Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for the ‘Kembara Muhandis’ Category

Jom Umrah

Sesiapa yang berminat, sila hubungi:

1. Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob – 019-8854266

    Email: somchit_pratchai@yahoo.com

2. Ustaz Roshaidin Othman – 012-6948756

    Email: therockns@hotmail.com

3. Puan Lily Hj Morni – 016-8729208

    Email: lilyhjmorni@yahoo.com.my

4. Muhtar Hj Suhaili – 016-8909717

    Email: al_akhyar81@yahoo.com

Read Full Post »

Banner Walimatul Urus

“Jemputan Walimatul ‘Urus, 29 Disember 2007, Kampung Muhibbah, Niah, Miri”

As-Sarawaki, 23 Disember 2007: Alhamdulillah, segala puji milik Allah SWT di atas segala-galanya. Ini adalah entri pertama saya semenjak bertukar status dari bujang kepada berkahwin dan sekaligus bergelar suami. Alhamdulillah, dengan sekali lafaz di Majlis Akad Nikah pada hari Jumaat, 4 Zulhijjah 1428H bersamaan 14 Disember 2007 bertempat di Masjid Kampung Bako, sahlah saya menjadi suami kepada isteri tersayang, Wan Lydia Salmi Binti Wan Junaidi. Syukur kepada Allah SWT di atas nikmat perkahwinan. Kepada sahabat-sabahat yang masih bujang, saya syorkan segeralah berkahwin! 😀 Mudah-mudahan kita semua beroleh berkat, kebahagiaan dan kemuliaan dunia Akhirat.

 

Alhamdulillah juga kerana Walimatul ‘Urus sebelah pihak perempuan pada 15 Disember 2007 berjalan dengan lancar. Saya dan isteri ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang datang meraih. Kehadiran kalian amat kami hargai dan syukuri. Insya Allah, Walimatul ‘Urus sebelah pihak lelaki akan diadakan pada hari Sabtu ini, 19 Zulhijjah 1428H bersamaan 29 Disember 2007 bertempat di Lot 22, Kampung Muhibbah, Niah, Miri, Sarawak. Sahabat-sahabat dan tetamu ziarah yang budiman sekalian dengan penuh takzim dan segala hormatnya dipersilakan hadir ke kediaman kami untuk sama-sama memeriahkan kenduri kesyukuran ini.  

 

‘Honeymoon’ dan ‘Eidul Adha 1428H 

 

Alhamdulillah, pada 16 Disember 2007 kami telah terbang ke Kuala Lumpur dan seterusnya ke Swiss-Garden Golf Resort & Spa, Damai Laut, Off Pangkor Island, Perak Darul Ridzuan untuk ‘berbulan madu’ sehingga 19 Disember 2007. Alhamdulillah syukur di atas nikmat duniawi kurniaanNya! Semoga rumahtangga yang dibina berkekalan bahagia dan membawa ke Syurga. Amiin.

 

Cari olehmu akan sahabat yang boleh dijadikan ubat;
Cari olehmu akan guru yang mengenal segala seteru;
Cari olehmu akan isteri yang boleh menyerahkan diri;
Dan jadi olehmu akan abdi yang ada baik budi.

 

Sekembali dari ‘honeymoon’ di Pulau Pangkor, kami kembali ke Kuala Lumpur untuk sambutan ‘Eidul Adha dengan bersolat sunat di Masjid Jamek Kuala Lumpur. Lari dari kebiasaan hari-harinya, Kuala Lumpur agak lengang tanpa hiruk-pikuknya. (selanjutnya…)

Read Full Post »

Korean Restaurant

“Kenangan Menjamu Selera Makan Tengahari Di Sebuah Restoran Korea”

As-Sarawaki, 2 November 2007: Alhamdulillah! Antara ziarah ke luar negara yang sangat memberi kesan kepada diri saya ialah Kembara ke Korea Selatan. Malah alhamdulillah, saya berkesempatan mengabadikannya di dalam bentuk tulisan berupa sebuah catatan hari ke hari untuk dijadikan manuskrip sejarah diri dan akan disimpan di dalam arkib bibliografi kehidupan. Melalui entri ini, suka untuk saya kongsikan dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian petikan dari catatan tersebut yang menyentuh tentang kedudukan Islam dan perkembangan dakwah di Bumi Sakura ini. Semoga ada khair dan manfaatnya.

