Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for 10 April 2008

Souht Furious 

Mehnah Tugasan Offshore: Menginsafi Diri dan Memaknakan Kehidupan! 

As-Sarawaki, 10 April 2008: Alhamdulillah atas nikmat iman dan Islam! Entah mengapa sejak akhir-akhir ini saya lebih minat membaca (buku/ blog/ halaman internet) dan kurang mood untuk menulis. Tetamu ziarah yang sentiasa mengikuti perkembangan laman weblog ini pasti sedar akan kurangnya penulisan entri-entri baru dan terkini. Mungkin ada hikmahnya untuk saya ‘berhibernasi’ sebentar bagi melihat ke dalam diri dan mendengar bicara hati nurani. Satu pesanan dari guru murabbi saya yang sentiasa terngiang-ngiang di telinga: “Hati yang mati tidak akan menghidupkan hati mati yang lain!”

 

(Entri Asal, 30 Mac 2008: Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Insya Allah bermula 31 Mac sehingga 5 April 2008, saya akan ke offshore (Pelantar South Furious, Sabah). Sebagai perkongsian dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian, saya menjemput saudara dan saudari untuk membaca entri saya ketika kali pertama bertugas di offshore: Terkenang Akhirat di Offshore. Mudah-mudahan ada manfaatnya dunia dan Akhirat. Amiin Ya Rabb!)

 

Sekembali dari offshore tempoh hari, salah satu isu yang banyak ditanyakan kepada saya ialah tentang isu boikot barangan Belanda (termasuk minyak Shell – syarikat tempat saya bekerja) dek kerana Filem Fitna oleh ahli politik berhaluan kanan Belanda, Geert Wilders laknatullah! Saya menerima banyak sms dan email memohon maklumbalas berkenaan isu ini.. Namun, maafkan saya kerana semua sms dan email yang dihantar tidak saya balas! Saya di dalam dilemma! Sila baca entri Ustaz Hasrizal Abdul Jamil berikut: Tidak Bersih Islam Dengan Kotor Muslim. Saya mengiyakan entri tersebut dan meninggalkan komen seperti di bawah:

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh;

 

Ustaz telah berkata benar: “Tidak Bersih Islam Dengan Kotor Muslim”. Saya alhamdulillah adalah seorang Engineer di Shell dan dalam masa yang sama saya menyelar penerbitan Filem Fitna! Dilemma pasti ada dalam hal ini! Untuk makluman, makluman dalaman syarikat telah menyatakan tidak bersetuju dengan penerbitan Filem Fitna.

 

Seperkara lagi, saya juga adalah warga Sarawak yang mana Muslim adalah minoriti (30%). Saya menyatakan fakta minoriti ini kerana mengambil kira perasaan lebih sejuta penduduk minoriti Muslim Belanda dalam dilemma disebabkan isu ini.

 

Alhamdulillah, saya pernah berada di Belanda selama 7 bulan (3 kali business trips). Sebagai perkongsian, berikut disertakan pautan beberapa catatan saya untuk didiskusikan bersama:

 

1. Ziarah Rotterdam – Islam Kian Berkembang di Belanda:

https://muhtarsuhaili.wordpress.com/2007/10/03/ziarah-rotterdam-islam-kian-berkembang-di-belanda/

 

2. Hikmah Kembara: Dank U Wel Holland!:

https://muhtarsuhaili.wordpress.com/2007/10/08/hikmah-kembara-dank-u-wel-holland/

 

Wallahu a’lam.

 

Melalui entri ini yang mungkin saja merupakan luahan jiwarasa yang ada kaitannya dengan ehwal diri kini, saya suka berkongsi dengan tetamu ziarah yang beriman lagi budiman sekalian tentang Mehnah dan Tribulasi dalam Perjuangan. Kebanyakan maklumat di dalam entri ini adalah input yang diperolehi hasil daripada salah satu Kuliah Dasar yang disampaikan semasa mengikuti tamrin ketika zaman mahasiswa dahulu.  Semoga ada khair dan manfaatnya, mudah-mudahan.

