
“ISLAM Is The Way Of Life… I’m lovin’ it! Are you? [Sumber Foto]”
As-Sarawaki, 15 Jun 2008: Alhamdulillah atas kekuatan untuk terus memberi! Perhatikanlah berita gembira dari Allah سبحانه وتعالى di dalam Surah Al-Qasas ayat 67: “Adapun orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal soleh, dia termasuk dalam orang-orang yang beruntung”. Ya, orang-orang yang beruntung! Beruntunglah orang-orang yang merasai kemanisan iman dan kebahagiaan taqwa. Saya berdoa semoga saya dan tetamu ziarah yang budiman sekalian diberkati oleh Allah dengan kemuliaan dan kejayaan. Amiin.
Alhamdulillah, saya baru sahaja selesai menjadi moderator kepada Forum bertajuk “Kepentingan Solat Dalam Sederap Memburu Kegemilangan”, selain pagi kelmarin turut berkesempatan berkongsi ‘buah fikir’ dengan tema “Menghayati Perasaan-perasaan Islam” bersama pelajar-pelajar Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 SM Sains Miri. Pengisian yang disampaikan lebih berkisar kepada bagaimana untuk kita mampu menjadi umat yang hebat dengan ‘Menjadi Seperti Muhammad صلى الله عليه و سلم‘ dan mencontohi kehidupan beragama 10 orang Sahabat-sahabat Nabi yang dijamin Syurga sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadith riwayat Tirmidzi dan Ibn Majah.
Berikut adalah senarai 10 orang Sahabat-sahabat Nabi yang dijamin Syurga:
1. Abu Bakar As-Siddiq رضي الله عنه
2. Umar Al-Khattab رضي الله عنه
3. Uthman Al-Affan رضي الله عنه
4. Ali Bin Abu Talib رضي الله عنه
5. Talhah Bin Ubaidillah رضي الله عنه
6. Zubair Bin Awwam رضي الله عنه
7. Sa’ad Bin Abi Waqqas رضي الله عنه
8. Abdul Rahman Bin Auf رضي الله عنه
9. Abu Ubaidah Bin Al-Jarrah رضي الله عنه
10. Sa’id Bin Zaid رضي الله عنه
Saat-saat Bertemu KEKASIH
Berkenaan pengisian tentang solat, sila baca dan hayati entri “Saat-saat Bertemu KEKASIH” di http://muhtarsuhaili.wordpress.com/2007/05/03/saat-saat-bertemu-kekasih/. Marilah kita bersama-sama terus menunai, memelihara dan menghidupkan solat kita dengan khusyu’ sebelum tiba masanya kita disolatkan! Semoga dengan solat, kita kian jatuh cinta kepada Allah!


“Muslims Pray 5 Times A Day.. Sempurnakah Solat Kita? [Sumber Foto]”
Menghayati Perasaan-perasaan Islam
Alhamdulillah, saya telah memulakan ceramah “Menghayati Perasaan-perasaan Islam” dengan mengajukan soalan muhasabah diri “Pernahkah kita merasai Kemanisan Iman dan Kebahagiaan Taqwa?” dan diikuti dengan persoalan “Banggakah kita menjadi Muslim?”.
Mengapa persoalan-persoalan ini perlu diberi penekanan dan pastinya memerlukan jawapan? Ini kerana realiti semasa hari ini jelas menunjukkan satu trend yang mana “too many people wear the title of a Muslim, but they don’t practise Islam!“. Alhamdulillah, ramai yang telah menjadi Muslim pada nama dan kad pengenalannya, tetapi tidak pada perasaan, percakapan dan tindakannya. Mudah-mudahan dengan teori retorika yang disepadukan dengan kemahuan membara untuk ber’amal akan dapat membakulsampahkan pengangguran dalam penghayatan beragama dan kemandulan dalam terhasilnya umat Islam yang berminda sedar akan ad-deen yakni menjadikan Islam sebagai cara hidup.
[Apapun, perlu dinyatakan betapa masih ramai dalam kalangan umat Islam yang terus kekal dengan prinsip Islamnya. Senario di atas dinyatakan sebagai satu dilemma nyata yang perlukan perhatian holistik secara bersama.]
