“Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin”
As-Sarawaki, 19 Jun 2008: Allah سبحانه وتعالى berfirman di dalam Al-Qur’an, Surah Muhammad, ayat 7: ”يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُم” yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman, sekiranya kamu membantu agama Allah, nescaya Allah akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” Firman Allah سبحانه وتعالى juga di dalam Surah Al-Mujadalah, ayat 11: “يَرْفَعْ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ” yang bermaksud “Allah mengangkat orang-orang beriman dan berilmu dengan beberapa darjat dan (ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan”.
Sebelum Pilihanraya Umum Ke-12, namanya mungkin hanya dikenali di Kampar dan pendokong PAS Negeri Perak. Namun setelah memenangi DUN N51 – Pasir Panjang, namanya mula menjadi tumpuan media massa, meniti di bibir-bibir rakyat Malaysia dan kemuncaknya ’seperti bermimpi di siang hari’ bertepatan dengan hari ulang tahun kelahirannya yang ke-51, beliau telah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak yang baru pada 17 Mac 2008! Saya yakin beliau juga semacam tidak percaya, bahkan terkejut dengan amanah Allah tanpa disangka-sangka!
Tahukah tetamu ziarah yang budiman bahawa Ir. Mohd Nizar telah memblog sejak Jun 2007? Sila lawati blog beliau di http://kamparinn.blogspot.com/. Sekadar perkongsian, impresi utama yang menarik perhatian saya apabila kali pertama menjejakkan tetikus ke blog beliau pada bulan April yang lepas ialah kata-kata yang beliau tulis sebagai pengenalan kepada dirinya: “Did challenge Rafidah Aziz in General Election 2004 at Kuala Kangsar Parliamentary seat. Lost to her!” yang terjemahannya “Pernah bertanding menentang Rafidah Aziz dalam Pilihanraya Umum 2004 di Kerusi Parlimen Kuala Kangsar. Kalah kepadanya!” Malah “about me” tersebut kekal sehingga kini!
“Profil Mohammad Nizar Jamaluddin di Blog http://kamparinn.blogspot.com/”
Mengapa Saya Menulis Entri Ini?
Mengapa saya menulis entri ini? Seandainya saya menulisnya semata-mata kerana taksub, pastinya entri ini adalah entri sia-sia. Sekiranya saya menulis entri ini kerana beliau seorang Jurutera/ Engineer/ Muhandis, maka mungkin akan ada yang berkata saya bias kerana saya juga seorang jurutera. Lebih daripada itu, saya menulis entri ini bukan hanya kerana Ir. Mohammad Nizar telah membuktikan bahawa seorang jurutera juga mampu menjadi Menteri Besar. Sebaliknya, entri ini bertujuan untuk menganalisa potensi dan kelebihan yang ada pada diri beliau dan mengambil manfaat darinya. Tanpa menafikan betapa sebagai manusia biasa beliau juga tidak sempurna dan punya kekurangan, namun ada beberapa keistimewaan pada diri Dato’ Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin yang wajar saya dan kita semua contohi.
[Nota: Entri ini mungkin diterbitkan agak lambat, tetapi saya berharap mudah-mudahan manfaatnya sentiasa segar dan sentiasa mekar di hati sanubari.]
Berikut saya suka untuk kongsikan beberapa kenyataan yang dipetik dari blog beliau. Mudah-mudahan ia datang dari hati yang jujur dan benar:
Saya Telah Mengangkat Sumpah Sebagai Menteri Besar Perak
Berdoalah agar Allah S.W.T memberi saya kekuatan dan keikhlasan untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat Negeri Perak.
Malam selepas mengangkat sumpah jawatan, saya masih berpeluang untuk menikmati nasi goreng ayam bersama rakan-rakan Pejabat Perhubungan PAS Perak. Harap-harap ini bukan kali terakhir saya makan begini bersama mereka… Moga Allah Azzawajalla memberikan ruang dan kesempatan untuk menjalani kehidupan seperti biasanya. Amin.
