“Semangat Juang Tinggi Turkiye – ‘Agi Idup Agi Ngelaban’ [Sumber Foto]”
As-Sarawaki, 23 Jun 2008: Alhamdulillah, syukur atas nikmat kemenangan! Tahniah dan syabas kepada pasukan bola sepak Turki yang berjaya layak ke peringkat separuh akhir Euro 2008. [Kemaskini: Turki kalah bermaruah 2-3 kepada Jerman di peringkat separuh akhir]. Saya bukanlah peminat tegar bola sepak yang sanggup mewajibkan diri berjaga malam semata-mata untuk mengikuti perlawanan-perlawanan yang disiarkan secara langsung, namun saya seorang yang melazimkan diri membaca akhbar dan berita-berita internet.
Interesting Article: Muslims in Euro 2008: A Symbol of Integration?
Seperkara yang mungkin ramai tidak tahu, saya juga boleh bermain bola sepak dan mungkin (baca: perasan) penjaga gol yang baik. Saya pernah bermain mewakili Pasukan Bernas dalam Liga FAM di FRIM Selangor meskipun hanya sebagai penjaga gol bidang terjun, selain pernah menjuarai Inter-Continental Cup (Piala Antara Benua) UIA mewakili pasukan ‘Malaysia’ menentang pasukan ‘EuroAsia’ hasil kemenangan penentuan tendangan penalti 4-2 pada tahun 2004. Saya masih ingat kata-kata Dekan Kulliyyah Senibina yang mengiringi Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIA ketika penyampaian hadiah pada malam tersebut: “I never thought that SRC President can play football!” (SRC = Students’ Representative Council atau MPP = Majlis Perwakilan Pelajar). Cuma setelah bekerja dan berkeluarga, bola sepak seolah-olah sudah menjadi ‘good old days‘ bagi saya..
‘Ala kulli hal, alhamdulillah!
“Kenangan Bola Sepak Zaman Mahasiswa.. Saya Berdiri Kanan Sekali”
Kejayaan Menakjubkan Pasukan Turki di Euro 2008
Turki mencatat kemenangan menakjubkan 3-1 ke atas Croatia menerusi penentuan tendangan penalti apabila kedua-duanya terikat 1-1 pada masa tambahan di peringkat suku akhir. Setelah Croatia menjaringkan gol pada minit ke-119 dengan pemain serta peminat Croatia sedang galak meraikan sambutan kejayaan jaringan gol tersebut, Turki tiba-tiba berjaya menjaringkan gol penyamaan dan seterusnya menang melalui penentuan tendangan penalti!
Selain itu, Turki melakar kejutan sekaligus mencipta kemenangan bersejarah 3-2 ke atas Republik Czech untuk mara ke suku akhir. Kemenangan berkenaan memang tidak diduga apatah lagi Turki ketinggalan 0-2 sehingga perlawanan memasuki minit ke-74 sebelum menjaringkan satu gol pada minit ke-75. Akhirnya, Turki mempamer antara kebangkitan paling hebat dalam sejarah kejohanan Euro apabila menundukkan Republik Czech dengan menjaringkan dua gol ketika perlawanan sebenar tinggal tiga minit untuk tamat.
Sebelum itu, meskipun kalah 0-2 pada perlawanan pembukaan menentang Portugal, Turki telah berjaya bangkit dari ketinggalan 1 gol untuk mencapai kemenangan dramatik 2-1 ke atas Switzerland dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan. Kemenangan ini beserta kemenangan ke atas Republik Czech akhirnya melayakkan pasukan Turki ke suku akhir dengan menduduki tempat ke-2 Kumpulan A.
Motivasi 1: Semangat juang tinggi kunci kejayaan Turki
Nihat Kahveci ketika mengulas pertemuan separuh akhir dengan pasukan Jerman pada 26 Jun nanti dalam keadaan pasukannya dibelenggu masalah kecederaan dan penggantungan pemain menyebut: “Semua pemain yang dipanggil untuk mewakili Turki adalah pemain yang bagus kerana pasukan ini tidak mempunyai perasaan takut. Mereka menjadi pemain yang bagus kerana kami tidak mempunyai pilihan lain.”
Saya rasa hampir semua peminat bola sepak bersetuju bahawa kunci kejayaan Turki ialah semangat juang yang tinggi. Meskipun beberapa kali ketinggalan dalam perlawanan, akan tetapi semangat melawan pasukan Turki sentiasa ada sehinggalah wisel penamat dibunyikan. Pasukan Turki mempunyai keazaman yang tinggi, semangat kerjasama berpasukan yang padu dan walaupun menyedari akan keupayaan yang tidak seberapa, mereka tidak menyerah kalah dengan mudahnya bahkan berjuang sehingga akhirnya selagi terdaya…
[Nota: Alhamdulillah, sama-sama kita doakan semoga momentum kebangkitan Islam di negara Turki yang dibelenggu sekular akan dipersada dan diperkasa. Semoga fahaman sekularime yang telah membarah akan dapat dibasmi dan Islam yang syumul terus mendapat tempat, mudah-mudahan. Amiin.]