Krisis Identiti dan Krisis Idola
Generasi muda adalah aset ummah dan ia merupakan satu institusi utama untuk menggerakkan ummah. Kekuatan tenaga, kecerdasan minda dan ketinggian semangat meletakkan generasi muda di saf hadapan sekaligus menjadikan kebangkitan pemuda sebagai agenda penting dalam senarai teratas pemerkasaan tamadun Islam.
Daripada pengamatan semasa, saya yakin tetamu ziarah yang budiman juga bersetuju betapa cabaran utama generasi muda (malah umat Islam secara umum) ialah krisis identiti dan krisis idola! (Mungkin idola bukanlah perkataan terbaik dan qudwah hasanah lebih bermakna, tetapi idola adalah perkataan diterima umum yang sedia dimaklumi oleh generasi masa kini).
Menuding jari dan menyalahkan pihak-pihak lain adalah perkara termudah untuk lari dari krisis-krisis ini. Temasya pencarian ‘kambing hitam’ untuk menanggung bebanan sekaligus dipersalahkan dalam hal sebegini juga terlalu mudah diungkap dan diwar-warkan di sana-sini. Huru-hara pemikiran dan kecelaruan perlakuan yang dialami oleh kebanyakan (bukan semua) umat Islam hari ini boleh saja disandarkan kepada pengaruh Barat/ konspirasi Yahudi/ Illuminati/ Freemasons/ gerakan Kristianisasi, parti pemerintah yang sekular, pengaruh media massa dan lain sebagainya.
Meskipun tidak menafikan betapa perkara-perkara di atas mempunyai peranannya tersendiri dalam meruntuhkan benteng iman dalam diri Muslim, tetapi ianya adalah faktor luaran yang darjah pengaruhnya masihlah relatif kecil berbanding faktor dalaman iaitu jatidiri Muslim.
Bangga, Merasa Gah Dan Bersyukur Menjadi Muslim
Apakah makna jatidiri? Jatidiri ialah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu atau masyarakat. Dalam pengertian sahihnya, jatidiri ialah identiti individu, masyarakat dan negara bangsa yang punya sifat-sifat keutuhan yang dibanggakan. Maknanya jatidiri Muslim ialah identiti pada Muslim yang menggambarkan keutuhan beragamanya dan kebanggaannya pada kepercayaan betapa “La ilaha illalLah, wa Muhammadur Rasulullah” yakni “Tiada Tuhan selain Allah, dan Muhammad itu Pesuruh Allah”.
Buya Hamka menyebut: “20 ekor kerbau pedati, yang sama gemuknya, sama kuatnya, sama pula kepandaiannya menjalankan pedati, tentu harganya akan lebih kurang sama. Akan tetapi 20 orang manusia yang sama tingginya, sama kuatnya, belum tentu sama ‘harganya’. Sebab bagi kerbau tubuhnya yang berharga. Bagi manusia peribadinya!”
Saya tertarik dengan apa yang ditulis oleh Saudara Sharudin di dalam blognya Sharudin.com. Beliau menukilkan tentang ‘bangga’nya Sami Buddha dengan kepercayaannya seperti berikut:
Saya memetik sami Buddha ini beberapa kali di dalam tulisan saya. Kerana saya cukup terkesan dengan apa yang saya lihat di Manchester, sewaktu belajar dulu. Punya tenangnya mereka, berjalan di bandar besar tersebut. Masih ada yang berkaki ayam. Apa peduli orang lain kata. Aku dengan tuhan aku. Aku cinta tuhan aku. Engkau ada apa? Begitu tebalnya percaya di dalam jiwa mereka, letaklah api di jalan, dia tak berhenti berjalan, kecuali ada semut api, kerana bukan takutkan apinya tapi takutkan semutnya. Ajaran Buddha melarang sama sekali membunuh binatang, apatah lagi membunuh orang … macam 911 tu!
