Feeds:
Kiriman
Komen-komen

 Allah Sentiasa di HatiAllah di Hati

Ihfadzillaha yahfadzka! Jagalah Allah, Allah pasti menjagamu!

Oleh:  Dr. ‘Aidh ibn Abdullah Al-Qarni

(Adaptasi secara bebas dari buku “Jagalah Allah, Allah Menjagamu”).

 

Ketika kita takut kepada Allah, maka bangsa-bangsa, orang-orang yang menentang dan para musuh takut kepada kita. Namun ketika kita tidak takut kepada Allah, maka Allah menjadikan kita takut kepada mereka.

 

Kita telah berperang melawan bangsa-bangsa lain dengan kalimat La Ilaha Illallah dan tidak dengan kalimat yang lain. Maka kita pun meraih kemenangan ke atas mereka, bahkan kita tidak pernah merasa takut terhadap mereka kerana kita menjadikan takut kita hanya kepada Allah SWT.

 

Jika kita bertakbir dahulu, istana musuh akan bergoncang kerana takbir kita. Allahu Akbar! Oleh kerana itulah, di antara rasa takut Sa’ad bin Abi Waqash sebagaimana dikatakan oleh Adz-Dzahabi dan Ibnu Katsir bahawa ketika dia melihat istana Kisra Anusyrwan, Kisra kesesatan dan Kisra yang menghalang manusia dari Allah, dia mengucapkan “Allahu Akbar!”, maka pendopo Kisra pun pecah. Sa’ad bin Abi Waqash  lalu menangis dengan air mata mengalir kerana gembira.

 

Allahu Akbar! Allahu Maha Besar! Allah Maha Hebat!

 

Kita berlindung jua kepada Allah agar hati kita tidak berpaling dalam solat sehingga Allah berpaling dari kita.

 

Di dalam kitab: “Az-Zuhd”, Imam Ahmad meriwayatkan dengan sanad yang baik bahawa Abu Bakar Ash-Siddiq dan beberapa orang sahabat pernah memasuki ke sebuah perkebunan milik seorang lelaki dari kalangan Ansar di Madinah. Pada waktu itu buah kurma sedang masak dan kurma-kurma basah bergantungan di dahannya, sementara burung-burung hinggap di sana.

 

Gembiralah sahabat-sahabat menyaksikan pemandangan itu kecuali Abu Bakar yang duduk menangis. Teruskan pembacaan »

Kad Raya 1429H

Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri. Maaf Zahir dan Batin.

As-Sarawaki, 25 September 2008: Alhamdulillah dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh Muslimin amnya dan tetamu ziarah yang budiman sekalian sempena Hari Raya ‘Aidil Fitri 1429H ini. عِيْدُ مُبَارَكْ – (Selamat) Hari Raya yang diberkati. تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ  – Semoga Allah menerima (amalan) dari kami dan kalian semua. Saya juga memohon maaf zahir dan batin di atas segala kesalahan, kesilapan, keterlanjuran dan kekhilafan sama ada yang disengajakan mahupun  tidak disengajakan. Semoga kita semua beroleh ampunan dosa dari Allah SWT yang Maha Ar-Rahman dan Ar-Rahim. Amiin Ya Rabbal ‘Alamin!

 

Takbir Raya

 

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, Tidak ada tuhan melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.”

 

Takbir Raya

 

“Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Maha Besar dan Maha Agung, Allah Maha Besar dan milik Allah segala pujian.”

 

Nota: Jemput bertandang ke rumah saya di Lot 22, Kampung Muhibbah, KM 75 Jalan Lama Miri Bintulu, Niah, Miri, Sarawak. Raya tahun ini lebih meriah dengan kehadiran Muhammad ‘Izzul Islam. :-)

 

Selamat Hari Raya ‘Aidil Fitri. Kullu ‘aam wa antum bikhair!

“Demi Allah, Nabi SAW Yang Maksum Bertaubat Lebih 70 Kali Sehari!”

