“..Dan Gembirakanlah Orang-orang Yang Beriman!”
As-Sarawaki, 21 Mei 2008: Alhamdulillah atas segala perkara! Sehari dua ini iklim politik di Malaysia sedikit panas dengan isu Tun Dr. Mahathir keluar dari UMNO dan pastinya juga dengan isu Klip Video VK Lingam yang hangat diperkatakan. Saya mengikuti perkembangan semasa politik tanahair dengan penuh minat malah saya juga sebenarnya berintuisi dengan hal ehwal politik khususnya sains dan seni silatnya. Buat masa ini saya masih belum begitu enthusiastik untuk terjun sepenuhnya dalam politik kepartian meskipun menerima tawaran-tawaran tertentu. Saya lebih teruja untuk berpartisipasi secara belakang tabir buat masa ini. Apapun, Akan Datang Hari dan Masanya…
Melihat perkembangan sehari dua ini, setelah membaca kenyataan rasmi Chedet tentang keluarnya beliau dari Umno serta melihat komentar, sokongan mahupun kritikan terhadap beliau, satu perkara yang ligat bermain di kepala saya ialah: Jangan Sesekali Keluar Daripada ‘Parti’ Amanu! Terma parti saya gunakan di sini sebagai satu kinayah. Saya sebenarnya merujuk kepada satu perkumpulan manusia yang mempunyai visi dan misi yang sama, Allah sebagai motivasi terunggulnya, Rasulullah sebagai qudwah hasanahnya, Al-Qur’an menjadi Akta Kehidupannya dan As-Sunnah menjadi perundangan sehariannya. Keluar Umno tiada salahnya di sisi Allah, tetapi jangan sesekali keluar dan membuang pangkat amanu dalam diri kita!
Allah SWT di dalam Al-Qur’an mengiktiraf orang-orang yang berjaya dan berbahagia dunia dan Akhirat ialah golongan yang amanu. Banyak sekali Allah memberi berita gembira dengan memulakan firmannya dengan “Ya ayyuhal lazina amanu” – “Wahai orang-orang yang beriman!”.
Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Saff ayat 10–12::
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan RasulNya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman (Syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ‘Adn. Itulah kemenangan yang besar.
Seperkara lagi yang menarik ialah tentang Klip Video VK Lingam! Sila lihat video-videonya di sini »». Hari ini semua orang sudah tahu apa yang dibual-bicarakan oleh peguam terkemuka, Dato’ VK Lingam dengan seseorang yang disahkan oleh Suruhanjaya DiRaja sebagai hakim kanan, Dato’ (kini Tun) Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim bagi mengatur perlantikan hakim-hakim di Malaysia sekitar tahun 2001-2002. Tun Ahmad Fairuz kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara daripada tahun 2003 sehingga 2007.
Insiden ini wajar mengingatkan kita akan adanya Buku Catatan ‘Amalan yang ditulis oleh Malaikat Raqib dan Malaikat ‘Atid. Tugas utama mereka yang dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT ialah mencatat kelakuan baik serta kelakuan jahat kita, seluruh manusia. Mereka sentiasa mengintai gerak-geri kita dan tidak pernah bermaksiat kepada Allah! Malaikat-malaikat ini menulis dengan sangat jujur! Kemampuan risikan mereka jauh mengatasi kehebatan CIA, FBI, NSA, KGB dan SB. Mereka tidak perlu kamera pengawas atau CCTV untuk pemantauan tetapi ‘klip video’ yang dihasilkan pasti ditayang di layar Mahsyar. Bahkan Buku Catatan ‘Amalan kita yang ditulisnya serba lengkap mengalahkan superkomputer yang amat canggih sekalipun!
Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Infitar ayat 10–12::
Padahal sesungguhnya bagi kamu ada (malaikat-malaikat) yang mengawasi (pekerjaanmu), yang mulia (di sisi Allah) dan yang mencatat (pekerjaan-pekerjaanmu itu), mereka mengetahui apa yang kamu kerjakan.
“Ya Allah, aku memohon perlindungan daripadaMu daripada habisnya usia sebelum habisnya siap sedia. Amiin!”
Selain itu, apabila memerhatikan Buku Rekod Kemajuan Pelajar saya, saya dapati banyak perkara yang menggembirakan dan memutikkan perasaan suka. Melihat kepada catatan-catatan dan markah-markah yang baik membuat saya seronok dan bahagia. Namun, terdapat juga komentar daripada guru-guru saya tentang pencapaian akademik, sahsiah, kegiatan ko-kurikulum dan lainnya yang perlu untuk diperbaiki dan mengundang rasa sesal. Catatan dan markah-markah yang kurang memberansangkan ini turut membuatkan saya berkata andailah masa boleh diundur, pasti saya akan memperbaiki hal-hal yang berkenaan. Tapi masa tidak mungkin boleh dikembalikan walau sesaat!
Demikian jugalah dengan Buku Catatan ‘Amalan kita, semuanya akan mencatatkan ehwal kehidupan kita dengan amat terperinci tanpa tertinggal sedikitpun! Semoga kita menjadi manusia yang bahagia di Akhirat nanti dengan amalan kita dan dengan rahmat Allah akan diganjariNya dengan Syurga. Sama-samalah kita insaf dan berdoa mudah-mudahan kita bukan sebahagian manusia yang menyesal lagi rugi sebagaimana dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmanNya Yang Maha Benar berikut:
Katakanlah: “Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikanmu, kemudian hanya kepada Tuhanmulah kamu akan dikembalikan.” Dan, jika sekiranya kamu melihat mereka ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, (mereka berkata): “Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami (ke dunia), kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin.” (Surah As-Sajdah, ayat 11-12)
Maka, marilah merenung dan menilai diri agar segala pekerjaan, aktiviti, tindakan, percakapan dan perasaan selari dengan kehendakNya sekaligus beroleh redhaNya. Jangan sesekali kita lupa mengingati Allah! Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kita dengan sebenar-benar taqwa dan janganlah kita semua mati melainkan sebagai Muslimin! Marilah mati sebagai orang beriman! Ya Allah, kurniakanlah kami husnul khatimah. Amiin.
