
Laporan Program Semarak Wahyu 1430H
Dipetik dari www.amalsarawak.net
AMAL Sarawak, 16 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Program Semarak Wahyu dan Ceramah Perdana bersama Ustaz Wan Shohor Bani Leman sempena Majlis Penutupan Rasmi Karnival AMAL Merdeka 2009 Edisi Ramadhan 1430H berjaya dianjurkan dengan jayanya pada 5-6 September 2009 bertempat di Masjid At-Taqwa Miri. Program ini merupakan anjuran bersama Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tabung Baitulmal Sarawak dan Masjid At-Taqwa Miri. Program ini sekaligus menjadi sebahagian daripada Sambutan Nuzul Al-Qur’an peringkat Bahagian Miri kelolaan Pejabat Agama Islam Bahagian Miri.
Sempena dengan program ini juga, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah menyerahkan sumbangan Hari Raya sebanyak RM2,000 kepada Tabung Baitulmal Sarawak untuk diagihkan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan di sekitar Miri. Selain itu, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri pula telah menyumbangkan sebanyak RM9,151.45 kepada Kompleks Kebajikan Hamidah, Lembaga Kebajikan Yayasan Anak Yatim Sarawak. Puan Marini Juraibi, Ketua Cawangan Tabung Baitulmal Sarawak Miri telah hadir menerima sumbangan dari AMAL Sarawak yang diserahkan oleh Pengerusinya Saudara Muhtar Hj Suhaili, manakala Puan Hajjah Juliyanah Abdul Hamid, Pengurus Besar Kompleks Kebajikan Hamidah hadir menerima replika cek dari Encik Awang @ Ahmad Ibrahim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Miri dengan diiringi oleh Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob, Pengerusi Task Force Kecemerlangan Miri.
Sementara itu, Ustaz Wan Shohor Bani Leman di dalam ceramahnya yang bertajuk “Al-Qur’an Memerdekakan Manusia” telah mengajak hadirin yang dianggarkan mencecah lebih 500 orang untuk kembali ber’amal dengan hukum Al-Qur’an dan As-Sunnah. Menurut beliau, sekiranya umat Islam mengamalkan kehidupan menurut tuntutan Islam yang sempurna, maka mereka mampu membina tamadun yang tinggi sepertimana yang pernah dicapai oleh generasi unggul Islam pada masa yang silam. Ramadhan merupakan bulan terbaik untuk masyarakat Islam memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mudah-mudahan dengan ini mereka akan mencapai merdeka yang hakiki. Seterusnya, Ustaz Wan Shohor menegaskan betapa pentingnya umat Islam mengamalkan keseluruhan secara bersepadu ajaran Nabi Muhammad SAW yang syumul (lengkap merangkumi semua aspek kehidupan) kerana baginda merupakan contoh teladan terbaik sepanjang zaman. Dengan mengikuti ajaran Rasul, maka semua manusia akan selamat dalam kehidupan di dunia dan Akhirat.
Sebelum Ceramah Perdana, Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak Saudara Muhtar Hj Suhaili telah menyampaikan ucapan alu-aluan majlis. Di dalam ucapannya, Muhtar telah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak terutamanya kepada jawatankuasa pelaksana dan penganjur-penganjur bersama yang telah membantu menjayakan Karnival AMAL Merdeka 2009 Edisi Ramadhan 1430H yang berlangsung sepanjang sebulan dari 8 Ogos sehingga 5 September 2009. Selanjutnya, beliau juga telah merakamkan penghargaan khusus kepada semua penaja yang terdiri daripada Dayang Enterprise Sdn Bhd, Ropetech Sdn Bhd, Seahorse Services Sdn Bhd, Wehaya Sdn Bhd, Shapadu Energy & Engineering Sdn Bhd, Oceancare Corporation Sdn Bhd, Amserve Engineering Sdn Bhd, Alumni UTP, Alumni UIAM dan semua individu-individu yang ikhlas lillahi Ta’ala.
Saudara Muhtar juga berharap mudah-mudahan usaha berterusan yang holistik serta gerakkerja yang bersinergi oleh Institusi, Badan dan NGO-NGO Islam ini mampu menganjakkan kemajuan dakwah, pembangunan pendidikan dan keilmuan serta sekaligus membawa kepada anjakan paradigma masyarakat dalam membangun bersama Islam dan menjadikannya rahmatan lil ‘alamin.
Selain Ceramah Perdana, program Semarak Wahyu tersebut turut melibatkan aktiviti gotong-royong memasak Bubur Asyura, Tadarus Al-Qur’an, Berbuka Puasa, Solat Maghrib, Solat Isya’, Solat Tarawih, Qiammullail, Sahur berjamaah, Solat Subuh dan Kuliah Subuh bertajuk “Halatuju Ibadah” yang telah disampaikan oleh Ustaz Arisan Abdul Rahman. Hampir 150 orang pelajar Sekolah Menengah di sekitar Miri terlibat di dalam Program Tadarus Al-Qur’an pada petang Sabtu dan pelajar-pelajar terbabit turut terlibat di dalam pertandingan Kuiz Ramadhan yang diadakan pada keesokan harinya. Majlis Penutupan telah dilangsungkan pada hari Ahad, 6 September 2009, bermula 8.00 pagi di Dewan Khas Masjid At-Taqwa Miri.
Turut hadir dalam program Semarak Wahyu dan Ceramah Perdana termasuklah Tuan Ahmad Chee Kadir (Timbalan Datuk Bandar Bandaraya Miri), Tuan Haji Abdul Rahman Fadzail (Temenggong Bahagian Miri), Tuan Haji Yusop Sani Wahab, Ustaz Haji Rosli Arup (Ketua Penolong Pengarah JAIS Zon Utara Sarawak), Tuan Haji Ahmad Mokhtar (Pengerusi Masjid At-Taqwa Miri), Ustaz Mohd Naqzrul Azraf Mohd Nazarludin (Ketua JAKIM Unit Miri), Encik Zamnee Ismail (Ketua AADK Daerah Miri), Ustaz Zaidi Makhtar (Wakil Pengarah AADK Negeri Sarawak), Encik Himran Entoh (Penolong Pengarah IKBN Miri) dan Encik Sobian Hadi (Wakil Pengarah ILP Miri).
Berikut merupakan gambar-gambar program Semarak Wahyu 1430H:

