“Foto 2008: Abu ‘Izz, Muhammad ‘Izzul Islam dan Ummu ‘Izz”
As-Sarawaki, 14 Disember 2008: Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT di atas nikmat sakinah, mawaddah wa rahmah di dalam berkeluarga. Pejam celik dan sedar tak sedar, hari ini genaplah setahun usia perkahwinan saya dan isteri tercinta, Wan Lydia Salmi Wan Junaidi. Khas buatmu isteri tersayang, terima kasih kerana menjadi pendamping dan sahabat yang solehah. Terima kasih di atas segala-galanya! Uhibbuki fillah! Semoga status iman, ilmu, amal, akhlaq, rasa malu, kesetiaan, pengorbanan dan perjuangan demi Islam kerana Allah terus seiring sejalan. Semoga terus cemerlang dunia dan Akhirat. Amiin!
Suami Yang Baik Berjiwa Ahli Arkeologi!
Sepertimana yang pernah saya nukilkan sebelum ini, apabila membincangkan tentang perhubungan suami-isteri, saya tertarik dengan satu hikmah yang saya dapati hasil pembacaan novel karya Kang Abik ‘Ketika Cinta Bertasbih – Episod 2′. Di dalam novel tersebut dinukilkan:
Suami yang paling baik bagi seorang perempuan ialah seorang ahli arkeologi. Makin tua sang perempuan itu, semakin cinta dan tergila-gila suaminya itu padanya. Maka disarankan kepada para suami untuk berjiwa seorang ahli arkeologi. Semakin lama usia perkahwinan akan semakin bahagia. Kenapa? Ini kerana suami tersebut memandang isterinya semakin bernilai, semakin mahal. Bukankah menurut ahli arkeologi, semakin berusia dan semakin tua sesuatu barang itu akan semakin antik dan mahal. Demikian juga buat para isteri, disarankan untuk berjiwa ahli arkeologi wanita. Maksudnya semakin tua sang suami akan semakin tergila-gila, bertambah sayang dan semakin mencintainya!
Apabila saya membaca hikmah ini, saya terfikir dan suka untuk membuat penambahan. Saya berpandangan, suami sewajarnya tidak berkonsep jurutera/ engineer/ muhandis. Hasil pengalaman kerja saya sebagai seorang jurutera, setiap kali ada teknologi baru, maka teknologi tersebut akan digunapakai menggantikan teknologi yang lama. Teknologi yang lama akan diabaikan! Lebih-lebih lagi sekiranya teknologi lama tersebut sering menimbulkan masalah dan sentiasa memerlukan maintenance untuk membolehkannya mampu berfungsi dengan baik! Teknologi outdated sebegini memang sering (wajar?) untuk terus dilupakan dan di’bakulsampah’kan dan mencari teknologi terkini yang lebih ampuh, mantap dan mapan! Apapun, sekiranya teknologi yang sedia ada masih lagi relevan, terus mengalami proses upgrade dan sentiasa up-to-date, mengapa perlu mencari teknologi baru? Namun begitu, tidak menjadi satu kesalahan pada asasnya untuk menggabungkan beberapa teknologi yang sama canggih, sama robust dan sama sophisticated dalam masa yang sama sekiranya terma-terma sistem dapat dipenuhi. Fikir-renungkanlah…
“Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?”
Alhamdulillah atas segala-galanya! Sebagai perkongsian dengan tetamu ziarah sekalian, melalui entri ini suka untuk dipaparkan sebuah cerpen yang mencuit dan berpasak di hati yang diperolehi dari salah satu YahooGroups yang disertai. [Kemaskini 2 Januari 2009: Setelah dicari melalui Google, saya dapati cerpen ini adalah karya Saudara 'Izzat Anwari dengan tajuk asalnya "Sepahit Madu"]. “Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?” merupakan taujihat buat teman-teman seperjuanganku yang Muslimin (sama ada yang belum berkahwin atau belum berkahwin lagi
). Cerita ini juga saya tujukan khas buat rakan-rakan Muslimat khususnya isteri-isteri solehah di luar sana… Ini satu cerita perjuangan. Sebuah pengorbanan… Sesungguhnya berkorban perasaan merupakan satu jihad!
Nota: Tergiang-ngiang lagu Cita-citaku!! 
Sang Suami;
Muhtar Suhaili
“Awak Sudi Jadi Isteri Kedua Saya?”
