As-Sarawaki, 11 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah! Sa’ad bin Abi Waqqas r.a dikatakan pernah berkata kepada Rasulullah SAW: “Aku adalah panah-panah Islam, maka tujukanlah aku ke mana sahaja yang engkau suka.” Ya, mudah-mudahan kita juga mempunyai semangat tekad ini!
Tekad (Dendangan Izzatul Islam)
Kami sadari jalan ini kan penuh onak dan duri
Aral menghadang dan kezhaliman yang akan kami hadapi
Kami relakan jua serahkan dengan tekad di hati
Jasad ini, darah ini sepenuh ridho Illahi
Kami adalah panah-panah terbujur
Yang siap dilepaskan dari busur
Tuju sasaran, siapapun pemanahnya
Kami adalah pedang-pedang terhunus
Yang siap terayun menebas musuh
Tiada peduli siapapun pemegangnya
Asalkan ikhlas di hati tuk hanya ridho Illahi Robbi…
Kami adalah tombak-tombak berjajar
Yang siap di lontarkan dan menghujam
Menembus dada, lantakkan keangkuhan
Kami adalah butir-butir peluru
Yang siap ditembakkan dan melaju
Dan mengoyak, menumbang kezhaliman
Asalkan ikhlas di hati tuk jumpa wajah Illahi Rabbi…
Kami adalah mata pena yang tajam
Yang siap menuliskan kebenaran
Tanpa ragu ungkapkan keadilan
Kami pisau belati yang slalu tajam
Bak kesabaran yang tak pernah padam
Tuk arungi da’wah ini jalan panjang
Asalkan ikhlas di hati menuju jannah Illahi Robbi…
Fahamilah dan semoga bermanfaat buat tetamu ziarah yang budiman sekalian dan paling penting bermanfaat buat diri saya sendiri. Semoga kita menjadi generasi dakwah yang unggul. Amiin Ya Rabb!
Safari Ramadhan Ke Kampung Mohd Taha Bakong
AMAL Sarawak, 10 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak bersama-sama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Miri, Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH) Cawangan Miri dan Tabung BaitulMal Sarawak Cawangan Miri telah melaksanakan Ziarah Mahabbah menerusi program Safari Ramadhan Al-Mubarak 1430H ke Surau An-Nur, Kampung Mohd Taha, Bakong pada 30 Ogos 2009.
Kampung Mohd Taha merupakan sebuah perkampungan yang menempatkan seramai 17 keluarga berbangsa Iban yang telah memeluk Islam 20 tahun yang lepas. Meskipun demikian, keprihatinan Muslimin terhadap Saudara Kita khususnya di bulan Ramadhan ini amatlah diperlukan dalam memantapkan lagi ukhuwwah Islamiyyah sambil menyelami isi hati sekaligus memberi lebih kefahaman terhadap Islam. Kampung ini terletak di daerah Bakong yang mengambil masa 2 jam setengah dengan jalan darat yang mencabar dari Bandaraya Miri.
Program dimulakan dengan ahli rombongan berkumpul di Pejabat Agama Islam Bahagian Miri pada jam 3.30 petang. Safari kali ini disertai oleh Temenggong Tuan Haji Abdul Rahman Fadzail (merangkap Pengerusi HIKMAH Miri), Ustaz Haji Rosli Arup (Ketua Penolong Pengarah JAIS Zon Utara Sarawak), Saudara Muhtar Hj Suhaili (Pengerusi AMAL Sarawak), Ustaz Mohd Baizuri Sulaiman (Pemangku Ketua JAKIM Miri), Ustaz Malsiron Rogikin (penyelaras program), pegawai JAIS dan Tabung BaitulMal serta sukarelawan-sukarelawan AMAL Sarawak.
Setelah kesemua 15 ahli rombongan tiba, rombongan meneruskan perjalanan ke Pekan Bakong dan singgah Solat Asar di Masjid Al-Munir, Kampung Melayu Bakong. Dari Bakong, rombongan yang menaiki 6 buah kenderaan pacuan 4 roda (4WD) meneruskan perjalanan ke tempat yang dituju.
Rombongan selamat tiba di Kampung Mohd Taha pada jam 6.15 petang dan disambut oleh Penghulu Tuan Wahid Jemlos dan Ketua Kampung Encik Mohd Taha. Selepas berehat dan berbual-bual mesra seketika, rombongan berbuka puasa dengan makanan ringan seterusnya Solat Maghrib berjamaah dan diikuti dengan jamuan makan malam.
Selepas selesai makan malam, rombongan dan ahli jamaah diperdengarkan dengan Tazkirah Ramadhan yang disampaikan oleh Ustaz Muammar Ghadafi Abdul Hadi dari Tabung BaitulMal Sarawak. Jamaah kemudiannya menunaikan Solat Isya dan Solat Tarawih bersama. Setelah itu, rombongan beramah mesra dengan ahli kariah sebelum berangkat pulang membawa rencam pengalaman berharga khususnya mengenai realiti (waqi’) dakwah dan keperluan mendesak misi dakwah di pedalaman Sarawak.
Berikut dikongsikan gambar-gambar kenangan program:

