
“NGO-NGO Islam Malaysia: Mari Bersatu Membela Islam!”
Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia 2009
Pengenalan
Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia kali ini diadakan bagi menghimpun sekali lagi pemimpin Pertubuhan Amal Islam bagi berbincang dan berkongsi idea mengenai isu-isu semasa dan permasalahan sosial yang timbul akibat perkembangan globalisasi yang begitu pantas.
Pertubuhan-pertubuhan amal Islam, adalah institusi masyarakat yang mempunyai keupayaan untuk menggerakkan masyarakat ke arah kemajuan dan peningkatan kualiti masyarakat Islam.Keupayaan ini seharusnya tidak disia-siakan oleh masyarakat Islam untuk kebaikan bersama namun keupayaan ini perlu digerakkan dan peranan mereka perlu diselaraskan bagi mencapai matlamat jangka pendek dan panjang dalam perjuangan ummat Islam untuk tergolong dikalangan “khairu ummah”.
Oleh yang demikian, umat Islam tidak boleh lagi berpeluk tubuh dan menjadi penonton kepada perkembangan yang berlaku disekitar seterunya menjadi mangsa kepada cabaran itu.Kekalahan dan penderitaan umat di dalam dunia yang penuh saingan, pasti akan menjejaskan martabat Islam yang menjadi teras jati diri bangsa. Sudah tiba masanya untuk kita mengemblengkan semua potensi umat secara sepadu dan serentak di bawah naungan persaudaraan Islam untuk memperkasakan usaha memaju dan membangunkan umat.
Tarikh: 13hb Januari 2009
Tempat: Putrajaya International Convention Centre (PICC)
Jumlah Peserta: 3000 orang peserta
Objektif:
-
Mengutarakan cadangan dan pandangan mengenai isu-isu semasa
-
Mencari jalan terbaik untuk menyatukan pandangan dan cadangan dalam membentuk perpaduan yang tegar.
-
Menjadi wadah penggerak gerakan amal Islami dalam membantu kerajaan menangani masalah sosial yang wujud.
-
Mengukuhkan sumber maklumat, kewangan dan tenaga sukarelawan dan prasarana untuk meningkatkan keberkesanan gerak kerja pembangunan ‘Khairu Ummah’.
-
Menyelaras gerakan amal Islami agar ia lebih tersusun dan dinamik.
Tema: “Bersatu Membela Islam”
Aturcara Program:
7.00 pg – Pendaftaran peserta
8.00 pg – Jamuan pagi
8.45 pg – Ketibaan Dif-Dif Kehormat
9.00 pg – Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda Al-Whatiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Yang Dipertuan Agong Malaysia
9.05 pg – Bacaan doa
9.10 pg – Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran
09.30 pg – Titah Perasmian Seri Paduka Baginda Al-Whatiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Yang Dipertuan Agong Malaysia
10.30 pg – Santapan diRaja
11.15 pg – Keberangkatan pulang Seri Paduka Baginda Ai-Whatiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Yang Dipertuan Agong Malaysia
11.30 pg – Ucaptama Halatuju Masyarakat Islam Masakini
Oleh: Datuk Haji Mohd Nakhaie bin Haji Ahmad, Yang Dipertua YADIM
Kertas Kerja 1: Peranan Pertubuhan Islam dalam Memartabatkan Islam di Malaysia, Oleh: Tuan Haji Zaid Kamaruddin, Presiden JIM
Kertas Kerja 2: Pengukuhan Pertubuhan Islam Sebagai Wadah Dakwah yang Berkesan, Oleh: Tuan Haji Yusri Mohamad, Presiden ABIM
Pengerusi: Yang Bhg. Encik Mohd Jamaludin Shamsudin, Timbalan Presiden Persatuan Al-Hunafa
01.30 tghri – Makan Tengahari dan Solat Zohor
02.30 ptg – Mesyuarat Agung & Muktamar Majlis Amal Islami Malaysia
04.00 ptg – Minum Petang
05.00 ptg – Ucapan Penutup Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Yang Bhg. Datuk Haji Mohd Nakhaie bin Haji Ahmad
Wallahu a’lam bissawab.

Saya telah hadir mewakili HIKMAH bersama rakan dari ABIM, JIM, YADIM. Sokongan harus diberi kepada usaha seperti ini dan semuga ianya berjaya dalam menjalinkan hubungan sesama Islam walaupun berlainan NGO tapi mempunyai matlamat yang sama.
Alhamdulillah Tuan Haji. Seronok saya mendengar perkembangan yang dinyatakan. Saya juga berharap semoga ikatan ukhuwwah dan kerjasama antara HIKMAH Miri, AMAL Miri dan badan-badan Islam yang lain di Miri akan dapat terus dipereratkan, insya Allah.
Saya perlu belajar banyak perkara daripada orang berpengalaman seperti Tuan Haji. Jazakallahu khairan kathira.
Alhamdulillah Hizbut Tahrir pun ada sama. Moga besar lagi ahli keluarga.
Wa’tasimu bihablillah jami’a. Wala tafarraqu.
Memorandum Kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj
Bertarikh 12 Oktober 2009.
Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Memorandum bagi pihak majoriti umat Islam Malaysia ini dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin ibni AlMarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj supaya menarik balik pelantikan Dr Mohd Asri Zainal Abidin (Dr Asri) sebagai Yang Di Pertua YADIM.
Alasan Memorandum ini ialah antara lainnya :
1. NGO-NGO Islam arus perdana yang terlibat dengan Majlis Amal Islami Malaysia (MAIM) kelolaan YADIM sentiasa bekerjasama di dalam menegakkan dakwah Islamiyah di Malaysia. Hanya beberapa NGO kecil sahaja yang dapat menerima idea bahtera perubahan yang cuba dibawa oleh Dr Asri yang seringkali tidak seiring pandangannya dengan sebahagian besar ulamak dan NGO-NGO Islam arus perdana. Kerajaan sepatutnya menghormati kerjasama MAIM di bawah naungan YADIM yang telah dirasmikan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong. Pelantikan Dr. Asri hanya akan memutuskan tali silaturrahim yang terjalin dan MAIM akan pincang sekiranya Dr Asri menerajui YADIM.
2. Dr Asri yang terpengaruh dengan pandangan dan pendekatan ulamak tertentu juga seringkali bertentangan pandangan dengan para ulamak dan Mufti-Mufti negeri lain. Dalam berhadapan dengan perbezaan pendapat ini, Dr Asri telah mengambil pendekatan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kemaslahatan umat Islam keseluruhannya. Semasa menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Perlis beliau kerapkali membelakangkan pandangan Jawatankuasa Mufti peringkat Kebangsaan dan sentiasa lari dari berdialog secara tertutup dan beradab, sebaliknya mencari populariti di media. Keadaan ini akan menyukarkan YADIM dan MAIM untuk bergerak sekiranya tiada hubungan erat dengan Mufti-Mufti.
3. Dr Asri mendakwa dirinya dan pengikut-pengikutnya sebagai ahlu-sunnah tetapi mereka menolak dan tidak mengiktiraf kebanyakan ulamak dan umat Islam lain yang di luar dari lingkungan pengikutnya. Beliau juga tidak mengkitiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadith yang diriwayat oleh Imam Bukhari.
4. Pendekatan Dr Asri dan para pengikutnya telah mencetuskan berbagai perbalahan di kalangan umat Islam apabila mengkritik berbagai amalan umat Islam di Malaysia kononnya ia tidak mengikut sunnah seperti amalan membaca Yaa Sin pada malam Juma’at, amalan bertalqin, tahlil, doa selamat, solat hajat, wirid selepas solat. Beliau juga mencerca para ulamak besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka. Bahkan akibat dan malapetaka yang bakal timbul dari pendekatannya ini amatlah besar sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa buah negara Islam. Malapetaka ini sewajarnya dibendung dan bukan disemarakkan lagi.
5. Akibat dari pendekatan ekstrem Dr.Asri dan pengikutnya ini kebanyakan Majlis Agama Islam Negeri-negeri telah menyekat kegiatan pengajian yang dijalankan oleh mereka. Malah beberapa guru agama dan penceramah yang sealiran dengan mereka sedang menghadapi pertuduhan di mahkamah Syariah kerana mengajar tanpa tauliah. Antaranya Dr. Abdullah Yasin yang menghadapi beberapa kes di negeri Selangor.
6. Dr Asri hingga kini mempertikaikan undang-undang jenayah Syariah negara serta mentafsirkannya tidak mengikut peruntukan undang-undang dan hukum syarak yang diterima para Ulamak dan masyarakat Islam. Dengan melantik seorang yang berpandangan dan pendekatan seperti ini, ia akan melenyapkan keyakinan dan kepercayaan umat Islam bukan sahaja kepada YADIM malah kepada kerajaan keseluruhannya atas kegagalan memelihara ajaran dan amalan Islam yang dipegang selama ini.
