“Filem Sang Murabbi.. Filem-filem Sebegini Wajar Terus Dihasilkan”
As-Sarawaki, 6 September 2008: Alhamdulillah! Di dalam sebuah hadith riwayat al-Tirmidzi dan dinilai hasan oleh al-Albani, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang Akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya dalam jiwanya. Allah memudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan meletakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah mencerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditaqdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan dirinya hina)”.
Sebelum membaca lebih lanjut entri ini, saya mengajak saudara dan saudari menghayati trailer Filem ‘Sang Murabbi’ di atas terlebih dahulu. Filem ‘Sang Murabbi’ mengisahkan tentang ketokohan dan keperibadian pelopor gerakan dakwah yang juga digelar ‘Syaikh at-Tarbiyah – Guru Pentarbiyah’ Partai Keadilan (yang akhirnya menjadi Partai Keadilan Sejahtera (PKS)) Indonesia, almarhum Ustaz Rahmat Abdullah. Ini merupakan filem ke-3 dari Indonesia yang bagi saya cuba membawa nuansa Islamik dalam pembikinannya selepas ‘Kiamat Sudah Dekat’ dan ‘Ayat-ayat Cinta’. Secara jujur, saya menilai filem ‘Kiamat Sudah Dekat’ memberi satu mesej baik meskipun ada kompromi sana-sini, manakala filem ‘Ayat-ayat Cinta’ pula saya dapati tidak seIslamik novelnya malah sebahagian babak lakonan antara pelakonnya yang bukan mahram merupakan ‘Ayat-ayat Fitnah’! Atas segalanya, Indonesia sudah memulai kekreatifan methodologi dakwahnya dan mudah-mudahan Malaysia akan mencontohinya. Mungkinkah Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang boleh dikatakan sealiran fikrah dengan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) akan terbit dengan filem pertamanya? Saya mengharap, mudah-mudahan… Bacaan tambahan »»
Alhamdulillah, saya pernah terlibat secara langsung dengan sistem tarbiyyah beberapa gerakan Islam termasuk HI (PAS), PKPIM (ABIM), KARISMA (JIM) dan Tabligh semasa berada di menara gading sebagai mahasiswa. (Nota: Maaf kerana UMNO tiada dalam senarai, saya hanya pernah diBTNkan oleh UMNO dan kurang pasti sama ada program BTN itu boleh dikategorikan sebagai program Tarbiyyah Islamiyyah). Alhamdulillah, saya pernah sama ada mengikuti tamrin atau usrah anjuran jamaah-jamaah yang disebutkan tadi dan beriltizam dengan salah satu daripadanya. Malah Jamaah Tabligh (meskipun para karkun menyatakan Tabligh itu bukan satu jamaah) merupakan langkah pertama saya berteduh dalam naungan usaha dakwah dan islah. Masih teringat kenangan indah khuruj 40 hari ke Besut-Setiu, Terengganu pada tahun 2001! Oleh kerana itu, apabila menyebut tentang ta’addud jamaah, saya lebih suka kepada pendekatan husnudz-dzan (bersangka baik) dan memakai formula fastabiqul khairat (berlumba-lumba membuat kebaikan).
Sumbangan NGO Islam Dalam Gerakan Dakwah Di Sarawak
Alhamdulillah, setelah bergraduasi dari UIA dan bekerja di Perodua selama setahun lebih, akhirnya doa saya untuk kembali berkhidmat ke bumi kelahiran Miri dimakbulkan oleh Allah SWT melalui wasilah bekerja di Sarawak Shell Berhad. Sedar tak sedar, hari ini genap 2 tahun dan 3 bulan saya berkhidmat di tanah tumpah darah tercinta ini. Sepanjang tempoh masa ini, Allah SWT Yang Maha Agung telah memberi kekuatan untuk menjadi sebahagian daripada pengasas Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri, diamanahkan sebagai pengerusi pertama Yayasan Amal Malaysia (Cawangan Sarawak, Unit Miri) dan menghidupkan semula dengan mendaftarkan Persatuan Kebajikan Pekerja Islam Petroleum (PKPIP). Insya Allah, selepas hari raya ini akan diadakan mesyuarat penyelarasan penubuhan Jawatankuasa Gabungan Amal Ma’ruf Miri yang dicadangkan sebagai gabungan induk koordinasi gerak kerja semua badan-badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan Islam di Miri. Marilah kita bersama doakan semoga segalanya khair. Ya Allah, terimalah usaha kami ini! Amiin Ya Rabb!