Alhamdulillah, dapat bertemu dengan kakitangan pejabat yang bakal membantu saya mentadbir Negeri Perak. Nampak riak kesungguhan di wajah-wajah mereka. Semangat dan kekuatan bertambah… Saya tidak keseorangan. InsyaALLAH.
Sambutan Maulidul Rasul Bersama D.Y.T.M Raja Nazrin Shah
Di antara titah menarik yang menyentuh perasaan saya.
“Melalui sejarah, umum mengetahui ramai telah diberi peluang untuk menjadi pemimpin, namun hanya segelintir sahaja individu yang muncul sebagai pemimpin yang berjaya mencipta sejarah dan membina tamadun bangsa.”
“Keadaan ini berlaku kerana ramai yang ketika diberi peluang untuk memimpin kehilangan pedoman apabila berada dalam kegembiraan dan keasyikan memiliki kuasa.”
“Ada antaranya yang terleka, ada yang tersalah haluan, ada yang tersalah diberi nasihat, ada yang tersalah langkah dan ada yang tersalah perkiraan.”
“Demikian terdapat himpunan sejarah berkaitan kepimpinan dan pemimpin yang sewajibnya dijadikan asas rujukan untuk ummah hari ini mempelajari dari kesalahan dan menjauhi dari mengulangi kesilapan yang sama,”
“Sebagai pemimpin, Nabi Muhammad S.A.W memiliki kelebihan, memiliki keistimewaan, mendapat panduan dan bimbingan secara langsung dari Ilahi. Panduan dan bimbingan Ilahi itu terkandung di dalam kitab suci al-Quran. Perilaku dan sabda Baginda pula terkandung dalam himpunan Hadis yang telah berjaya dikumpulkan,”
“Kepimpinan yang mengutamakan ummah yang diamalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W telah menarik sokongan ummah kepada Baginda, begitu juga terhadap ajaran yang dirisalahkan oleh Baginda. Hasilnya ajaran Islam berkembang pesat dalam tempoh yang begitu singkat menembusi sempadan budaya, menembusi sempadan geografi dan menembusi sempadan politik.”
“Islam diterima secara universal dan tidak hanya terbatas menjadi agama kepada bangsa Arab, di bumi Arab sahaja. Kepimpinan Baginda juga diterima di alam sejagat dan terus diiktiraf setelah Baginda wafat sekian lamanya,”
Saya kekaguman dan terasa begitu kerdil….
Bersama di Majlis Makan Malam JPN
Semoga yang sekumin kita bersama jadikan segenggam, supaya rahmat Allah yang lebih besar dikurniakan kepada kita semua. Agar Negeri Perak Darul Ridzuan dapat menjadi model terbaik bagi Asia Tenggara kalau tidak pun di dunia.
Mufti Kerajaan Perlis, SS Dr. Mohd Asri Zainul Abidin di dalam tulisannya Tentang Kerajaan-Kerajaan Pembangkang Yang Baru Dibentuk menyatakan:
Ada pun Perak, saya belum dapat melihat perkembangannya. Namun keperibadian yang baik YAB Menteri Besar yang baru mudah-mudahan mengundang pertolongan Allah untuk pentadbirannya
Sekali lagi saya ingin sebut, seperti yang sering nyatakan dalam berbagai tulisan dan kenyataan saya, bahawa “laksanakanlah keadilan dan ketelusan, di situlah akan lahirnya cinta rakyat dan keberkatan Allah. Jangan ulangi segala bentuk penyelewengan dan kebongkakan yang pernah dilakukan oleh mereka yang lain sebelum ini, kerana pada bongkak, sombong dan tidak telus itu mengundang kebencian rakyat dan kemurkaan Allah”.