7. Pendekatan ekstrem Dr.Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh Negara khususnya di negeri Perlis. Imam-imam di Perlis yang tidak mendokong aliran Dr Asri telah diketepikan malah baru-baru ini mereka telah ditukarkan atas alasan yang sama (berita-berita sebegini telah tersiar di dalam akhbar-akhbar utama negara). Cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.
8. Sebagai seorang yang terlalu muda serta gagal menghayati budaya adab sopan umat Islam di malaysia, Dr Asri lebih banyak mengundang kontroversi dan merupakan seorang yang keras, ekstrem serta tidak dapat menerima teguran, pandangan dan kritikan orang lain. Majlis-Majlis Agama Islam Negeri-negeri lain selain Perlis, Tokoh-tokoh agama arus perdana termasuk semua para Mufti Negeri-negeri (kecuali Perlis) serta tokoh-tokoh seperti Prof.Datuk Dr.Ismail Ibrahim, Tan Sri Syeikh Ghazali b Abd Rahman bekas Ketua Pengarah JKSM, Dato’ Hashim b.Yahya bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Nooh Gadot dan ramai lagi amat tidak senang dengan pendekatan dan pendirian sebegini.
9. Penolakkan oleh sebahagian besar tokoh agama dan umat Islam terhadap pemikiran dan pendekatan beliau dalam amalan agama adalah kelemahan besar Dr.Asri dan amat tidak sesuai untuk menerajui sebuah agensi dakwah yang ditunjangi oleh Kerajaan Malaysia. Peribadi yang lebih berhemah dan memahami manhaj dan metodologi dakwah di Malaysia adalah lebih wajar menerajui YADIM.Terdapat ramai lagi tokoh lain yang tidak kontroversi yang datang dari golongan Muslim arus perdana yang boleh dilantik menerajui YADIM dan diterima oleh masyarakat Islam arus perdana.
10. Dr Asri bukan sahaja ditolak oleh majoriti penyokong UMNO, malah beliau juga tidak disenangi oleh penyokong PAS yang merupakan 2 parti umat Islam terbesar. Hanya segelintir dari masyarakat Islam yang berpendirian ekstrem dalam hal furu’ atau perkara cabang yang gembira dengan pemikiran dan pendekatan beliau. Kami bimbang Kerajaan Persekutuan akan disisihkan oleh umat Islam dalam kegiatan keagamaan dan amalan keagamaan yang seragam dan telah sebati di seluruh Negara tidak lagi menjadi arus perdana di masa akan datang, manakala Pihak Berkuasa Agama Negeri mengambil pendekatan berbeza dari Kerajaan Persekutuan.
Diserahkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Ditandatangani oleh:
Mohamad Isa bin Abd Ralip
Presiden PGSM
Bertarikh 12 Oktober, 2009
Badan-Badan Bukan Kerajaan Yang Menyokong Memorandum ini:
1. Persatuan Pegawai-Pegawai Syariah Malaysia
2. Yayasan Sofa Negeri Sembilan
3. Yayasan Jenderami
4. Pertubuhan Muafakat Masyarakat Sejahtera (MUAFAKAT)
5. Persatuan Peguam Syarie Malysia
6. Persatuan Peguam Muslim Malaysia
7. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
8. Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
9. Jemaah Islah malaysia (JIM)
10. Persatuan Ulamak Malaysia
11. Yayasan Paksi Kedah
12. Persatuan Ulamak Kedah
13. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Sidang Media Tergempar Dr Asri – Saya Difitnah
Oleh ARIFFUDDIN ISHAK
PETALING JAYA: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin kecewa dengan fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Menurut beliau tuduhan berunsur fitnah tersebut timbul atas perasaan tidak puas hati pihak-pihak tertentu berikutan penawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terhadapnya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
“Sejak jawatan itu ditawarkan maka ada beberapa pihak yang barangkali tidak selesa, tapi itu tidak mengapa untuk mereka berikan pandangan.
“Mereka nak hantar (memorandum) kepada Yang di-Pertuan Agong tak ada masalah, tapi mereka mesti berikan fakta yang benar,” katanya dalam sidang media tergempar di sini malam ini.
Jelas beliau antara tuduhan fitnah yang terkandung dalam memorandum bertarikh 12 Oktober lalu yang dimuatkan dalam laman web PGSM ialah mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah dan keluar dari Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hambali serta menolak hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari.
Menurut Mohd Asri lagi tuduhan lain yang dianggap melampau ialah dakwaan yang mengatakan beliau telah mencerca golongan ulama seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali.
Oleh yang demikian beliau menuntut supaya Presiden PGSM, Mohamad Isa Abd Ralip yang menandatangani memorandum berkenaan supaya menyatakan bukti terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan.
“Untuk buat bantahan itu hak mereka, tapi bila beliau keluarkan beberapa tuduhan yang bagi saya membabitkan soal maruah dan keilmuan sehingga boleh menyebabkan perpecahan antara orang Islam… ini tuduhan besar.
“Saya minta beliau buktikan satu sahaja sama ada tulisan atau perkataan saya yang jadi bukti terhadap apa yang beliau sebut… saya beri tempoh selama satu minggu,” katanya.
Tambah Mohd Asri, beliau menyedari salinan memorandum berkenaan dimuatkan dalam lawan web PGSM pagi tadi.
Bagaimanapun hasil semakan, salinan memorandum yang diedarkan kepada media dalam sidang media itu telah dipadam daripada lawan web berkenaan.
Antara tuduhan lain yang terdapat dalam memorandum berkenaan ialah Mohd Asri didakwa sering mengambil tindakan berkonfrantasi secara terbuka tanpa menitik beratkan soal adab dan kepentingan umat Islam secara keseluruhannya.
Selain itu dalam memorandum itu juga dinyatakan pendekatan ekstrem Mohd Asri telah mengundang pelbagai akibat dan keresahan di kalangan umat Islam di seluruh negara khususnya negeri Perlis.
Juga dinyatakan bahawa cercaan beliau dan pengikutnya kepada amalan solat hajat kononnya ia satu bentuk maksiat dalam masjid telah mengundang perbalahan dan beberapa kejadian pergaduhan.
Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan terhadap tuduhan berkenaan beliau berkata, “Cukuplah saya beritahu melalui media bahawa perkara ini adalah bohong, saya belum berfikir untuk saman.”
Berhubung sama ada beliau berhasrat untuk membuat penjelasan bertulis kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung isu ini beliau berkata: “Saya harap Yang di-Pertuan Agong juga membaca penjelasan saya, tapi mungkin juga saya boleh fikirkan (untuk menulis penjelasan rasmi) jika ada ruang boleh juga.”
Dalam pada itu, ditanya mengenai status tawaran jawatan YDP YADIM terhadapnya yang dibuat oleh Perdana Menteri pada September lalu, Mohd Asri berkata berdasarkan pekembangan terbaru ini, beliau tidak berminat dengan jawatan tersebut.
“Apabila melihat kepada perkembangan ini, saya tidak berminat… itu keputusan saya,” katanya.
Selain itu menurutnya, beliau juga mengambil kira pandangan yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu beliau berada di pihak ketiga.
“Sebenarnya apabila jawatan ini timbul, saya bertanya pendapat Tun Dr Mahathir, beliau juga kurang bersetuju saya pergi mana-mana jawatan yang agak nampak di pihak kerajaan.
“Katanya elok saya jadi pihak ketiga, saya memang sedang menimbangkan nasihat beliau dua, tiga hari lepas… sebelum saya lihat memorandum ini,” katanya.
Sementara itu Mohd Asri turut mencadangkan supaya Jabatan Audit Negara melakukan siasatan terhadap YADIM bagi menyemak tentang beberapa perkara.
“Apabila timbul isu YADIM ini, saya ada semak beberapa perkara, mungkin semakan saya ini betul ataupun salah.
“Saya mencadangkan kepada pihak audit negara supaya melakukan audit kepada YADIM sekarang, ini adalah perkara yang patut dibuat dan kita mungkin akan bertemu dengan banyak perkara,” katanya tanpa mengulas lanjut.
Respons NGO-NGO Islam Terhadap Sidang Akhbar Dr. Asri Berhubung Memorandum Bantahan Perlantikan Beliau Sebagai Yang Di Pertua YADIM
Bertarikh 1 November 2009
Kami, mewakili NGO-NGO Islam yang telah dikaitkan oleh Dr. Asri dalam sidang akhbar yang diadakan olehnya semalam (31 Oktober 2009) ingin membuat penjelasan-penjelasan berikut:-
Kami melahirkan rasa KEKESALAN kami di atas tindakan Dr. Asri memperbesar-besarkan dan mencari publisiti terhadap suatu perkara yang merupakan hak serta budibicara mutlak YDPA dan Kerajaan, yang mana menurut undang-undang, perlantikan YDP YADIM adalah kuasa YDPA dan Kerajaan.