 

Catatan Bertarikh 10 April 2006: 

 

[…] Berikut merupakan komentar dan journal yang terhasil melalui pencarian maklumat melalui internet mengenai Korea Selatan atau nama rasminya Republik Korea dan lebih penting lagi berkenaan Islam di Korea. Segala maklumat mengenai sejarah, kerajaan, polilik, sosio-ekonomi, budaya,  demografik, keadaan geografi dan pebagai lagi maklumat mengenai Republik Korea boleh didapati di http://en.wikipedia.org/wiki/South_Korea. Daripada ensiklopedia yang sama juga boleh diperolehi maklumat mengenai Islam di bumi Korea Selatan (Korean: 대한민국, IPA: [tɛː.han.min.ɡuk̚], listen) melalui link berikut http://en.wikipedia.org/wiki/Islam_in_Korea#Early_history atau melalui laman web http://islamic-world.net/islamic-state/islam_in_korea.htm.

 

Alhamdulillah, menurut ensiklopedia tersebut terdapat seramai 40,000 penganut agama Islam di Korea daripada keseluruhan 48,422,644 jumlah populasi penduduknya. Ini bermakna umat Islam Korea hanya merangkumi sejumlah 0.08% daripada keseluruhan rakyat di negara seluas 98,480km2 ini. Menurut Ustaz Lee Hee-Soo (Yi Hui-su), Presiden Institut Islam Korea, 10,000 daripada jumlah 40,000 umat Islam tersebut adalah penganut Islam yang taat melaksanakan ajaran agama yakni practising Muslims.

 

Sebenarnya, semalam juga saya ada bertanya kepada Mr. Jang tentang agama-agama yang dianuti oleh rakyat Korea. Menurut Mr. Jang, selain Islam, lebih kurang 20% rakyatnya menganut fahaman Buddhism atau Shamanism, 20% lagi beragama Kristian Katolik manakala 20% pula adalah berfahaman Kristian Protestan dan selebihnya merupakan Free Thinker atau Atheis termasuk Mr. Choi dan Mr. Park yang saya turut berurusan sepanjang seminggu bertugas di sini. Di dunia ini orang Atheis adalah orang yang paling malang sekali. Hidupnya hanyalah semata-mata mengejar sesuatu yang tidak pernah akan dia temui kebahagiaan maknawi di dalamnya. (selanjutnya…)

Read Full Post »

Multinationals

Bersama Rakan Sekursus di Pantai Scheveningen, Belanda

As-Sarawaki, 8 Oktober 2007: Selamat tinggal Belanda.. Home Sweet Home! Alhamdulillah, saya baru sahaja selamat tiba di tanah air tercinta setelah menyelesaikan Kursus Process Control and Instrumentation (Comprehensive) di Rijswijk, Belanda. Atas segalanya Dank U Well (Terima Kasih) Holland! Entri ini ditulis dari Golden Lounge KLIA setelah melalui penerbangan selama lebih kurang 12 jam tanpa henti sementara menunggu penerbangan seterusnya pulang ke Bandaraya Miri pada pukul 10.00 pagi ini. Insya Allah dalam keterbatasan waktu yang ada ini, saya suka berkongsi dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian satu catatan positif untuk dijadikan teladan dan satu catatan negatif untuk dijadikan sempadan tentang Belanda untuk didiskusi dan difikir-renungkan. Mudah-mudahan ada khair dan manfaatnya.

 

Catatan Positif (Sisi Terang): Budaya-budaya di Belanda Untuk Dicontohi

 

Sesungguhnya sepanjang berada di bumi Belanda – secara keseluruhannya lebih kurang 6 bulan, banyak perkara positif (meski tidak dinafikan banyak juga negatifnya) yang saya pelajari daripada kehidupan masyarakat negara ini. Malah saya kini terkesan dan memahami makna tersurat dan tersirat kata-kata Sheikh Muhammad Abduh berikut:

 

“Aku ke Paris dan kutemui Islam tanpa Muslim. Kupulang ke Mesir, kutemui Muslim tanpa Islam”

Berikut disertakan juga sebuah puisi yang saya nukilkan di Kota Paris yang alhamdulillah kebetulan genap setahun hari ini:

 

MAJU MENUJU CITA

Majulah…
Majulah duniaku..
Majulah Akhiratku..
Majulah dunia dan Akhiratku!