As-Sarawaki, 22 September 2008: Astaghfirullah! Marilah kita memohon ampun kepada Allah SWT atas segala dosa-dosa kita! Wahai pendosa, taubatlah kepada Allah Azza Wajalla Yang Maha Pengampun di atas segala kesalahan, kekhilafan dan keterlanjuranmu. Taubat nasuhalah, rayulah ampunanNya dan bergembiralah dengan firman Tuhanmu dan Sabda Nabimu:

 

Allah SWT berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Az-Zumar, ayat 53)

 

Dari Anas bin Malik ra. berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda, “Allah SWT berfirman: “Wahai anak Adam, sepanjang engkau memohon kepadaKu dan berharap kepadaKu akan aku ampuni apa yang telah kamu lakukan. Aku tidak peduli! Wahai anak Adam, jika dosa-dosamu setinggi awan di langit dan kemudian engkau meminta ampunan kepadaKu akan Aku ampuni. Wahai anak Adam, sesungguhnya jika engkau datang kepadaKu membawa kesalahan sebesar dunia kemudian engkau datang kepadaKu tanpa menyekutukan Aku dengan sesuatu apapun, pasti Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sebesar itu pula.” (Hadith Qudsi Riwayat Tirmidzi ia berkata, “Hadith ini hasan shahih.”)

 

Taubatlah Wahai Pendosa!

 

Jikalau kamu bertaubat

Tetapi selalu tergoda

Dan kau lemah, tidak kuat

Taubat lagi wahai pendosa

 

Taubat diterima Tuhan..

Kembali lagi kembali

Sampai taubatmu bertahan

Taubatlah berkali-kali!

 

Ya Rabb, kami memohon kepadaMu agar mensucikan hati-hati kami dari kotoran dengki dan iri hati, kecenderungan kepada keburukan dan nista, penyakit dendam dan benci, serta tanamkanlah rasa cinta dan kasih sayang ke dalam hati kami. Penuhilah seluruh hari-hari kami dengan kebaikan dan ikhtiar memperbaiki hubungan sesama manusia dan mendekatkan diri kepadaMu! Semoga kita semua bertemu Lailatul Qadr! Amiin Ya Rabb. 

 

Wallahu a’lam bissawab.

“Permata Hati Ayah Dan Ibu – Muhammad ‘Izzul Islam – 14 Ramadhan 1429H”

As-Sarawaki, 14 September 2008, 3.12pm: Alhamdulillah, anak pertama kami yang diberi nama Muhammad ‘Izzul Islam seberat 3.0kg selamat lahir ke alam dunia pada pukul 11.34 pagi tadi, hari Ahad, 14 Ramadhan 1429H bersamaan 14 September 2008 di Columbia Asia Medical Center, Miri. Doakan semoga cahaya mata kami ini akan menjadi insan cemerlang di dunia dan Akhirat. Mudah-mudahan akan menjadi mujahid Ummah. Amiin Ya Rabb!

 

Sila klik di sini untuk gambar-gambar lain »»

 

Abu ‘Izz & Ummu ‘Izz;

Muhtar Bin Suhaili As-Sarawaki

Wan Lydia Salmi Binti Wan Junaidi

 

Entri Asal: Dam’ah Wa Ibtisamah – Setitis Airmata, Seulas Senyuman

 

As-Sarawaki, 14 September 2008, 9.13am: Alhamdulillah, segala puji-pujian bagimu Ya Allah! Entri ini saya tulis dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perasaan bercelaru. Saya baru tiba di KLIA jam 8.20 pagi tadi bagi menghadiri kursus bermula 15 sehingga 18 September 2008 ini di Crowne Plaza Mutiara. Walaubagaimanapun, kita merancang dan Allah juga merancang… Pastinya perancangan Allah adalah yang terbaik! Sekarang ini saya tengah menunggu penerbangan balik semula ke Miri pukul 10.05 pagi ini secara mendadak (emergency). Doktor baru sahaja memaklumkan bahawa isteri saya akan melahirkan sama ada tengahari atau petang ini, 2 minggu lebih awal dari tarikh anggaran yang dimaklumkan oleh doktor iaitu 3 Oktober 2008.

 

Alhamdulillah! Maksudnya hari ini insya Allah saya akan bergelar seorang ayah… Ayah mithali hendaknya! Nikmat dalam hati, riang tiada terkira! Malah ibu dan ayah saya terlebih lagi gembira kerana akan menjadi nenek kepada cucu pertamanya! Atas segalanya, doa tetamu ziarah yang budiman lagi beriman sekalian agar segalanya khair amatlah saya harapkan. Teruskan pembacaan »

“Siasah Malaysia: Yang Berpakat vs Yang Berbaris”

