“Forum Perdana Ehwal Islam: “Benarkah Aku Sudah Merdeka?””
As-Sarawaki, 16 Ogos 2008: Alhamdulillah, segala puji-pujian selamanya milik Allah SWT Yang Maha Kuasa. Dengan taufiq dan inayahNya, Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008 telah diadakan bertempat di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri. Seramai 3 orang ahli panel telah dijemput khas untuk menjayakan forum ini iaitu Ustaz Hj Kipli Bin Yasin (Timbalan Mufti Sarawak), Ustaz Sarip Bin Adul (Ahli Majlis Fatwa Sabah dan Pensyarah UMS) dan Ustaz Karia Bin Rahmat (Ketua Penolong Pengarah JAWI Labuan). Sementara itu, Ustaz Ramadhan Fitri Bin Ellias (Perunding Syariah RHB Bank) pula telah diamanahkan sebagai moderator forum yang membincangkan tajuk “Benarkah Aku Sudah Merdeka?”.
Alhamdulillah, sesi forum telah berjalan dengan lancar dan mudah-mudahan hadirin yang telah bersama-sama menyaksikannya akan beroleh manfaat bermakna dalam memahami erti kemerdekaan yang sebenar menurut neraca Islam. Mudah-mudahan ianya akan menjentik hati kita untuk terus berusaha memerdekakan diri selaras dengan peranan membebaskan kehidupan manusia keseluruhannya dari perhambaan sesama manusia, kepada mendaulatkan sistem Allah yang adil untuk semua sebagaimana yang ditegaskan oleh Rib’i Bin ‘Amir di hadapan angkatan tentera Parsi:
“Allah yang membangkitkan kami agar kami mengeluarkan sesiapa yang dikehendakiNya dari pengabdian sesama hamba menuju pengabdian kepada Allah, dari kekejaman agama-agama kepada keadilan Islam, dari dunia yang sempit kepada keluasan dunia dan Akhirat.”

“Forum Perdana Ehwal Islam Sempena Karnival ‘Amal Merdeka 2008”
ATUK MERDEKA
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi kayu.
Jika kau menjadi kayu
Jadilah kayu golf
Disebut kayu tetapi besi
Diulit Dato’, tauke dan menteri
Jangan kau menjadi tunggul!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi pagar.
Jika kau menjadi pagar
Jadilah pagar karan
Dipicit suis power berjalan
Dirempuh diusik boleh pengsan
Jangan kau jadi pagar makan padi!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi mangkuk.
Jika kau menjadi mangkuk
Jadilah mangkuk purba zaman batu
Buruan ahli arkeologi setiap waktu
Membawa bukti tamadun dan ilmu
Jangan kau menjadi mangkuk hayun!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi bintang.
Jika kau menjadi bintang
Jadilah bintang di langit
Tiada boleh ditukar wang ringgit
Tidak boleh dijolok dikait
Jangan jadi bintang tiga!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin menjadi seluar dalam.
Jika kau menjadi seluar dalam
Jadilah seluar dalam superman
Sarung di luar nampak gentleman
Tiada manusia memberi komen
Jangan kau menjadi seluar dalam model playboy!
Cucuku..
Kau ingin menjadi apa bila dewasa nanti?
Atukku..
Aku ingin MERDEKA.
Jika kau ingin MERDEKA
Lupakan tentang perarakan di Dataran Merdeka
Simpanlah budget kereta berhias dan pentas lintas hormat
Untuk membeli kayu
Untuk membeli pagar
Untuk membeli mangkuk
Untuk membeli bintang
Untuk membeli seluar dalam
Dan.. Untuk membeli MERDEKA!
UJANG
Kuala Lumpur 1992
Sila baca juga entri Merdeka… Negara Tidak Masuk Syurga!
Wallahu a’lam bissawab.





[...] 3. Forum Perdana: “Benarkah Aku Sudah Merdeka?” [...]