“Program Mesra ‘08, Ikatan Persahabatan Siswazah Professional Malaysia”
As-Sarawaki, 10 Jun 2008: Alhamdulillah atas nikmat persahabatan! Saya pernah menulis di dalam salah satu entri sebelum ini tentang kata-kata mengenai persahabatan yang amat mendalam maknanya. Ia menyebut: “Friendship without self-interest is one of the most beautiful things in life”, yang sekiranya diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu membawa maksud: “Persahabatan tanpa kepentingan diri merupakan salah satu perkara terindah di dalam hidup.” Saya suka menambah betapa “persahabatan atas dasar akidah adalah perkara paling terindah!”
Mesra ‘08 iPrisma – Jalinan Ukhuwwah dan Fikrah
Alhamdulillah sempena cuti sekolah, pada 5-9 Jun 2008 saya dan isteri berkesempatan ke Kuala Lumpur selain turut serta di dalam program Himpunan Mahabbah yang dinamakan Mesra ‘08 dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-4 Ikatan Persahabatan Siswazah Professional Malaysia (iPrisma) di Port Dickson pada 7-8 Jun 2008. Persatuan ini menghimpunkan golongan professional dalam kalangan alumni UIAM yang masih terus bergiat aktif dengan aktiviti-aktiviti dakwah dan amal Islami selepas bergraduat atas kapasiti masing-masing. Hala tuju iPrisma ialah ke arah menjadi wadah untuk kesinambungan diskusi ilmiah, merencana aktiviti-aktiviti kebajikan di lokaliti setempat dan sebagai hub penyelenggaraan fungsi tarbiyyah, islah dan dakwah.
[Nota: Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan telah dilantik sebagai Presiden UIAM yang baru bagi menggantikan Tan Sri Sanusi Junid berkuat kuasa 2 Jun 2008. Harapan saya sebagai alumni universiti ini ialah semoga UIAM terus kekal sebagai Taman Ilmu dan Budi, terus terpelihara autonomi ilmiahnya dan tidak menjadi medan silat politik!]
Alhamdulillah, sepanjang Mesra ‘08, saya telah bertemu semula dengan ramai sahabat-sahabat (senior dan junior) seangkatan dan seperjuangan semasa di kampus dahulu. Seronok juga rasanya apabila mendapat tahu sahabat-sahabat ini telah berjaya menjadi guru (saya meletakkan guru di senarai pertama), pensyarah, doktor, jurutera, peguam, akauntan, perunding motivasi, eksekutif, pegawai bank, dan ramai juga yang bekerja sendiri atau terlibat dalam perniagaan. Namun apa yang pasti, salah satu topik hangat dan menjadi penghias bual bicara semua ‘insan-insan berkerjaya’ ini ialah kesan kenaikan harga minyak yang mendadak! Maka persoalannya, seandainya rakyat kelas pertengahan seperti merekapun mengeluh, bayangkan bagaimana pula rintihan rakyat marhaen?! (Rakyat Marhaen = Setiap Rakyat Malaysia Yang Melarat).
[Nota: Saya mengikuti dengan penuh minat rancangan ‘Bersemuka Bersama Media (Debat Khas berkenaan isu Kenaikan Harga Minyak)’ yang menampilkan Datuk Shahrir Abdul Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan YB Salahuddin Ayub, Ketua Pemuda PAS. Menarik juga apabila Datuk Shahrir dalam nada gurauan menyatakan YB Salahuddin sebagai bakal Menteri Kewangan. Saya terdetik untuk mencadangkan kepada RTM untuk rancangan seterusnya membuat debat terbuka antara YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan isu sama. Pasti menarik, tertarik dan dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia!]
“Gambar-gambar Kenangan Mesra ‘08 iPrisma – Sahabat-sahabat Nan Mesra”
“Gambar-gambar Candid oleh Bro Akmal Abdullah [Sumber Foto]”
Bual Bicara “Bersemuka Bersama Pemandu Teksi”
Alhamdulillah, selain menghadiri program Mesra ‘08 anjuran iPrisma, sepanjang percutian 5 hari saya dan isteri juga berkesempatan berjalan-jalan di Kuala Lumpur dan sekitar negeri Selangor Darul Ehsan serta bertemu beberapa orang sahabat dan kenalan. Kali terakhir kami ke Kuala Lumpur ialah ketika honeymoon pada Disember tahun lepas yang juga bersempena ‘Eidul Adha.