Pendaftaran Peserta Tadarus Al-Qur'an

Kehadiran Peserta Tadarus Al-Qur'an

Taklimat kepada Peserta Tadarus Al-Qur'an

Pameran AADK dan Booth AMAL Charity Shop

Gotong-royong memasak Bubur Asyura

Akh Hafizan dan Akh Firman mengacau Bubur Asyura

Jamaah mengambil juadah berbuka puasa

Ust Wan Shohor dan VIP berbuka puasa

Solat Tarawih berjamaah di Masjid At-Taqwa

Ucapan Pengerusi AMAL Caw Sarawak

Ustaz Wan Shohor Bani Leman

Ceramah Ustaz Wan Shohor Bani Leman

Sebahagian daripada Hadirin Muslimin

Sebahagian daripada Hadirat Muslimat

Sumbangan kepada Tabung Baitulmal Sarawak

Sumbangan kepada Kompleks Kebajikan Hamidah

Timbalan Datuk Bandar menyampaikan Cenderahati kepada Ustaz Wan Shohor

Urusetia bersama Ustaz Wan Shohor

Sahur beramai-ramai di Masjid At-Taqwa

Tazkirah Subuh oleh Ust Arisan Abd Rahman
AMAL Sarawak mengucapkan tahniah kepada semua penggerak dan jawatankuasa pelaksana Karnival AMAL Merdeka 2009 Edisi Ramadhan 1430H yang diketuai oleh Saudara Mohd Azwani Abdul Rani serta khusus untuk Program Semarak Wahyu kepada Pengurus Bersama, Ustaz Roshaidin Othman dan Saudara Mohd Faizal Suhaimin. Insya Allah jumpa lagi dalam Karnival AMAL Merdeka 2010. Siiru ‘ala barakatillah. Fastabiqul khairat!
Wallahu a’lam bissawab.
Program Semarak Wahyu Di Masjid At-Taqwa Miri
AMAL Sarawak, 12 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Insya Allah, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Miri dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Miri, Tabung Baitulmal Sarawak dan Masjid At-Taqwa akan menganjurkan program Semarak Wahyu dan Ceramah Perdana bersama Ustaz Wan Sohor Bani Leman. Program ini akan diadakan pada hari Sabtu-Ahad akan datang, 5-6 September bersamaan 15-16 Ramadhan 1430H bertempat di Masjid At-Taqwa, Bandaraya Miri.
Berikut adalah tentatif program pada hari tersebut:
5 September, 2.30 petang:
- Gotong-royong memasak Bubur Lambuk
- Tadarus Al-Qur’an
5 September, 3.32 petang:
- Solat ‘Asar Berjamaah
- Sambung Tadarus Al-Qur’an
- Persiapan Berbuka Puasa
5 September, 6.31 petang:
- Berbuka Puasa/ Iftar Jamae’i/ Sungkei
- Solat Maghrib Berjamaah
- Tayangan Video AMAL
5 September, 7.41 malam:
- Solat Isya’ Berjamaah
- Solat Tarawih
5 September, 8.45 malam:
- Ucapan Pengerusi Majlis
- Ucapan Alu-aluan Pengerusi AMAL Sarawak
- Ceramah Perdana Ustaz Wan Sohor Bani Leman
- Penyampaian Sumbangan
- Penyampaian Cenderahati
- Moreh
6 September, 3.30 pagi:
- Qiammullail
- Sahur
6 September, 5.03 pagi:
- Solat Subuh Berjamaah
- Kuliah Subuh
6 September, 8.00 pagi:
- Majlis Penutupan Program Semarak Wahyu 1430H









Luttuk Sipakaraja Malik Siparappe = Peribahasa Bugis yang bermaksud ‘Sama-sama Senang Sama-sama Susah’.
“Berkhidmat Untuk Kemanusiaan, Ber’amal Kerana Allah”
Salam. Tahniah atas kejayaan program. Moga terus diberi kekuatan untuk terus memperjuangkan Islam. Bugis salah satu bangsa yang beragama Islam. Islam berkembang dalam sejarah atas usaha sebahagian org Bugis yang mahu menyampaikannya, namun yang pasti kejayaan orang yang berbangsa Bugis hanya dengan Islam.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Ukht Nurjannahtul Ajila;
Alhamdulillah. Semoga kita semua terus istiqamah dalam membuat yang terbaik untuk Islam kerana Allah. Siiru ‘ala barakatillah.
“HIDUP MENANG MATI SYURGA”
selamat hari raya aidilfitri
layari blog kami.. sila komen/cadangan