Sementara itu Johari Jaafar pula dalam tulisannya yang bertajuk “Pengalaman luas aset utama Nizar terajui Kerajaan Negeri Perak” menulis seperti berikut:
Walaupun beliau seorang yang berpendidikan tinggi tetapi beliau amat aktif dengan kegiatan masyarakat. Antaranya kuliah dan majlis ilmu di masjid-masjid dan surau-surau, ceramah motivasi pelajar dan institusi pengajian tinggi, menyampaikan khutbah Jumaat, bantuan kepada fakir miskin, mewakili PAS dalam program-program kaum bukan Islam serta terlibat secara langsung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO). *
Beliau mempunyai lapan orang cahaya mata hasil perkongsian hidup bersama isterinya, Fatimah Taat. Anak pertamanya merupakan lulusan BA Syariah Universiti Mu’tah, Jordan. Anak kedua pula lulusan hafiz al-Quran di Universiti Mu’tah, Jordan. Anak yang ketiga juga lulusan hafiz al-Quran dari Universiti Damsyik, Syria dan Universiti Lebanon. Manakala anak yang keempat hingga kelapan sedang belajar di pelbagai institusi pendidikan dalam negeri. **
Keistimewaan beliau, walaupun lulusan dari luar negeri beliau mampu mengajar (buka kitab) di masjid-masjid dan surau-surau. Di samping itu Haji Nizar juga selain boleh berbahasa Inggeris, beliau juga boleh berbahasa Cina dan Tamil.
*Teladan 1: Kehidupan Beragama Mesti Menjadi Agenda Utama
Alhamdulillah. Pasti dan sudah seharusnya kita mesti berusaha mengambil ‘ibrah dari kehidupan pemimpin-pemimpin yang memberi makna. Mencontohinya bukan semata-mata dari aspek kemewahan, kekayaan, jawatan dan statusnya, tetapi apa yang lebih utama ialah dalam perihal meneladani akhlak mulia, ehwal beragama, fikir tentang umat, kasih sayang kepada sesama manusia serta ketaatan dan kedekatannya dengan Allah سبحانه وتعالى.
“Semoga Rasulullah SAW Sentiasa Menjadi Qudwah Hasanah Kita Semua”
Pemimpin seharusnya bertindak sebagai idola, pentazkirah dan contoh teladan. Kita sebenarnya ‘dahagakan’ barisan pemimpin yang bersifat universal, yakni seimbang antara dunia dan Akhirat. Contoh tanpa bandingan tetapi wajar dijadikan ikutan, Rasulullah صلى الله عليه و سلم mampu menjadi pemimpin berkarisma dalam masa yang sama berada di tempat yang teratas dalam pemikiran, komunikasi dan penampilannya kepada masyarakat dan yang paling utama kepada Penciptanya. Pemimpin adalah salah seorang idola yang selalunya diikuti jejak langkahnya oleh para pengikut dan masyarakat yang dipimpinnya. (Idola bukanlah perkataan terbaik dan qudwah hasanah lebih bermakna, tetapi idola adalah perkataan diterima umum yang sedia dimaklumi).
**Teladan 2: Anak-anak Adalah Aset Berharga, Didiklah Mereka!
Alhamdulillah. Adalah menjadi harapan setiap ibubapa agar anak-anaknya akan beroleh kesejahteraan dunia dan Akhirat dan menjadi anak soleh yang akan mendoakan ibubapanya di kemudian hari. Saya yakin dan percaya, kita semua sedia maklum tentang hadith riwayat Imam Muslim, daripada Abu Hurairah رضي الله عنه sabda Rasulullah صلى الله عليه و سلم: “Apabila mati anak Adam, maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan untuknya”. Malah di dalam Surah Al-Kahfi, ayat 46, Allah سبحانه وتعالى berfirman “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi soleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan”!
Harapan Pada Ayah Ibu
http://liriknasyid.com
Wahai ibuku wahai ayahku
Didiklah kami semua
Ajarlah kami asuhlah kami
Mengenal Tuhan Yang Esa
Bantulah kami hidup Akhirat yang lebih utama
Sedarkanlah kami akan tipu daya dunia
Bimbinglah kami asuhlah kami
Dengan penuh kasih sayang
Segala apa kesalahan kami
Dibetulkan dengan bijaksana
Perkataan maki-hamun jangan digunakan
Kerana ia menyalahi Sunnah Rasul mulia
Tunjukkanlah kami dengan akhlak mulia
Agar mudah kami mencontohinya
Jangan macam ketam yang berjalan bengkok
Ia mengajar anaknya berjalan lurus
Wahai ibuku wahai ayahku kasihanilah kami
Bimbinglah kami mengikut cara Sunnah Nabi
Janganlah kami dididik secara Yahudi
Kami akan rugi di dunia dan di Akhirat
Kenalkanlah kami hidup dunia yang menipu
Asuhilah kami cinta Akhirat yang abadi
Akhirat utama dari dunia yang fana
Dunia menipu merosakkan manusia
Itulah harapan kami kepada ayah dan ibu
Ayah ibu janganlah kau berkecil hati
Kami memohon ribuan ampun dan maaf padamu
Disertakan doa kesejahteraan kepadamu ayah dan ibu
Itulah harapan kami pada ayah dan ibu
Itulah harapan kami wahai ayah dan ibu!
