“Pusara Abu Ayyub Al-Anshari r.a. Berhampiran Masjid Eyyub, Istanbul”
As-Sarawaki, 21 Disember 2009 (Siaran Semula): Alhamdulillah, segala puji selamanya milik Allah SWT. Setiap hari saya menerima pelbagai e-mail dengan rencam isu dan tajuk. Ada yang menghulurkan tali persahabatan dan silaturrahim, ada yang berkongsi ilmu, fikrah dan rasa, ada yang menyampaikan tawaran istimewa, ada yang memohon petua-petua kejayaan, ada yang menjemput memberikan ceramah, ada yang menawarkan diri untuk menjadi teman hidup (kenangan dan kisah dulu-dulu semasa diri masih bujang.. ), ada yang berkongsi masalah yang pelbagai dan mohon nasihat penyelesaian, malah ada yang meminta saya menyelesaikan masalah rumahtangga (kadang-kadang perlu menjadi kaunselor keluarga meskipun baru lebih 2 tahun berkahwin, yang mungkin menjadi penanda aras akan pengalaman yang sedikit cuma.. ) serta bermacam-macam lagi. Saya amat menghargai e-mail-e-mail yang diberikan. Cuma saya memohon maaf seandainya balasan yang diberikan agak lewat kerana sekadar makluman di dalam inbox saya kini ada lebih 13,959 e-mail (tidak termasuk ribuan spam e-mail selain YahooGroups e-mail) yang belum saya baca! Maafkan saya kerana kurang efisien dalam hal ini.
Saya menerima banyak e-mail yang memohon saya memberikan nasihat penyelesaian kepada ujian (malah ada yang datang bertimpa-timpa) yang mereka tempuhi termasuk krisis iman yang dihadapi, virus keruntuhan nilai akhlak yang dihidapi, penyakit lemah semangat juang yang terjangkiti, masalah kewangan yang ditanggungi, kerenggangan hubungan anak dengan ibu ayah, kepincangan perhubungan rumahtangga yang kian meruncing dan pelbagai dilemma kehidupan. Dalam situasi sebegini, apa yang termampu saya lakukan ialah memberi kata peransang, bantuan sewajarnya dan dorongan motivasi, selebihnya ialah usaha diri dan tentunya solusi paling konklusif datangnya dari Allah SWT, dengan sifat Maha Ar-Rahman dan Ar-RahimNya Penyelesai dan Pemilik segala-segalanya. Ketahuilah sesungguhnya Allah itu Maha As-Samad!
Atas segalanya, dalam menghadapi apa jua mehnah dan tribulasi kehidupan, saya ingin mengajak tetamu ziarah yang budiman sekalian untuk mencontohi seorang sahabat bernama Khalid ibn Zayd ibn Kulayb. Anda kenal siapa Khalid ibn Zayd ibn Kulayb? Mungkin nama ini tidak familiar dengan ramai di kalangan kita. Namun sekiranya saya menyebut nama Abu Ayyub al-Anshari ra, siapakah di antara kita kaum Muslimin yang tidak mengenal nama besar ini?
Abu Ayyub al-Anshari ra atau nama sebenarnya Khalid ibn Zayd ibn Kulayb dari Bani Najjar merupakan seorang sahabat yang mulia dan terkenal dengan keindahan budi pekerti. Beliau merupakan salah seorang sahabat yang sangat akrab dengan Rasulullah SAW dan bersama Baginda di dalam semua peperangan. Malah Allah telah memuliakan penduduk Timur dan Barat yang menyebutnya, manusia yang paling tinggi darjatnya yang mana rumahnya telah dipilih di antara rumah kaum Muslimin lainnya untuk persinggahan Nabi Muhammad SAW ketika Baginda tiba di Madinah dalam peristiwa hijrah. Ini merupakan kemuliaan terbesar bagi Abu Ayyub al-Anshari ra.
Apakah motto hidup anda? Adakah sekadar Que Sera Sera (apa nak jadi, jadilah)? Anda ingin mengetahui motivasi unggul yang digenggam utuh oleh Abu Ayyub al-Anshari ra? Mari kita hayati motto hidup sahabat yang hebat ini. Beliau sentiasa membawa motto diri yang mana sepanjang hari Abu Ayyub al-Anshari ra sering mengulang-ulang suatu ungkapan yang diangkat menjadi motto kepada dirinya. Saya juga telah menjadikan kata-kata ini sebagai salah satu motto hidup dan ingin mengajak tetamu ziarah yang budiman sekalian untuk sama-sama kita menilai dan mengaplikasikannya dalam kehidupan. Pasti ada khairnya dunia dan Akhirat, insya Allah.