 

Allah SWT berfirman di dalam Al-Qur’an, Surah Al-Ankabut, ayat 2-3:

 

(Maksudnya): Apakah manusia itu mengira bahawa mereka akan dibiarkan (begitu sahaja setelah mereka) mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya (dengan itu) Allah mengetahui orang-orang yang dusta (di kalangan mereka).

 

Sebagai muqaddimah, marilah kita memahami maksud mehnah terlebih dahulu. Ramai yang amat suka menyebut ayat bombastic mehnah dan tribulasi yang sedap didengar ini di dalam ceramah-ceramahnya, tetapi sejauh mana hadirin dan kita benar-benar faham akan pengertiannya?

 

Secara ringkas, mehnah berasal daripada perkataan Arab yang membawa maksud ujian atau cabaran. Tribulasi pula berasal daripada perkataan Inggeris tribulation yang membawa maksud kesengsaraan atau kesusahan. Tribulasi juga boleh membawa maksud ujian, cuma ianya adalah dalam bentuk kesusahan.

 

Sememangnya telah menjadi lumrah dan fitrah dalam perjuangan menegakkan agama Allah ini, para pejuang pasti berhadapan dengan pelbagai ujian dan rintangan. Istilah yang sering kita gunakan adalah mehnah dan tribulasi. Sejarah telah membuktikan bahawa semua pejuang Islam yang benar-benar ikhlas dan berada dalam jalan yang benar tidak mungkin terlepas daripada dikenakan ujian. Para Nabi, para Rasul Allah, sahabat-sahabat mereka, para ulama’ pewaris Nabi dan sekalian da’ie. Secara umum pastinya ditimpa ujian yang datang menguji. Perkara ini sudah menjadi suatu kemestian atau prasyarat kepada pejuang Islam bagi melihat sejauh mana ketahanan dan istiqamah mereka dalam perjuangan.

 

Sejarah Perjuangan Islam

 

Sejarah perjuangan Islam bermula dengan lahirnya Nabi Adam a.s. Perjuangan beserta mehnah dan tribulasi ini kemudiannya terpaksa dihadapi oleh Rasul-rasul dan pejuang-pejuang Islam selepasnya. Contoh-contoh perjuangan yang perlu dihadapi oleh nabi-nabi dan Rasul-rasul terdahulu adalah seperti:

 

Nabi Musa a.s. yang menghadapi kezaliman Fir’aun dalam melaksanakan dakwahnya sepertimana yang diceritakan di dalam Al-Quran:

 

“Sesungguhnya Fir’aun telah berbuat sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah-belah, dengan menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak laki-laki mereka dan membiarkan hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir’aun termasuk orang-orang yang berbuat kerusakan” (Surah Al-Qasas, ayat4).

 

Nabi Luth a.s. juga menghadapi cabaran dalam menyebarkan da’wahnya apabila beliau dikelilingi oleh umat-umatnya yang tidak mahu mengikut sunnah kejadian manusia. Mereka hidup dalam kemungkaran iaitu mengamalkan tabiat homoseksual. Ini jelas dalam firman Allah yang bermaksud:

 

“Luth berkata: “Sesungguhnya mereka adalah tamuku; maka janganlah kamu memberi malu (kepadaku)”” (Surah Al-Hijr, ayat 68).

 

Rasulullah Nabi Muhammad SAW juga tidak terlepas daripada menerima tentangan musuh-musuh Islam yang mengingkari da’wah Islamiyyah yang ingin baginda sampaikan. Segala bentuk komplot, penghinaan, cacian, makian, fitnah dan penyeksaan fizikal dan mental baginda diuji. Namun, segala cabaran dan mehnah yang datang tidak pernah menggentarkan Rasulullah SAW untuk terus menyebarkan risalah Islam bersama para sahabat baginda pada ketika itu.

 

Cabaran Masa Kini

 

Setiap zaman akan lahir pendokong-pendokong agama Allah. Imam Hassan Al-Banna (Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin) ditentang hebat atas alasan mengganggu-gugat kelangsungan perancangan penjajah-penjajah Barat. Beliau ditembak dan (mudah-mudahan) syaheed pada tahun 1949 kerana membangkitkan kesedaran dan kebenaran di kalangan rakyat. Syed Qutb dihukum bunuh pada tahun 1966. Institut perisik negaranya telah menyusun pelbagai fitnah untuk menimbulkan kebencian terhadap gerakan dan penyokong-penyokong beliau. Zainab Al-Ghazali, srikandi Muslimat, diheret oleh pihak kerajaan ke penjara dan dikurung di bilik yang penuh dengan anjing-anjing liar semata-mata kerana da’wah Islam yang ingin beliau sebarkan.