“Anak-anak Adalah Cahaya Mata Dan Aset Berharga Dunia Akhirat”
Oleh itu, kepada ibubapa dan bakal ibu dan ayah yang berbahagia dan sedang membaca entri ini, mari kita berusaha memberi anak-anak kita pendidikan, nasihat, panduan, hiburan sejati dan ‘kemewahan beragama’ sehingga mereka menjadi kenal, cinta, takut dan harap kepada Allah. Tarbiyyah dan asuhlah mereka dengan didikan yang dapat membentuk jiwa dan akhlak untuk menjadikan keluarga yang dibina dapat melahirkan sebuah generasi mulia masa depan yakni generasi anak soleh yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Nota Bahagia: Alhamdulillah, kandungan isteri saya telah berusia 6 bulan dan setelah diimbas dengan menggunakan ultrasound scan, 95% sudah diketahui jantinanya. Kini sudah mula menyelidik nama yang sesuai dan bermakna…
Doakan semoga segalanya khair dan dipermudahkan Allah. Amiin!
Wallahu a’la wa a’lam.





Di Sarawak, kita ada seorang jurutera juga, tapi tak tau la bakal menjadi Ketua Menteri Sarawak ataupun tidak
Alhamdulillah, banyak manafaat dari tulisan ini insyaAllah.
Jzkk akhi.
Thanks for sharing…
Semoga lebih ramai golongan PROTAZ = Professional Ustaz dalam gerakan Islam…
Beberapa tahun lagi akan muncul pula “Jurutera Menjadi Ketua Menteri”. Insya-Allah kita doakan.
Tentang “teladan ke-2″, nampaknya Sdra Muhtar tidak sabar-sabar lagi ….. mmmm, bila ye due?
As-Sarawaki: InsyaAllah menjelang ‘Eidul Fitri 1429H. Mudah-mudahan beroleh 2 kegembiraan sempena Hari Raya tahun ini.
Doakan segalanya khair.
Sekadar renungan dan muhasabah diri…
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Abu Dzar ketika dia meminta jawatan: “Hai Abu Dzar, kau seorang yang lemah dan jawatan itu sebagai amanah yang pada Hari Kiamat hanya akan menjadi penyesalan dan kehinaan kecuali orang yang dapat menunaikan hak dan kewajibannya dan memenuhi tanggungjawabnya.” (Hadith Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Kamu semua begitu bercita-cita terhadap jawatan kepimpinan, ianya akan menjadi penyesalan pada Hari Kiamat.” (Hadith Riwayat Al-Bukhari)
Wallahu a’lam.
salam…
maklumat yang menarik.. saya sendiri tidak menyangka YAB Ir Nizar mempunyai blog sejak sekian lama.. moga2 menjadi tauladan pada semua… saya bukan golongan politik kepartian.. saya hanya rakyat yang suka melihat pimpinan yang telus dan adil dalam tindakan.. tidak kira dari mana cabang partinya sekalipun…
Assalamu alaikum warahmatullah,
Insya Allah, di Sarawak pun kelak ada juak engineer alim jadi Ketua Menteri. Doa2 aja kitak. Tapi kerja-kerja dakwah kenak polah dari kinek tok lah. Sebagai daiee, insya Allah, kitak sik akan mudah terjerat dalam kerja2 dakwah bermotif politik.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah dan terima kasih di atas komen-komen yang diberikan. Seorang sarjana menyebut: “Jika aku mempunyai hanya satu peluang doa yang makbul, nescaya aku doakan kepada pemimpin agar adil, kerana keadilan mereka kebaikan untuk semua.”
