“Mungkinkah Aya Sofya Akan Kembali Menjadi Masjid Di Bawah Pemerintahan Erdogan Setelah Dimuziumkan Oleh Kamal Attarturk?”
As-Sarawaki, 21 September 2007: Entri ini adalah kesinambungan entri-entri sebelum ini iaitu Kejayaan Sebuah Ijtihad Politik Yang Sistematik, Sinar Kebangkitan Islam di Turki, Calon Presiden Turki Ditolak Kerana Isteri Bertudung dan Ruling AK Party Wins Turkey Polls. Hati saya berirama gembira membaca berita: “Erdogan mahu batal larangan pakai tudung” di bawah. Sungguh, ia satu sinar kebangkitan Islam di negara yang kini masih dibelenggu dan dirantai sekular. Alhamdulillah, segala puji milikMu Ya Allah!
[Nota ringkas: Alhamdulillah, hujung minggu yang lepas saya berkesempatan berbincang secara ringkas dengan Akhi Mustapha, sahabat dari Turki di The Hague. Berikut dikongsikan komen menarik beliau tentang 3 orang tokoh utama yang melatari politik Turki kini dan dulu:
1. Reccep (Rejab) Tayyip Erdogen – Otak OK dan Hati OK
2. Dr. Nekmettin Erbakan – Hati OK tetapi Otak KO (?)
3. Mustafa Kamal Attarturk – Otak OK (?) tetapi Hati KO
Maksud Akhi Mustapha: Hati = Keimanan, Otak = Strategi.
Setelah saya fikir-fikirkan, saya 70% bersetuju. Wallahu a’lam.]
Erdogan mahu batal larangan pakai tudung
Cadangan sebahagian daripada rombakan Perlembagaan Turki
ANKARA: Perdana Menteri Turki Tayyip Erdogan menyuarakan hasrat menarik balik pengharaman pemakaian tudung di universiti di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Beliau dipetik Financial Times berkata, cadangan itu adalah sebahagian daripada rombakan Perlembagaan Turki.
“Hak wanita mendapat pendidikan tidak seharusnya disekat hanya kerana ketrampilan mereka. Perkara itu tidak pernah wujud di kalangan masyarakat Barat, tetapi keadaan sebaliknya di sini. Sehubungan itu, saya percaya ia menjadi tanggungjawab utama ahli politik menyelesaikan masalah itu,” katanya dalam temubual dengan akhbar itu di sini.
Kenyataan oleh pemimpin Parti Pembangunan dan Keadilan (AK) yang memerintah selepas meraih kemenangan besar mandat lima tahun dalam pilihan raya Julai lalu, dilihat boleh mencetuskan ketegangan baru dengan kelompok elit sekular, termasuk kalangan jeneral tentera.
Ini disebabkan jeneral tentera menuduh Erdogan sememangnya mahu memantapkan kedudukan Islam di Turki.
Pihak sekular sememangnya menganggap pemakaian tudung sebagai ancaman simbolik terhadap dasar lama Turki mengasingkan negara dan agama.
Mereka juga bimbang sebarang tindakan pembatalan pengharaman itu boleh memberi tekanan sosial terhadap wanita yang tidak menutup aurat untuk mula memakai tudung di Turki yang sememangnya didiami ramai umat Islam.
Bagaimanapun, Parti AK sudah menegaskan yang persoalan itu membabitkan hak kebebasan bersuara. Larangan pemakaian tudung di kampus dikuatkuasakan pada 1982 iaitu selepas berlakunya rampasan kuasa oleh pihak tentera.
Kerajaan Erdogan sudah berikrar menggantikan Perlembagaan era tentera dengan dokumen baru yang memberi tumpuan khusus kepada hak asasi individu dan kebebasan yang selaras dengan syarat ditetapkan Kesatuan Eropah (EU) – blok yang ingin disertai Ankara.
“Kami mahukan Perlembagaan yang dapat memberi perlindungan serta jaminan yang negara itu berlandaskan undang-undang demokratik, sekular dan kepentingan sosial. Perlembagaan ini bakal meletakkan Turki di haluan sebenar dan sudah menjadi kewajipan kita membahaskannya serta membincangkannya dengan seberapa ramai rakyat,” katanya.
Parti AK ketika ini membahaskan deraf teks yang dirangka sepasukan pakar undang-undang. Media tempatan sebaliknya berkata mereka masih bertelagah mengenai cara sesuai menyenaraikan isu tudung dalam Perlembagaan itu.
Pihak tentera yang sejak sekian lamanya menganggap dirinya sebagai ‘penjamin mutlak’ peraturan sekular, sememangnya memantau debat itu dengan rapat. Malah, selain pihak tentera, pasaran saham Turki juga tidak terkecuali melihat perkembangan itu. – Reuters
Wallahu a’la wa a’lam.