Salah satu perkara yang saya seronok lakukan sepanjang berada di sini ialah berbual-bual dengan pemandu-pemandu teksi yang kami naiki. Pemandu teksi selalunya amat maklum tentang sentimen rakyat. Suara mereka seringkali mewakili suara rakyat marhaen.
Ada antara pemandu teksi ini saya ajukan soalan provokatif tentang “Apa perbezaan negeri Selangor sekarang di bawah Pakatan Rakyat berbanding Selangor ketika berada di bawah pemerintahan Barisan Nasional?” Salah seorang pemandu teksi yang berjanggut dengan senaskah Al-Qur’an mini terletak di atas dashboard keretanya menyebut: “Masalah tetap ada terutama persefahaman sebenar antara KeADILan, DAP dan PAS dalam perkara-perkara sensitif. Tapi satu perkara yang saya sangat gembira sekarang ialah program-program keagamaan semakin bersemarak.” Kemudian beliau bertanya balik kepada saya tentang berita wakil rakyat yakni Ahli Parlimen Barisan Nasional Sabah dan Sarawak mahu melompat parti ke Pakatan Rakyat. “Sahihkah?” Saya menjawab: “Wallahu a’lam. Tunggu dan lihat!”.
Bersama pemandu teksi yang lain saya berkomentar, “Rasanya pemandu teksi tak terasa sangat dengan kenaikan harga bahan bakar sebab teksi menggunakan NGV.” Seorang pemandu teksi limosin berbangsa India yang menghantar kami ke KLIA menyebut: “Minyak naik, kita juga terasa bang. NGV boleh jimat tapi spare parts, bateri, minyak pelincir, tayar semua harga naik. Barang-barang pun semua naik.. Sekarang susah mau cari makan!”.
Atas segalanya, Allah SWT berfirman di dalam Surat At-Thalaq, ayat 2-3:
“Dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya. Dan (Ingatlah), sesiapa yang bertawakkal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.”
Dari ‘Amru Bin ‘Auf Al-Ansari, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Ansar pada suatu hari:
“Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana dia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.” (Muttafaqun ‘Alaihi)
Bangunan Pejabat PAS Pusat dan Lorong Haji Taib
Pada sebelah malam terakhir di Kuala Lumpur, Saudara Afyan Mat Rawi dan keluarga berkesempatan membawa kami makan malam di Kampung Baru selain berkereta mengitari Kuala Lumpur. Seperkara yang menarik ialah, Saudara Afyan menunjukkan kepada saya Bangunan Pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut yang terletak berhampiran dengan Lorong Haji Taib yang terkenal dengan perkhidmatan seks maknyahnya. Percaya atau tidak, inilah kenyataan… Pejabat Parti Islam sebelah-menyebelah dengan lorong hitam! Mampukah usaha dakwah dengan pendekatan siasah mencegah kemungkaran di sekitar pejabat PAS? Mungkinkah ‘makhluk Tuhan yang paling seksi’ ini diajak menjadi ‘makhluk Tuhan yang paling soleh’? Saya berharap, mudah-mudahan.
“Antara 2 Bangunan: Membangun Bersama Islam vs Hidup Melayu”
Kedai Buku Membuat Pencinta Buku Menjadi Pencandu!
Alhamdulillah, sebagai perkongsian terakhir untuk entri kali ini saya ingin mengajak kepada tetamu ziarah sekalian menjadi pencinta buku dan menyemai budaya membaca. Saya tertarik dengan satu kenyataan yang pernah saya baca yang menyatakan “The man who does not read good books has no advantage over the man who can’t read them!” atau dalam terjemahan mudahnya “Seseorang yang tidak membaca buku tidak mempunyai apa-apa kelebihan berbanding dengan orang yang tidak dapat membaca”.