Wallahu a’lam.
[...] Ana ambik artikel ni dr SINI pabila rase tertarik untuk share dengan sahabat-sahabat ana. Moga kalian dapat membaca sambil mengambil beberapa pengajaran darinya. [...]
apa tunggu lagi state pru kelak standlah, you orang baik, pendidikan tinggi, ilmu agama boleh tahan, so jgn sia-sia, i rasa you tok orang pas(?), good choice, right path
Assalamualaikum.
Wahai umat Islam, jagalah Islam walaupun terpaksa digadaikan dengan nyawa.
Wahai Bangsa Melayu, jagalah Islam walaupun terpaksa kau gadaikan KeMelayuan engkau.
Wahai anak-anak bangsaku, jagalah Islam walaupun terpaksa engkau gadai kemesraan bersama keluarga engkau.
Wahai Umno, jagalah Islam walaupun terpaksa engkau bubarkan parti yang engkau jerumusi selama ini.
Salam.. MB Perak yang baru tu pakcik saudara kawan saya.. Kagum tentang dirinya apabila saya mendengar cerita tentang beliau..
[...] Bacaan Menarik: Kisah Benar… Dari Jurutera Menjadi Menteri Besar. [...]
MB Mohd. Nizar Jamaluddin hanya tinggal kenangan…
[...] Bacaan Menarik: Kisah Benar… Dari Jurutera Menjadi Menteri Besar. [...]
[Petikan Blog Dato' Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin]
Assalamualaikum kepada semua pengunjung blog ini.
Terlebih dahulu saya bermohon beribu kemaafan kerana lama meninggalkan saudara tanpa kemaskini halaman ini. Situasi semasa memerlukan saya sepenuh masa menangani beberapa permasalah akibat rampasan kuasa (coup d”etat) oleh UMNO BN pada 5 februari 2009.
Ini sejarah hitam bagi rakyat negeri Perak apabila dengan zalim dan rakusnya Timbalan Presiden UMNO, Najib Tun Razak mengadap DYMM Sultan Perak pada pagi 5 Feb. 2009 untuk merompak hak rakyat tersebut melalui pintu belakang.
Pada 2 Feb 2009 (Isnin) , saya mengadap DYMM Sultan Perak di Istana Kinta bagi mempersembahkan 2 pucuk salinan surat perletakan jawatan YB Jamaluddin(Behrang) dan YB Osman (Changkat Jering) bertarikh 30 Jan 2009, dan surat dari YDP Dewan (Speaker) YB Sivakumar kepada SPR memohon di laksanakan pilihanraya kecil kedua-dua DUN tersebut.
Ketika itu UMNO-BN di ketuai oleh Najib Tun Razak masih dalam proses memerangkap beberapa wakil rakyat PR khususnya YB Dato’ Nasaruddin (ADUN Bota yang telah menyeberangi ke PKR) pada 25 Jan 2009, dan ADUN Jelapang YB Hee Yit Fong.
Perhubungan dengan YB Jamaluddin dan YB Osman telah terputus mulai 26 Jan 2009. Keluarga dan orang terdekat termasuk ketua umum PKR, DSAI, juga gagal. Hanya setelah surat perletakan jawatan dikemukakan baharulah kedua mereka muncul bersama Najib Tun Razak. Semasa kemelut itu juga YB Dato Nasaruddin (BOTA) dilapurkan hilang dibawa oleh 2 orang ADUN UMNO yang kononya mereka diarah menjemput YB Dato Nasa bertemu Raja Muda. Dia akur dengan pelawaan palsu tersebut dan bersetuju bersama kedua-dua adun umno menaiki pacuan empat roda dan trus hilang entah kemana, khabarnya dilarikan kepada dakapan Najib Tun Razak.
