“Laungan Keramat: Merdeka!!! Merdeka!!! Merdekakah Jiwamu?”
As-Sarawaki, 29 Ogos 2007: (Entri ini adalah tulisan fikir-fikir dari Bilik 73, Hotel Bastion, The Hague kala sepi, tenang dan damai jam 3.13 pagi [9.13 pagi waktu Malaysia] di bumi asing Belanda tentang negara Malaysia tercinta). Merdeka! Merdeka! Merdeka! Alhamdulillah, saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia dan mencintai negara ini. Saya juga bersyukur kerana negara ini sudah merdeka dari cengkaman penjajah dan kini kemerdekaan tersebut sudah mencecah usia 50 tahun. Selain itu, saya juga sentiasa berusaha untuk menjadi warganegara yang baik dan patriotik dengan melakukan atas kapasiti dan kemampuan yang ada menyumbang sesuatu ke arah pembinaan Malaysia sebagai negara yang benar-benar makmur lagi sejahtera di bawah redha Allah, atau dalam bahasa Al-Qur’annya: ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafuur’.
Secara tuntasnya, I am a Malaysian and proud of it! Malah 5 prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang memperkasakan jatidiri bangsa Malaysia sentiasa menjadi komitmen dan sebati dalam perjuangan bernegara saya.
Kepercayaan kepada TUHAN
Kesetiaan kepada Raja dan Negara
Keluhuran Perlembagaan
Kedaulatan Undang-undang
Kesopanan dan Kesusilaan
Cuma, apa yang saya bimbang dan risau ialah bagaimana banggapun saya kepada negara saya dan bagaimana maju dan hebatpun negara saya, negara saya tidak akan masuk Syurga! Ya, negara saya tidak akan masuk Syurga! Malah tidak akan dihumban ke dalam Neraka! Soalan di dalam kubur juga tidak dimaktubkan bahawa salah satu soalannya ialah “Kamu berasal dari negara mana?”! Apa yang pasti, manusia-manusia yang mendiami negara itulah yang akan dihisab amalannya dan akan diberi balasan oleh Allah Azza Wajalla sama ada nikmat Syurga atau azab Neraka. Yang Dipertuan Agong, Raja-raja, Perdana Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri, Menteri, YB Ahli Parlimen, YB Ahli Dewan Undangan Negeri, Gabenor Bank Negara, Hakim Besar, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, CEO, Pengarah, Pengurus, Jurutera, Doktor, Peguam, Akauntan, Motivator, Pensyarah, Guru, Peniaga, Kerani, Petani, Nelayan, Buruh, Penoreh Getah, Pengait Kelapa Sawit, Kuli Batak, Penganggur, Orang Kaya, Orang Miskin, Orang Tua, Orang Muda dan seluruh manusia yang menjadi rakyat dan menghuni negara tersebutlah yang akan diminta pertanggungjawaban di Padang Mahsyar nanti!
Allah SWT berfirman di dalam Kitab Suci Al-Qur’an Al-Kariim:
“Dan sesungguhnya balasan bagi seseorang ialah apa yang diusahakannya. Sesungguhnya setiap usaha itu akan diperlihatkan kepadanya. Kemudian dibalas dengan balasan yang amat sempurna.” (Surah An-Najm, ayat 39-41).
Sebagai renungan bersama, mari kita hayati buah fikir Dr. Danial bin Zainal Abidin yang telah beliau sampaikan dalam ruangan Motivasi Mutiara pada 15 Ogos 2006, hari Selasa jam 7.30 pagi di Mutiara FM Pulau Pinang 95.7 MHz. Semoga ada manfaatnya, mudah-mudahan. Bacalah dengan mata hati…
HARGA DAN PENGISIAN KEMERDEKAAN
Assalamulaikum warahmatullahi wabarakatuh. Tuan-tuan dan puan-puan, para peminat Mutiara FM yang dimuliakan. Tidak beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan negara kita Malaysia yang tercinta bagi kali yang ke-49. (Muhtar: Tahun 2007 ini adalah kali yang ke-50). Lagi sekali kita mengatakan bahawa kita bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengizinkan negara yang tercinta ini merdeka daripada cengkaman asing khususnya cengkaman dari Barat.
