Feeds:
Kiriman
Komen-komen

“Filem Sang Murabbi.. Filem-filem Sebegini Wajar Terus Dihasilkan”

As-Sarawaki, 6 September 2008: Alhamdulillah! Di dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmidzi dan dinilai hasan oleh al-Albani, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang Akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah memudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan meletakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah mencerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditaqdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)”.

 

Sebelum membaca lebih lanjut entri ini, saya mengajak saudara dan saudari menghayati trailer Filem ‘Sang Murabbi’ di atas terlebih dahulu. Filem ‘Sang Murabbi’ mengisahkan tentang ketokohan dan keperibadian pelopor gerakan dakwah yang juga digelar ‘Syaikh at-Tarbiyah – Guru Pentarbiyah’ Partai Keadilan (yang akhirnya menjadi Partai Keadilan Sejahtera (PKS)) Indonesia, almarhum Ustaz Rahmat Abdullah. Ini merupakan filem ke-3 dari Indonesia yang bagi saya cuba membawa nuansa Islamik dalam pembikinannya selepas ‘Kiamat Sudah Dekat’ dan ‘Ayat-ayat Cinta’. Secara jujur, saya menilai filem ‘Kiamat Sudah Dekat’ memberi satu mesej baik meskipun ada kompromi sana-sini, manakala filem ‘Ayat-ayat Cinta’ pula saya dapati tidak seIslamik novelnya malah sebahagian babak lakonan antara pelakonnya yang bukan mahram merupakan ‘Ayat-ayat Fitnah’! Atas segalanya, Indonesia sudah memulai kekreatifan methodologi dakwahnya dan mudah-mudahan Malaysia akan mencontohinya. Mungkinkah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang boleh dikatakan sealiran fikrah dengan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) akan terbit dengan filem pertamanya? Saya mengharap, mudah-mudahan… Bacaan tambahan »»

 

Alhamdulillah, saya pernah terlibat secara langsung dengan sistem tarbiyyah beberapa gerakan Islam termasuk HI (PAS), PKPIM (ABIM), KARISMA (JIM) dan Tabligh semasa berada di menara gading sebagai mahasiswa. (Nota: Maaf kerana UMNO tiada dalam senarai, saya hanya pernah diBTNkan oleh UMNO dan kurang pasti sama ada program BTN itu boleh dikategorikan sebagai program Tarbiyyah Islamiyyah). Teruskan pembacaan »

* Source: Shell Malaysia Exploration & Production PC Sign-On.

 

 

 

“(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah mengkehendaki kamu beroleh kemudahan, dan Allah tidak mengkehendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur” (Al-Qur’an, Surah Al-Baqarah, ayat 185).

 

 

Imam Bukhari, Muslim dan Ahmad meriwayatkan hadith daripada Sahal bin Sa’ad, Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya di dalam Syurga terdapat satu pintu yang dikenali dengan ar-Raiyyan di mana yang berhak memasukinya hanya orang yang berpuasa. Apabila selesai masuk (orang yang berpuasa) nescaya pintu itu akan ditutupnya”. Mengikut riwayat an-Nasai, dengan tambahan: “Sesiapa yang masuk di dalamnya nescaya dapat meminum di

mana sesiapa yang meminumnya nescaya tidak dahaga selama-lamanya”.

 

Marhaban Ya Ramadhan 1429H… Ramadhan Kariim!

“Semangat Merdeka… Salah Sebuah Kenderaan Yang Boleh Dijumpai Di Miri”

As-Sarawaki, 31 Ogos 2008: Alhamdulillah, sesungguhnya segala puji hanya bagi Allah, kita memujiNya, kita meminta pertolongan kepadaNya, kita meminta ampun kepadaNya dan kita berlindung kepadaNya dari kejahatan diri kita dan keburukan amal perbuatan kita. Barangsiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tidak ada yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada yang dapat memberikan petunjuk kepadaNya. Bersamalah kita berdoa semoga dengan sentiasa ‘Ingat Tuhan Sampai Mati‘ dan ‘Menjadi Seperti Muhammad SAW‘, kita semua akan mati dalam husnul khatimah. Amiin Ya Rabb!