“Do’a Cinta.. Buatlah Cinta Itu Pedoman Pada RedhaMU!”
Berita menarik dan baik hari ini:
Agong mahu Mufti turut serta pada setiap persidangan Majlis Raja-raja.
Wallahu a’la wa a’lam.



Salam
Saudaraku akhi Sheikh Mukhtar,
Ana ingin mengulas mengenai tulisan anta di artikel yang berjudul jangan sesekali keluar dari parti umno.
Ulasan ana begini,
Apa siasah yang anta sokong? Harap tawaran yang anta terima adalah dari parti siasah yang mengamalkan dan menperjuangkan Al-Quran dan As-Sunnah.
Jikalau anta memilih untuk besama dengan golongan yang lalai… Amatlah sedih apa yang anta tulis selama ini.
Ana berkata demikian adalah dari apa yang ana perhatikan di dalam blog anta dari musim PRU-12..
Satu lagi, adalah kehidupan ini adalah perjuangan iaitu perjuangan menegak dan menyebarkan risalah agamanya Al-Din Islam, jangan anta kata tidak terjun sepenuhnya.. Itulah tanggungjawab kita sebagai khalifah yang dicipta olehNya di dunia ini. Jangan anta sia-siakan bakat dan kelebihan yang Allah SWT kurniakan kepada anta, gunakan untuk agamanya dan tegakkan Daulah Islamiyyah dan bersama-sama dengan para ulama’.. Anta lihat apa di keliling anta yang ada di Sarawak…
Maaf kalau ulasan ana ini ketelaluan… Hanya sekadar ingin mengingatkan diri ana dan juga anta… Sahabat yang baik adalah sahabat yang sentiasa mengingati sahabat yang lain supaya ingat kepada Allah…
Wassalam… Takbir..
Sheikh Hud Abu Siraj
Sri Alam Johor
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Sheikh Hud Abu Siraj;
Alhamdulillah dan terima kasih di atas ulasan saudara.
Sudahkah saudara membaca sepenuhnya entri ini? Tajuk entri yang digunakan ialah “jangan sesekali keluar dari ‘parti’ amanu” dan bukannya “jangan sesekali keluar dari parti umno”.
Sekiranya saudara membaca keseluruhan artikel ini, saudara pasti akan bertemu ayat ini: “Keluar Umno tiada salahnya di sisi Allah, tetapi jangan sesekali keluar dan membuang pangkat amanu dalam diri kita!”
Apapun, terima kasih di atas keprihatinan saudara. Jemput datang ke Miri dan kita boleh berbincang dengan lebih lanjut tentang manhaj, bi’ah dan waqi’ semasa di Sarawak.
Semoga kita terus istiqamah dalam berintima’ dengan Islam demi redha Allah. Siiru ‘ala barakatillah!
Wallahu a’lam bissawab.
salam
akhi buka hati selapangnya apa yang orang tegur. yang baik jadi tauladan yang buruk jadi sempadan. ibarat padi makin berisi makin tunduk. ibarat tanah makin lama semakin berguna
Saudara Ayman;
Alhamdulillah dan terima kasih atas komentar saudara, amat saya hargai. Saya insya Allah sentiasa bersedia menerima teguran dan nasihat, dan rasanya secara saksama saya juga punya hak dan kewajaran untuk memberi penerangan dan penjelasan.
Al-Khaththabi Rahimahullah berkata: “Nasihat ialah kata yang menjelaskan sejumlah hal, iaitu menginginkan kebaikan pada orang yang diberi nasihat.”
Al-Fudhail bin ‘Iyad berkata: “Orang Mu’min menutupi aib dan menasihati, sedang orang jahat membongkar aib dan saling memburuk-burukkan.”
Salah satu perkara yang termasuk adab nasihat pula ialah hendaklah dalam memberi nasihat melalui cara yang santun, dengan hikmah, peringatan-peringatan yang baik, tidak terburu-buru dalam menghukumi sesuatu, tanpa emosi dan amarah serta diselidiki terlebih dahulu dengan benar.
Wallahu a’lam.
Saudaraku,
Sheikh Muhtar,
Jazakumullah khairan.. kerana membalas ulasan ana. Ya, ana faham apa yang dimaksudkan oleh anta dalam artikel tu…
Ana amat bebangga sebenarnya kerana ada seorang seperti anta di Sarawak yang boleh mentabiyahkan orang2 di sana. Seperti yang ana kata sebelumnya… anta dianugerahkan kelebihan oleh Allah dan gunakan sebaik-baiknya di jalan Allah… Cuba reformasikan penduduk Sarawak yang telah jauh akidah mereka. Ana tahu sheikh apa yang belaku di sana. Untuk pengetahuan anta, ana adalah al-sarawaki juga, telah lama berkelana di Malaya… oopp?
Usaha ya sheikh… saudara kita di sana… InsyAllah…
Wassalam,
Sheikh Hud Abu Siraj
hudandri@yahoo.com