Sudah pasti seorang Muslim tidak setuju dengan apa yang diperjuangkan oleh si Buddha tadi. Jumud. Ketinggalan. Macam manalah agama mereka ni? Maka timbul angkuh di hati mereka. Terutama apabila membaca di dalam Al-Quran yang Allah bersama dengan orang-orang Islam (Muslim). Allah bersama dengan orang-orang yang sabar. Sobirin. Khalisin. Mukminin. Muttaqin dan pelbagai lagi. Apatah lagi ditiup semangat oleh penyampai-penyampai ajaran mereka, yang selalu memang tidak dapat dinafikan berkobarnya semangat ketika menyampaikan sesuatu.
Kita bukan tak terfikir seperti mereka terfikir. Tuhan engkau tu salah. Tuhan aku ni yang betul. Chegu aku ajar begini begini. Kau ni sesat, sekurang-kurang dalam hati. Tetapi tidakkah kita tambahkan sedikit pemikiran kita untuk bertanya kepada diri, soalan-soalan yang mengarah kepada membuktikan kepercayaan kita.
Nota: Saya menambah, tanyakanlah juga kepada diri soalan-soalan yang memungkinkan kita lebih komited kepada Islam dan keimanan. Mudah-mudahan ia menjadi wacana ke arah merasai kemanisan iman dan kebahagiaan taqwa!
Bagaimana pula dengan kita? Masih malu untuk beragama? Masih segan untuk membuktikan kecintaan kepada Allah dan RasulNya lebih dari manusia seluruhnya? Masih tersipu-sipu malu untuk menzahirkan dan berkata, “Yes, I’m a Muslim and proud of it“? Tepuk dada, tanyalah iman. Buat mereka yang terus bahagia dengan beragama dan hidup berTuhan, bersyukur dan istiqamahlah! Buat mereka yang buta syari’at agama, belajar dan carilah murabbi! Buat mereka yang masih mencari, teruskan pencarian dan doamu sehingga dirimu mengenal Allah! Buat mereka yang berdosa dan sering tergoda, bertaubatlah sehingga taubatmu bertahan, taubatlah berkali-kali!
“Adakah Kau Lupa… Kita Pernah Berjaya Dan Menguasai 2/3 Dunia!”
Buat akhirnya, sebagai kerjarumah semua, perhatikan semula senarai 10 orang Sahabat-sahabat Nabi yang disenaraikan di awal entri ini. Tanya diri, daripada 10 orang itu berapa ramaikah yang sudah kita kenal biodata, sejarah perjuangan, kehebatan pengorbanan dan kehidupan beragama mereka? Ataukah kita juga sebenarnya mengalami krisis idola? Kerana AF, ramai yang sudah amat kenal dengan 6 juaranya yang belum tentu masuk Syurga! Kerana Euro 2008, puluhan pemain bola sepak yang belum tentu ahli Syurga menjadi buah mulut dan dijadikan idola! Namun, 10 orang Sahabat-sahabat Nabi yang dijamin Syurga, tidak terdetikkah untuk kita menjadikannya qudwah hasanah? Sekali lagi… Tepuk dada, tanya iman!
Keimanan juga ketaqwaan
Rahsia mereka capai kejayaan
Keikhlasan hati dan nurani
Ketulusan jiwa mereka berjuang!
Wallahu a’la wa a’lam.



Kita pernah berkuasa dan berjaya,
Kerana alpa seketika kita hilang semua.
Kita masih boleh berkuasa dan berjaya,
Jika Tuhan jadi yang Utama.
InshaAllah.
Selalu ke sana ke mari memberi motivasi, moga ada barakahnya inshaAllah.
Wassalam.
Saudari Nurhasanah;
Alhamdulillah dan doakan semoga kita semua terus istiqamah dalam kebaikan dan kemuliaan. Amiin.
Buat mahasiswa dan aktivis dakwah kampus, sila baca entri Ustaz Hasrizal yang amat relevan: Jenayah Akademik Aktivis Dakwah.
Salam Akhi Muhtar,
Terima kasih mengambil sebahagian dari tulisan saya. Yang 711 tu sepatutnya 911. Tulisan saya di Blog banyak berkisar kepada masaalah ketuhanan daripada hal-hal biasa beragama.