Dilaporkan oleh isteri YB Dato’ Nasa, Datin UMI bahawa suaminya hilang mengikut dua orang adun umno pergi bertemu Raja Muda tetapi rupa-rupanya untuk dibelutkan oleh umno agar YB Dato’ Nasa kembali semula kepada umno-BN walaupun telah bersumpah dikhalayak ramai 10,000-15,000 orang pengundi Bota pada 30 Jan 2009 untuk tidak akan berganjak dan kembali kepada UMNO. Pertemuan YB Dato Nasa denga saya di pejabat MB pada 29 Jan 2009 bersama ahli-ahli exco dan pimpinan PKR Perak juga menjanjikan benda yang sama. Bila ditanya oleh warga media adakah YB Dato Nasa akan kembali kepada UMNO oleh kerana pertukaran Pengerusi Perhubungan UMNO negeri kepada Najib Tun Razak, namun jawab YB Dato Nasa, “Insya Allah, tidak”.
Ketika itu kedapatan YB Hee dari Jelapang juga turut lesap dan putus hubungan, sehingga YAB ketua Menteri Pulau Pinang selaku SU Agong DAP memberi amaran mana-mana ADUN DAP yang putus hubungan dalam tempoh 24 jam di kira telah meletak jawatan.
Ketika itu, keputusan SPR pula menafikan hak dan permohonan YB Speaker untuk diadakan PRK di Behrang dan CGKT Jering. Maka tiada pilihanraya kecil, ini pula atas desakan dan campur tangan UMNO BN mengarahkan pengerusi SPR yang baru dilantik (tetapi diberi amaran kerana bertanggungjawab tersungkurnya UMNO BN di KT ) untuk jangan diadakan PRK di Behrang dan Cgkt Jering. (Bertentangan dgn Perlembagaan Persekutuan 113). Untuk pengetahuan semua, SPR tidak boleh menolak mana-mana permohonan dari mana-mana Speaker di Malaysia untuk isytihar PRK apabila ada surat dari wakil rakyat tersebut yang meletak jawatan. Peranan SPR dalam Perlembagaan Malaysia hanyalah sebagai pelaksana sahaja dan bukanya pemutus untuk tolak atau meragukan mana-mana surat yang pada pandangan Speaker adalah sah.
Maka pada 4 Feb 2009, selaku MB serta ketua DUN, saya mengadap DYMM memohon perkenan agar dibubarkan DUN Perak untuk mengembalikan hak rakyat Perak membuat pilihanraya baru dan secara sahnya memilih kerajaan baru. DYMM Sultan menyatakan akan mengkaji dan menghubungi saya kemudian, saya akur. DYMM Tuanku mengucapkan kepada saya, “Innallaha maa Sobirin” (Sesungguhnya Allah bersama orang2 yang sabar) dengan senyuman sambil menggoyang-goyangkan kedua tangan Tuanku.
Kesokan harinya 5 Feb 2009, (khamis) jam 10.00 saya bersama-sama YAB PM Pak Lah berada di Bgn Serai merasmikan majlis mekanisasi pertanian penanaman padi seluas sekitar 200 ekar secara moden oleh Sime Darby. Namun keseluruhan berita telah digelapkan walaupun ada liputan media meluas. Jam 11.45 pagi saya menerima perintah DYMM Sultan untuk mengadap di Istana Kinta. Maka saya memohon laluan dari YAB PM dan terus menuju Istana . Sesampainya di Istana, DYMM Sultan telah sedia menanti bersama Penasihat Undang-undang, (LA).
Saya terus angkat sembah dan duduk (cukup luar biasa sebab yang biasa apabila dititah atau mohon mengadap, sayalah yang akan menunggu DYMM Sultan didalam bilik khas). DYMM menyatakan kepada saya:-
1. Kesemua 27 ADUN BN telah dipanggil mengadap dan setuju trus dengan BN
2. Adun Bota (YB dato Nasa) telah bersetuju kembali kepada UMNO-BN
3. Ketiga Adun Behrang, Cgkt jering dan Jelapang juga telah dipanggil mengadap dan bersetuju keluar PR dan menjadi ahli Bebas serta menyokong BN, menjadikan 31 orang. (28 +3)
4. Maka sekarang BN ada majoriti dan PR cuma ada 28 ADUN.
Saya sudah terlintas dihati yang sesuatu tak kena akan terjadi makanya ,
saya mohon mencelah dari DYMM Sultan dan mengambil masa sekitar 15 minit untuk mengutarakan hujah dan point berikut:-
i. Saya hanya memohon perkenan kebawah DYMM Tuanku untuk dibubarkan DUN Perak dalam hak dan kuasa yang dianugerahkan saya sebagai MB dan ketua DUN.