Sila baca lebih lanjut entri:
Latihan Dakwah di Sarawak: Sorotan dan Masa Depan.
Saya kini sebenarnya tengah mengumpul maklumat dan data untuk dimuatkan dalam Kertas Kerja berkenaan ‘Sumbangan NGO Islam dalam Gerakan Dakwah di Sarawak (khususnya di Miri)’ yang akan dimuatkan dalam jurnal terbitan JAKIM Sarawak. Kertas kerja ini perlu saya siapkan dan dihantar sebelum 31 Oktober 2008. Oleh itu, saya amat berharap kepada tetamu ziarah budiman yang mempunyai maklumat atau rencana yang berkaitan boleh diemail terus kepada saya di al_akhyar81@yahoo.com untuk menambahbaik lagi kertas kerja yang akan dihasilkan. Segala bantuan dan sumbangan idea saya dahului dengan ucapan jutaan terima kasih. Jazakumullahu khairan kathira.
Promosi Novel Galaksi Muhsinin
Di sini juga, saya suka untuk mempromosikan novel sulung berjudul ‘Galaksi Muhsinin’ karya Akh Azrul Jaini yang juga merupakan jiran saya di Miri. Alhamdulillah, tahniah akhi dan semoga terus dapat mengembangkan bakat ‘pujangga’ sekaligus berdakwah melalui penulisan. Siiru ‘la barakatillah!
Kategori: Sains & Fantasi.
RM19.00 / RM22.00 (Sabah & Sarawak).
Sinopsis Novel Galaksi Muhsinin:
Galaksi Muhsinin adalah satu umat. Mereka berbilang bangsa tetapi bersatu. Mereka maju tetapi bertakwa kepada Tuhan. Misi mereka cuma satu: menyebarkan rahmat ke serata alam.
Tahun 2205. Keamanan galaksi ini mula tergugat. Orang Zion sentiasa mengintai peluang. Liga Lanun mahukan maruah mereka kembali. Maharaja Legion pula berikrar melunaskan sumpah maharaja Empayar Sibernatik Cyborg yang pertama.
Konflik tercetus apabila salah sebuah planet yang berlindung di bawah Galaksi Muhsinin cuba dijajah oleh pihak musuh. Konflik dilanjutkan lagi apabila kapal angkasa yang membawa rombongan haji hilang selepas diserang oleh pasukan yang tidak dikenali.
Kemakmuran yang dahulunya tiada tolok banding kini di ambang kehancuran. Di bawah kepimpinan Khalifah Zulqarnain, mampukah Detasmen Mujahidin Elit ke-15 mempertahankan kedaulatan galaksi?
Sumber: www.pts.com.my
Prolog Galaksi Muhsinin daripada penulis, klik di sini.
Motivasi Unggul Buat Du’at Yang Ikhlas
Sebagai motivasi dan perkongsian, saya sesungguhnya sangat tersentuh dengan hadith riwayat Muslim dari Abu Hurairah ra. berikut. Ia sesungguhnya wajar untuk menggetarkan jiwarasa insan-insan yang bergelar dae’i. Muhasabahlah diri kita wahai pekerja agama! Rasulullah SAW bersabda:
Bergegaslah kalian untuk bera’mal, (kerana akan datang satu masa) fitnah-fitnah ibarat potongan-potongan malam. (Disebabkan fitnah tersebut) di pagi hari seseorang dalam keadaan beriman dan pada petang harinya dalam keadaan kafir, di petang hari dalam keadaan beriman dan keesokan harinya dalam keadaan kafir. Dia menjual agamanya dengan sesuatu dari (gemerlapnya) dunia ini.”
Malah Rasulullah SAW pernah memberi berita gembira dengan sabda baginda:
Barangsiapa yang memberi contoh yang baik dalam Islam, baginya pahala dan pahala orang yang beramal dengannya setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun.”
“Sang Murabbi… Keikhlasan, Kesederhanaan, Kesungguhan, Kejujuran”
Hidup ini..