Mudah-mudahan segalanya lancar.
Cikgu Amin Bakish;
Mudah-mudahan. Amiin. Sebuah perjalanan panjang pembinaan semula sebuah khilafah yang hilang. Semoga segalanya khair.
Bismillahirrahmanirrahim
alhamdulillah, wassolatu wassalam ‘ala rasulillah.
Selamat menunaikan ibadah puasa ya akhi,
Alhamdulillah, satu langkah yang cukup positif diambil oleh pihak PM Erdogan. Sudah sampai masanya perubahan ini dilakukan bagi mengganti peraturan sekular yang nampak sangat kebodohannya. Kita merasa hairan dan ajaib bila Turki yang kurang lebih umat Islamnya 90% tetapi dihalang oleh peraturan negara yang melarang wanita muslimah menutup aurat dgn sempurna. Sungguh dangkal peraturan mereka kerana mengaitkan tudung dengan kemunduran sedangkan yang terdedah sana-sini satu kemajuan. Lupakah pejuang-pejuang demokrasi bahawa Mahatma Gandi yang berjaya membebaskan India dari penjajahan hanya memakai pakaian ala lain pelikat. Yang Maha penting ialah pemikiran seseorang, bukannya pakaian semata-mata.
Di Malaysia juga terdapat golongan (sebahagian) yang memandang rendah terhadap ulama’ yang memakai jubah dan serban – malah ada penulis yang memperkecilkan peranan mereka. Inipun satu fahaman dan sikap yang menerima pengaruh Attaturk.
Kita mendoakan, semoga usaha-usaha PM Erdogan membuahkan natijah yang baik. Umat Islam di Turki dan seluruh dunia patut mendoakan kejayaan mereka dan memberi sokongan moral. Turki mempunyai ramai anak-anak muda yang mempunyai kesedaran untuk kembali kpd Islam yang syumul.
Ana kurang bersetuju dengan pandangan yang berkata “DR. Erbakan – hati OK, otak KO??? Mengapa, pada ana Erbakan telah memulakan satu langkah yang lebih awal. Mengapa pada hari ini kita memperkecilkan beliau, kalau berlaku kesilapan pada masa itu tetapi beliau telah merintis jalan sehingga tokoh-tokoh spt Erdogan dan Abdullah Gul wujud pada hari ini. Mungkin juga jika REFAH tidak wujud… Lahirkah pemimpin AK yang ada hari ini. Tidak dinafikan bukankah pemimpin2 Parti AK sebahagiannya mendapat pengalaman dalam Refah. Allahu ‘a’lam.
Sekiranya bukan kerana campur tangan tentera dan pihak-pihak yang mengkhianati pilihan rakyat Turki pada masa itu mungkin Refah boleh bertahan. Pengalaman ana semasa melawat Turki pada tahun 1998, ketika berada di Bursa yang dikenali sabagai kubu Refah melihat sendiri pihak polis berkawal di sebelah masjid semata-mata bimbang dengan pengaruh golongan Islamis. Jelas sekali golongan ekstrimis sekular gerun pejuang Islam akan menang melalui demokrasi yang dianuti mereka sendiri. Moga kita tidak lupa kepada sumbangan orang-orang yang terdahulu sekalipun ada ijtihad politik mereka yang mungkin kurang berjaya selagi mereka masih diatas paksi kebenaran berdasarkan Al-Quran. Rabbanaghfirlana zunubana waliikwanina llazina sabaqunaa bil iman. Amin.
Ustaz Mohd Kamil yang dihormati;
Tentang komen ustaz: […] Ana kurang bersetuju dengan pandangan yang berkata “DR. Erbakan – hati OK, otak KO??? […]
Ana setuju. Sebab itulah ana menyatakan bahawa ana hanya 70% bersetuju. Tentang Dr. Nekmettin Erbakan adalah sebahagian juzuk daripada 30% yang ana kurang bersetuju.
Wallahu a’lam bissawab.
Salam Ramadhan ya akh,
Didoakan segala perjuangan di sana berjalan dengan baik, dan selamat pulang ke tanahair. Selamat hari raya puasa, salam kemaafan bersama dihulur.
[…] Bagi memahami lebih lanjut kronologi isu ini, saya syorkan tetamu ziarah yang budiman membaca entri-entri berikut: Khabar Gembira Dari Turki – Tudung Oh Tudung, Kejayaan Sebuah Ijtihad Politik Yang Sistematik, Sinar Kebangkitan Islam di Turki, Calon Presiden […]