Namun kemerdekaan ada harganya. Harganya terpaksa dibayar oleh pejuang-pejuang kemerdekaan dari kalangan para ulama’, cendekiawan, para intelek dan masyarakat secara amnya iaitu masyarakat majmuk di Malaysia yang sama-sama berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan bagi Malaysia. Kita bersyukur kepada Allah di atas semua ini. Hari ini yang hendak kita tekankan ialah tentang pengisian kepada kemerdekaan itu sendiri. Pengisian berdasarkan acuan kita. Apa yang hendak kita isi selepas kita merdeka. Alhamdulillah Malaysia telah mencapai kemajuan yang pesat. Dalam banyak sudut kita tidak melupakannya. Di sudut ekonomi, pembangunan, infrastruktur, prasarana-prasarana yang kita perlukan alhamdulillah. Kita telah melangkah jauh ke depan dan kita sedang mengejar Wawasan 2020 yang hendak kita capai insya Allah pada tahun yang sama.
Semua ini merupakan berita-berita yang menggembirakan. Namun di celah-celah berita yang gembira ini ada kesedihannya. Di celah-celah infrastruktur yang hebat ini ada kejelikannya. Di celah-celah pembangunan yang melibatkan bangunan-bangunan yang besar, tiba-tiba ada pembangunan yang sedikit terabai yang bernama pembangunan insan yang memfokuskan kepada aspek spiritual. Maka sekarang kita mendengar di mana-mana sahaja, kita membaca di dada-dada akhbar, kita melihat sebagai contohnya di Edisi Siasat di NTV7 berita tentang satu budaya baru yang dengan ghairahnya menyerang remaja-remaja kita.
Apa nama budaya baru ini tuan-tuan dan puan-puan. Namanya ialah budaya Hedon. Budaya Hedon berasal dari kalimat Hedonisme. Ia merupakan satu doktrin yang menekankan bahawa keseronokan ialah kemuncak kepada kebaikan. Dalam bahasa mudah, kebaikan yang paling tinggi dan hebat ialah seronok. Jadi pada hari ini kita bercakap tentang bahasa seronok, dalam bahasa Inggerisnya bermaksud enjoy, happy dan sebagainya. Itu bahasa yang digunakan dalam budaya Hedon.
“Hiburan sebegini tentunya akan membawa kepada cinta dunia, lupa Akhirat!”
Mengikut laporan kajian kesihatan seksual dan reproduktif remaja di Malaysia tahun 2003 yang dilakukan oleh Kementerian Kesihatan, kajian ini menunjukkan remaja terutama pelajar sekolah di negara ini aktif melakukan kegiatan seks termasuk hubungan seks di luar nikah. Ini satu berita yang cukup menggerunkan. Kemudian tinjauan Metro hari Ahad baru-baru ini mendapati ada laman-laman web tertentu di negara ini yang berdaftar sebagai laman web seks. Mengikut tinjauan Metro terdapat lebih kurang 1794 ribu ahli yang berdaftar di laman web seks ini. Mereka akan membuat pertemuan, perjumpaan untuk melakukan seks secara berkumpulan dari masa ke semasa.
Ini juga berkaitan dengan budaya Hedon. Tambahan dari itu kita juga telah membaca banyak statistik tentang kes penyalahgunaan najis dadah. Sebagai contoh mengikut laporan Berita Harian bertarikh 24 Februari 2005 bersempena dengan Karnival 6 Jahanam anjuran Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan, mengikut laporan ini menunjukkan bahawa pada tahun 2004 sahaja kes penagih dadah telah meningkat 4.53%. Inilah berita-berita yang menyedihkan bila kita bercakap tentang kemerdekaan. Pembangunan sudah baik tetapi spiritual sedang menjunam. Remaja-remaja kita berada di persimpangan yang membimbangkan. Seks bebas makin berleluasa dan ia dilakukan secara terbuka dan berani sekali. Penyalahgunaan najis dadah peratusnya semakin meningkat dan begitulah seterusnya.
Seronokkah kita bila mendengar statistik dan perangkaan ini. Sudah pasti kita tidak seronok. Cukupkah sambutan kemerdekaan sekadar kita bersorak Merdeka!! Merdeka!! Merdeka!!. Cukupkah sambutan kemerdekaan sekadar kita melakukan ekspedisi kemerdekaan pusing Pulau Pinang dengan bendera yang berkibar-kibar kemudian pada esok harinya kita lupa bab solat dan terus dengan agenda seks bebas kita. Tidak cukup!!!