 

Alhamdulillah, 51 tahun sudah penjajah yang menjajah Malaya secara fizikal keluar daripada negara ini dan sudah hampir 45 tahun negara Malaysia tertubuh dengan semangat merdekanya. Mudah-mudahan jiwa dijajah dan pemikiran ‘hamba kepada sesama hamba’ juga telah keluar daripada jatidiri dan peribadi kita. Sebagaimana yang saya nukilkan dalam entri Merdeka… Negara Tidak Masuk Syurga!, alhamdulillah, saya bersyukur menjadi rakyat Malaysia dan mencintai negara ini. Saya juga bersyukur kerana negara ini sudah merdeka dari cengkaman penjajah dan kini kemerdekaan tersebut sudah mencecah usia 51 tahun. Selain itu, saya juga sentiasa berusaha untuk menjadi warganegara yang baik dan patriotik dengan melakukan atas kapasiti dan kemampuan yang ada menyumbang sesuatu ke arah pembinaan Malaysia sebagai negara yang benar-benar makmur lagi sejahtera di bawah redha Allah, atau dalam bahasa Al-Qur’annya: ‘Baldatun Tayyibatun Warabbun Ghafuur’.

 

Rasa Riang Ria dan Bahagia Bakal Bergelar Ayah

 

Alhamdulillah, betapa seronoknya seorang suami yang bakal menimang cahaya mata! Betapa gembiranya seorang isteri yang bakal dipanggil ibu. Sedar tak sedar usia kandungan isteri saya sudah berusia 8 bulan. Semalam saya dan zaujah mengambil peluang dalam kesibukan kerja dan berprogram untuk membeli-belah barang-barang keperluan bayi. Kekok juga terasa pada mulanya, segan pun ada pada awalnya.. Dan rupa-rupanya baju-baju bayi kadangnya lebih mahal dari baju orang dewasa! Namun apa yang pasti, wallahi cetusan riang ria dan bahagia untuk berjiwa ayah lebih hebat menggelora di jiwa! Akan tetapi mengapa masih ada anak yang mengecilkan hati ibu dan memainkan perasaan ayah? Janganlah begitu duhai anak… Nanti di suatu masa, kau juga akan merasa betapa sakitnya hati kecewa diderhakai anak-anak! What you give, you get back! Allah Maha Tahu lagi Maha Adil! Teruskan pembacaan »

Jawatankuasa Pelaksana dan Barisan Artis Konsert Amal Merdeka 2008”

As-Sarawaki, 17 Ogos 2008: Alhamdulillah atas nikmat jiwarasa yang dahagakan halwa hakiki dan hiburan sejati. Syukur kepada Allah SWT kerana pada 17 Ogos 2008 setelah 2 hari berpogram yang rencam, Karnival ‘Amal Merdeka 2008 anjuran Yayasan Amal Malaysia (Unit Miri) telah ditutup dengan rasminya oleh Dato Sri Abg. Hj. Abd. Rahman Zohari B. Tun Abg. Hj. Openg, Menteri Perumahan Sarawak yang turut sudi menyumbangkan RM10,000 untuk pelaksanaan aktiviti-aktiviti akan datang. Pada malam tersebut, Yayasan Amal Malaysia turut menyumbangkan RM4,000 kepada Persatuan Kebajikan Anak-anak Yatim (PERYATIM). Bagi menyerikan Majlis Penutupan Rasmi ini, satu Konsert ‘Amal Merdeka telah diadakan yang menampilkan Saudara Nazrey Johani, Saudara Akhwan Afandi dan Kumpulan Devotees, selain persembahan pentomin ‘Kemerdekaan’ oleh mahasiswa dari Curtin Islamic Society (CIS). Alhamdulillah, terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi komitmen jitu dalam menjayakan Karnival ‘Amal Merdeka 2008 sama ada secara langsung mahupun tidak langsung. Jom jadikan kebajikan sebagai modus operandi mengubah dunia! Semoga Allah menerima segala ‘amalan kita. Amiin Ya Rabb!