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fulanah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fulanah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fulanah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fulanah langsung tidak selari dengan penampilannya.
“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fulanah mula sebak.
“Tak. Maksud saya…”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fulanah dengan kasar.
“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fulanah semakin tinggi, setinggi egonya.
Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu ‘Fulanah’ di sebalik Fulanah yang dia kenal selama ini.
Fulanah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya yang berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fulanah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang Muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai Muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fulanah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fulanah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.
Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fulanah nampak seperti tiada jalan penyelesaian.
Dia mahu berbaik dengan Fulanah, namun sikap Fulanah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fulanah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun.
Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fulanah atau tidak?
Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut. Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fulanah.
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.
“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.
“Err, err, betul ke ni?!” tergagap Fikri apabila menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.
Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.
“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.
Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini. Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya. Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut hati kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.
“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail di tangannya. Fikri berdiri, menghadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.
“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.
Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.
“Perjuangan!!” jawab Fikri.
——————————————
Sedarlah semua kalian akan dimadukan!
Jika dirimu bakal seorang isteri…
Terimalah kenyataan bahawa anda akan dimadukan,
Bahkan anda bukan isteri pertama yang bakal dikahwini…
Tetapi anda adalah bakal isteri kedua!!!
Kerana isteri pertama bagi suamimu ialah perjuangan Islam!!!
Perkahwinan ini telah lama dilangsungkan…
Kehadiran dirimu…
Adalah untuk bersama berganding bahu memperjuangkan Islam
Bukan menjadi batu penghalang perjuangan suamimu!
Janganlah jadikan dirimu sebagai punca serta merendahkan harga dirimu…
Dengan terjadinya perceraian suamimu dengan isterinya yang pertama iaitu perjuangan Islam!
Jika dirimu bakal seorang suami…
Terimalah hakikat…
Anda bukanlah suami yang pertama yang bakal dinikahinya
Atau insan yang pertama yang dicintai dan disayangi oleh bakal isterimu!!!
Bahkan dirimu adalah insan yang kedua yang dicintainya,
Kerana suami yang pertama bagi isterimu…
Ialah perjuangan Islam dan memartabatkannya!
Dia mencintaimu kerana dirimu mencintai Islam dan memperjuangkan Islam.
Jika dirimu tidak sedemikian,
Sekelumit cinta pun tidak akan lahir dalam sanubari isterimu!
Bantulah isterimu dan kuatkanlah dia untuk teruskan perjuangan!!!
“Bersama Terus Melestarikan Sakinah, Mawaddah Wa Rahmah”
Wallahu a’la wa a’lam.



InshaAllah rasanya semakin ramai ummat hari ini menyedari akan hakikat ini.
Yang penting redha dan ikhlas.
Perkongsian menarik, membuka minda dan mata hati
menarik…
moga bahagia hingga ke syurga.. amin ya rob..
salam wbt..
mintak izin untuk link blog..
Akh, lama x bertandang ke sini. Terkejut tengok tajuk awal-awal tu, ingatkan Ummu ‘Izz izinkan Abu ‘Izz buka cawangan lagi!
Fi amanillah. Salam dari Nizhny Novgorod.
Indahnya jika erti rukun baiah FAHAM yg pertama betul2 difahami semua. Syukran abe Muhtar
Mintak tunjuk ajar dlm penulisan boleh?
Dan juga, ada tak tips untuk mempertajam pedang minda? Juga beberapa panduan untuk ‘newcomers’ macam ana dalam arena penulisan ni. Syukran abe.
As-Sarawaki: Tips? Nasihat yang terpakai untuk ana dan akhi – Banyakkan membaca, berfikir dan berdiskusi. Ana pun masih belajar. Tulislah dengan hati insya Allah akan turun ke hati.
Satu artikel yang menarik..
Selepas baca artikel Abu Saif yang terbaru dan ditambah lagi artikel nta yang terkini.. Sesungguhnya hidup memerlukan matlamat yang lebih jelas dan pengorbanan yang lebih besar…
betul, betul, betul! saya pun terfikir ni nak tambah lagi ke tidak…
Pengajian Kitab Sairus Salikin oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari al-Maliki al-Nadwi
Tarikh: 22 Dzulhijjah 1429/ 20 Disember 2008 (Sabtu) dan 23 Dzulhijjah 1429/ 21 Disember 2008 (Ahad)
Lokasi: Masjid al-Falah USJ 9, Subang Jaya
Masa: 9.00 pagi – 12.30 tengahari
http://pondokhabib.wordpress.com
Salam
This is good!