As-Sarawaki, 13 September 2008: Alhamdulillah. Ada apa dengan 16 September? Tarikh yang kini sudah dicopyrightkan dan menjadi tarikh keramat di Malaysia hanya tinggal 3 hari sahaja lagi! Secara kebetulan, saya akan berada di Kuala Lumpur pada tarikh tersebut kerana insya Allah esok saya akan terbang ke sana bagi menghadiri kursus bermula 15 sehingga 18 September 2008. Ada apa dengan 16 September 2008? Jawabnya kita tunggu dan lihat, sama ada akan terbentuk kerajaan baru atau status quo masih dikekalkan. Namun yang pasti pada tarikh tersebut genaplah usia 45 tahun negeri tercinta, Sarawak berada dalam Malaysia! Tema sambutannya di Bumi Kenyalang ialah “45 Tahun Sarawak Maju Dalam Malaysia”. Saya mengiyakan tidak, menidakkan pun tidak kerana maju itu subjektif sifatnya dan bervariasi ufuk pandangnya. Apa yang tuntas, kemajuan membawa konotasi positif!

 

Al-Islah. Pembaikan. Al-Hijrah. Perpindahan. Islah dan Hijrah adalah lumrah sepanjang zaman kehidupan manusia. Setiap manusia perlu berubah secara positif agar hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini. Islah merupakan satu proses perencanaan, pemetaan dan pelaksanaan dalam konteks perubahan struktur dan budaya sosial seseorang individu atau sesebuah masyarakat ke arah kebaikan. Teringat semasa bekerja di Perodua, orang Jepun menamakan konsep ini sebagai Kaizen iaitu continuous improvement atau dalam bahasa Melayunya panambahbaikkan berterusan. Sesungguhnya konsep berubah ke arah khair yang disebut islah itu amat Islamik sifatnya. Malah seluruh para Rasul yang diutus oleh Allah SWT telah melakukan rekayasa islah yakni perubahan sosial dan anjakan paradigma umat dengan berpaksikan penghayatan beragama dan rasa berTuhan.

 

Teruskan pembacaan »

“Filem Sang Murabbi.. Filem-filem Sebegini Wajar Terus Dihasilkan”

As-Sarawaki, 6 September 2008: Alhamdulillah! Di dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmidzi dan dinilai hasan oleh al-Albani, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang Akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah memudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan meletakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah mencerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditaqdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)”.

 

Sebelum membaca lebih lanjut entri ini, saya mengajak saudara dan saudari menghayati trailer Filem ‘Sang Murabbi’ di atas terlebih dahulu. Filem ‘Sang Murabbi’ mengisahkan tentang ketokohan dan keperibadian pelopor gerakan dakwah yang juga digelar ‘Syaikh at-Tarbiyah – Guru Pentarbiyah’ Partai Keadilan (yang akhirnya menjadi Partai Keadilan Sejahtera (PKS)) Indonesia, almarhum Ustaz Rahmat Abdullah. Ini merupakan filem ke-3 dari Indonesia yang bagi saya cuba membawa nuansa Islamik dalam pembikinannya selepas ‘Kiamat Sudah Dekat’ dan ‘Ayat-ayat Cinta’. Secara jujur, saya menilai filem ‘Kiamat Sudah Dekat’ memberi satu mesej baik meskipun ada kompromi sana-sini, manakala filem ‘Ayat-ayat Cinta’ pula saya dapati tidak seIslamik novelnya malah sebahagian babak lakonan antara pelakonnya yang bukan mahram merupakan ‘Ayat-ayat Fitnah’! Atas segalanya, Indonesia sudah memulai kekreatifan methodologi dakwahnya dan mudah-mudahan Malaysia akan mencontohinya. Mungkinkah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang boleh dikatakan sealiran fikrah dengan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) akan terbit dengan filem pertamanya? Saya mengharap, mudah-mudahan… Bacaan tambahan »»

 

Alhamdulillah, saya pernah terlibat secara langsung dengan sistem tarbiyyah beberapa gerakan Islam termasuk HI (PAS), PKPIM (ABIM), KARISMA (JIM) dan Tabligh semasa berada di menara gading sebagai mahasiswa. (Nota: Maaf kerana UMNO tiada dalam senarai, saya hanya pernah diBTNkan oleh UMNO dan kurang pasti sama ada program BTN itu boleh dikategorikan sebagai program Tarbiyyah Islamiyyah). Teruskan pembacaan »

* Source: Shell Malaysia Exploration & Production PC Sign-On.

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 45 other followers