Umatnya masing2 sibuk dengan
kepentingan diri sendiri.Tak berani,takut dengan
tekanan kuasa barat.Sedangkan jika umat Islam
bersatu,kekuatan mereka boleh mengongcangkan kuasa2
Barat.Tengok saja akibat perang di Iraq dan
Afghanistan yang menyebabkan ekonomi barat mula
disambar kemelesetan. Negara2 Umat Islam tidak perlu
berperang pun dengan Israel atau Barat kecuali dalam
keadaan sangat terdesak.Apa yang perlu Umat Islam buat
ialah berpaling dari bergantung kepada Barat.Kerjasama
ketenteraan, perdagangan, perlaburan, pendidikan, pembangunan
teknologi hendaklah dilakukan dengan negara2 tidak
menyokong Israel.Buatlah kerjasama strategik dengan
negara2 tidak menyokong Israel seperti
Jepun,China, Taiwan,Korea, Afrika Selatan,sesama negara
OIC dan sebagainya.Negara2 tersebut mempunyai
teknologi sepertimana negara2 Barat juga.Jadikan
negara barat yang menyokong Israel sebagai pilihan terakhir,
bukan la kita perlu putuskan terus hubungan dengan negara2 Barat
kerana Barat juga menjadi pembeli kepada barangan
kita,.Mengapa negara OIC masih menghantar ramai pelajar
ke UK,US.Lebih baik hantar lebih ramai ke negara tidak
menyokong Israel. Mengapa negara OIC masih banyak bergantung
kepada Barat dari segi strategik ketenteraan,pendidikan, dan sebagainya.
Jika kita bekerjasama, kita boleh lemahkan Barat,tanpa perlu berperang pun.
Salam,
Inshaallah berikut adalah sedikit kupasan berkaitan dalil Doa Qunut (Nazilah) dan mungkin boleh memberikan lebih keyakinan kepada sesiapa yang hendak mengamalkannya disamping perlu juga membuat kajian sendiri terhadap keshahihan amalan ini.
Tiada niat hendak membangkitkan apa-apa perkara khilafiyah cuma hendak berkongsi sesama kaum muslimin akan keperluan kita melakukannya sebagaimana baginda nabi saw lakukan ketika kaum muslimin dizaman baginda saw dianiaya..
Hadis daripada Ibnu Abbas ra;
Ertinya:
“Rasulullah berqunut sebulan terus menerus dalam solat zohor, asar, maghrib, isyak dan subuh di akhir tiap-tiap kali solat apabila ia berkata “sami’allahu liman hamidah” dari rakaat akhir.Baginda nabi saw mendoakan kehancuran atas penduduk kabilah bani salim, kabilah ra’lun, zakwan dan ‘Ushyayyah dan orang-orang yg dibelakang(makmum) mengaminkannya.” (Riwayat Abu Daud rh & Imam Ahmad rh)
Rasulullah saw berbuat demikian kerana kabilah-kabilah tersebut mengaku memeluk islam dan meminta kepada baginda rasulullah saw supaya menghantar kepada mereka guru-guru untuk mengajar mereka. Rasulullah saw pun menghantar 70 orang guru tetapi mereka membunuh perwakilan itu maka oleh kerana itulah rasulullah saw melakukan QUNUT NAZILAH. Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw apabila hendak berdoa untuk kehancuran seseorang atau untuk kebaikan seseorang, baginda saw akan berqunut(QUNUT NAZILAH) selepas rukuk.
Daripada hadis di atas juga bacaan Doa Qunut sebenarnya tidak dihadkan ketika solat subuh sahaja dan Doa Qunut Nazilah dibaca setiap sholat fardhu jahriyah (mahdzab Hanafi), sedangkan selain madzhab Hanafi, Doa Qunut Nazilah dibaca setiap kali sholat fardhu,sebagaimana hadis yang berikut:
Ertinya:
“Bahawasanya nabi saw tidak berqunut dalam solat subuh kecuali apabila ia mendoakan kebaikan kepada satu kaum ataupun kehancuran satu kaum. (Riwayat Ibnu Hibban RH dan Ibnu Khuzaimah RH)
Imam Asy-Syaukani rh pula menerangkan supaya jangan dikhususkan qunut itu di dalam satu solat sahaja tanpa solat-solat yg lain.
Ertinya:
“Adalah rasulullah saw tidak berqunut kecuali apabila beliau berdoa utk kebaikan seseorang atau mendoakan kehancuran seseorang. (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban rh daripada Abu Hurairah ra)
Ertinya:
Dari Abu Hurairah ra :
“Sesungguhnya bila ingin mendoakan seseorang, Nabi Muhammad SAW membacakan qunut sesudah ruku” (Hr. Bukhari rh dan Ahmad bin Hambal rh daripada Abu Hurairah ra).
Didalam Hadits Riwayat Bukhari rh dan Muslim rh pula,Rasulullah saw pernah melakukan qunut selama satu bulan untuk mendoakan pembunuh-pembunuh para sahabatnya di Bir Al-Maunah.
Kesimpulan,
Maka daripada situasi yang kita hadapi sekarang dan berpandukan kepada dalil serta fatwa para ulama antaranya Samahah Mufti Umum Kerajaan Saudi Arabia, Fadhilah Syaikh Abdul Aziz Al Syaikh –Hafizhahullah dan ikatan ulama palestin, Qunut Nazilah adalah lebih utama dilakukan oleh kita semua seluruh masyarakat Islam di mana jua, agar bersama-sama mendoakan kesejahteraan saudara seagama kita dan mendoakan kehancuran musuh-musuh kita.
Wallahuallam…
[…] As-Sarawaki, 11 April 2008: Alhamdulillah, segala puji milik Allah SWT di atas segala-galanya. Sebagai peringatan buat diri saya dan tetamu ziarah yang budiman sekalian, dalam kesibukan urusan kerja dan meladeni rencam isu politik, sosial dan ekonomi saat ini, jangan sampai kita lupa tentang satu isu besar umat Islam. Isu Palestin! Isu yang terus menguji ukhuwwah fillah sebenar umat Islam. Sila baca juga entri sebelum ini: Jangan Putus Asa Berjuang Untuk Palestin! […]
[…] Jangan Putus Asa Berjuang Untuk Palestin […]
[…] 1. Jangan Putus Asa Berjuang Untuk Palestin! […]
Salam,
Di Qatar sekarang, jika solat di masjid, imam akan membaca doa qunut nazilah pada rakaat akhir sebelum sujud, tetapi sebentar tadi ada rakan kirimkan doa ini melalui email dari Msia tapi tak sama dengan imam di Qatar bacakan, di Qatar doanya spt dalam respons dr pembaca utk artikel ini, terdapat byk perkataan ‘mujahidin’ dalam doa tersebut.
Wassalam.