 

Bentuk-bentuk Mehnah  dan Tribulasi

 

Hadis Rasulullah SAW bermaksud:

 

“Orang Mukmin sentiasa di ambang lima dugaan yang susah; mukmin yang dengki padanya, munafik yang benci padanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya”.

 

Terdapat beberapa halangan dalam dunia Islam. Pelbagai cabaran yang menghalangnya menuju puncak kegemilangan. Di antara contoh-contohnya ialah;

 

a) Perancangan mantap oleh Yahudi (Zionis) untuk menghancurkan Islam

 

– Membuat strategi untuk mencabul nilai-nilai ketuhanan dan kehambaan kepada Allah. Buktinya, berlaku pada tahun 1895, apabila  kongres pertama orang-orang Yahudi telah menetapkan untuk menghancurkan umat Islam di seluruh dunia dan menjadikan mereka hamba-hamba Zionis

– Membudayakan orang-orang Islam dengan materialisme sehingga mereka sanggup menukar prinsip yang ditetapkan Allah untuk mencapai kemewahan dan memenuhi hawa nafsu.

 

b) Umat Islam lupa diri dan berada jauh dari nilai-nilai Islam yang sebenar

 

– Berpecah-belah sesama sendiri

– Mengutamakan kepentingan diri lebih daripada kehendak Allah.

 

c) Kelemahan pemikiran umat Islam

 

– Meniru dan meminjam idea-idea asing

– Prinsip berpada dengan apa yang ada menyebabkan tiada inisiatif dan usaha untuk menghasilkan benda baru untuk dunia Islam.

 

d) Keruntuhan akhlak dan iman umat Islam

 

– Anuar Al-Jundi, ahli fikir dan pengarang Islam menulis bahawa mereka telah memutuskan bahawa peperangan yang bakal dilancarkan ke dunia Islam ialah peperangan idea dan kata-kata kerana aqidah umat Islam tetap teguh walaupun mundur pada aspek yang lain. Oleh itu, perlu dilemahkan aqidah tersebut dan inilah agenda evergreen mereka seantero dunia.

 

Pantai Kehidupan 

 

“Semoga kita berjaya mengharungi gelora mehnah dan tribulasi kehidupan menuju ke pelabuhan kejayaan” 

 

 

Hikmah Mehnah dan Tribulasi

 

Antara hikmah mehnah dan tribulasi yang akan dapat dikecapi oleh para Mukmin termasuklah:

  • Menunjukkan sifat kehambaan, tanggungjawab serta pergantungan kepada Allah SWT
  • Menampakkan yang haq dan yang batil
  • Sebagai satu bentuk pentarbiyyahan diri
  • Melahirkan individu yang berjiwa besar untuk kebangkitan Islam
  • Membersihkan diri orang-orang yang beriman supaya keimanan mereka semakin mantap
  • Mendidik generasi menjadi sabar, tangkas dan mempunyai azam yang kuat.

Cara-Cara Menghadapi Mehnah dan Tribulasi

 

Akhir sekali, berikut disertakan beberapa cara menghadapi mehnah dan tribulasi sebagai panduan. Semoga ia bermanfaat buat diri(ku) yang sentiasa lupa dan alpa. Bimbinglah kami Ya Allah!

  • Ikhlas dalam perjuangan
  • Mendidik jiwa dan ketahanan menerusi latihan kerohanian
  • Berada dalam jamaah
  • Sabar dan gigih dalam menghadapi musuh-musuh Islam
  • Meletakkan cita-cita tertinggi “syaheed dalam perjuangan” sebagai matlamat utama! 

“Ya Allah, andainya hari ini hari kepulanganku, maka jadikanlah semua aktivitiku sebagai kebaikan di sisimu”. Amiin Ya Rabb!

 

Wallahu a’la wa a’lam. 

 

http://www.muhtarsuhaili.com

Read Full Post »