Assalamualaikum,
Menarik kisah ni, tapi, susahnya nak jadi seperti ‘Nusaibah’.. Anyway, selamat maju jaya ust dan keluarga.. Muhammad ‘Izzul Islam berkongsi tarikh lahir dengan saya..
Ilal liqa’.
wOw.. gud2
Assalamualaikum.. Sy baru aja ketemu dgn blog saudara ni. Tahniah ats perkahwenan saudara (wlau sudah stahun). Barakallahu fikum, wa jama’a bainakuma filkhair.
Komen untuk perenggan “Suami yg baik berjiwa arkeologi”: Jika saudara kata suami sewajarnya tidak berkonsep jurutera, saya katakan, lebih mudah andai para suami bersikap seperti seorang doktor. Karena, seorang doktor hanya mengurus sistem tubuh manusia yg sama sejak berjuta tahun lampau tanpa perubahan yg amat ketara. Kalau telinga atau jantung atau bahagian lain manusia itu yg dirawat berjuta tahun dahulu, maka telinga dan jantung itulah jua yg dirawat pada zaman sekarang. Sama saja konsep sistem tubuhnya. Para dokor, malah, sudah faham, masak dan hafal akan cara kerja sistem tubuh manusia. Cumanya kadang kala proses rawatan mengalami revolusi, dek berkembangnya teknologi dalam peralatan perubatan.
Ketimbang seorang jurutera, setiap kali datang teknologi baru, maka terpaksalah dia membuat rujukan semula, membuka buku semula, mengkaji ‘troubleshooting’nya yang baru, dan hal-hal lain berkenaan teknologi yang baru itu.
Assalamualaikum.
Afwan.
Ana minta ‘kopipes’ ceritanya ya sbg perkongsian dgn rakan2 seperjuangan.
salam..
sy nk minta izin utk copy paste jugak.. artikelnya sgt menarik! satu ilmu baru buat sy.. moga dpt dijadikn pemangkin utk terus berusaha mnjadi isteri solehah!
Alhamdulillah,
Terus ajak perjuangan sebagai umat Islam Sarawak.
Bro Muhtar,
Thanks for this very nice write-up. You help make my day better.
Sometimes I feel I’ve gone astray from the dakwah road too far. We all need good reminders like these. Thanks again bro, hope to see you soon.
Salam ustaz.
Saya sangat berbesar hati dan terharu ustaz menghargai karya saya yang tak seberapa. Semoga kita sama-sama berada di atas jalan perjuangan ini.
Terima kasih kerana sudi membaca karya saya dan memautkannya di blog saya. Salam perjuangan.
Ikhlas dari saya.
minta izin untuk diletakkan di blog saya…
persoalan untuk diri sendiri:
“adakah saya sanggup menjadi isteri kedua? dimadukan dengan perjuangan???”
Assalamu’alaikum
Salam ukhuwah ya akhi!
Assalamualaikum wwt,
Ana tertarik sangat dengan kisah ini, penuh keikhlasan dan kejujuran di kedua-dua pihak…. Ana telah lama memiliki isteri kedua tu… (Kerja-kerja Dakwah dan Taklim) tetapi sekarang rasanya amat perlu memiliki seorang isteri lagi selain dari dua isteri tu.
Saya mohon berikan rempah dan ramuannya untuk saya berhadapan dengan semua ini. Bagaimana untuk meyakinkan isteri pertama saya tentang perlunya isteri ketiga ini untuk membantu isteri kedua (kerja dakwah) dan sekali gus membantu isteri pertama yang telah banyak berkorban itu.
Syabas untuk pencapaian yang telah dicapai dalam kerja dakwah dan beristiqamahlah….
Assalamu’alaikum..
Akhi, mohon izin utk copy paste artikel ni… Masa mula2 baca dah agak dah.. Tp bg org yg tak ”faham” susah nak menerimanya.. Ana pun nak jadi Nusaibah jugak!
Salam…
Sukar nak cari orang sanggup berkongsi dalam perjuangan… jika ada di sisi kita itu rahmat dari Allah SWT… jika tiada ia satu cabaran dalam kehidupan… Yang penting diri kita tahu hala tuju kehidupan… dunia utk akhirat…