Sepanjang berada di Kuala Lumpur, saya sempat berziarah ke Pustaka Mukmin, Pustaka Minerva, Kinokuniya KLCC dan Fajar Ilmu Baru di Wisma Yakin, selain tidak berkesempatan ke Borders di Times Square. Saya terasa amat teruja setiap kali berada di kedai-kedai buku ini dan menghabiskan paling kurang sejam di setiap tempat (alhamdulillah isteri tercinta sabar menunggu dan setia menemani ) untuk mencari buku-buku terbaru yang masih belum ada dalam perpustakaan mini saya. Sedar tidak sedar, hampir RM700 dibelanjakan untuk tujuan pembelian buku. Namun ilmu yang ada pada buku tersebut pastinya tiada ternilai dengan wang ringgit. Lagipun, kedai-kedai buku yang ada di Miri seperti Popular dan PBB Union tidak mempunyai koleksi buku yang sebanyak dan sevariasi kedai-kedai buku di sini.
Justeru dan oleh itu, marilah kita semai bersama minat membaca. Dengan usaha sedemikian, kita pastinya akan beroleh manfaat bermakna dan booster terbaik dari buku-buku berkenaan, insya Allah. Membacalah, anda pasti akan beroleh nafas, ilmu dan semangat baru menghadapi hari-hari depan serta memberi nilai tambah kepada strategi menghadapi Sekolah Kehidupan!
“Alhamdulillah, Antara Buku-buku Terbaru Yang Dibeli Di Kuala Lumpur”
QUOTE OF THE DAY:
“Taatilah kepada aku selagi aku taat kepada Allah. Sekiranya aku menyeleweng atau melanggar perintah Allah jangan taat kepada aku. Tentanglah aku sehingga aku kembali kepada hukum Allah.” Ucapan Sayidina Abu Bakar as-Siddiq ketika dilantik menjadi Khalifah Islam.
Sekian dahulu entri “Jalinan Ukhuwwah Dan Khabar Dari Kota Kuala Lumpur” ini. Apa yang pasti… Jalinan ukhuwwah membawa kepada persahabatan. Khabar dari Kota Kuala Lumpur membawa berita rencam yang menarik untuk diperhatikan lanskap masa depan ekonomi, sosial dan politiknya!
Wallahu a’lam bissawab.
Assalamualaikum…
Ketika debat semalam, Dato’ Shahrir berseloroh yg YB Solehuddin bakal Menteri Kewangan…
Kalau buat debat antara PM ngan Anwar gamaknya, ada tak mungkin Pak Lah berseloroh yg Anwar bakal PM?
Rasenyer… Tak kot… Takkot… Takot.
Sdr Muhtar,
Saya juga menontonnya dengan penuh perasaan. Diselang selikan dengan rancangan Hujah di tv9. Hebat melihat orang berhujah, membenarkan yang benar, dan menyalahkan yang salah…
Ukhuwwah fillah!
Kumpulan Prihatin Malaysia (KPM) United Kingdom merasa kesal di atas pemecatan perkhidmatan Tan Sri Sanusi Junid sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). KPM melihat bahawa penamatan tersebut adalah bermotifkan politik semata-mata dengan menasihati DYMM Sultan Pahang selaku Ketua Perlembagaan UIAM untuk memecat Tan Sri Sanusi bagi mencapai matlamat mereka yang berkepentingan. KPM sangat meragui penamatan khidmat Tan Sri Sanusi Junid itu adalah datangnya dari kehendak DYMM Sultan Ahmad Shah sendiri walhal pada hakikatnya ianya dimanifestasikan oleh pemimpin Umno tertentu.
Dengan terlantiknya Tan Sri Mohd Sidek Bin Hassan sebagai Presiden UIAM yang baru, yakni serentak dengan pemecatan Tan Sri Sanusi jelas menunjukkan bahawa perlucutan jawatan Tan Sri Sanusi adalah sesuatu yang telah dirancang dan diduga oleh pihak-pihak tertentu. KPM yang sememangnya tidak mempertikaikan kredibiliti Tan Sri Sidek, namun adalah menjadi kekhuatiran sekiranya Tan Sri Sidek yang juga merupakan Ketua Setiausaha Negara sekarang mampu untuk memberikan perhatian dan komitmen yang serius terhadap pembangungnan UIAM sebagai sebuah gedung ilmu dan masyarakat berbanding dengan Tan Sri Sanusi mendermakan sepenuh masanya untuk pembangunan pelajar dan universiti.