 

[Nota As-Sarawaki: Alhamdulillah atas terlaksananya Konsert ‘Amal Merdeka 2008. Untuk tahun ini sahaja, sekurang-kurangnya lima (5) konsert hiburan ‘lagha’ (melalaikan) telah diadakan di Bandaraya Miri yang semuanya mendapat sambutan hangat. Ramai ‘membebel’ tentang budaya hedonisme, tetapi apa alternatif yang kita sediakan? “Berhibur tiada salahnya kerana hiburan itu indah, hanya apabila salah memilihnya membuat kita jadi bersalah.” Mudah-mudahan Konsert Kesenian Islam sebegini akan terus diikhtiarkan oleh para jurudakwah dalam usaha mengkayakan budi, nilai dan hikmah. Alhamdulillah, daripada maklumbalas penonton yang memenuhi Dewan Suarah Miri (anggaran kehadiran: lebih 500 orang), semuanya berpuas hati dengan persembahan yang dialunkan dan semoga turut beroleh pengisian rohani dalam mencari cinta dan menuju cahaya kebahagiaan, mudah-mudahan.]  Teruskan pembacaan »

Forum Remaja Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 di ILP Miri”

As-Sarawaki, 17 Ogos 2008: Alhamdulillah, Forum Remaja Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 yang menggandingkan saya, Ustaz Akhwan Afandi Zulkifli (Moderator Adnin Management & Training Centre) dan Ustaz Ramadhan Fitri Ellias (Perunding Syariah RHB Bank) sebagai ahli panel selain Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif sebagai moderator telah berjaya dilangsungkan di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri. Semoga tujuan program yang digariskan oleh pihak penganjur iaitu ke arah pembinaan budaya cintakan Allah, kasihkan Rasulullah dan sayang sesama manusia dalam kalangan remaja sebagai generasi harapan masa hadapan dapat dipersada. Semoga segala krisis identiti, budaya negatif dan virus benci juga akan dibakulsampahkan. 

 

Sesungguhnya generasi muda di negara ini merupakan kelompok terbesar  yang mengisi ruang populasi dari jumlah keseluruhan kependudukan negara. Menurut statistik, dianggarkan sebanyak 50 peratus daripada seramai 24 juta rakyat Malaysia adalah mereka yang berusia di antara 15 hingga 40 tahun. Kadar ini menunjukkan betapa generasi muda merupakan kelompok masyarakat yang memainkan peranan yang amat besar dan penting dalam menentukan jatuh bangunnya negara. Ini sekaligus membayangkan bahawa apa juga yang mereka lakukan atau berlaku ke atas mereka pastinya akan memberi implikasi kepada kemandirian negara.

 

Justeru, forum bertajuk “Di Mana Kasih, Di Mana Sayang?” dengan tema “Kecemerlanganmu Dihargai, Hidupmu Diberkati” ini diharapkan telah memberi input-input bermakna kepada remaja yang hadir agar terus berilmu dan memanfaatkan ilmu tersebut demi untuk pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Mudah-mudahan. Teruskan pembacaan »

Forum Perdana Ehwal Islam: “Benarkah Aku Sudah Merdeka?””

As-Sarawaki, 16 Ogos 2008: Alhamdulillah, segala puji-pujian selamanya milik Allah SWT Yang Maha Kuasa. Dengan taufiq dan inayahNya, Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 telah diadakan bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri. Seramai 3 orang ahli panel telah dijemput khas untuk menjayakan forum ini iaitu Ustaz Hj Kipli Bin Yasin (Timbalan Mufti Sarawak), Ustaz Sarip Bin Adul (Ahli Majlis Fatwa Sabah dan Pensyarah UMS) dan Ustaz Karia Bin Rahmat (Ketua Penolong Pengarah JAWI Labuan). Sementara itu, Ustaz Ramadhan Fitri Bin Ellias (Perunding Syariah RHB Bank) pula telah diamanahkan sebagai moderator forum yang membincangkan tajuk “Benarkah Aku Sudah Merdeka?”.

 

Alhamdulillah, sesi forum telah berjalan dengan lancar dan mudah-mudahan hadirin yang telah bersama-sama menyaksikannya akan beroleh manfaat bermakna dalam memahami erti kemerdekaan yang sebenar menurut neraca Islam. Mudah-mudahan ianya akan menjentik hati kita untuk terus berusaha memerdekakan diri selaras dengan peranan membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama manusia, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua sebagaimana yang ditegaskan oleh Rib’i Bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi:

 

“Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendakiNya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan Akhirat.”

Teruskan pembacaan »

Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 42 other followers