
“…Falsafah Hidup: Mappada Jukuk Na Kanuku, Sipatuo Sipatongkok…”
As-Sarawaki, 02 Dzulqaedah 1430H: Alhamdulillah! Sangat bersemangat rasanya setiap kali mengulang-ulang baca kata-kata motivasi Sa’ad bin Abi Waqqas r.a. tatkala berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku adalah panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka.” Ya, mudah-mudahan kita terus menjadikan tekad membara ini sebati di dalam jiwa!
Insya Allah, saya akan berangkat pada malam ini untuk turut serta dalam Misi Kemanusiaan AMAL Malaysia Ke Padang, Sumatera, Indonesia untuk membantu mangsa gempa bumi yang menggegarkan wilayah Sumatera Barat 30 September lepas. Insya Allah saya dan rombongan Yayasan AMAL Malaysia seramai 27 orang akan berada di sana dari 22-27 Oktober 2009 bagi meneruskan beberapa siri bantuan kemanusiaan AMAL Malaysia semenjak 3 minggu yang lepas.
Sesungguhnya Allah SWT menjadikan orang-orang beriman itu bersaudara. FirmanNya di dalam Al-Qur’an Al-Kariim:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)
Wallahi, syukur kepada Allah! Masih ramai dalam kalangan umat ini yang peduli dan prihatin akan nasib masyarakat serumpunnya. Manifestasi ini dapat saya rasakan dalam persiapan Kembara Kemanusiaan kali ini. Bagi pihak AMAL Sarawak, dalam masa 4 hari yang lepas sahaja saya telah menerima sebanyak RM10,347 derma kilat yang datangnya daripada sahabat-sahabat di Miri, Kuching dan Bintulu. Semoga Allah menerima segala ‘amal jariah antum. Insya Allah semua sumbangan ini akan diserahkan secara terus kepada saudara-saudara yang memerlukan di sana selain untuk projek Water Supply Tube Well yang akan dijalankan. Ketahuilah betapa benar bahawa di dalam hidup ini manusia terbaik ialah manusia yang paling bermanfaat kepada manusia lainnya! Hidup ini bukan sekadar Que Sera, Sera!
Allah SWT Yang Maha Pengasih dan Penyayang berfirman:
“Dan sesiapa yang mengerjakan ‘amalan soleh (perbuatan baik), lelaki atau perempuan, sedang dia beriman, nescaya akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik…” (Surah an-Nahl, ayat 97)
Daripada Abu Hurairah r.a. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
“Barangsiapa yang mengajak ke arah kebaikan, maka ia memperolehi pahala sebagaimana pahala-pahala orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dan dari pahala-pahala mereka yang mencontohinya itu, sedang barangsiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperolehi dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya, tanpa dikurangi sedikitpun dari dosa-dosa mereka yang mencontohnya itu.” (Riwayat Muslim)
Alhamdulillah, kali terakhir saya ke Padang ialah ketika mengikuti lawatan sambil belajar Pemimpin Pelajar UIA ke Provinsi Riau dan Sumatera Barat pada Januari 2004. Sebagai perkongsian, berikut disertakan Artikel Perjalanan “Kembara Ilmu di Bumi Minangkabau” yang telah diterbitkan oleh Majalah Minda Mac-April 2004. Semoga ada khairnya buat tetamu ziarah yang budiman dan beriman sekalian. Mudah-mudahan.
TERAS BUDAYA AMAL:
- Beriman, Berilmu dan Ber’amal,
- Berakhlak Mulia,
- Berprinsip dan Berdisiplin Islam,
- Berkemahiran dan Berketrampilan.







Assalamualaikum Tuan Muhtar,
Saya terserempak dengan Tuan Haji Jamulidin Elias di Lapangan Terbang Minangkabau, Padang pada 5 Oktober lepas.
Saya ’salute’ beliau yang bertungkus lumus mempersiapkan logistik untuk bantuan kemanusiaan oleh Yayasan Amal ke Padang.
Seronok bertemu beliau kembali di medan lapangan. Sebelum ini asyik berjumpa di bilik mesyuarat di Wisma Putra.