Beragama selalunya berkaitan dengan kepercayaan. Apabila kepercayaan terus berdasarkan taklid, maka keseronokan pembuktian tidak datang menjelma. Pengabdian kepada Allah tidak dapat mencecah kemercuan nikmat beribadah selaras Rukun Ihsan. Kehadiran Allah tidak dapat dirasai semasa menjalankan kerja seharian.
Muslim perlu membina jatidiri sendiri seperti saudara katakan dan tidak bergantung kepada kejayaan yang dibawakan oleh orang lain. Malangnya ini tidak lagi di dalam masyarakat Islam. Mereka ketinggalan di banyak bidang dan terus ketinggalan apabila tidak mahu menerima kemajuan sains dengan pandangan terbuka. Ketahuilah bahawa ilmu sains itu adalah ilmu mengkaji Sunnah Allah atau carakerjaNya.
Salam semua,
Dari artikel … diikuti dengan persoalan “Banggakah kita menjadi Muslim?”.
Persoalan yang perlu disampaikan kepada Muslim sekarang bukan sahaja perlu berkisar kepada kebanggaan menjadi Muslim atau mengambil kalangan ahli masyarakat yang hidup di zaman Salafi sebagai idola, tetapi perlu menjangkau lebih sedikit kepada isu-isu semasa zaman Salafi dan zaman ini.
Kalau Salafi zaman Nabi boleh menyediakan tapak penakhlukan dunia ketika itu, dengan senjata tercanggihnya ialah pedang dan kuda, kita jangan terbawa semangat berpedang dan berkuda, mengikut apa yang dikatakan sebagai Sunnah Nabi SAW. Keadaan semasa itu adalah pedang dan kuda.
Menjadikan Salafi idola sebagai contoh perlu kepada melihat yang tersirat bukan yang tersurat. Yang tersurat ialah pedang dan kuda, yang tersirat ialah kemenangan Muslim mengatasi kekuatan Kafir. Sekarang ini kalau Muslim mahu mengidolakan Salafi, jangan di atas dasar mengenepikan ilmu sains dan teknologi.
Saya sebut ini kerana, memang itu yang berlaku. Apabila membaca Al-Quran (AQ) Muslim hanya membaca yang tersurat dan meninggalkan yang tersirat, maka di dalam kehidupan seharian pun terbawa-bawa sikap tersebut. Sentiasa tidak mahu memahamai apa yang tersirat di dalam surat. Sentiasa mahu mengambil Salafi sebagai idola tetapi kurang memikirkan apa yang tersirat di sebalik kemajuan golongan Salafi terdahulu.
Hati kamek khusyuk mendengar akhi Muhtar bersama yang lain dalam menyampaikan forum walaupun semuanya bukan bertitle “ustaz”. Syabas.
“Ballighu ‘anni walau aayah”
Mereka yang menjadikan sains sebagai panduan sudah pasti akan sesat. Seorang Ulama’ telah berkata bahawa sains adalah satu agama yang tersendiri. Katanya sains selalu bertanya soalan “how?” yakni bagaimana. Sedangkan Islam selalu bertanya soalan “why?” yakni kenapa/mengapa. Sains buat begitu kerana tidak yakin pada ALLAH SWT. Bagaimana sesuatu itu terjadi. Sebagai contoh bagaimana terjadinya hujan. Sains mengatakan begitu dan begini. Tidak pernah sekalipun merujuk pada ALLAH. Tetapi Islam tidak begitu. Islam tidak perlu bertanya bagaimana kerana sudah tahu dan pasti semuanya datang dari ALLAH SWT. Mengapa hujan dijadikan. Ia dijadikan untuk berkhidmat pada makhluk ALLAH yang lain. Mengapa manusia dicipta. Manusia dicipta untuk ALLAH. Semua dirujuk pada ALLAH. Islam lah kamu nescaya kamu akan selamat.
[...] Komen saya di Blog Sdr Mukhtar berhubung Salaffossoleh. [...]
[...] Komen saya di Blog Sdr Mukhtar berhubung Salaffossoleh. [...]