Kami TEGASKAN bahawa adalah suatu sikap yang MENGECEWAKAN untuk beliau memperbesar-besarkan isu ini dan mengheret masyarakat umum ke dalam persoalan ini, sedangkan ia adalah isu dalaman pentadbiran agama negara kita, yang sepatutnya diselesaikan secara perbincangan tertutup dan berhikmah. Oleh itu, kami tidak berniat dan tidak berhasrat untuk membincangkan isu ini secara terbuka.
Kami turut merasa MUSYKIL dengan beberapa dakwaan beliau dalam sidang akhbar beliau termasuk dakwaannya yang ‘menolak’ tawaran perlantikan sebagai Yang Di Pertua YADIM sedangkan belum ada apa-apa pengumuman rasmi daripada pihak yang berkuasa dalam hal tersebut.
Kami mengakui memang kami telah mengambil langkah tegas untuk menyampaikan bantahan kami terhadap ura-ura perlantikan beliau sebagai YDP YADIM atas sebab-sebab maslahah ummah (kepentingan seluruh umat Islam) di Malaysia.
Dalam pengetahuan kami, di kalangan pihak berkuasa agama, tokoh-tokoh agama, pertubuhan-pertubuhan arus perdana sudah sekian lama tidak bersetuju dan tidak berpuashati dengan pendekatan Dr. Asri yang banyak menimbulkan keraguan dan polemik yang merugikan seperti dalam isu pencegahan khalwat oleh Pihak Berkuasa Agama, isu penggunaan kalimah Allah, isu amalan-amalan furu’ yang dikatakan bidaah di kalangan umat Islam dan lain-lain.
Merujuk kepada permintaan Dr. Asri agar kami mengemukan bukti tentang kenyataan kami, kami BERSEDIA pada bila-bila masa untuk bersemuka dan berbincang dengan beliau SECARA PERIBADI, kerana kami berpendirian bahawa isu ini adalah isu dalaman dan tidak wajar dibahaskan atau disensasikan secara terbuka. Tindakan beliau ini sekali lagi menggambarkan bahawa beliau adalah seorang yang tidak berhemah, tidak berhikmah, sekaligus menggambarkan beliau tidak sesuai memegang jawatan sebagai YDP YADIM atau jawatan-jawatan yang seumpamanya.
Tindakan kami menghantar memorandum kepada YDPA Agong adalah atas niat baik supaya kesepaduan umat Islam di Malaysia atas pegangan ahli sunnah wal jamaah TIDAK dirobek dan dimusnahkan oleh pendekatan yang tidak mengikut arus perdana. Kami tidak mahu suasana kacau bilau dalam amalan beragama berlaku di Malaysia.
Kami NGO-NGO Islam telah pun mengemukakan pandangan kami kepada DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dan kami menyerahkan kepada Ke Bawah Duli untuk mempertimbangkan pandangan jujur dan ikhlas kami tersebut.
Ditandatangani oleh:
……………t.t..………………….
MOHAMAD ISA BIN ABD RALIP
Presiden
Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)
Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menyokong Kenyataan Media/Respon ini:-
Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM)
Pertubuhan Muafakat Sejahtera (MUAFAKAT)
Persatuan Kebangsaan Pelajar-Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Yayasan Sofa Negeri Sembilan
Yayasan Jenderami
Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Persatuan Alumni Kolej Islam (ALKIS)
Persatuan Ulamak Malaysia (PUM)
Jemaah Islah Malaysia (JIM)
Yayasan Paksi Kedah
Persatuan Ulamak Kedah
Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
Persatuan Ulamak Wilayah Persekutuan
Institut Pengajian Tradisional Islam
Khalifah Institut.
JAIS: Dr Asri akan segera didakwa
Salhan K Ahmad | Nov 2, 09 4:41pm
Dr Mohd Asri Zainul Abidin akan didakwa selepas Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) selesai menjalankan siasatan terhadap bekas mufti Perlis itu berhubung kesalahan mengadakan kuliah agama tanpa tauliah daripada jabatan itu.
Pengarah jabatan itu Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata siasatan itu juga akan disegerakan memandangkan kes itu melibatkan tangkapan yang telah menjadi perhatian umum.
Bercakap pada sidang media di pejabatnya di Shah Alam hari ini, Mohammed Khusrin turut mempertahankan tindakan jabatan itu menggunakan khidmat polis ketika menahan Dr Mohd Asri.
“Tangkapan dibuat dengan dibantu polis kerana berlaku masalah untuk dapatkan kerjasama (Dr Mohd Asri).
“Kami telah dihalang oleh jemaah dan wakil rakyat kawasan, sebab itu kami dapatkan bantuan polis,” katanya.
“Kami tidak buat lebih daripada sepatutnya,” katanya lagi.
Dr Mohd Asri akan didakwa bawah Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 atau mengajar agama tanpa tauliah.
Beliau ditahan malam tadi ketika menyampaikan kuliah agama di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.
Turut hadir di tempat kejadian, ahli parlimen PKR bagi Ampang, Zuraida Kamaruddin dan ADUN PAS bagi Hulu Kelang, Saari Sungib.
Di sidang media itu, Mohammed Khusrin juga berkata, Jais tidak menerima tekanan daripada pertubuhan Islam dalam menjalankan tindakan ke atas bekas mufti itu.
Mengulas isu penyebaran ajaran Wahabi, pengarah Jais berkata ia tidak sesuai dikenakan terhadap Dr Mohd Asri memandangkan siasatan masih dijalankan.
Jelasnya lagi, Jais tidak boleh membuat tuduhan sembarangan ke atas Dr Mohd Asri walau bekas mufti itu menerima tuduhan mendukung ajaran Wahabi oleh beberapa pertubuhan Islam.
Dalam satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini, sejumlah NGO Islam membantah Dr Mohd Asri dilantik sebagai pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) atas alasan beliau seorang yang tidak mengamalkan ajaran Ahlus Sunnah Wal Jamaah, menolak ulama dan bersikap ekstrem.
Dr Mohd Asri bagaimanapun menafikan semua dakwaan tersebut dalam sidang medianya semalam.
Mohammed Khusrin juga berkata, Jais perlu meneliti keputusan daripada siasatan sebelum membuat pertuduhan sesuai.
Jelasnya, jabatan tersebut setakat ini hanya mendapati Dr Mohd Asri mengajar agama tanpa tauliah ketika menyampaikan kuliah agam di sebuah rumah di Taman Sri Ukay malam tadi.
Tambahnya, Jais juga telah bertindak kepada sekurang-kurangnya 10 orang penceramah agama yang menjalankan kuliah di Selangor tanpa tauliah.
“Kami bertindak atas aduan dan memorandum penduduk Taman Sri Ukay sebelum kami bertindak menahan Dr Mohd Asri,” kata Mohammed Khusrin lagi.
Mesej Tun Abd Rahman Yaakub, bekas Ketua Menteri Sarawak kepada Dr. Mohd Asri berhubung dengan penangkapan JAIS:
Assalamualaikum,
Saya berdoa semoga Allah sentiasa melindungi saudara.
Jelas pada saya bahawa golongan-golongan yang dihasutkan oleh iblis akan melakukan segala-gala yang tidak menyenangkan hati mereka.
Saya yakin kebenaran akhirnya akan menghapuskan segala-gala fitnah dari golongan yang tidak bertanggungjawab.
Saya sudah pernah menghadapi golongan-golongan yang khianat lagi dengki pada perjuangan yang suci. Malangnya yang memusuhi pejuang-pejuang di jalan Allah yang mengaku dirinya di pihak yang benar.
Anehnya pada diri saya, orang bukan Islam dari pegawai-pegawai Inggeris yang membela dan menolong saya sehingga saya berjaya dan berhasil mencapai cita-cita murni.
Semuanya dengan izin Allah.
Wassalam.
Berkenaan Tangkapan Dr Mohd Asri : Satu Pendapat
Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/content/view/887/72/
Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.
Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.
Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.
BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN
Imam Al-Awza’ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :
Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, akau akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )
Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :
Ertinya : “JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya”
Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?
Imam Ahmad menjawab
لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه
Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.
Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.
Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada:
a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
b) Furu’ Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.
Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.
Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.
Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.
Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.
Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.
Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya,
Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,
“Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya”
Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.
TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?
Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.
Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma’al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak serta memperkecilkan penilaian Raja Perlis.
Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati’ yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.
Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.
Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh’ yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.
Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh’, ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.
Memorandum Persatuan Peguam Syar’ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.
Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?
Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.
Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.
Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.
Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.
Perdana Menteri memberi sokongan,
Menteri Agama,
Menteri Besar Selangor,
Ketua Pemuda UMNO,
Ketua Pemuda PAS,
Bekas YDP YADIM,
Tajuk besar akhbar,
Serta ramai dan banyak lagi
Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.
“Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? ” tanya seorang kenalan di UK
“Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak”
“Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh’ seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh” Tegas saya lagi menjelaskan.
Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.
SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH
Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.
Jangan pula mengatakan:
“Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan”
Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.
Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.
Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.
Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :
أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة
” Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)
Ahmad Bin Hanbal berkata :
لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم
Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai
Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :
نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه
Ertinya : “Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan”
Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad’u kita yang sebenar kepada Islam.
Firman Allah :-
وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 26 )
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net
3 Nov 2009
Meneladani Krisis Salaf vs. Khalaf di Era Othmaniyyah
Abu Saif | 03/11/2009 | 11:09 am |
KETERBUKAAN OTHMANIYYAH
Sebagaimana yang kita semua sedia tahu, Othmaniyyah bermazhab Hanafi. Mazhab Hanafi telah menjadi pegangan negara-negara bangsa Turki di era Islam semenjak dari zaman Karakhanid. Dengan tabiat yang wujud di dalam kaedah pengambilan hukum dan pengembangannya di dalam Mazhab Hanafi, masyarakat Othmaniyyah menganggap mereka sebagai terbuka dan fleksibel. Ia memberikan ruang kebebasan yang banyak di bidang siasah dan penguatkuasaan polisi dari semasa ke semasa. Di atas sifat ini, Halil Inalcik berpendapat bahawa Othmaniyyah adalah sebuah masyarakat Islam yang paling bersikap terbuka terhadap pengaruh budaya luar[i].
Keterbukaan Othmaniyyah itu telah mengundang kepada kemasukan unsur yang positif dan negatif. Kemunculan gerakan Kizilbas (”kepala merah”) yang membawa propaganda dan pengaruh Syiah telah menjadi senjata Kerajaan Safavid untuk mengkucar-kacirkan Othmaniyyah. Apabila ancaman ‘rakan sekiblat’ dari golongan Syiah ini muncul, ia telah menimbulkan suatu kesedaran betapa para Sultan perlu benar-benar menguasai ilmu pengetahuan demi untuk berhadapan dengan serangan pemikiran seperti yang dilakukan oleh golongan Kizilbas itu tadi. Sultan Suleyman I telah menuntut ilmu dengan Imam Ebussud (1490 – 1574) untuk tujuan tersebut.
KEMUNCULAN AJARAN SESAT
Perbicaraan yang membabitkan Molla Kabiz (m. 1527) menarik perhatian kita berkaitan dengan isu ini. Ketika mana berlakunya pemberontakan Kizilbas Kalender Celebi di Anatolia pada tahun 1527, Molla Kabiz telah mempertahankan pendapat bahawa Jesus adalah lebih hebat berbanding dengan Rasulullah Muhammad s.a.w. Semasa beliau dibicarakan buat kali pertama di Imperial Council, para kadiasker tidak dapat mendatangkan hujah Syara’ yang cukup untuk membolehkan Molla Kabiz dihukum. Sultan yang tidak berpuas hati dengan hal ini telah menitahkan agar dilangsungkan perbicaraan kedua terhadap Molla Kabiz dan kali ini ia membabitkan perdebatan bersama Sheikh al-Islam Kemal Pasazade yang juga merupakan kadi Istanbul. Sheikh al-Islam telah berjaya mendatangkan hujah yang menyebabkan Molla Kabiz terdiam, namun beliau tetap dengan pandangannya. Akhirnya Molla Kabiz dihukum bunuh selepas perbicaaraan itu.
Ekoran daripada peristiwa itu, pada tahun 1537, semua gabenor telah menerima pekeliling daripada kerajaan Othmaniyyah bahawa sesiapa yang meragui ajaran Nabi Muhammad s.a.w. adalah dianggap sebagai kafir dan boleh dihukum bunuh. Para gabenor juga menerima arahan agar setiap kampung didirikan sebuah masjid dan setiap mukallaf diwajibkan hadir ke Solat Jumaat. Ini merupakan langkah yang diharapkan dapat menjadi mekanisma yang boleh mengesan golongan yang menolak Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah.
Kemunculan cabaran yang berbentuk serangan pemikiran di dalam sebuah masyarakat sebesar Othmaniyyah, mendorong kepada munculnya kebiasaan melaksanakan agama secara penguatkuasaan undang-undang (law enforcement) dan hal ini mengundang kepada benih-benih fanatisma di dalam soal beragama[ii].
ANTARA KERAS DAN BERSEDERHANA
Lazimnya, golongan yang keras pendekatannya adalah terdiri daripada sarjana yang masyhur dari kalangan mereka yang mengajar di masjid-masjid besar yang utama. Manakala Ulama’ yang mengambil pendekatan yang lebih bersederhana adalah terdiri daripada mereka yang mengajar di Sekolah Tinggi atau berkhidmat sebagai kakitangan di institusi agama. Di antara mereka itu, adalah Taskopruluzade Ahmed (1495 ““ 1561)[iii].
Taskopruluzade telah mengkritik secara keras terhadap tindakan Ulama’ yang keras kerana pada anggapannya telah mengeksploitasi kejahilan orang ramai dan menjuruskan mereka kepada kesesatan. Katanya, “Allah menghalang kita daripada mendekati mereka yang menonjolkan fanatisma di dalam agama!” Pada tanggapan Taskopruluzade, setiap orang adalah bebas untuk memilih mazhab pegangannya. Dakwaan bahawa mazhab seseorang adalah betul secara muktamad, manakala mazhab-mazhab yang lain sebagai palsu, serta melemparkan tuduhan kufur kepada mana-mana Muslim sebagai bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar.
Gerakan yang memilih pendekatan yang berbau fanatisma ini menjadi semakin berleluasa sehingga menimbulkan kegusaran di kalangan orang ramai dan ia telah menarik perhatian pemerintah untuk mengambil sikap berjaga-jaga.
MEHMET BIRGILI EFENDI
Salah seorang daripada sarjana yang bertindak keras di dalam pengajarannya adalah Mehmed of Birgi (1522 – 1573). Aktivitinya paling menonjol di sekitar tahun 1558 hingga 1565. Beliau telah mengkritik amalan-amalan kebiasaan Othmaniyyah seperti berjabat tangan dan tunduk kerana memberi hormat, budaya mencium tangan, memakai jubah-jubah yang besar dan apatah lagi perbuatan mengadakan upacara-upacara keagamaan di kawasan perkuburan sebagai Bid”‘ah dan mesti dibanteras habis-habisan. Malah serangan Mehmed of Birgi juga menyentuh beberapa polisi rasmi kerajaan Othmaniyyah seperti menggajikan mereka yang bertugas di institusi agama, menganggap pewasiatan wang serta harta alih sebagai wakaf, sebagai polisi yang batil. Pada masa yang sama, tulisan-tulisannya yang menghentam perbuatan membaca mentera dan menari-nari di dalam majlis zikir telah mengundang huru-hara di dalam masyarakat ketika itu.
Anak murid Mehmed of Birgi iaitu Kadizade Ahmed (m. 1635) dan sekumpulan pendakwah yang menjadi pengikut kepada Mehmed of Birgi, dikenali sebagai fakis, meneruskan kontroversi tersebut. Seruan mereka dari mimbar-mimbar Istanbul telah mencetuskan kacau bilau di dalam masyarakat dan menyebabkan masyarakat berpecah kepada dua. Golongan fakis ini menegaskan bahawa sebarang amalan yang tidak wujud di zaman Nabi s.a.w. adalah Bid’ah dan sesiapa yang mengamalkannya dianggap kafir. Mereka menyatakan juga bahawa rokok tembakau dan kopi adalah haram, seiringan dengan sebarang muzik dan tari menari. Malah tuntutan golongan fakis membawa hingga kepada menuntut agar subjek seperti matematik dan ilmu sains dimansuhkan daripada Madrasah.
Seruan golongan ini berlarutan serta berkembang dan ia sampai ke suatu tahap di mana Sultan Murad IV (1623 – 1640) telah cuba untuk meraih pengaruh lantas menggubal serta menguatkuasakan undang-undang yang mengharamkan rokok tembakau dan alkohol serta tidak bertolak ansur terhadap mereka yang engkar.
Dakwaan golongan fakis juga mempertikaikan kehidupan mewah para pemerintah serta menyeru kepada penentangan terhadap sebarang ketidakadilan yang berlaku. Pada tahun 1656, mereka menghentam kesemua tekke (pusat kegiatan golongan Sufi) dan cuba untuk melancarkan revolusi agama secara besar-besaran.