“Apakah perasaan ibu bapa mereka? Betapa sedih dan hancurnya harapan ibu bapa mereka yang impikan anak yang soleh dan solehah”
Tuan-tuan dan puan-puan, bersempena dengan bulan kemerdekaan ini mari sama-sama kita memainkan peranan agar negara kita dimerdekakan daripada gejala-gejala negatif seperti budaya kuning yang saya sebutkan tadi. Ibubapa didiklah anak agar menjadi anak yang soleh dan solehah. Jangan lupa anda sebagai ibubapa, anda memainkan peranan yang amat penting untuk memastikan anak-anak anda berjaya di dunia hingga ke Akhirat. Nasihat yang sama juga saya berikan pada Dr. Danial bin Zainal Abidin sebab dia juga seorang bapa kepada 8 orang anak. Ini peranan yang perlu kita lakukan. Jangan asyik menonton gusti, cari gincu yang mahal lagi terbaik, seronok ke salon yang dapat mencantikkan diri kita. Jangan asyik itu. Bukan tidak boleh tapi jangan asyik sehingga kita melupakan benda yang paling besar ertinya pada kehidupan kita iaitu mendidik anak-anak menjadi hamba Allah yang sebenarnya.
Anda dan saya sebagai ibubapa mempunyai tanggungjawab yang besar. Itu yang pertama. Kedua sistem pelajaran atau pendidikan kita. Guru-guru tolonglah belajar tentang bagaimana hendak bercakap dengan remaja-remaja di sekolah. Ada guru-guru yang hanya tahu mengajar tetapi tidak tahu nak berkomunikasi dengan pelajar-pelajar di sekolah terutamanya pelajar remaja. Mereka bercakap kepada remaja dengan menggunakan bahasa bodoh!! bahalol!!, minta maaf tetapi inilah bahasa yang guru-guru gunakan tetapi bukan kesemua guru. Sebahagian ada menggunakan kalimat ini. Guru-guru itu perlu dididik terlebih dahulu tentang cara hendak mendidik remaja-remaja.
Ketiga kerajaan atau pihak yang berwajib tolonglah jaga media massa. Janganlah disemarakkan aktiviti konsert yang melampau. Semua ini menghancurkan anak bangsa. Ini Dr. Danial sebutkan di bulan kemerdekaan agar kita tidak hanya bersorak merdeka sedangkan di bawah sana kita bukannya merdeka, kita sebenarnya masih belum bebas dengan budaya-budaya yang menghancurkan bangsa, negara apatah lagi agama.
Semoga di bulan kemerdekaan ini kita menjadi orang yang bertanggungjawab berdasarkan tuntutan Al-Quran dan juga As-Sunnah. Jangan lupa “Kuntum khaira ummatin uhrijat linnas”. Kata Allah dalam surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud “Kamu sebaik-baik umat yang dikeluarkan bagi manusia”. Buktikannya. Buktikan bahawa kita sebaik-baik umat bukan seteruk-teruk manusia. Semoga Allah memberikan kekuatan dan kesedaran kepada kita di bulan kemerdekaan ini untuk memainkan peranan yang positif untuk menjadikan Malaysia sebuah negara contoh insya Allah.
Sila baca juga: ‘Makan Dalam’ yang SureDosa.. Jom Taubat!
“Full Time Muslim… There’s no such thing as a Part-Time Muslim”
ATUK MERDEKA
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi kayu.
Jika kau menjadi kayu
Jadilah kayu golf
Disebut kayu tetapi besi
Diulit Dato’, tauke dan menteri
Jangan kau menjadi tunggul!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi pagar.
Jika kau menjadi pagar
Jadilah pagar karan
Dipicit suis power berjalan
Dirempuh diusik boleh pengsan
Jangan kau jadi pagar makan padi!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi mangkuk.
Jika kau menjadi mangkuk
Jadilah mangkuk purba zaman batu
Buruan ahli arkeologi setiap waktu
Membawa bukti tamadun dan ilmu
Jangan kau menjadi mangkuk hayun!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi bintang.
Jika kau menjadi bintang
Jadilah bintang di langit
Tiada boleh ditukar wang ringgit
Tidak boleh dijolok dikait
Jangan jadi bintang tiga!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi seluar dalam.
Jika kau menjadi seluar dalam
Jadilah seluar dalam superman
Sarung di luar nampak gentleman
Tiada manusia memberi komen
Jangan kau menjadi seluar dalam model playboy!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin MERDEKA.
Jika kau ingin MERDEKA
Lupakan tentang perarakan di Dataran Merdeka
Simpanlah budget kereta berhias dan pentas lintas hormat
Untuk membeli kayu
Untuk membeli pagar
Untuk membeli mangkuk
Untuk membeli bintang
Untuk membeli seluar dalam
Dan.. Untuk membeli MERDEKA!
UJANG
Kuala Lumpur 1992
Wallahu a’la wa a’lam.
Salam, Selamat Hari Kebangsaan.