Kami di Islamic Relief mempergiatkan operasi bantuan kemanusiaan di kawasan Sungai Sarik, Padang Pariaman. Alhamdulillah, sebelum gempa bumi itu berlaku, kami sudah bina 22 wells di kawasan tersebut pada awal 2009, maka, ia amat membantu mangsa-mangsa gempa di waktu bencana sebegini kerana bekalan air bersih amat penting ketika ini.
Saya juga,Insya Allah, akan kembali sana kelak untuk membantu tim Islamic Relief yang sedia ada di sana, untuk membantu melalui program psikososial untuk kanak-kanak.
Semoga pasukan tuan sekalian dilindungi Allah dan semoga usaha bantuan kemanusiaan yang akan dilaksanakan itu diberkati Allah. Amin!
Yayasan Amal Malaysia hantar 27 orang Sukarelawan ke Padang, Sumatera, Indonesia
Sumber: http://www.amalmalaysia.net/v1/
22 Oktober 2009, Sepang (AMAL Malaysia) – Pada hari ini Pasukan Bantuan Kemanusiaan Mangsa Gempa Padang, Sumatera daripada Yayasan Amal Malaysia (AMAL Malaysia) telah berlepas ke Bandar Padang, Sumatera, Indonesia bagi membantu mangsa gempa bumi di sana. Pasukan ke 6 ini terdiri dari 27 orang sukarelawan dari pelbagai bidang iaitu Doktor, Pembantu Doktor, Jurutera, Juruteknik, Kaunselor dan Sukarelawan Am. AMAL Malaysia akan menyalurkan khidmat pemeriksaan kesihatan dan mencari serta membekal air bersih melalui projek Water Tube Well di Pariaman, Padang.
Kumpulan ini juga telah membawa bersama pakaian-pakaian hasil sumbangan rakyat di Malaysia. Dengan kerjasama yang sangat baik serta khidmat sosial dari pihak syarikat penerbangan Air Asia, maka AMAL Malaysia berjaya melunaskan amanah yang di beri itu. Pihak AMAL Malaysia masih lagi memerlukan sokongan dan bantuan dari semua pihak bagi beberapa jadual misi kemanusiaan di sana. Sumbangan boleh di salurkan kepada akaun Maybank Yayasan Amal Malaysia, 553010122090.
Salam alaik ustaz.. Saya tertarik dgn falsafah hidup tu.. Mappada Jukuk Na Kanuku, Sipatuo Sipatongkok.. Apa mksud dia?
As-Sarawaki: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. “Mappada Jukuk Na Kanuku, Sipatuo Sipatongkok” ialah peribahasa Bugis yang lebih kurang bermaksud “Seperti Isi Dengan Kuku, Sehidup Semati Semasa Susah Dan Senang”. Wallahu a’lam.
[...] Insya Allah saya akan menulis mengenai ‘ibrah Misi Dan Kembara Kemanusiaan membantu mangsa Gempa Bumi Padang dalam masa terdekat. Doakan khair dan diberi kekuatan menulis ikhlas keranaNya. Amiin. [...]
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Tuan Iskandar yang mulia;
Alhamdulillah dan terima kasih atas komentar akhi. Semoga Tuan dan teman-teman di Islamic Relief sentiasa sihat sejahtera dan terus diberi kekuatan ber’amal kerana Allah.
Alhamdulillah, saya telah ke Padang untuk misi kemanusiaan bersama Yayasan AMAL Malaysia pada 22-27 Oktober yang lepas. Banyak ‘ibrah yang diperolehi dan saya telah tuliskan pengalaman tersebut di sini »»
Untuk makluman Tuan, Posko AMAL Malaysia di sana terletak di Korong Balai 1, Nagari Lubuk Pandan, Kecamatan 2X11 Enam Lingkung, Kabupaten Padang Pariaman, Sumatera Barat.
Sekarang ini terdapat satu lagi pasukan berada di sana yang terdiri daripada sukarelawan AMAL Malaysia dan Muslim Care. Semoga Tuan dan semua pekerja kemanusiaan dan dakwah di sana terus ikhlas Lillahi Ta’ala agar segala amalan kita diterima Allah SWT.
Saya doakan segalanya khair. Fastabikul khair. Siiru ‘ala barakatillah!