MUHTAR SUHAILI
Gare Du Nord, Paris
8 Oktober 2006, 10.00am. 

 

Secara jujur, banyak budaya positif masyarakat Belanda yang wajar kita contohi serta bersesuaian untuk diamalkan di dalam kehidupan seharian. Melalui entri ini, saya hanya senaraikan 2 budaya tersebut. Saya yakin dan percaya budaya-budaya ini sebenarnya budaya Islam yang dituntut oleh Al-Qur’an dan As-Sunnah, cuma ia kurang diamalkan oleh para Muslimin. (selanjutnya…)

Read Full Post »

The top floor of the Essalam Mosque

Pemandangan Bahagian Atas Masjid Essalam, Rotterdam

As-Sarawaki, 3 Oktober 2007: Alhamdulillah, seorang Mukmin sejati pastinya akan gembira apabila mendengar berita bahawa hampir setiap hari ada saja insan baru memeluk Islam di Belanda. Seorang pencinta Islam hakiki pasti riang ria sanubarinya andai dikhabarkan bahawa terdapat lebih 500 masjid (termasuk masjid kecil yang kalau di Malaysia dipanggil surau) di Belanda dan ia semakin bertambah sehingga memaksa kerajaan tempatan menghadkan jumlahnya. Muslim sebenar hatinya pasti akan berirama bahagia apabila mendapat tahu pembinaan Masjid Essalam iaitu masjid terbesar di Eropah Barat sudah hampir siap sepenuhnya di Kota Rotterdam. 

 

Masjid Essalam dengan menara berkembar setinggi 50 meter (164 kaki) yang dibina berhampiran Stadium Feyenoord dan dibiayai oleh hartawan dari United Arab Emirates (UAE) ini mampu menampung 1,200 jemaah dalam satu masa dan turut dilengkapi dengan dewan solat, pejabat pentadbiran, madrasah, kelas pengajian, perpustakaan, dewan persidangan dan kedai Islami. Sebuah lagi masjid utama di Kota Rotterdam ialah Masjid Mevlana yang dirasmikan pembukaannya pada 6 Oktober 2001 tersergam indah dan jelas kelihatan sebelum tiba di Stesen Keretapi Rotterdam Central. Di Rotterdam juga terletaknya sebuah universiti Islam iaitu Islamic University of Rotterdam. Selain itu, berhampiran Rotterdam iaitu di kota Dordrecht, satu lagi masjid mega tengah dibina dengan menara setinggi 30 meter yang akan menjadi antara bangunan pencakar langit di kota tersebut sebagaimana menara Masjid Essalam menghiasi ruang udara Kota Rotterdam. Sebagai rekod, angka terkini menunjukkan bahawa orang Islam merupakan hampir 25% (rujukan: Wikipedia) daripada jumlah penduduk bandar raya Rotterdam.

 

Alhamdulillah, itu adalah antara rasa-rasa yang dirasa dan hikmah yang diperolehi apabila berkunjung ziarah ke Kota Pelabuhan Rotterdam pada hari Sabtu, 29 September yang lepas. Berkenaan saudara kita (atau frasa yang lebih kerap digunakan iaitu saudara baru), ia adalah kisah benar yang saya perolehi melalui sembang-sembang dengan Akhi Uthman tentang senario pengIslaman di Masjid As-Sunnah atau Markaz Ibnu Taimiyyah di The Hague. Malah saya telah diperkenalkan dengan Akhi Hamzah yang baru 2 hari memeluk Islam! Ketika isu murtad menjadi berita hangat di Malaysia, syukur kepada Allah Islam kian berkembang meski bertatih di sini. Alhamdulillah! (selanjutnya…)

Read Full Post »

Tumpuan Untuk Akhirat

Pasangan Bahagia di Vianden, Luxembourg.. Semoga Beroleh Hidayah”

As-Sarawaki, 10 September 2007 (Edisi Kemaskini): Alhamdulillah, syukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, hujung minggu bermula petang Jumaat, 7 September sehingga hari Ahad, 9 September 2007 selama 2 hari dan 2 malam, saya dan sahabat dari Russia, Ildar Faratovich Zubairov telah berpeluang mengembara memerhati kehidupan dan menginsafi keinsanan ke Luxembourg City dan Kota Vianden di Luxembourg serta Kota Brussels di Belgium.