“Never Ever Give Up and Never Say Die.. Jangan Sesekali Berputus Asa!”
Orang Iban menyebut semangat pantang menyerah dan keazaman sebegini dengan kata-kata yang mahsyur: ‘agi idup, agi ngelaban!’. Selagi hayat dikandung badan, selagi itu perjuangan di Sekolah Kehidupan mesti diteruskan!
Motivasi 2: Jangan menghidap penyakit kecewa dan virus putus asa
Menarik juga untuk diperhatikan betapa banyaknya pasukan-pasukan pilihan dan dianggap kuat di dalam Euro 2008 tewas dan kalah mengejut. Sebaliknya beberapa pasukan yang kononnya tidak berapa kuat, tidak diletakkan harapan malah dibarisi pemain tidak ternama seperti Turki dan Russia akhirnya menjadi 2 pasukan daripada 4 pasukan ke separuh akhir.
Jurulatih Turki, Fatih Terim berkata: “Ia adalah penting untuk kami mempercayai keupayaan kami sendiri. Jika kami berjaya meneruskan kejayaan sebelum ini, tidak ada alasan untuk bertemu dengan mana-mana lawan sekali pun”.
Kesimpulan yang boleh saya buat dari kata-kata Fatih ini ialah ‘lawan tetap lawan’ dan ‘jika takut dengan risiko, usah bicara soal perjuangan!’.
Sebenarnya, begitulah hakikat menuju sebuah kejayaan… Yakin sepenuhnya kepada kekuasaan Allah, percaya pada kemampuan diri sendiri (’can do’ spirit) dan terus berusaha tanpa mengenal jemu. Jangan sesekali menghidap penyakit putus asa dan dijangkiti virus kecewa. Sekiranya kita merasa lemah dan tidak kuat kerana sering kecewa dengan kegagalan, maka ketahuilah bahawa kita sebenarnya bukan gagal atau kalah, cuma belum berjaya. Usahalah lagi dan terus berusaha, insya Allah kejayaan pasti akan sedia menanti di hadapan… Jika tidak di dunia, pasti di Akhirat sana! Percayalah…
“Rahsia Kejayaan: Jadilah Insan Yang Berjiwa Besar”
Motivasi 3: Hakikat Sebuah Perjuangan
Demikian jugalah halnya dengan perjuangan… Sudah menjadi lumrah bahawa setiap perjuangan pasti ada mehnah dan tribulasinya. Apa yang paling penting, perkataan undur jangan sekali-kali ada dalam kamus perjuangan! Dalam perjuangan kebenaran, ketika gerakan itu lemah amat sedikit yang berani menyokong dan menjadi kawan. Namun apabila gerakan mencapai kemenangan, hebat dan semakin kuat, maka berbondong-bondonglah yang memberi sokongan malah ramai dulunya lawan kita datang menjadi kawan.
Sekiranya hati terasa terganggu dengan keadaan dan situasi ini, ingatlah akan Firman Allah di dalam Surah Ali Imran, ayat 139 yang bermaksud:
Dan janganlah kamu berasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.
Itulah hakikat sebuah perjuangan… Atas segalanya, teruskan perjuangan!
Sila baca juga artikel berkenaan:
1. Berita Gembira Seantero Dunia Buat Agenda Islam
2. Khabar Gembira Dari Turki – Tudung Oh Tudung
3. Kejayaan Sebuah Ijtihad Politik Yang Sistematik
4. Sinar Kebangkitan Islam di Turki
5. Calon Presiden Turki Ditolak Kerana Isteri Bertudung
6. Khabar Duka Dari Turki… Sekular oh sekular!!
7. Ruling AK Party Wins Turkey Polls.
Wallahu a’la wa a’lam.






Saya menjadi penyokong no 1 pasukan Turki selepas membaca artikel Muhtar.
Saudara Afyan;
Saya mengikuti kebangkitan dan mencontohi semangat juangnya…
[...] Euro 2008: Mencontohi Semangat Kebangkitan Turki [...]
Asalammualaikum… Salam perkenalan & salam ukhuwah..
As-Sarawaki: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah dan salam ukhuwwah fillah.
Salam Bro Muhtar,
Bagus la kerana dpt kaitkan edisi EURO kali ni dgn kebangkitan Turki dr perspektif yg berbeza…
Mmg Turki pasukan ‘underdog’ yg berbahaya… Mungkin juga mereka akan ke Final kali ni… Sape tau kan? Hebat btol semangat juang Pasukan Turki. Memang suka tengok… Walaupun lawan BIG TEAMs….