SALAFI DIMANIPULASI
Malang sekali, apabila pengaruh golongan fakis menjadi begitu kuat, khususnya di kalangan rakyat bawahan, terdapat sebahagian pegawai tinggi pemerintah dan ahli politik cuba memanipulasi pengaruh itu dengan menyatakan sokongan mereka kepada golongan fakis. Golongan ini yang secara dasarnya cuba mengembalikan masyarakat kepada Sunnah, telah dijadikan sebagai alat konspirasi oleh golongan ahli politik itu tadi.
Akhirnya Koprulu Mehmed (m. 1661) yang menjadi Perdana Menteri ketika itu telah mengambil tindakan mengusir keluar golongan fakis ini daripada Istanbul demi untuk mengelakkan tercetusnya perang saudara.
PENGAJARAN
Inilah sebahagian daripada sedutan peristiwa yang pernah berlaku di zaman Othmaniyyah. Isu utama yang menjadi pencetus huru hara di masa itu adalah soal BID”‘AH dan fokusnya masih sama dengan apa yang berlaku hari ini.
Di dalam hal ini Katip Celebi[iv] (1609 – 1657) telah membuat ringkasan terhadap pandangan para Ulama berhubung dengan hal ini. Beliau menyatakan bahawa adat istiadat dan Bid’ah yang telah menjadi kebiasaan sebahagian besar masyarakat, tidak boleh dan tidak sepatutnya dihapuskan secara kekerasan. Bid’ah mungkin tidak sejajar dengan kehendak Syara’. Akan tetapi, manusia, sebagai hamba Allah adalah makhluk yang lemah dan tidak sempurna. Allah s.w.t. ‘menangani’ kelemahan manusia itu dengan sifatnya yang Maha Pengampun, lantas Islam lebih mengutamakan toleransi berbanding paksaan dan kekerasan. Tindakan menggunakan kekerasan ini hanya akan mencetuskan penentangan dan akhirnya mengakibatkan kegusaran serta perpecahan di kalangan masyarakat.
Katip Celebi juga mengusulkan bahawa penyelesaian terhadap fanatisma di dalam agama, boleh diperolehi dengan mengkaji beberapa sains keintelektualan sebagaimana yang diamalkan di era pemerintahan Fatih Sultan Mehmed. Padanya Mehmed of Birgi tidak memahami fungsi adat di dalam masyarakat kerana beliau tidak mempelajari Sejarah dan Falsafah. Katip Celebi juga percaya bahawa perdebatan sememangnya bermanfaat, namun ia terhad kepada sarjana (Ulama’) sahaja, dan tidak seharusnya membabitkan orang ramai.
Usaha yang dilakukan oleh Mehmed of Birgi dan pengikutnya adalah reaksi yang wajar apabila masyarakat semakin terbelenggu dengan amalan-amalan yang menyalahi ajaran Islam. Namun, usaha itu menjadi gagal kerana dua sebab yang berulang-ulang di sepanjang sejarah Islam iaitu:
Fanatisma terhadap pandangan sendiri
Menggunakan pendekatan keras dan paksaan di dalam dakwah
Inilah yang sepatutnya menjadi pelajaran kepada Ummah. Manipulasi golongan politik terhadap seruan ‘pulang kepada Sunnah”‘ ini juga mesti diberi perhatian kerana pendukung Sunnah sudah pun pernah menjadi ‘alat konspirasi’ sesama ahli Politik yang sentiasa memikirkan kepentingan politik mereka sahaja.
Ketika golongan fakis sibuk dengan isu Bid’ah, pada masa itulah Othmaniyyah jatuh merudum kerana ancaman sebenar pada masa itu adalah:
Serangan kuasa bersekutu dari Barat
Serangan Syiah dari Timur
Rakyat Othmaniyyah sendiri berpecah belah pada masa tersebut.
KONSPIRASI SAFAVID
Pada tahun 1599, Shah Abbas dari Iran telah menghantar dutanya ke Eropah dan membuka kepada perbincangan ketenteraan dan ekonomi ke arah menekan Othmaniyyah secara langsung. Di Vienna, hasrat ini disambut oleh Maharaja dengan baik. Beliau menyatakan keinginan untuk membentuk suatu gagasan anti-Othmaniyyah bersama Russia dan Georgia di Timur, dan dalam masa yang sama akan bekerja keras ke arah menyatukan Raja-raja Kristian di Eropah di dalam satu Perang Salib yang bakal dilancarkan.
1603, perang besar-besaran dilancarkan dan tekanan serentak Timur dan Barat telah membinasakan Othmaniyyah. Bebanan Austria dan Parsi ini telah menjadi sumber luar yang utama kepada ketidakstabilan Othmaniyyah pada era tersebut.
Jika pisang berbuah berkali-kali, ia rezeki yang baik. Namun, sekiranya umat Islam disengat pada lubang yang sama untuk kali yang ke seterusnya, ia suatu petanda yang malang bagi kita.
ARTIKEL PENUH >>> ulamaothmaniyyah.doc
Justifikasi Seorang Teman
Abu Saif | 04/11/2009 | 12:44 am |
Saya tidak pasti apa yang mahu dicatat.
Menulis tanpa ketenangan fikiran, bukanlah sesuatu yang baik.
Terlalu mudah untuk dikesan pada apa yang diluahkan. Ternampak fikiran yang tidak tenteram, hati yang kusam dan pandangan yang kelam.
Tetapi diam bukanlah ubat kebah pada jiwa yang tidak tenteram. Nyatanya bagi orang yang berehat dengan menulis, selagi tulisan belum dilangsaikan, tiada rehat dan tiada tenteram untuk selimut malam.
DI BUMI SYAM
Di Bumi Syam, saya bukanlah insan yang paling rapat dengan Ustaz Asri. Sesuai dengan jarak universiti pengajian saya yang ratusan batu di seberang lembah kering membelah sahara, pertemuan kami yang terbaiknya hanya sekali seminggu. Teman-teman lain yang ‘bertuah’ dikurniakan peluang mengaji di Amman, lebih berkongsi talam hidangan dan tikar bualan bersama Ustaz Asri.
Namun entah di mana titiknya, antara saya dan beliau ada sesuatu yang lebih daripada kenalan.
Teringat saya ketika pulang bercuti ke Malaysia pada suatu ketika, saya berkunjung ke Taman Melewar sebagai pemerhati Muktamar. Seorang super senior menyampuk saya, “hah, Hasrizal, anta orang Asri kan? Dengar khabar dia sekarang ini sudah masuk UMNO. Apa cerita?”
Muka saya merah padam.
Tetapi sentuhan Bumi Syam sudah banyak meredakan baran saya yang banyak mengundang susah. Saya menggigit lidah dan membalas ringkas, “kalau mahu tahu tentang Ustaz Asri, tanyalah yang empunya diri. Ana tidak tahu menahu!”
Soalan, “Asri apa khabar?” sangat sinonim dalam pertemuan saya dengan teman lama. Ia mungkin sedikit sebanyak menggambarkan siapa Ustaz Asri dan siapa saya. Terlalu rumit untuk dicoret, hanya yang berpada untuk menukil ibrah.
PERTEMUAN PERTAMA
Cuti musim sejuk selepas tamat semester satu di awal pengajian saya, kami pelajar baru berpeluang ke Makkah menunaikan ibadah Umrah. Perjalanan sehari semalam dengan bas merentas padang pasir, banyak kenangan yang masih segar dalam lipatan.
Saya teringat di suatu petang, semasa duduk di celah-celah orang lain di pinggir rumah tumpangan kami di sisi al-Masjid al-Haram, perbualan kami terhenti apabila seorang pelajar yang memperkenalkan dirinya sebagai penuntut Malaysia di Makkah menyergah Ustaz Asri.
“Anta Wahabi!” kata pelajar itu.
“Wahabi itu apa?” tanya Ustaz Asri semula kepadanya.
“Tu, yang Ibnu Taimiyah pegang tu, Wahabi le” kata pelajar tersebut dengan penuh yakin.
“Ibnu Taimiyah mati lama sebelum Muhammad bin Abdul Wahhab lahir. Macam mana boleh Ibnu Taimiyah jadi Wahabi?” Ustaz Asri menambah soalan.
Pelajar itu tidak menjawab dan terus meninggalkan kami.
Saya sendiri terkejut dan terpinga-pinga.
Di dalam perjalanan pulang ke Jordan, kami sepi merenung ke luar. Cuaca yang semakin sejuk tatkala semakin bergerak ke Utara menyebabkan sesetengah kami selsema.