Inilah motto hidup beliau yang sangat tinggi nilainya:
Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah… (Surah At-Taubah, ayat 41)
Sungguh, sekiranya kita mampu menjadikan “Infiru khifafan wa tsiqalan! …Berjuanglah kamu, sama ada senang mahupun susah…” sebagai motto hidup, pasti hidup akan bahagia. Musibah yang menimpa terasa nikmat dan tenang kerana ia adalah ujian dari Allah SWT buat hambaNya. Mehnah yang tiba dihadapi dengan redha dan sabar. Tribulasi yang melanda disungguhi dengan keyakinan. Musibah, mehnah dan tribulasi bukan alasan untuk kita berhenti berjuang. Malah kita akan sentiasa berjuang sama ada susah mahupun senang demi redha Allah sehinggalah kita beroleh kemenangan atau syahid di jalanNya. Inilah motto hidup terunggul. ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!
Jangan Pernah Berhenti Berjuang!
Selain itu, ada satu lagi motivasi hebat yang kita boleh pelajari dari kisah kehidupan Abu Ayyub al-Anshari ra ini. Anak muda wajar tercabar dengan kisah ini. Bagi orang tua pula, jangan pernah berhenti dalam perjuangan!
Abu Ayyub al-Anshari ra terlibat secara langsung di dalam usaha dakwah menawan dan membebaskan kota Konstantinople pada tahun 44H/ 666M di dalam satu ketumbukan tentera yang diketuai oleh Yazid bin Muawiyah bagi merealisasikan Motivasi Nabawi berdasarkan hadith:
“Konstantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” (Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335)
Tahukah anda bahawa Abu Ayyub al-Anshari pada ketika itu usianya sudah mencecah lebih 80 tahun! Ya, beliau sudah cukup tua. Namun beliau membuktikan bahawa tokoh lanjut usia yang penuh uban di kepalanya juga mampu memberi sumbangan dan berprestasi besar dalam perjuangan Islam!
“Berjuanglah Kamu, Sama Ada Senang Mahupun Susah!”
Maka sebagaimana yang diceritakan dalam perkisahan sejarah, tentera Islam telah bertembung dengan Tentera Byzantine di Konstantinople dan terjadilah perang yang berkecamuk. Saat jatuh sakit menjelang wafat di antara pasukan Muslimin yang tengah dalam perjalanan berperang, Yazid bin Muawiyah telah bertanya kepadanya apa permintaan terakhir beliau. Maka dengan semangat juang, Abu Ayyub al-Anshari menjawab dalam keadaan nazak:
“Bawakan tubuhku dan teruskan perjuangan bersama-sama dengan tubuhku di tengah musuh. Dan sekiranya aku syahid meninggal dunia.. Kau kebumikanlah aku di Konstantinople.. Supaya pada suatu hari nanti apabila tentera Islam berjaya menawan Konstantinople.. Maka aku akan mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburku… Dan pada hari itu tahulah aku bahawa janji Nabi SAW sudah terlaksana!”
Sebahagian riwayat menyatakan Abu Ayyub al-Anshari dengan sepenuh keyakinan mengatakan; “Jika aku mati maka bawalah jenazahku. Jika kalian bertemu dengan musuh, kuburkanlah jasadku di sana. Aku ingin jasadku dikubur di tengah medan pertempuran atau yang dekat dengannya, sehingga rohku bergerak di atas medan tempur.”
Itulah permintaan Abu Ayyub al-Anshari dan ditunaikan oleh Yazid bin Muawiyah. Beliau menginginkan kehidupan Akhiratnya dalam keadaan berjihad sebagaimana semasa hidupnya di dunia. Akhirnya di jantung Konstantinople, ketika pasukan Islam berperang melawan pasukan musuh, di sanalah jasad Abu Ayyub al-Anshari yang mulia itu dimakamkan.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, lebih 800 tahun kemudian, tentera Islam pimpinan Muhammad bin Murad yang lebih dikenali sebagai Muhammad Al-Fateh pada tahun 857H/ 1453M berjaya menawan Konstantinople dan menukar namanya kepada Islam Bul yang bermaksud Kota Islam (kini dikenali sebagai Istanbul). Maka Abu Ayyub al-Anshari pastinya gembira mendengar bunyi tapak-tapak kaki kuda tentera Islam di atas kuburnya pada ketika itu. Dan benarlah bahawa janji Nabi SAW pasti terlaksana!
Akhirul kalam.. Infiru khifafan wa tsiqalan!
Wallahu a’la wa a’lam.
[…] Motto Hidup: Infiru Khifafan Wa Tsiqalan! […]
Thanks akhi! What a wonderful motto!!
Infiru khifafan wa-thiqalan wa-jahidu bi-amwali-kum wa-anfusi-kum fi sabili Allahi… Dzhalikum khayrunl la-kum in kuntum ta-’lamun…
Sehebat manapun ujian yg terpaksa diredahi, sebesar apapun mehnah dan tribulasi yg menanti dan sejenuh manapun hari2 yg kita lalui jgn pernah berhenti berharap pd ILAHI, jgn pernah berhenti berdoa kpd RABB dan jgn pernah putus asa dr rahmat ALLAH… kerana harapan adalah masa depan, kerana DOA adalah senjata org beriman… kerana kita ada ALLAH YG MAHA KUASA…
Fuh….motto tu memang mantap.Dah tu pulak dipetik daripada ayat suci Al quran,bertambah-tambah mantaplah jadinya.Kalu motto macam tulah menjadi pegangan anta,memang patut pun anta jadi macam sekarang.Terima kasih pada Allah yang menjadikan anta semacam ini.Bila baca website anta ni ana jadi sangat cemburu…ulang lagi sangat cemburu..pasal apa??Pasal ana tak dapat nak menandingi apa yang anta perform.W/pun insyaAllah ana akan gagahkan juga melakukan yang termampu menggerakkan usaha agama dalam keupayaan ana sendiri.TQ
Saya kira sudah sampai masanya M.Suhaili bergerak secara kolektif seperti di Al-Ahkam.net.