Ana pernah terfikir, Merdeka lawannya Hamba.
Adakah nenek moyang kita pernah menjadi hamba kepada penjajah?.
Tidak!!!!!!… Sejak negara kita dijajah, nenek moyang kita bangun menentang.. Cuma istilah ini diguna oleh Orientalis untuk menunjukan bahawa nenek moyang kita suatu ketika dulu merupakan hamba kepada penjajah, istilah yang tersirat ini diguna pakai oleh bangsa sendiri yang di sebaliknya menggambarkan kita adalah cucu-cicit bekas hamba kepada penjajah….
Hanya untuk difikirkan saja… Apapun… Selamat berjuang!
“Perjuangan Belum Selesai”
Hanya Hamba Kepada Allah.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Ustaz Ahmad Fauzi yang mulia;
Selamat Hari Kebangsaan. Terima kasih di atas perkongsian fikrah dan semangat, amat dihargai.
Bersama membina Malaysia ke arah negara yang benar-benar makmur lagi sejahtera di bawah redha Allah, atau dalam bahasa Al-Qur’annya: ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafuur’.
Wallahu a’lam bissawab.
assalamualaikum ..
bagaimana agaknya negara ini ke arah “Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafur” walhal majoritinya dari kita tidak memahami tuntutan, syarat dan kondisi berat ayat tersebut sebelum memperolehi ampunan Allah dalam segala konteks?
saya ada sajak..
semalam..
aku ke pantai merdeka..
menikmati indahnya desiran ombak membungkam kemelut jiwa,
dan aku..
melihat tanpa sengaja..
“indahnya”… minah saleh tanpa celana.. tanpa bra..
“indahnya”… anak muda meneguk rasa citra hawa dunia..
menolak dan pekak akan laungan
generasi bilal bin rabbah
yang keseratus tiga juta..
itu bilal bin rabah tua..
bukan bilal bin rabah versi akademi fantasia..
oh.. indahnya merdeka..
merdekakah aku
merdekakah engkau
banggakah aku
banggakah engkau..
adakah entiti merdeka
definisinya dibuat oleh DiGi atau TV3?
atau merdeka itu ..
definisinya hanya ulama..
bising di hati diam di mulut atau vice versa?
[…] Majlis Sambutan Kemerdekaan di Kedutaan Malaysia di The Hague, semua dijemput hadir. I am a Malaysian and proud of it! Dan yang lebih penting dan utama… I am a Muslim and always proud of it! […]
Assalamualaikum.
Sudah 50 tahun negara merdeka masih banyak perkara yang dituntut oleh Allah untuk dilaksanakan kepada manusia tidak dijalankan. Sebaliknya yang ada sedikit itu pun hendak dikikis sehingga iman rakyat Islam semakin hari semakin terhakis dengan keadaan masyarakat yang tidak berpegang teguh dengan ajaran Islam. Anak-anak muda hanya mengenal erti kemerdekaan dengan hanya laungan kemerdekaan, bawa bendera ke sana ke sini tanpa menghiraukan keadaan diri yang sudah banyak lalai daripada ajaran Islam. Gejala-gejala sosial semakin berleluasa, adakah ini erti kemerdekaan di kalangan remaja kini. Kita tidak meletakkan asas kemerdekaan itu di atas paksinya yang sebenar.
Oleh demikian, bangkitlah pemuda-pemudi Islam, aturkan langkah. Bersama mendidik anak-anak kita menjadi insan yang sayangkan agama. Secara langsung negara akan merdeka selama-lamanya dengan keagungan Islam menjadi matlamat utama.
Wassalam.
assalamualaikum saudara muhtar suhaili..
terima kasih atas jawapan sajak saya.. 🙂
wassalam.
Salam ziarah..
Salam Kemerdekaan..
Moga terus thabat n istiqomah dalam gerak kerja Islam, insyaAllah..
Teruskan Berjuang…
Salam Sdr. Muhtar, tulisan yang bernas dan merangsang minda. Terima kasih kerana sudi berkongsi ilmu & pendapat..
Allah’a emanet olun 🙂
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
SwordOfAllah, Cikgu Shahril, Shattirs dan AyzaGursoy;
Teruskan perjuangan membela dan menyebarkan keindahan Islam demi kerana Allah. InnalLaha ma’ana!
[…] jatidiri dan peribadi kita. Sebagaimana yang saya nukilkan dalam entri Merdeka… Negara Tidak Masuk Syurga!, alhamdulillah, saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia dan mencintai negara ini. […]
[…] Merdeka… Negara Tidak Masuk Syurga! […]