AMAL Sarawak, 14 Dzulhijjah 1431H: Alhamdulillah. Pasukan sukarelawan Yayasan Amal Malaysia (AMAL) Cawangan Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center (BIC) telah berjaya melakukan ibadah qurban dan sekaligus Majlis Perasmian Surau AMAL Al-Azhar di Perkampungan Saudara Kita, Ulu Kota, Pakan. Seramai 20 orang sukarelawan telah bersama-sama menjayakan misi kali ini dengan menaiki 4 buah kereta pacuan 4 roda.
Semua peserta berkumpul di BIC bermula jam 11 malam, Jumaat, 19 Nov 2010. Selepas taklimat dan doa, semua peserta bergerak menuju ke Sarikei. Tiba di Masjid Sarikei seawal jam 5.15 pagi dan terus menunaikan Solat Subuh. Selepas itu para peserta mengurus diri di Taska ABIM Sarikei.
Pada pukul 9 pagi, semua peserta bergerak menuju ke Ladang Skim B bagi memilih lembu qurban untuk disembelih. Tepat jam 10.15 pagi, lembu telah berjaya disembelih oleh Ustaz Zainol Fakri. Selesai memproses lembu tersebut, lebih kurang jam 11.30 pagi, semua rombongan segera bergegas secara konvoi menuju ke Ulu Kota kerana dikhuatiri jika lambat bergerak, ditakuti hujan akan turun yang memungkinkan rombongan tidak dapat sampai ke puncak bukit dengan menaiki 4WD. Sekiranya berjalan kaki, ia akan mengambil masa 2 jam pendakian dari Bukit AMAL ke Ulu Kota.
Alhamdulillah, rombongan selamat tiba di Ulu Kota pada pukul 2.00 petang. Perjalanan sangat mencabar. Menaiki dan menuruni bukit di dalam keadaan jalan yang licin. Sangat mencemaskan bagi sukarelawan yang baru pertama kali sampai ke Ulu Kota.
Penduduk kampung Ulu Kota telah bersedia menunggu kedatangan ahli rombongan. Petang itu, gotong royong melapah dan memasak makanan diketuai oleh Tuan Haji Kadir dan isteri serta dibantu oleh sukarelawan-sukarelawan lain.
Sebahagian sukarelawan telah pergi ke rumah panjang untuk menjemput masyarakat rumah panjang untuk bersama-sama ke Majlis Perasmian Surau AMAL Ulu Kota pada sebelah malamnya. Alhamdulillah, kehadiran pada malam itu amat memberangsangkan, meskipun hujan lebat. Allahu Akbar!
Majlis pada malam itu dimulai dengan Solat Maghrib dan seterusnya Tazkirah bersama Ustaz Akhwan Afandi Bin Zulkipli. Ini diikuti dengan taaruf ahli dari peserta rombongan. Majlis Perasmian dilakukan selepas Solat Isya’ dengan dipengerusikan oleh Ustaz Mohd Fadzli dari HIKMAH. Saudara Azhar Abdullah memulakan ucapan, kemudian diikuti ucapan dari Wakil Yayasan AMAL Malaysia Pusat yang juga merupakan Setiausaha AMAL Malaysia Cawangan Pahang, Encik Johari Bin Abd Wahid.
Seterusnya Majlis Perasmian yang telah dilaksanakan oleh Tuan Haji Omar Bin Shuib, Penasihat BIC. Pihak BIC dan AMAL juga telah menyampaikan sumbangan beras, al-Quran, barang persekolahan dan pakaian kepada Saudara Kita, golongan muallaf dan juga penduduk rumah panjang berhampiran. Majlis ini dimeriahkan oleh Ustaz Mawi @ Akhwan Afandi yang membuat persembahan dengan membawa lagu Jamal Abdillah. Telatah Ustaz Akhwan Afandi sangat menghiburkan masyarakat Ulu Kota.