Satu perjuangan
Satu pengorbanan
Satu pelayaran
Satu pengembaraan
Satu kepastian
Satu perjuangan..
Impian syahid pada jalanNya
Satu pengorbanan..
Mencari najah dalam mehnahNya
Satu pelayaran..
Moga berlabuh di dermaga cintaNya
Satu pengembaraan..
Merantau berkelana menuju AkhiratNya
Satu kepastian..
Kemestian yang terlalu pasti dariNya
Maka..
Dalam perjalanan haluan hidup ini
Berjuanglah agar beroleh musyahadah
Berkorbanlah selaku sang mujahid
Belayarlah biar jadi nakhoda umara’
Mengembaralah sampai jadi ulama’ muslih
Dan carilah kepastian..
Memburu pesona cinta Ilahi
Kerana istiadat hidup ini
Bukan sekadar Que Sera, Sera!
MUHTAR SUHAILI
Meru, Klang
17 Mei 2005, 3.04pm.
“Opick – Taqwa… Ku Bersujud PadaMU Dan Pasrahkan Diri PadaMU”
Ramadhan Kariim! Bersama menyambut seruan Nabi SAW untuk terus memperhebatkan ibadah di dalam Ramadhan ini. Semoga bertemu Lailatul Qadr.
Wallahu a’lam bissawab.

Sudah tonton Sang Murabbi? Ana ada cd nya. Kirim dari teman dari Indonesia…
Salam, kat mana boleh dapat CD tu,
http://www.pratchai.blogspot.com/
Salam akhi Muhtar.
Selain filem Sang Murabbi, ada juga satu lg filem genre yang sama. Tajuknya “Kun Fayakun”. Ana belum sempat tgk lagi, tapi dgr2 kabar, hebat jugak.
Salam Ramadhan..
“Pada hari ini Aku sempurnakan agama kamu dan Aku sempurnakan nikmat Aku ke atas kamu dan Aku reda ISLAM menjadi agamamu.” Surah al-Maidah ayat 3.
Dalam dunia serba tidak menentu, fitnah-menfitnah, jenayah kemanusiaan, gejala sosial yang bercelaru dan semua yang buruk dikatakan baik, yang baik dikatakan buruk.. Sesungguhnya umat ISLAM harus terus-menerus menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.. Hanya dengan menghayati ISLAM merupakan penyelesaian terbaik bagi dillema ini…
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Akh Azree, Ustaz Fauzi;
Ana cuba pesan melalui http://tokoislami.com/?p=p_35&sName=vcd-sang-murabbi, mudah-mudahan berjaya. Mungkin akh Azree boleh maklumkan cara yang lebih mudah untuk mendapatkannya. Sekadar perkongsian, dari sinopsis yang ana dimaklumkan oleh teman di Indonesia yang merekomendasi, filem ini mengisahkan perihal dakwah dan tarbiyyah secara total dan merealiti…
Akh Isa Azzaki;
Syukran atas infonya. Bisa tidak Orang Jogja kirim CD “Kun Fayakun” dan “Sang Murabbi” kepada ana? Nanti akan diurus ongkosnya…
Ramadhan Kariim!
Mustakim;
Alhamdulillah, semoga terus istiqamah dalam kebaikan.
Wallahu a’lam.
Maklumbalas dari http://www.tokoislami.com:
Untuk pengiriman ke Malaysia ongkos kirim lewat TIKI 12 USD pak + Rp. 30.000 untuk vcd nya, transfer ke rekening kami di http://www.tokoislami.com, barang akan segera dikirim.
Salam akhi.
Sekadar info, kedua2 VCD Sang Murabbi dan Kun Fayakun dah ana belikan. Nak ana poskan terus ke atau nak ana poskan bile ana balik cuti nnt? Ana balik Msia insha Allah 28hb nanti.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Akh Isa Azzaki;
Syukran jazilan, amat dihargai. Untuk mengurangkan ongkosnya, ana syor akhi pos bila balik cuti nanti. Sayang tak dapat jumpa, sebab ana akan ke Kuala Lumpur hanya pada 14-18 September ini. Ilal liqa’.
Kemaskini: Alhamdulillah, VCD Sang Murabbi dan Kun Fayakun sudah diterima dan ditonton. Ana mengkategorikannya sebagai ‘wajib tonton’.
Syukran jazilan ya akhi!