Feeds:
Kiriman
Komen-komen

Archive for 19 Oktober 2007

Jom Ke Masjid

Ayuh Ke Masjid… Jom Jadikan Masjid Pusat Kecemerlangan

As-Sarawaki, 19 Oktober 2007: Alhamdulillah atas segala-galanya. Saya menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Sarawak menjadikan masjid-masjid di Bumi Kenyalang sebagai pusat perkembangan ilmu sekaligus menjadi hub melahirkan intelligentsia Muslim. Malah hati kecil saya sesungguhnya berirama gembira apabila membaca berita muka hadapan Borneo Post hari ini bertajuk “Education via mosques” – “Pendidikan melalui masjid”. Saya doakan semoga usaha murni ini akan membuahkan natijah positif dan menghasilkan impak bermakna. Insya Allah saya akan berusaha menyumbang dan berikhtiar mengambil bahagian dalam menjayakan agenda ini.

 

Apabila menyebut tentang peranan masjid, maka sewajarnyalah masjid-masjid kita dikembalikan fungsinya seperti masjid pada zaman Nabi SAW. Masjidlah tempat ibadah. Masjidlah tempat belajar dan mengajar, dididik dan mendidik. Masjidlah tempat bersilaturrahim dan berkasih sayang. Masjidlah tempat urusan munakahat. Masjidlah sebagai ‘pejabat kedutaan Islam’ menerima perwakilan asing. Masjidlah sebagai ‘parlimen’ membincangkan masalah ummah. Masjidlah tempat ‘kabinet’ bermesyuarat menentukan dasar, prinsip dan polisi. Masjidlah yang menjadi madrasah dakwah. Masjidlah tempat latihan ketenteraan untuk persediaan jihad. Masjidlah pusat politik, sosial dan ekonomi. Pendek kata, masjid adalah pusat membina tamadun, menghidupkan tradisi kecemerlangan dan menegakkan syi’ar keindahan Islam.

 

Persoalannya, masihkah fungsi-fungsi ini menjadi ‘roh’ kepada bangunan masjid yang kebanyakannya besar-besar, eksklusif lagi dihias indah, tetapi sunyi, hening dan sepi tanpa imarah? Sedih bila memikirkan realiti betapa masjid hanya menjadi ‘tumpuan ramai’ pada Hari Raya ‘Eidul Fitri dan ‘Eidul Adha semata-mata selain solat Jumaat (atau di Nusantara malam Jumaat kerana ada bacaan Yaasin). Masjid juga sewajarnya bukan milik ‘orang veteran’ sahaja, anak muda juga wajar menjadi pengunjung setianya. Bukankah salah satu golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naunganNya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri ialah lelaki yang hatinya sentiasa berpaut dengan masjid? (selanjutnya…)

Read Full Post »