As-Sarawaki: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Sis. Izyan minat bola juga?
Goustave Le Bon berkata: “Orang yang percaya akan dirinya tidaklah mengharap pujian manusia. Orang yang mengharap pujian, nescaya ragu-ragu akan harga dirinya.”
IKLAN sekejap. Turkey adalah sebuah negara sekular yg amat kurang senang dgn undang-undang Islam. Baru2 ini kerajaan bersama2 dgn mahkamah tinggi Turkey telah menguatkuasakan undang2 utk mengharamkan penggunaan tudung bagi pelajar2 Islam di Turkey. Kat youtube byk video yg siap tunjuk pelajar perempuan bukak tudung kat pintu masuk Universiti. Kerajaan Kamal Attaturk telah berjaya brainwash fikiran org Islam untuk menganggap ugama itu sebagai private life. Bila masuk Parlimen, constitutional law didahulukan. Segala jenis ugama tolak tepi. Itu lah sekular. Kalau diikutkan semua negara mengamalkan sekularism. Takder satu negara pun yg mengamalkan hukum shariah. Semua gune sistem undi. Kalau gune sistem undi, kene ade 2 pihak. Kedua2 pihak nih kene bergaduh & bertentangan pendapat & berebut2 untuk menduduki tampuk kerajaan. Ok dah. Sambung cerita bola..
As-Sarawaki: Akhi Najib, ana dah beberapa siri menerbitkan entri tentang perkara ini. Sila baca entri-entri yang disyorkan di hujung entri di atas. Saya berpandangan bahawa Kerajaan AKP yang ‘Islamik’ berusaha dengan cara ‘tarik rambut dalam tepung, rambut tak putus dan tepung tak berserakan’ dalam pendekatan siasahnya. Parlimen Turki yang dikuasai oleh AKP sebenarnya telah menyokong supaya larangan bertudung ditarik balik, tetapi malangnya Mahkamah Turki yang sekular dan mendapat dokongan tentera telah mengharamkan pemakaian tudung bagi pelajar wanita tersebut pada 6 Jun 2008 baru-baru ini. Atas segalanya, doakan semoga segalanya khair buat Turki!
Salam, cam kenal je poster kat atas tu!!
…..tapi perlu diingat… kecemerlangan Muhtar dalam bolasepak bermula dari seorang penjaga garisan yang cemerlang…… hehehe
As-Sarawaki: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Awwalan, tahniah ustaz atas kelahiran seorang mujahid baru! Semoga menjadi penyejuk mata dan penawar hati.
Macam kenal poster “Jadilah Insan Berjiwa Besar”? Poster tersebut diambil dari Dewan SM Sains Miri dan hasil karya Ustaz Fauzi.
Tentang penjaga garisan… kenangan zaman persekolahan!
Assalamualaikum wbt.
Saya mempunyai ramai kenalan Turki di UM dan juga di sekitar Lembah Klang. Most them bekerja di Turkish International School dan Turkish Cultural Centre.
For those interestred nak dapatkan info lanjut tentang Turki (budaya, latest news, nak veify news or etc), insya-Allah you can email me at mohdnuruddiabdmanap@yahoo.com
Insya-Allah I can introduce you to my Turkish friends. They are very helpful and the most important thing is learn their worldview and spirit.
Pengalaman berkelana selama 2 minggu di Passau dan Munich, Germany tambah mengeratkan ukhhuwwah saya bersama Turkish people. Merekalah teman saya, makan, minum, berprogram, malah turut menyediakan penginapan buat saya.
Dah cuba makanan Turki? I suka DONER!!! My favourite food when I was in Germany!
As-Sarawaki: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Syukran akhi Mohd Nuruddin di atas makluman yang bermanfaat. Alhamdulillah saya telah berziarah ke Istanbul selain berkenalan dengan beberapa rakan-rakan Turki di Eropah. Hanya jauhari yang mengenal manikam, pastinya orang Turki lebih memahami senario politik negaranya! Apapun, Doner Kebab Turki sememangnya sedap dimakan.
Assalamualaikum wrh bkth, wah… Tuan, bila tuan siapkan entri ni? Selepas meeting hari tu? Hebat… Agi Idup Agi Dakwah!
As-Sarawaki: Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah entri ini telah ditulis sebelum Turki kalah dengan bermaruah 2-3 kepada Jerman di separuh akhir Euro 2008.
Encang!
Salam..
Siapa tahu.. Kebangkitan Turki di Euro08 adalah juga petanda kebangkitan Islam di Turki… Allahu Akhbar.
As-Sarawaki: Wa’alaikummussalam warahmatullah. Mudah-mudahan.