Berkumpul di Pejabat Agama Islam Miri

Kampong Mohd Taha, Bakong, Miri

Selamat tiba dengan 4WD di Surau An-Nur

Rombongan Safari mengabadikan foto kenangan

Berbuka Puasa - Sungkei sambil beramah mesra

Tazkirah oleh Ustaz Muammar Ghadafi

Solat Isya dan Solat Tarawih berjamaah

Moreh sambil sesi hati ke hati bersama ahli kariah
Surau An-Nur merupakan destinasi ke-4 yang diziarahi dalam Siri Safari Ramadhan 1430H selepas Masjid Al-Firdaus Taman Tunku, Surau Nurul Ibadah Kampung Muhibbah Kuala Baram dan Surau Batu 8 Jalan Miri-Bintulu. Insya Allah Safari akan diteruskan lagi ke destinasi berikut: Masjid Besar Marudi (1 Sept 2009), Surau Nur Islam Kampung Tiris Bekenu (3 Sept 2009), Surau Madinah Kuala Sibuti (3 Sept 2009), Masjid At-Taqwa (5 Sept 2009), Surau Kampung Tegageng Suai (10 Sept 2009), Surau Kampung Iran Suai (10 Sept 2009), Masjid Baru Niah (13 Sept 2009) dan Surau Kampung Satap Bekenu (15 Sept 2009). Semua yang berminat untuk turut serta boleh menghubungi Yayasan AMAL Sarawak.
Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Miri, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Saudara Mohd Azwani Abdul Rani (013-3603290), Ustaz Arisan Abdul Rahman (013-8336027), Saudari Fatimah Junaidi (013-8130703) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Mudah-mudahan segala ‘amal dan ibadah yang kita laksanakan di dalam bulan yang mubarak ini akan mendapat keberkatan dan pahala dari Allah SWT. Semoga kita menjadi orang-orang yang bertaqwa. Amiin Ya Rabb!
Wallahu a’lam bissawab.
“WAHDAH PEMANGKIN KHAIRA UMMAH”
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”
Laporan Forum Khas “Ramadhan & Kemerdekaan”
AMAL Sarawak, 11 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dengan kerjasama Masjid An-Na’im Lutong telah menganjurkan Forum Khas “Ramadhan & Kemerdekaan” yang diadakan di Masjid An-Na’im Lutong, Miri pada Isnin, 31 Ogos 2009. Program tersebut telah dihadiri oleh Ayahanda Temenggong Haji Abdul Rahman Fadzail, Tuan Haji Sabri Bojeng (Pengerusi Masjid An-Na’im), masyarakat di sekitar Lutong dan sukarelawan-sukarelawan AMAL. Program bermula pada pukul 4.00 petang sejurus selepas Solat Asar dan tamat pada pukul 10.00 malam.
Program tersebut dipengerusikan oleh Ustaz Nik Mohd Shazmizi Nik dari Kolej TDT Hj Bujang dan Saudara Mohd Arifiriazul Paijo (iPerintis Sdn Bhd) bertindak sebagai moderator forum. Ahli panel yang telah dijemput khas ialah Ustaz Salehuddin Abu Samah (Guru JQAF SK Kidurong, Bintulu) dan Ustaz Hj Afnan Faiz Ridzuan Hj Ahmad (Guru Pendidikan Islam SM Teknik, Kuching).
Acara tersebut dimulai dengan ucapan alu-aluan dan taklimat Tabung Saudara Kita dan Infaq Ramadhan oleh Saudara Muhtar Hj Suhaili, Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak. Selepas itu pengerusi majlis telah menyerahkan moderator forum untuk meneruskan acara forum bersama ahli panel yang mengupas tema “Makna Hakiki Ramadhan dan Kemerdekaan“.
Selesai forum, Temenggong Haji Abdul Rahman Fadzail telah sudi melaksanakan simbolik pelancaran Tabung Saudara Kita dan Infaq Ramadhan peringkat Kawasan Lutong. Program seterusnya diikuti dengan majlis berbuka puasa dan berakhir sekitar 10.00 malam dengan moreh.
Berikut adalah gambar-gambar program yang sempat dirakam:

Ucapan alu-aluan Pengerusi AMAL Sarawak

Pengerusi Majlis Ustaz Nik Syazmizi Nik Sin

Moderator Saudara Arif memulakan forum

Sebahagian hadirin yang menghadiri forum

Cenderahati kepada Ustaz Hj Afnan Faiz Ridzuan

Cenderahati kepada Ustaz Salehuddin Abu Samah

Cenderahati AMAL kepada Masjid An-Naim

Ayahanda Temenggong melancarkan Tabung Infaq Ramadhan & Saudara Kita
Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kampung Penan
AMAL Sarawak, 10 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Sekali lagi pada 31 Ogos 2009 Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center (BIC) meneruskan misi Ziarah Dakwah Ramadhan 1430H. Kali ini Kampung Penan Muslim Batu 13 Bintulu pula. Turut serta dalam ziarah dakwah ini ialah Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd (JKIBPSB). Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau, Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti Karnival AMAL Merdeka 2009 dan Ihya’ Ramadhan 1430H Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak.
Seperti biasa, para sukarelawan AMAL dan rombongan berkumpul di Masjid As-Syakirin untuk mendengar taklimat ringkas. Rombongan kali ini diketuai oleh Ustaz Ibrahim Mat Isa iaitu Ketua Biro Kebajikan dan Kemasyarakatan AMAL Sarawak. Sebelum bertolak, Ustaz Sardi Ismail, Ketua AMAL Unit Bintulu mengetuai bacaan doa bagi memohon kepada Allah supaya perjalanan dipermudahkan.
Rombongan bertolak jam 8.40 pagi dan perjalanan mengambil masa selama 20 minit. Program dimulai dengan taklimat ringkas oleh ketua rombongan iaitu Ustaz Ibrahim. Seterusnya, wakil Ketua Kampung dijemput untuk menyampaikan sepatah dua kata dan disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak iaitu Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir. Selepas itu, rombongan disajikan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Cikgu Abdul Rani.
Sejurus selepas mendengar pengisian rohani, program diteruskan lagi dengan penyerahan sumbangan kepada 40 keluarga terpilih.
JKIBPSB turut mengambil peluang menyampaikan sumbangan berupa wang ringgit kepada Ketua Kampung bagi tujuan pembangunan kampung. Sumbangan dari JKIBPSB disampaikan oleh Tuan Haji Tuah.
Sebelum bertolak pulang, rombongan dibawa melihat persekitaran kampung. Rombongan sempat singgah di rumah-rumah penduduk kampung dan melihat sendiri cara hidup mereka. Ini merupakan pengalaman terbaik bagi mereka yang tidak pernah melihat kehidupan kampung.
Atas segalanya, pihak AMAL Sarawak sekali lagi ingin mengucapkan jazakumullahu khairan khathiran kepada semua penyumbang-penyumbang yang budiman. AMAL Sarawak doakan semoga segala sumbangan kita diterima oleh Allah SWT. Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh berurusan terus dengan pihak AMAL atau BIC. Pihak kami turut mengalu-alukan kepada yang berminat untuk turut serta di dalam Ziarah Dakwah yang akan dianjurkan pada masa-masa akan datang.
Sila klik di sini untuk foto-foto program »».
Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Bintulu, sila hubungi Ustaz Salehuddin Abu Samah (019-4823755), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Ustaz Sardi Ismail (013-9235267), Saudari Hafsah Mardiah (019-9805803) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”
Laporan Program Seminar Ekonomi Islam 2009
AMAL Sarawak, 9 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah! Pada 8.00 pagi sehingga 1.00 petang hari ini, Ahad, 30 Ogos 2009 telah berlangsung program Seminar Ekonomi Islam Bersama Warisan Mukmin di Pustaka Miri. Seramai hampir 50 peserta telah hadir di kalangan usahawan korporat, kakitangan kerajaan dan kakitangan swasta untuk menambah ilmu dan menimba pengalaman hasil daripada pembentangan-pembentangan seminar setengah hari ini. Program ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Karnival AMAL Merdeka 2009 dan Ihya’ Ramadhan 1430H.
Tuan Kameri Edi, Pengurus Bank Islam Malaysia Berhad Cawangan Miri telah hadir merasmikan program Seminar Ekonomi Islam ini. Beliau juga sekaligus telah melancarkan projek ekonomi Yayasan AMAL Malaysia yang dinamakan AMAL Charity Shop. AMAL Charity Shop adalah satu idea yang ingin diceburi oleh Yayasan AMAL untuk menambah dana selain menggalakkan orang ramai membudayakan infaq serta kemudiannya membeli sambil menderma.
Program dimulai dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Saudara Muhtar Hj Suhaili dan diikuti dengan ucapan perasmian program oleh Tuan Kameri Edi. Selepas itu, program diteruskan dengan pembentangan 3 kertas kerja oleh Tuan Haji Mohd Safri Mahat, Ketua Pegawai Eksekutif Warisan Mukmin Sdn Bhd. Berikut merupakan tajuk-tajuk kertas kerja yang telah beliau kongsikan:
1. Pengurusan Kewangan Peribadi Menurut Prinsip Islam
2. Warisan Mukmin Perancang Aset Muslim: “Wasiat, Hibah dan Pentadbiran Harta Pusaka”
3. Jihad Bisnes: “Memperkasa Ekonomi Ummah”.
Tuan Mohd Munim Yahaya dan Tuan Mohd Rosli Bauk iaitu Eksekutif Warisan Mukmin Sdn Bhd turut hadir sama dalam program seminar interaktif tersebut. Rata-rata peserta yang hadir berpuas hati dengan pengisian seminar dan berharap ianya dapat diadakan lagi pada masa akan datang untuk manfaat lebih ramai anggota masyarakat. Majoriti bersetuju bahawa kandungan seminar cukup penting dan genting untuk difahami oleh semua individu Muslim khususnya dalam bermuamalah menurut tuntutan Al-Qur’an dan As-Sunnah di dalam dunia materialistik hari ini.
Berikut dikongsikan gambar-gambar program tersebut:

Ucapan perasmian seminar oleh Tuan Kameri Edi

Pembentangan Tuan Haji Mohd Safri Mahat

Hadirin Seminar Ekonomi khusyuk mendengar

Seminar berlangsung dengan diskusi ilmiah

Cenderahati AMAL kepada Perasmi Seminar

Cenderahati AMAL kepada Warisan Mukmin
Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua tenaga penggerak program ini khususnya Saudara Mohd Ali Murad dan Saudara Mohd Taufiq Mohd Yusuf. Tidak lupa juga, setinggi-tinggi penghargaan buat Warisan Mukmin Sdn Bhd di atas komitmen jitu menjayakan program buat julung-julung kalinya ini. Khusus buat para peserta, hasil pemikiran serta cetusan idea hasil dari seminar ini ayuh sama-sama kita implementasi dan garapkan dalam bentuk tindakan bermakna.
Atas segalanya, kita tidak mahu kaya, tetapi harus kaya! Jom bersama memperkasa ekonomi ummah!
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”
Ziarah Mahabbah AMAL Ke Hospital Umum Miri
AMAL Sarawak, 9 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah! Semalam Sabtu, 29 Ogos 2009, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak telah meneruskan program Ziarah Mahabbah ke Hospital Umum Miri sempena Ramadhan Al-Mubarak. Ziarah Hospital Miri merupakan kali kedua dianjurkan oleh AMAL Sarawak dan insya Allah program ini bukan yang terakhir. Program-program susulan dan berkala akan diusul dan diikhtiarkan selepas ini dengan kerjasama pihak hospital. Ziarah kali ini melibatkan 5 buah wad dan disertai seramai 20 sukarelawan AMAL Sarawak serta diraikan oleh pihak hospital yang diwakili oleh Dr. Azizul Ikram, Dr. Mohd Syahid, Dr. ‘Izzuddin, Sister Wong Pei Pei dan Tuan Hj Abdul Hamid.
Sungguh, program kebajikan sebegini amatlah wajar untuk mendapat perhatian warga masyarakat yang prihatin lebih-lebih lagi rakyat Malaysia yang masih kukuh adat budaya ketimurannya. Bahkan Nabi SAW pernah bersabda (maksudnya):
“Hak Muslim terhadap Muslim yang lain ada 6 iaitu:
(1) Apabila engkau bertemu, berilah salam padanya, (2) Apabila engkau diundang, penuhilah undangannya, (3) Apabila engkau dimintai nasihat, berilah nasihat padanya, (4) Apabila dia bersin lalu mengucapkan ’alhamdulillah’, doakanlah dia (dengan mengucapkan ’yarhamukallah’), (5) Apabila dia sakit, ziarahilah dia, dan (6) Apabila dia meninggal dunia, iringilah jenazahnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).
Sebagai perkongsian, berikut dikongsikan beberapa gambar program yang telah dilaksanakan semalam. Program bermula selepas Zohor dan berakhir sebelum ‘Asar. Semoga ada khair dan manfaatnya buat kita semua, mudah-mudahan.