“Nak berhenti di mana ni? Rasanya tak ada masjid depan-depan tu,” kata ketua rombongan.
Subuh sudah lebih setengah jam masuk, dan kami tidak bertemu dengan masjid untuk singgah mengadap Allah. Akhirnya semua bersetuju agar bas berhenti sahaja di tepi jalan dan kami bersolat di tanah lapang.
Subhanallah…
Cuaca yang amat sejuk menggigit kami hingga ke tulang. Tidak mampu menjamah air, kebanyakan kami bertayammum dengan tanah mengelakkan diri daripada mudarat. Solat Fajar segera didirikan kerana mentari juga sudah hampir menyimbah siang. Pengalaman bersolat di padang pasir yang sejuk, kering dan penuh batu sungguh nostalgia.
Namun saya tidak lupa kepada teguran Ustaz Asri kepada sahabat saya yang mengimamkan Solat Fajar itu.
“Anta, orang solat separuh nyawa menahan sejuk, anta nak buat Qunut juga ya!” kata Ustaz Asri.
Sahabat saya tersengih.
Sudah belajar, dan sudah faham perbahasan sekalian mazhab tentang persoalan Qunut di Solat Fajar itu. Tetapi mengubah kebiasaan, berbeza-beza antara seorang dengan seorang yang lain.
ILMIAH DAN ILMIAH
Itulah muqaddimah imej Ustaz Asri kepada saya, pelajar tahun satu di tahun 1993 itu. Pergaulan kami dengan beliau banyak terisi dengan wacana yang kata kuncinya cuma satu, ILMIAH.
Ilmiah dalam menadah kitab, ilmiah semasa hadir ke kuliah, ilmiah semasa berbahaskan khilaf, ilmiah juga dalam soal dakwah dan berjamaah. Uniknya ialah, Ustaz Asri tidaklah bersendirian berpegangan demikian. Malah ia adalah pegangan sesiapa sahaja di Jordan yang serius dengan pengajian. Tidak keterlaluan jika saya katakan, ketika kami di tahun satu pengajian, kami sentiasa mengagumi para senior yang kemas ilmu pengetahuannya.
Rata-rata, kebanyakan senior ini adalah daripada kalangan mahasiswa yang membuat pengkhususan di dalam Sastera Arab, tajaan Kementerian Pendidikan Malaysia (lebih sinonim disebut KP). Pelajar persendirian dan tajaan Yayasan Negeri juga ramai yang bagus. Tetapi rata-rata pemegang biasiswa KP lebih menonjol sebagai pelajar yang berwibawa. Sebabnya mudah, Kementerian Pendidikan Malaysia hanya menaja pelajar cemerlang SPM dan STPM untuk menyambung pelajaran di Jordan. Maka hampir kesemua mereka yang saya kenali, adalah pelajar yang mendalam pengetahuan tentang ilmu Syariah, biar pun mereka membuat pengkhususan utama di dalam Kesusasteraan Arab.
Tambahan pula, ketika itu University of Jordan masih menawarkan program yang membolehkan pelajar membuat majoring di dalam satu bidang, kemudian minor di dalam satu bidang yang dipilih. Ramai yang saya kenal ketika itu, mereka mengambil Ijazah Sarjana Muda Kesusasteraan Arab dengan minoring in Shariah.
Saya tidak pasti di tahun manakah program tersebut dimansuhkan, tetapi ia berlaku di awal pengajian kami, generasi pelajar tahun satu tahun 1993.
Tetapi Ustaz Asri adalah Ustaz Asri. Sesuatu yang tidak pernah berubah bermula daripada hari pertama saya mengenalinya. Dua sifatnya yang paling menonjol ialah beliau sentiasa berpendapat berlapikkan hujah, dan sifat peribadinya, pantang dicabar.
Adakalanya kami jadi letih dengan asakan-asakan yang ditujukan kepadanya kerana sebahagiannya lebih bersifat ’sengaja mencari penyakit’.
AJAR MENGKAJI SYIAH
Antara jasa terbesar Ustaz Asri kepada saya, ialah pada mengajar saya cara mengkaji tentang Syiah.
Semasa di sekolah menengah, saya memiliki gambar Khomeini di dalam dompet. Tidak pernah mengambil tahu tentang Syiah sebagai Mazhab Aqidah dan Fekah, saya mengagumi Khomeini pada siasah dan revolusinya. Regu berbual tentang Syiah pula adalah Ustaz Maszlee Malik yang merupakan salah seorang pelajar Rancangan Bersama JPA – Petronas ketika itu. Kami ditempatkan di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) untuk kursus intensif Bahasa Arab sebelum berlepas ke Jordan, Morocco dan Mesir.
Selepas Persatuan Ulama Malaysia (PUM) menganjurkan Seminar Taqrib Antara Mazhab Sunni dan Syiah di Kuala Lumpur pada tahun 1993, KUSZA menganjurkan sebuah seminar berkaitan topik yang sama, tetapi lebih merupakan reaksi kepada seminar anjuran PUM itu. Panelis berdua, terdiri daripada Sheikh Ahmad al-Khatib, Pensyarah di Akademi Islam Nilam Puri yang berasal dari Iraq, bersama Maulana Asri Yusuf , pendakwah bebas yang terkenal pada masa itu.
Seminar itu telah memukul minda saya pada tahap yang luar biasa. Bersama segala hujah yang dikemukakan, saya tidak mampu lagi untuk mempertahankan Khomeini, baik dari segi pendirian politik, apatah lagi aqidah dan fekah. Keributan minda dikongsi bersama Maszlee Malik dan kami berbual hingga dinihari bermalam-malam selepas seminar itu. Namun pendirian masih belum konklusif. Masih membaca dan mengkaji.
Hanya setelah tiba di Jordan, kecelaruan minda saya tentang Syiah dibantu penyelesaiannya oleh Ustaz Asri. Beliau tidak mendoktrinkan saya dan teman-teman. Apa yang dilakukannya hanyalah pada memperkenalkan kitab-kitab induk Syiah seperti Usul Min al-Kafi, membaca sendiri tulisan Syiah tentang kepercayaan mereka, dan seterusnya menganalisa secara mantiq dan logik tentang idea-idea yang dikemukakan.
Setelah Ustaz Asri menamatkan pengajian, saya masih konsisten mengutip kitab-kitab Syiah yang terselit di celah lautan buku di Bumi Syam, untuk meluaskan lagi kefahaman tentang pendirian yang sejahtera mengenai hal ini.
Itu adalah sebahagian daripada kesan yang ditinggalkan oleh Ustaz Asri kepada saya.
Cuma, dengan tempoh masa lebih dua tahun saya mendampingi beliau, saya tidak menjadi beliau. Yakni, saya tidaklah sentiasa menyetujui pandangannya pada setiap masa, kerana itulah intipati nasihat beliau sendiri kepada saya. Jangan bertaqlid. Benarkan yang benar, hindarkan yang batil.
Hubungan yang akrab di antara Ustaz Asri bersama Sheikh Solah Abd al-Fattah al-Khalidi, serta sejumlah ilmuan terkemuka di Jordan juga banyak memercikkan peluang kami untuk mendapatkan sentuhan didikan Ulama terbilang ini. Kepulangannya banyak menghilangkan peluang yang satu ini.
SELEPAS BELIAU PULANG
Di era pertengahan 90′an, Jordan dan Malaysia itu amat jauh kedudukannya. Tanpa telefon bimbit dan internet, perpisahan kami dengan Ustaz Asri, sempat disejukkan dengan kesinambungan halaqah kami bersama ‘klon’ Ustaz Asri yang sempat ditinggalkan iaitu Ustaz Abdul Rasyid Idris, senior setahun saya di SMAP Labu juga di Jordan. Beliau kini memimpin Dewan Pengajian Ibn Qayyim di Pulau Pinang.
“Lepas Ustaz Asri balik Malaysia ni baru tenang sikit kepala kita, kan?” Ustaz Rasyid berseloroh.
Kami ketawa.
Benar.
Banyak kontroversi yang terpadam selepas kepulangan Ustaz Asri ke Malaysia. Tetapi ketiadaan kontroversi itu turut sedikit sebanyak menghambarkan wacana mingguan kami.
Selepas Ustaz Rasyid juga menamatkan pengajian, hubungan kami hanya diperbaharui apabila saya berpeluang balik bercuti ke Malaysia.
Ketika itu Ustaz Rasyid mengajar di Parit Buntar, manakala Ustaz Asri masih mengajar di SMK Raja Tun Uda di Pulau Pinang. Lucu juga mengenangkan Ustaz Asri letih melayan kerenah anak muridnya yang pelbagai ragam. Saya menghabiskan masa beberapa hari bermalam di rumah beliau di Mengkuang. Ketika itu Dewan Pengajian Ibn Qayyim hanyalah berupa sebuah dewan sederhana besar di sisi rumah Ustaz Asri.