KPM juga kesal kepda pihak-pihak tertentu yang sanggup menggadaikan pembangunan akademik umat islam dengan mencampur-adukkan permasalahan politik tanahair dan akademik terutamanya kemelut politik Umno yang sedang membarah sekarang. Pengishtiharan keluarnya Tan Sri Sanusi Junid dari Umno tidak sepatutnya dikaitkan jawatannya sebagai Presiden UIAM di mana semua warga UIAM tahu akan kejayaan Tan Sri Sanusi memimpin UIAM sepanjang 8 tahun sebelum ini. Namun langkah terdesak pemimpim Umno yang takut akan bayang-bayang mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir bersama Tan Sri Sanusi sehingga sanggup mencantas dan menyekat di mana jua mereka berada demi menjaga survival politik pemimpin Umno sehingga sanggup menggadaikan pembangunan akademik warga UIAM.
Oleh yang demikian, KPM berharap YAB Perdana Menteri perlu memberi penjelasan kepada ribuan mahasiswa dan kakitangan UIAM yang tersinggung dengan pemecatan Tan Sri Sanusi Junid yang jelas sudah berada dan memahami selok-belok UIAM. Pejabat Presiden UIAM yang beroperasi sepenuhnya sepanjang penjawatan Tan Sri Sanusi perlu dipastikan kekal ber’tuan’ sepanjang waktu dan bukannya sebagai ‘part-time’. Begitu juga Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato Khaled Nordin yang dilihat cuba mengelak dari bertanggungjawab di atas pemecatan Tan Sri Sanusi Junid.
Yang Benar,
RAJA AHMAD AL-HISS
Pengarah Perhubungan Awam
KPM House
18, Galsworthy Avenue
M80SQ Manchester
Tel : +44 7727248661
Emel : kpmuk@yahoo.co.uk
Tan Sri Sanusi dipecat daripada jawatannya sebagai Presiden UIAM.
Pertamanya, Tan Sri tak perlulah terkejut. Saya berada di UIAM hampir empat tahun. Sedikit sebanyak saya tahu permainan politik pentadbiran. Cuma, lemahnya saya, saya tidak ada bukti yang kukuh untuk dedahkannya di media. Mungkin ruang kali ini, saya hanya bagi gist-gist dan selebihnya harap ada pihak yang sudi menyiasat sejauh mana kebenarannya.
Kenapa Tan Sri perlu terkejut?
Baca lagi di miorisfandy.blogspot.com
slm akhi muhtar n kak lydia,
seronok dpt berjumpa kembali shbt2 lama sewaktu di kampus dulu.. kebanyakannya dah berubah status.. 🙂
insyaAllah panjang umur blh jumpa lagi..
– last day MESRA08 hari tu tak sempat bergambar beramai2 sbb terpaksa balik awal krn ada hal.
– kirim salam pd kak lydia. nice knowing her..!! 🙂
– jemput ziarah ke http://dinaluzriq.blogspot.com. (tapi dah lama tak update)
Assalamualaikum
Sebagai perkongsian. Sbhg gambar yang diambil semasa MESRA08. Just upload it yesterday.
http://picasaweb.google.com/xirkmy/MESRA08/
Komen. No komen. Keep yr blog exist. Update it frequently.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Saudara Sani, Saudari Hartini;
Alhamdulillah. Syaja’ah = Mengiyakan yang benar dan menidakkan yang bukan.
Saudari Mardiana;
Alhamdulillah, ukhuwwah fillah dari ana dan Kak Lydia. 🙂
Saudara Akmal;
Alhamdulillah and thanks for sharing the outstanding candid photos.. Superb! “This is my personal verdict for couple of the event”? 🙂
Fastabikul khairat!
Salam, minta tolong emelkan gambar-gambar tu ye 🙂
As-Sarawaki: Sudah dihantar melalui e-mail. Jemput jalan-jalan sambil berdakwah ke Sarawak.
[…] Catatan Mesra ’08 Saudara Afyan Mat Rawi: “MESRA” […]
[…] Catatan Mesra ‘08 Ustaz Ridhauddin: “Bertemu Untuk Bekerja” […]
MESRA 2008, semoga ketemu lagi 2009…
As-Sarawaki: Insya Allah.
[…] saya cuma mengetahui tentang iPRISMA setelah membaca entry-entry dari weblog Ust. Ridha dan Ust. Mukhtar (Wah, pasti gembira dengan cahaya mata pertama!) walaupun turut dijemput […]