Ucapan Alu-aluan Sis Wong Pei Pei

Sukarelawan mendengar ucapan Pengerusi AMAL

Taklimat dari Dr Azizul Ikram

Jururawat meraikan Sukarelawan Muslimat AMAL

Sukarelawan Muslimin AMAL memasuki wad

Puan Nur Zahirah bermesra bersama pesakit

Akh 'Umar dan Akh Arif bertanya khabar

Akh Azwani dan Haji Hamid yang prihatin

Dr Syahid, Akh Shamsul dan Akh Nizam menyelami perasaan keluarga pesakit

Ustaz Arisan mendoakan kesihatan dan kebaikan

Cenderahati AMAL kepada Hospital Miri

Gambar Kenangan Ziarah Hospital 29-08-2009

Gambar Kenangan Ziarah Hospital 10-11-2007

Laporan Akhbar Utusan Borneo 30 Ogos 2009
Teruslah ber’amal…
Teruslah memberi khidmat untuk kemanusiaan kerana Allah…
Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Miri, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Saudara Mohd Azwani Abdul Rani (013-3603290), Ustaz Arisan Abdul Rahman (013-8336027), Saudari Fatimah Junaidi (013-8130703) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”
Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Tatau
AMAL Sarawak, 8 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak dan Bintulu Iqra’ Center (BIC) meneruskan misi Ziarah Dakwah Ramadhan ke Kuala Tatau, Bintulu pada hari Sabtu, 29 Ogos 2009. Program ini adalah lanjutan siri-siri sebelum ini iaitu Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Kuala Segan dan Ziarah Dakwah AMAL Sarawak Ke Ulu Segan. Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti Karnival AMAL Merdeka 2009 dan Ihya’ Ramadhan 1430H Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak. Rombongan Jawatankuasa Kebajikan Islam Bintulu Port Sdn Bhd juga turut serta dalam ziarah dakwah kali ini.
Peserta rombongan berkumpul di Masjid As-Syakirin untuk mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Ibrahim Mat Isa. Seterusnya, Ustaz Salehuddin Abu Samah mengetuai bacaan doa sebelum rombongan memulakan perjalanan.
Rombongan bertolak kira-kira jam 8.30 pagi menuju ke jeti Kuala Tatau. Sampai sahaja di sana, sebuah bot sudah menanti untuk membawa rombongan ke seberang. Pengalaman menarik kepada mereka-mereka yang tidak pernah menaiki bot sebelum ini.
Setibanya kami di Masjid Al-Amin, Kuala Tatau, kelihatan penduduk kampung sudah menunggu kami di sana. Kehadiran kami disambut meriah oleh penduduk kampung. Program bermula dengan taklimat ringkas dari ketua rombongan iaitu Ustaz Ibrahim dan diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Timbalan Pengerusi AMAL Sarawak, Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir dan Ketua Kampung. Seterusnya, program diteruskan lagi dengan tazkirah ringkas mengenai Ramadhan oleh Ustaz Salehuddin.