Ketika itu juga saya sempat menemankan Ustaz Asri berceramah di Penjara Pulau Pinang. Beliau bercerita kepada banduan tentang luasnya rahmat Allah dan menggalakkan banduan berqiamullail sebagai proses taubat. Tatkala sampai kepada sesi soal jawab, seorang banduan melontarkan soalan cepumas kepadanya.
“Tadi ustaz kata pada sepertiga akhir malam, Allah turun dan membukakan tangan-Nya bertanya siapa daripada kalangan hamba-Nya yang mahukan keampunan. Saya nak tanya, tangan Allah tu apa?” tanya banduan berkenaan.
Saya tersentak dengan soalan itu. Mengetahui akan manhaj Ustaz Asri, saya menanti bagaimanakah jawapan balas Ustaz Asri kepada si penyoal, yang merupakan seorang banduan, dengan segala kekurangan yang ada pada akses mereka kepada ilmu pengetahuan.
“Tangan Allah itu maksudnya rahmat Allah!” kata Ustaz Asri.
Saya tersenyum mendengar jawapan itu. Ustaz Asri yang dilabel tegas dengan manhaj pegangannya, tidaklah pula sampai tidak menoleh ke kiri dan kanan untuk membaca suasana. Takwil berlaku apabila ada keperluan yang boleh dijustifikasikan oleh Syara’.
Itu pemerhatian saya.
“Ustaz, ni saya nak tanya satu perkara, betul ke mengubah-ubah hukum Allah itu berdosa?” tanya seorang lagi banduan.
Kami terkejut.
“Dia nak tanya tentang hudud ke?” bisik Ustaz Asri kepada saya.
“Agaknya!” saya membalas.
“Betui la tu!” jawab Ustaz Asri kepada banduan berkenaan dengan loghat Pulau Pinangnya.
“Kalau macam tu, ni saya nak tanya, apa pasai ada satu benda ni dulu Ulama kata makruh, la ni Ulama kata Haram pula? Tidakkah ini mengubah-ubah hukum Allah!” tanya banduan tersebut dengan penuh semangat.
Semua orang ketawa pecah perut.
Rupa-rupanya banduan itu mahu bertanya tentang rokok. Isu panas di penjara ketika itu.
“Dulu, Ulama bandingkan rokok ni dengan bawang, dengan petai, dengan jering. Bau busuk. Itu yang dihukumkan makruh. La ni Ulama kaji dalam lagi. Rupa-rupanya rokok ni bukan takat busuk, malah membunuh. Pakcik kalau anak umoq 9 tahun hisap rokok pakcik buat apa?” jawab Ustaz Asri sambil melontarkan soalan kepada banduan tersebut.
“Uih, saya lempang dia!” katanya.
“Hah, tau pun merokok tak elok!” simpul Ustaz Asri.
Seluruh hadirin ketawa. Penjara gamat dengan sesi soal jawab yang sungguh unik.
Kenangan itu masih jelas di kepala saya. Peristiwa di penjara itu memperlihatkan satu contoh kepada budak mentah seperti saya bahawa dakwah harus sesuai dengan mad’u. Ustaz Asri banyak membantu daripada sudut itu.
Mungkin kenangan paling bermakna, ialah semasa saya menemankan Ustaz Asri pergi ke rumah al-Marhum Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS ketika itu. Ustaz Asri mahu menjemput al-Marhum Ustaz ke majlis perkahwinan beliau dan saya sedia maklum akan hubungan yang amat akrab di antara al-Marhum dengan Ustaz Asri.
Tatkala saya dikejutkan dengan berita kematian al-Marhum Ustaz Fadzil Noor, antara yang paling awal terlintas di fikiran saya ialah, “siapa lagi yang boleh nasihatkan Ustaz Asri kalau Ustaz Fadzil sudah tiada!”
PENDIRIAN SIASAH
Benar.
Selepas masa berlalu, banyak yang terjadi.
Selepas pulang ke Malaysia tamat mastautin di bumi Ireland, saya ada dikunjungi oleh Ustaz Asri yang datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri Seminar Usul Fiqh yang diadakan di Bangi. Beliau hadir bersama Ustaz Arief Salleh iaitu teman serumah saya semasa kami mengaji di Jordan dahulu.
Ustaz Arief sudah menjadi Pensyarah di UTM Skudai..
Manakala Ustaz Asri baru selesai menamatkan pengajian peringkat PhD beliau di UIAM dan berkhidmat sebagai pensyarah di USM Pulau Pinang.
Kami berbual tentang perkembangan semasa. Turut terselit adalah isu tentang kepimpinan PAS yang dilihat lemah pasca kekalahan teruk di dalam Pilihanraya Umum ke-11 tidak lama sebelumnya. Saya menegaskan bahawa PAS itu ada hampir sejuta ahli dan jika kita nampak kelemahan mereka, kita mesti menjadi sebahagian penyelesaiannya.
“Takpa la. Ana doakan anta!” kata Ustaz Asri dengan nada berseloroh.
“Takkan doa aje. Buatlah apa yang patut!” saya menambah.
Kami tidak bersembang berat kerana ia lebih kepada pertemuan untuk menjalin kembali silaturahmi yang terputus selepas lama mastautin saya di Eropah.
KEUNIKAN JORDAN
Uniknya Jordan.
Jordan dan sistem pengajiannya tidak pernah mendoktrinkan pelajarnya untuk menjadi Wahabi, Salafi, Sufi, Syafie, Orientalis atau apa sahaja.
Jordan mengamalkan sistem pengajian terbuka. Segala mazhab disentuh dan didedahkan. Pelajar digalakkan mengkaji dan pensyarah jarang sekali cuba mendominasi pelajar agar terikat dengan aliran masing-masing. Justeru ada pensyarah kami yang Khalaf, ada yang Salafi, ada yang Sufi, ada juga klon orientalis dari Sorbonne Perancis.
Tetapi satu titik temunya ialah, ILMIAH.
Titik musuhnya pula ialah, TAASUB.
Pelajarlah yang kemudiannya memilih untuk membentuk dirinya menjadi apa, pasca menamatkan pengajian di Jordan. Oleh sebab itu, ada graduan Jordan yang Salafi, ada yang keras Syafie dan taasub Sufi, ada yang mati hangus pun PAS juga, tak kurang pula yang bersalin bantal berjodohkan UMNO. Malah ada juga yang bermastautin di wacana Islam Progresif. Senang cerita, macam-macam ada.
Suntikan pengajian di Jordan menjadikan graduannya bebas berkembang. Pendedahan yang diberikan tentang aliran-aliran yang sudah sekian lama wujud di dalam tradisi keilmuan Islam, turut menyumbang kepada pendirian mu’tadil (bersederhana) pada asatizah keluarannya. Hanya segelintir yang tertonjol kekerasannya dalam apa sahaja aliran yang diwakili. Ia pilihan peribadi, bukan acuan universiti atau indoktrinasi.
BERBEZA PENDIRIAN
Ustaz Asri yang sudah bergelar doktor, terus maju di bidangnya sama ada di medan dakwah mahu pun kesarjanaan akademik. Saya teruja melihat sambutan yang diberikan oleh masyarakat kepada pendekatan dakwah beliau, terutamanya daripada kalangan anak muda dan siswazah universiti.
Dakwah Ustaz Asri juga meluas di kalangan profesional kerana apa yang dikemukakannya sangat bertepatan dengan orientasi kelompok profesional yang datang daripada latar belakang pengajian Sains yang berorientasikan bukti. Jika dalam pekerjaan mereka, kelompok ini sangat evidence based oriented, sudah tentu mereka mahukan benda yang sama dalam soal beragama.
Seruan tajdid minda Ustaz Asri ialah pada mengisi kedahagaan kelompok ini kepada beragama secara berdalil, bukan sekadar ikut-ikutan.
Namun ada sekelumit kekhuatiran di minda saya. Di suatu ketika, Ustaz Asri turut menerima sambutan hebat daripada kelompok yang lazim dikaitkan dengan Islam Liberal. Saya pernah melontarkan saranan bahawa gerakan Tajdid dan Islam Liberal memang ada satu titik pertemuan iaitu pada menolak dan menentang tradisionalisma. Akan tetapi Tajdid dan Islam Liberal selepas bertemu di titik itu mahu berangkat ke destinasi yang berbeza. Saya pernah menyuarakan kerisauan tentang hal ini. Jangan terlarut dengan sokongan kelompok urban yang satu ini.
Ketaksuban anak muda yang mendefiniskan diri mereka sebagai orang Ustaz Asri juga menerbitkan kekhuatiran yang sama.