ii. Kembalikanlah hak rakyat untuk memilih kerajaan baru yang sah dan bermaruah.
iii. Saya mahu mendaulat dan memartabatkan institusi Istana sebagai institusi ulung dan teragung di kacamata rakyat.
iv. Bila DUN dibubarkan, rakyat akan lihat bahawa Tuanku cukup adil dan tidak menyebelahi mana-mana pihak sekali gus rakyat akan menjulang dan menghormati institusi Istana kerana mengembalikan hak rakyat untuk membuat pilihan semula. Ini Keadilan yang kita laung-laungkan.
v. Saya ajak DYMM Tuanku Sultan meredhai dan bersyukur di atas anugerah Ilahi dalam sambutan Jubli Perak dengan Allah SWT memanjangkan usia DYMM Tuanku hingga ke 82 tahun. Saya seru agar merealisasikan kesyukuran atas nikmat ini dengan mengembalikan hak rakyat serta pengampunan dari Allah SWT
vi. Saya nyatakan dengan jelas jika Tuanku bubarkan DUN, rakyat akan turut bersyukur dan berterima kasih tidak terhingga kepada Tuanku dan rakyat akan menjulang institusi Istana.
vii. Disebaliknya saya nyatakan bahawa jika hak rakyat ini tidak diberi (dengan tidak membubarkan DUN) maka dikhuatiri rakyat akan menghina dan hilang hormat kepada institusi di Raja dan Tuanku sendiri.
viii. Saya zahirkan kepada DYMM Tuanku dimanakah maruah kerajaan UMNO BN dengan mengambil 3 orang wakil rakyat (Jamaluddin, Kapt Osman dan Hee) sebagai penyokong mereka semata-mata hendakkan simple majoriti, yang mana 2 daripada mereka (Jamaluddin dan Osman) telah dituduh oleh pimpinan UMNO terdahulu dari itu sebagai mengambil rasuah meluluskan projek perumahan di Perak Tengah bernilai RM180juta dan menerima habuan serta sedekah seks (yang mana projek tersebut tidak wujud pun! Sengaja diada-adakan oleh pihak BPR pusat untuk mejatuhkan kerajaan PR). Kedua mereka akan menghadapi perbicaraan di mahkamah session Ipoh pada 10 Feb 2009. Saya juga katakan kepada DYMM Sultan seandainya pertuduhan ke atas mereka lekat, maka apa akan terjadi kepada kerajaan itu kelak. Dan jika pertuduhan itu digugurkan oleh mahkamah, sudah tentu rakyat jelata akan melihat sebagai campurtangan pihak Istana dan ini akan mencemarkan imej dan kedaulatan Istana.
ix. Saya beri maklum bahawa jika dibubarkan DUN Perak seluruh institusi Istana di Malaysia pasti akan mendapat penghormatan tertinggi dikacamata rakyat jelata dan masyarakat dunia dalam dan luar negeri akan turut menghormati DYMM Tuanku. Kekebalan dan kekuasaan diraja telah lama dirobek dan cuba dihapuskan oleh UMNO sewaktu dibawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Semua institusi kesultanan di Malaysia akan mendapat imej baik dek keputusan bijak dan arif oleh Tuanku.
x. Saya sebut secara verbatim kata-kata DYMM dalam sebuah buku yang Tuanku hadiahkan kepada saya sewaktu menjawat jawatan MB pada bulan Mac 2008 dahulu. Buku berjodol “Constitutional Monarchy, Rule of Law and Good Governance” (Selected essays and speeches,by HRH Sultan Azlan Shah, edited by Professor Dato’ Seri Visu Sinnadurai, tahun 2004, saya bacakan kepada Tuanku berbunyi, “under normal circumstances, it is taken for granted that the Yang di Pertuan Agong would not withold his consent to a request for the dissolution of Parliament. His role is purely formal”.