Sejurus selepas tazkirah ringkas, sumbangan yang dibawa diserahkan kepada 79 keluarga terpilih. Program diakhiri dengan persembahan nasyid oleh rombongan Muslimin yang menyampaikan lagu rasmi Yayasan AMAL Malaysia iaitu Ber’amal Kerana Allah.
Pihak AMAL sekali lagi ingin mengucapkan jazakumullahu khairan khathiran kepada semua penyumbang-penyumbang yang budiman. AMAL doakan semoga segala sumbangan kita diterima oleh Allah SWT. Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh berurusan terus dengan pihak AMAL atau BIC. Pihak kami turut mengalu-alukan kepada yang berminat untuk turut serta di dalam Ziarah Dakwah yang akan dianjurkan pada masa-masa akan datang.
Sila klik di sini untuk foto-foto program »».
Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Bintulu, sila hubungi Ustaz Salehuddin Abu Samah (019-4823755), Ustaz Abdul Halim Abdul Kadir (019-3491567), Ustaz Sardi Ismail (013-9235267), Saudari Hafsah Mardiah (019-9805803) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”
Laporan Program Diskusi “Remaja & Hedonisme”
AMAL Sarawak, 8 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah! Program Diskusi Remaja: “Remaja & Hedonisme” telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya pada 29 Ogos 2009 bertempat di Dewan Auditorium Utama, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri bermula jam 8.00 pagi dan tamat sekitar 11.00 pagi. Seramai lebih kurang 200 orang hadirin kebanyakannya remaja dan belia telah hadir ke program diskusi yang membawa tajuk “Remaja dan Hedonisme” ini.
Tuan Ramli bin Haji Rashidi (Pengarah ILP Miri) telah sudi hadir merasmikan program yang menampilkan 3 orang ahli panel iaitu Ustaz Hj Sarbini Hj Dahlan (Pegawai Latihan Dakwah HIKMAH), Cik Seraji Hj Zawawi (Pegawai Psikiatri, Unit Psikiatri Hospital Miri) dan Encik Burhanuddin Abdul Hakim (Pegawai AADK Miri), manakala Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif sebagai moderator diskusi.
Perbincangan amat menarik telah disajikan dengan Ustaz Hj Sarbini berkongsi pengalaman dakwah bersama remaja, Cik Seraji berkisah tentang masalah-masalah pesakit mental dan tekanan-tekanan yang biasa dialami oleh remaja yang berkait dengan hedonisme dan Encik Burhanuddin menarik perhatian penonton dengan pengalaman benarnya beserta nasihat-nasihat bermakna sebagai bekas penagih dadah selama 10 tahun yang kini telah insaf.
Turut hadir sebagai tetamu kehormat ialah Temenggong Tuan Haji Abdul Rahman Fadzail (merangkap Pengerusi HIKMAH Miri), Ustaz Haji Rosli Arup (Ketua Penolong Pengarah JAIS Zon Utara Sarawak), Puan Hajah Juliyanah Abdul Hamid (Pengurus Besar Kompleks Kebajikan Hamidah), Puan Marini Juraibi (Ketua Cawangan Miri Tabung Baitulmal Sarawak), Ustaz Mohd Baizuri Sulaiman (Pemangku Ketua JAKIM Miri) dan Cik Felynora (Wakil AADK Miri).
Berikut dikongsikan gambar-gambar program tersebut:

Kaunter pendaftaran peserta dibuka 7.30 pagi

Pameran Anti-Dadah oleh AADK

Hadirin dan VIP mengambil tempat

Moderator dan Ahli Panel Diskusi

VIP khusyuk mendengar dan menilai isi diskusi

Ustaz Hj Sarbini mencuit hati hadirin

Hadirin tertarik dengan pengisian hujah

Seorang peserta bertanya soalan

Cenderahati kepada moderator dan ahli panel

Cenderahati AMAL kepada Pengarah ILP
Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah membantu program ini terutamanya penganjur-penganjur bersama yang terdiri daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Miri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Unit Miri, Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri, Tabung Baitulmal Sarawak Cawangan Miri, Harakah Islamiah Sarawak (HIKMAH) Cawangan Miri, Pejabat Pelajaran Daerah Miri dan Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri. Insya Allah, mudah-mudahan Allah akan memberi ganjaran di atas usaha kita ini, dengan ganjaran yang sewajarnya di Akhirat nanti.
Untuk keterangan lanjut program-program Karnival AMAL Merdeka Edisi Ramadhan 1430H di Miri, sila hubungi Saudara Muhtar Suhaili (016-8909717), Saudara Mohd Azwani Abdul Rani (013-3603290), Ustaz Arisan Abdul Rahman (013-8336027), Saudari Fatimah Junaidi (013-8130703) atau layari laman web www.amalsarawak.net.
Wallahu a’lam bissawab.
“BERKHIDMAT UNTUK KEMANUSIAAN, BER’AMAL KERANA ALLAH”
Program Semarak Wahyu & Ceramah Perdana
AMAL Sarawak, 7 Ramadhan 1430H: Alhamdulillah. Insya Allah, Yayasan AMAL Malaysia Cawangan Sarawak, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Miri dengan kerjasama Pejabat Agama Islam Bahagian Miri, Tabung Baitulmal Sarawak dan Masjid At-Taqwa akan menganjurkan program Semarak Wahyu dan Ceramah Perdana bersama Ustaz Wan Sohor Bani Leman. Program ini akan diadakan pada hari Sabtu-Ahad akan datang, 5-6 September bersamaan 15-16 Ramadhan 1430H bertempat di Masjid At-Taqwa, Bandaraya Miri.
Berikut adalah tentatif program pada hari tersebut:
5 September, 2.30 petang:
- Gotong-royong memasak Bubur Lambuk
- Tadarus Al-Qur’an
5 September, 3.32 petang:
- Solat ‘Asar Berjamaah
- Sambung Tadarus Al-Qur’an
- Persiapan Berbuka Puasa
5 September, 6.31 petang:
- Berbuka Puasa/ Iftar Jamae’i/ Sungkei
- Solat Maghrib Berjamaah
- Tayangan Video AMAL
5 September, 7.41 malam:
- Solat Isya’ Berjamaah
- Solat Tarawih
5 September, 8.45 malam:
- Ucapan Pengerusi Majlis
- Ucapan Alu-aluan Pengerusi AMAL Sarawak
- Ceramah Perdana Ustaz Wan Sohor Bani Leman
- Penyampaian Sumbangan
- Penyampaian Cenderahati
- Moreh
6 September, 3.30 pagi:
- Qiammullail
- Sahur
6 September, 5.03 pagi:
- Solat Subuh Berjamaah
- Kuliah Subuh
6 September, 8.00 pagi:
- Majlis Penutupan Program Semarak Wahyu 1430H
TERAS BUDAYA AMAL:
- Beriman, Berilmu dan Ber’amal,
- Berakhlak Mulia,
- Berprinsip dan Berdisiplin Islam,
- Berkemahiran dan Berketrampilan.











salam ramadhan
King Binjai;
Salam Ramadhan kembali. Semoga kita mencapai darjat taqwa.