Saya percaya, pemurnian manhaj adalah sesuatu yang sepatutnya berada di semua tempat. Ia tidak harus membentuk satu kelompok baru kerana pembentukan kelompok baru dengan label ‘geng Sunnah’, ‘puak Tajdid’ dan lain-lain, sama ada yang dinamakan sendiri oleh pendukung manhaj tajdid ini, mahu pun yang digelar oleh orang lain, kesemua perkembangan ini menyebabkan musuh-musuh baru tercipta.
Saya tidak mahu terbabit dalam pengelompokan ini.
Rasa tidak selesa itu semakin bertambah apabila Ustaz Asri semakin lunak pandangannya terhadap parti memerintah, berbeza dengan bahasa saranannya kepada PAS. Perbezaan pandangan menjadi nyata ketika berlakunya kekecohan akibat demonstrasi BERSIH pada November 2007. Ketika itu saya mengirimkan email kepada beliau, sebagai seorang sahabat kecil yang mengasihinya, seorang saudara seperjuangan.
Teguran saya berkisar pada saranan agar beliau melembutkan bahasanya ketika menegur PAS. Sesungguhnya PAS bukan lagi satu, dua atau tiga muka yang tidak disenangi beliau. Sebaliknya PAS ialah satu gerakan yang dianggotai oleh hampir sejuta ahli. Sindiran beliau menimbulkan provokasi, menjadi trend anak-anak buahnya di kampus dan ini menyulitkan apa sahaja nasihatnya untuk diterima.
Malah saya juga menyebut, “jika ustaz dilantik menjadi Mufti selepas Pilihanraya tahun depan, ana ucapkan tahniah siap-siap. Tetapi jika ustaz dilantik menjadi Mufti sebelum Pilihanraya, ana tunggu dan lihat dahulu, kerana tidak pasti siapa yang mempergunakan siapa”
Email itu ditulis dengan berat hati.
Namun ia ditutup dengan pesanan, “ketahuilah ustaz, mungkin orang yang paling tajam mengkritik ustaz adalah orang yang paling mengasihi ustaz, berbanding orang yang memuja dan memuji di sekeliling kita. Ana hanya seorang sahabat, dan kekal sahabat sebelum dan selepas kritikan ini.”
Entahlah email itu sampai dan dibaca atau tidak.
Tetapi semenjak BERSIH 2007, saya memang dilihat sebagai seorang yang tidak bersetuju dengan Ustaz Asri, malah keletihan kerana terpaksa bertempur dengan ‘pengikut’ yang tidak senang dengan kritikan saya.
INSIDEN PENANGKAPAN
Berita penahanan Dr. Mohd Asri Zainul Abidin baru-baru ini tidak mengejutkan saya. Sebelum Ustaz Asri, Dr. Abdullah Yasin pernah ditahan. Ramai juga tokoh lain turut berdepan tindakan yang sama.
Tetapi penahanan Ustaz Asri amat mengganggu fikiran.
Apatah lagi pada memikirkan di JAIS, JAKIM malah YADIM sendiri, ada ramai wajah teman sepengajian semasa di Jordan dahulu. Ada yang sempat bersama dengan Ustaz Asri, ada yang sekadar mendengar dari jauh. Tetapi lubuk ilmunya satu. Bumi Syam, Bumi Isra’ yang penuh barakah itu.
Justeru mengenangkan wajah-wajah teman, berat untuk saya fikirkan ada sahabat yang mahu menikam sahabatnya sendiri.
Makan makanan yang sama, basah dengan hujan dari langit yang sama, tidur berselimutkan sejuk malam yang sama, kering oleh simbahan bahang mentari yang sama, mengaji di bawah bumbung ilmu yang sama, selepas bertuhankan Tuhan yang sama dan bernabikan Rasul yang sama. Sukar sekali untuk dibayangkan ada yang mahukan mudarat dan kehancuran pada sahabatnya sendiri. Jauh benar akhlaq Rasulullah, Alul Bait, Imam Syafie, Imam Nawawi, Imam Abu Hasan al-Asy’ari, Imam Ibnu Taimiyah dan Imam al-Ghazzali daripada kehendak yang sebegitu, melainkan nafsu dan dendam kesumat sahajalah terbitnya perasaan sedemikian rupa, jika ada.
Saya tidak mampu untuk membuat andaian atau spekulasi kerana apa yang tersirat mungkin terlalu besar berbanding dengan apa yang tersurat.
Tip of the iceberg, kata orang putih.
Tetapi menggunakan kekerasan untuk menguruskan perbezaan pandangan, ia terlalu sukar untuk ditelan. Ia meliarkan masyarakat dan memberanakkan kekeliruan.
Di sepanjang sejarah umat, pemikiran yang tidak dipersetujui, ditundukkan dengan debat dan hujah. Muktazilah, Jabariah dan Qadariah ditundukkan dengan debat dan dukungan hujah. Ada pun menggunakan law enforcement, ia hanya berlaku selepas jalan hujah bertemu mati.
Semoga kekalutan yang timbul, dapat diselesaikan dengan sebaiknya. Wa imma isunya ialah pertembungan Wahabi dan tradisionalis, atau politik kepartian dan apa sahaja, semua ibrahnya pulang sebagai manfaat yang membangunkan umat.
“…Tegakkanlah pendirian agama, dan janganlah kamu berpecah belah atau berselisihan pada dasarnya…” [al-Syura 42: 13]
SAJAK KENANGAN
Pada tahun 1994, Ustaz Asri ada menulis sebuah sajak. Ia diabadikan di buku cenderamata majlis sambutan pelajar baru. Saya meminta izin agar sajak itu dikembangkan dan kemudian dijadikan lirik sebuah nasyid.
Hasil uzlah saya di sebuah bilik, sajak itu ditajukkan sebagai TETAMU DATARAN SYAM, nasyid dendangan saya yang kekal disebut-sebut oleh setiap mereka yang singgah bertamu di Bumi Syam hingga ke hari ini.
Semasa nasyid tersebut mahu dimasukkan ke dalam album Gemilang kumpulan Usrah al-Firdaus pada tahun 1995, saya berkali-kali menegaskan bahawa penulis lirik nasyid itu adalah Mohd Asri Zainul Abidin dan Hasrizal Abdul Jamil. Namun disebabkan oleh pelbagai kontroversi yang sangat sinonim dengan susuk tubuh manusia bernama Asri, permintaan saya ditolak dan nasyid itu direkodkan penyanyi dan pencipta lagunya sebagai Hasrizal Abdul Jamil, demikian juga penulis liriknya.
Saya tidak mempunyai banyak mutiara untuk dihadiahkan sebagai tanda prihatin dan ingatan saya kepada Ustaz Asri. Hanya nasyid itulah yang saya nukilkan kembali di sini, sebagai tazkirah buat diri saya, Ustaz Asri, dan pegawai-pegawai JAIS, JAKIM atau YADIM yang menadah barakah di Bumi Syam:
TETAMU DATARAN SYAM
Tetamu di Dataran Syam ini
Harus gagah seperti Abu Ubaidah
Tanah yang gersang disuburkan
Dengan darah jihad dan jiwa pahlawan
Di celah pohon zaitun yang rendang
Bersemadi Syuhada’ pahlawan Islam
Menanti dan terus menanti
Hadirnya barisan waris perjuangan
Medan ini medan yang susah dan payah
Sesusah Medan Mu’tah di puncak sana
Dan penghuninya juga harus gagah
Segagah Kota Karak perakam sejarah
Di sinilah kau akan membina jiwamu
Jiwa pembela maruah agama
Berbekalkan ilmu berpandukan iman
Islam pasti akan kau merdekakan
Ketibaanmu adik-adikku
Kusambut dengan seribu pengharapan
Agar kau menjadi insan berilmu
Dan pembela nasib agamamu
Hatimu perlu cekal dan tabah
Sesabar tiga Sahabat Rasulullah
Jiwamu perlu subur dengan iman
Sesubuh Dataran Syam bertuah
Kita diajar cintakan kematian
Bagai musuh kita cinta kehidupan
Maka di Bumi Isra’ ini tempatnya
Kau mengenal jihad dan perjuangan
Tetamu Dataran Syam engkaulah harapan
Untuk ummah melihat masa depan
Sebagai Ulama’ sebagai pejuang
Islam pasti akan kau merdekakan
Selamat Datang Tetamu Dataran Syam
Lagu / Lirik / Nyanyian : Hasrizal Abdul Jamil
Persembahan: Usrah al-Firdaus
Album: Gemilang 1995
Justifikasi seorang teman.
ABU SAIF @ http://www.saifulislam.com
68000 AMPANG