Akhi A. Fahim, Ustazah Mariani, Akhi Supian;
Alhamdulillah. Kalian telah berkata benar. Syukran ‘alaikum.
Akhi/ Ukhti (?) Sufi;
Alhamdulillah, saya kini bergerak secara kolektif dari segi kerja dakwah dan usaha islah. Cuma untuk laman weblog ini, ia adalah laman peribadi dan mengalu-alukan sumbangan artikel dari tetamu ziarah yang budiman sekalian. Sebarang artikel yang ingin dikongsikan di sini, saya mempelawa saudara dan saudari mengemailkannya ke al_akhyar81@yahoo.com
Jazakumullahu khairan kathira.
Firman Allah SWT:
“Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di Akhirat termasuk orang-orang yang rugi” (Al-Qur’an, Surah Ali ‘Imran, ayat 85).
Moga terus istiqamah menyebar dakwah selepas bergelar seorang suami. Di saat ini kita akan terus diuji untuk membantu agama Allah. Didoakan akhi terus thabat dalam rintangan yang bakal dihadapi. Bukan mudah perjuangan dakwah di Bumi Kenyalang ini. Tetapi itulah yg ana belajar setelah hampir 10 bulan di sini.
Terima kasih atas layanan mesra masyarakat Islam dan peribumi Sarawak yang ikhlas menerima kedatangan orang Semenanjung.
salammmz akhi muhtar ittewww..
Alhamdulillah, tsumma alhamdulillah.. Doakan lebih ramai generasi mendatang meneladani al-Quran sebagai satu cara hidup. Aku suka motto-motto hidup yang dikongsi Bro Muhtar. Ianya penuh dengan ‘kehidupan’ yang sebenar-benarnya hidup. Biar usia makin bertambah, asal jiwa tegar bercambah, biar Iman terus bertambah, walau ujian bak air bah! Infiru Khifafan wa Tsiqalan…
Salam ziarah,
Baru-baru ini ana berkesempatan berziarah ke Tawau, dan di dalam bas kebetulan ana duduk di sebelah seorang remaja yang tampak agak ranggi. Borak punya borak, Allah menyingkap yang budak ini adalah budak baik, pelajar di IKBN Miri dan selalu mengikuti program Citra di kampusnya, yakni program-program berbentuk khemah ibadah. Yang menarik, akhirnya setelah lama bercerita dia memberitahu bahawa mereka pernah berprogram di rumah ‘Abang Mukhtar’! Maka dapatlah ana maklumat bahawa di sana juga ada pergerakan Islam, walaupun yang mengikut sendiri kabur di atas hakikat itu. Tahniah pada enta dan sahabat2 yang menggerakkan adik-adik di sana, dan mohon pandangan n pendapat di blog ana.
Barakallahufik..
salam saudara,
mabruk atas kelahiran ‘izzuddin, semoga menjadi mujahid yang unggul seperti ayahnya.. ameen 🙂
(sorry.. keluar topik.. lama sungguh tak menjenguk ke sini)
and anyways, a’am hijri jadeed wa saeed 1430 🙂
Salam Kenal akhi…
Ana minta foto dari sini ya… 😀
Yang ini https://muhtarsuhaili.files.wordpress.com/2007/04/anak-perjuangan.jpg
Syukron, jazakallah dan
Selamat Tahun Baru Hijriah 1430H
syukran jazilan, teringat kembali artikel yg pernah ditulis pasal motto yg dibicarakan.
[…] Mesej yang ingin disampaikan ialah supaya kita BERJUANG untuk Islam dalam keadaan SENANG mahupun SUSAH. Jadikanlah “Infiru Khifafan Wa Tsiqalan” sebagai Motto Hidup! Saudara-saudari boleh membacanya lebih lanjut di sini: https://muhtarsuhaili.wordpress.com/2009/12/21/motto-hidup-infiru-khifafan-wa-tsiqalan/. […]
Salam sahabat..
Saya salah seorg pelajar dari UIAM Gombak berminat utk menggerak sebuah program dakwah di Sarawak sekitar hujung bulan Jun 2010.. Kami mengharapkan bantuan saudara untuk membantu kami dalam beberapa aspek.. Balas ke email saya untuk kita mulakn perbincangan ye.. Saudara juga blhla melawat profail kelab saya – Sekretariat Perpaduan Malaysia UIAM.. Kelab yang bertanggungjawab untuk program dakwah di Sabah n Sarawak.. Syukran..