“Gambar Program Masih Ada Yang Sayang di SK Kpg Beraya [Sumber]”
الحمدلله رب العالمين، والصلاة والسلام على اشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وصحبه اجمعين
As-Sarawaki, 5 Julai 2008: Alhamdulillah atas segala-galanya. Segala puji-pujian bagi Allah, Tuhan sekalian alam Yang Maha Kaya, Maha Pemberi Hidayah dan Maha Tahu segala ehwal hamba-hambaNya. Selawat serta salam untuk Kekasih Allah, Junjungan Besar Nabi Muhammad صلى الله عليه و سلم.
[Nota buat 'orang di hadapan': Politik Malaysia semakin celaru, keliru, haru-biru, cacamarba dan meresahkan. Orang kampung saya kata: "Semakin ramai yang berbaris panjang membeli tiket percuma masuk Neraka!"]
Di dalam risalah Usrah dan Dakwah oleh Al-Imam Hassan Al-Banna, beliau ada menyebut: “Kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit.” Betapa benarnya kata-kata ini dan marilah kita doakan semoga Allah سبحانه وتعالى mempermudahkan segala urusan perjuangan kita semua di Sekolah Kehidupan ini… Amiin Ya Rabb!
Alhamdulillah, hari ini dengan taufiq dan hidayah Allah saya berpeluang menyertai warga SM Sains Miri menjayakan Program yang dinamakan “Masih Ada Yang Sayang” di sekolah angkatnya – SK Kpg Beraya. Saya telah diberi kepercayaan untuk menyampaikan ceramah motivasi untuk murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 bersama-sama dengan guru-guru SM Sains dan SK Kpg Beraya serta dibantu oleh beberapa orang fasilitator - Azrul, Azwani, Iszuandy, Khalid, Syafiq, Farhan, Adib, Hanida, Hafizah dan Azrin. Sementara itu, ibubapa pula mengikuti sesi perkongsian bersama Puan Lily Hj. Morni, Pengetua SM Sains Miri selain ceramah bertajuk “Usaha, doa dan tawakkal” oleh Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob.
“Bersama Fasilitator-fasilitator Muda SM Sains dan SMK Agama Miri”
Saya tertarik dengan sya’ir Imam As-Syafi’e berikut:
Belajarlah… Sesungguhnya seseorang itu tidak dilahirkan alim, dan tiadalah orang berilmu menyamai orang yang jahil. Sesungguhnya pembesar kaum yang tiada ilmu, menjadi kecil bila dikerumuni bala tenteranya (meminta pandangannya). Seorang yang hina sekiranya berilmu, ia menjadi besar bila dikerumuni orang ramai (yang ingin belajar). Jadi, janganlah redha dengan kerendahan (kehinaan), dan janganlah nasib hanya berpada (merasa complacent) dengan apa yang ditinggal orang terdahulu.
Untuk makluman, Dr. Hj. Julaihi Bin Bujang, Pengarah Pelajaran Sarawak berasal dari Kampung Beraya ini. Sama-sama kita doakan mudah-mudahan 59 murid Tahun 1 sehingga Tahun 6 yang bersekolah di SK Kpg Beraya kini juga akan menjadi insan-insan berjiwa besar, bercita-cita jelas dan berfikir sedar pada masa hadapan. Kejayaan milik setiap insan dan kalian berhak hebat!
Info dan foto-foto lain: Catatan Ustaz Azhar dan Catatan Ustaz Muzaha.
BERJIWA BESARLAH!
Jun 16, 2005 oleh Muhtar Suhaili
Berjiwa besarlah..
Kerana berjiwa besar bisa menggoncang dunia
Dan berjiwa besar jua syarat bahagia ukhrawi
Berjiwa besarlah wahai pemuda
Kerana inilah sumber izzahmu
Muhammad al-Fatih punya jiwa besar
Salahuddin al-Ayyubi juga berjiwa besar
Berjiwa besarlah menjadi paksi perjuangan
Menuntun diri punyai sifat syaja’ah
Tidak gentar menegakkan yang haq
Pemberani siaga merobek kebatilan
Kerana baginya..
Jihad dan taqwa perlu seiring sejalan
Sehingga dirinya syahid atau Islam terus dijulang!
Berjiwa besarlah wahai pemudi
Kerana inilah rahsia kemuliaanmu
Masyitah wanita yang punya jiwa besar
Sumayyah as-Syahidah pastinya berjiwa besar
Berjiwa besarlah menjadi paksi pengorbanan
Asbab hidayah mencari redha Ilahi
Biarlah jasad terkorban dan jiwa menderita
Asalkan syariat Allah dapat dipertahankan
Kerana baginya..
Di dalam setiap jiwa ada sesuatu yang akan pergi
Lalu mengapa menangisi sesuatu yang mesti pergi?
Berjiwa besarlah wahai pemuda-pemudi
Agar dirimu tidak mati di masa muda
Dan cuma dikuburkan di masa tua!
MUHTAR SUHAILI
Surau An-Nadwah, Taman EhsanIbu
16 Jun 2005, 1.57pm.
Akhir kalam, ‘Kalau Bukan Kita Siapa, Kalau Bukan Sekarang Bila?’.
Wallahu a’la wa a’lam.



Salam ukhwah buat ya Akh Sahabatku Muhtar Suhaili.
Saya amat tertarik dengan karangan tulisan jiwa saudara “Berjiwa Besar”. Moga-moga Jiwa Kita ini terus subur dalam nikmat jalan juang yang semakin mencabar dan kecemburuan masa yang sentiasa merentasi kita.
Jiwa Besar ini perlu ditagih dengan sebaik-baiknya, untuk tidak MATI di takuk Muda! Jiwa Besar ini perlu dipaksikan rasa IMAN dan TAQWA!
Teruskan Langkah Kita ini…
http://nizam83.wordpress.com
As-Sarawaki: Waa’laikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Salam ukhuwwah kembali akhi! Mudah-mudahan kita semua terus istiqamah dalam kebaikan dan kemuliaan. Amiin.