Selepas Solat Subuh, para sukarelawan telah bergotong royong membersihkan Surau dan mengurus diri sebagai persiapan untuk pulang ke tempat masing-masing. Alhamdulillah, nasib rombongan agak baik kerana semua kenderaan 4WD telah diletakkan di atas bukit yang memudahkan untuk ahli rombongan bergerak pulang. Sekiranya masih diletakkan di bawah, nampak gayanya ahli rombongan tidak dapat keluar pada pagi tersebut disebabkan hujan lebat pada sebelah malamnya.
Pihak AMAL Sarawak dan BIC mengucapkan jazakumullahu khairan khathiran kepada semua sukarelawan di dalam Program Ziarah Dakwah, Qurban dan Aqiqah serta Perasmian Surau AMAL Al-Azhar Ulu Kota bermula 19-21 Nov 2010. Terima kasih khusus kepada semua penyumbang di antaranya AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Persatuan Kebajikan Pekerja Islam Petroleum (PKPIP) Miri, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), BIC, JAKSA, JIM, Masjid Darul Hidayah, Masjid Asy-Syakirin, Bank-bank, Badan Islam Shell (BISMI) SMDS Bintulu, HIKMAH Cawangan Sarikei dan semua individu-individu serta penderma-penderma yang ikhlas lillahi ta’ala.
Setinggi-tinggi penghargaan juga kepada penasihat BIC Tuan Haji Omar Shuib di atas kesudian untuk bersama-sama sukarelawan kali ini. Tidak ketinggalan juga wakil AMAL Pusat iaitu Encik Johari Bin Abdul Wahid, Encik Mohd Hanif dan Ustaz Akhwan Afandi Bin Zulkipli. Semoga segala sumbangan dan gerak kerja kita akan diterima oleh Allah sebagai amal kebaikan dengan syarat ikhlas kerana Allah.
Semoga segala usaha kita ini mendapat keredhaan dan rahmat dari Ilahi. Semoga kita menjadi orang-orang bertaqwa yang sanggup berkorban apa sahaja untuk Islam kerana Allah dan RasulNya. Amiin Ya Rabb! Insya Allah ada kesempatan kita akan bersama lagi untuk membuat misi di tempat dan waktu yang akan ditetapkan oleh pihak AMAL Sarawak.
Siiru ala barakatillah… ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!

Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sarawak
Email: amalsarawak@yahoo.com.my
Sesungguhnya Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada mereka yang berjuang keranaNya. Allah telah berjanji:
“Intansurullah! Yansurkum (Jika kamu membela agama Allah, nescaya Allah akan menolong kamu)”.
Untuk keterangan lanjut program-program Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak pada masa akan datang, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Saudara Abdul Aziz (019-8874784), Ustaz Sardi Ismail (013-9235267), Saudari Wan Lydia Salmi Wan Junaidi (016-8509242) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Sila baca juga artikel yang berkaitan berikut:
1. Laporan Program Qurban 1430H AMAL Sarawak
2. Alhamdulillah, Surau AMAL Al-Azhar Telah Siap
3. Berita Gembira Ramadhan Dari Ulu Kota, Pakan!
4. Perkembangan Terkini Surau AMAL Al-Azhar
5. Perkembangan Pembinaan Surau AMAL Al-Azhar
6. Penentuan Arah Qiblat Surau AMAL Al-Azhar
7. Misi AMAL Ad-Da’wah Ila Allah ke Ulu Kota, Pakan
8. Ziarah Dakwah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan, Sarikei
9. Ziarah Dakwah AMAL Siri 2 Ke Ulu Kota, Pakan
10. Sebuah Catatan: Ekspedisi Dakwah Ke Ulu Kota
11. Kembara Mahabbah AMAL Ke Ulu Kota, Pakan
12. Saudara Kita Di Ulu Kota.. Keprihatinan Muslimin Ditagih!
Wallahu a’lam bissawab.
TERAS BUDAYA AMAL:
-
Beriman, Berilmu dan Ber’amal,
-
Berakhlak Mulia,
-
Berprinsip dan Berdisiplin Islam,
-
Berkemahiran dan Berketrampilan.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”