Selepas saya baca ayat tersebut sepatah demi sepatah, maka dengan penuh takzim dan lembut ungkap, saya merayu agar Tuanku berpegang dan mengotakan kata-kata Tuanku tersebut. Bahkan saya sebut bahawa buku tersebut dan kata-kata Tuanku di dalamnya menjadi rujukan penghakiman semua negara Commonwealth sebagai suatu peradaban undang-undang yang luhur.
xi. Saya mengingatkan kepada DYMM Tuanku bahawa banyak negara seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Mesir dan Iran yang dahulunya ada institusi di Raja, namun apabila keputusan Istana berpihak kepada mana-mana kumpulan dan mengenepikan kehendak hak rakyat, maka kini institusi tersebut telah hilang.
xii Saya merayu bahawa pada ucapan sambutan Jubli Perak pada 3 Feb 2009, di Istana Iskandariah Kuala Kangsar, ucapan Tuanku, ucapan Raja Muda dan juga ucapan saya telah menitik beratkan soal keadilan, hak rakyat dan good governance. Siaran tersebut telah dibuat liputan langsung oleh TV Bernama dan akhirnya saya dengan penuh rendah diri dengan Nama Allah, memohon kepada DYMM Tuanku agar di bubarkan DUN Perak.
Sebaik-baik sahaja habis saya sebut perkara di atas, DYMM Tuanku telah mengangkat sedikit wajahnya dan melihat saya sambil bertitah, “Saya tidak akan bubarkan DUN dan MB kena letak jawatan”.
Dengan spontan saya terus mengangkat sembah keampunan seraya berkata, “Ampun Tuanku, patik pohon sembah derhaka”.
DYMM Tuanku bangun meninggalkan majlis dan seperti biasa, saya bersalam dengan Tuanku sambil mencium tangan Tuanku dan beredar bersama LA. ( Perbualan saya dengan LA selepas insiden ini akan saya lakarkan sedikit masa lagi).
Maka bermulalah suatu cetusan krisis perlembagaan (Constitutional Crisis) yang amat menyedihkan sehingga kini. Kesemuanya ini berlaku oleh kerana kebiadaban UMNO BN pimpinan Najib altantuya memperkakaskan SPR yang enggan mengisytiharkan PRK di DUN Behrang dan Cgkt Jering dan seterusnya rampasan kuasa ikut pintu belakang oleh Najib altantuya pimpinan UMNO BN. Ini tindakan tidak bermoral UMNO yang merampas hak rakyat.
Kini kenyataan-kenyatan dari pimpinan UMNO yang menyanggah dan mengecam hebat tindakan jahat Najib altantuya membuat rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak, seperti dari Tengku Razaleigh, Tun Dr Mahathir, Rais Yatim dan ramai pakar perlembagaan seperti Dr Abd Aziz Bari dari UIAM, menyatakan bahawa saya masih MB yang sah disegi undang-undang dan kes seperti ini pernah terjadi kepada Almarhum Sultan Idris pada tahun 1974, yang mana almarhum Sultan tidak boleh menyuruh atau memecat MB ketika itu Allahyarham Tan Seri Ghazali Jawi (bapa YB Tajol Rosli). Tuanku terpaksa bernazar untuk menyimpan misai dan janggut selagi MB ketika itu tidak mahu letak jawatan.
Akhirnya Perdana Menteri ketika itu Tun Hussein Onn terpaksa masuk campur dan mengarahkan MB letak jawatan. MB ikut perintah PM tetapi bersyarat. Lepas itu barulah Almarhum Tuanku Sultan mencukur janggut misainya di Pangkor. Cerita ini masyhur. Semua orang tahu bahawa Tuanku Sultan ketika itu juga akur kepada ketetapan di dalam Perlembagaan Perak. Krisis ini berpanjangan………..