 

Sebagai muqaddimah kepada catatan kembara kali ini, sama-samalah kita hayati bait-bait puisi yang menyentuh jiwa lirik nasyid Antara Dua Cinta. Inilah senikata lagu tentang hakikat realiti kehidupan dan sekaligus pesan bermakna buat kita semua selaku Perantau ke Akhirat. Fahamilah duhai hati: 

 

Apa yang ada jarang disyukuri
Apa yang tiada sering dirisaukan
Nikmat yang dikecap barukan terasa.. bila hilang,
Apa yang diburu timbul rasa jemu
Bila sudah di dalam genggaman

 

Dunia ibarat air laut
Diminum hanya menambah haus
Nafsu bagaikan fatamorgana di padang pasir
Panas yang membahang disangka air
Dunia dan nafsu bagai bayang-bayang
Dilihat ada ditangkap hilang
 
Tuhan leraikanlah dunia
Yang mendiam di dalam hatiku
Kerana di situ tidak ku mampu
Mengumpul dua cinta
Hanya cintamu kuharap tumbuh
Dibajai bangkai dunia yang kubunuh
 
Senilagu: Nazrey
Senikata: Pahrol Mohd Joui (selanjutnya…)

Read Full Post »

Waktu Solat The Hague

Waktu Solat di The Hague, Belanda”

As-Sarawaki, 12 September 2007: Insya Allah, dengan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia semalam telah mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa Ramadhan bagi Malaysia adalah ditetapkan pada hari Khamis, 13 September 2007 berdasarkan Rukyah dan Hisab. Alhamdulillah, tarikh 1 Ramadhan 1428H di Belanda juga telah ditetapkan sejak awal-awal lagi pada tarikh yang sama kerana penentuannya dibuat berdasarkan Hisab sahaja. Rukyah bermaksud penglihatan dan Hisab pula bermaksud hitungan atau kiraan.

 

Sebagai perkongsian, berikut dikongsikan Pengalaman Menjalani Ramadhan di Perantauan pada tahun 2006 lepas yang dipetik dari entri Catatan Kembara Eropah (Belanda+Belgium+Paris). Semoga ada khair dan manfaatnya.

Pengalaman Menjalani Ramadhan di Perantauan

Daripada Abu Hurairah r.a. daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda maksudnya: “Segala amal kebajikan anak Adam itu dilipat-gandakan pahalanya kepada sepuluh hinggalah ke 700 kali ganda kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu adalah untukKu dan Aku (Allah) memberikan balasan pahala kepadanya, kerana dia (orang yang berpuasa) telah meninggalkan syahwat dan makan minumnya kerana Aku.” (Hadith Qudsi Riwayat Muslim)

 

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin, Ramadhan 1427H dijalani buat pertama kalinya di perantauan. Pertama kali menjalani ibadah puasa di luar negara dan insya Allah hanya akan kembali ke tanahair sehari sebelum ‘Eidul Fitri.

 

Alhamdulillah, Ramadhan di bumi Belanda ini walaupun tidak semeriah di Malaysia tetapi bagi diri, roh ‘Ramadhan’ amat terasa. Amat nikmat rasanya apabila mampu untuk terus melaksanakan tuntutan syahadah Rukun Islam ke-3 meskipun pelbagai cabaran dihadapi dan di dalam suasana yang mana Islam adalah gharib (asing) di sini. Sememangnya diakui bahawa semarak Ramadhan di sini perlu kepada kekuatan jiwa dan keutuhan prinsip dek kerana bi’ah (suasana) yang kurang membantu selain Islamiphobia yang masih terus mengakar di seantero Eropah. (selanjutnya…)

Read Full Post »

« Newer Posts - Older Posts »