“Buku Rekod Kemajuan Pelajar – Kenangan Zaman Persekolahan”
As-Sarawaki, 16 Mei 2008: Alhamdulillah! Hari ini 16 Mei adalah Hari Guru. Istimewanya tahun ini kerana insan bergelar guru pertama yang saya ucapkan ‘Selamat Hari Guru’ ialah isteri saya sendiri yang merupakan Guru Kaunselor di SMK Dato’ Permaisuri dan seterusnya diikuti oleh jiran saya Puan Lily Haji Morni yang merupakan Pengetua SM Sains Miri. ”Guru Cemerlang, Negara Terbilang!”
Semalam saya dan isteri tercuit hati apabila kami bersama-sama melihat Buku Rekod Kemajuan Pelajar saya semenjak dari Sekolah Rendah (SRK Kelapa Sawit No. 5, Subis) sehingga ke Sekolah Menengah (Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri). Antara yang membuat kami tersenyum ialah berat badan saya semasa masuk ke Tahun 1 pada 4 Januari 1988 ialah hanya 17kg dan merosot ke 16kg ketika Tahun 2. Berat saya sebelum melangkah ke Sekolah Menengah pula hanya 26kg! Ketinggian saya ketika Tahun 1 hanya 117cm, manakala ketika Tingkatan 1 pula hanya 137cm yang mana ia amat rendah berbanding ketinggian saya kini iaitu 181cm! Malah gambar berukuran passport ketika berumur 13 tahun di dalam Buku Rekod Sekolah Menengah saya juga membuat isteri saya bergurau kerana katanya muka saya terlalu ‘innocent’!
Seperkara lagi yang membuat saya bersyukur dan terharu ialah saya mendapat tempat ke 33 daripada 34 murid ketika Tahun 1 dan alhamdulillah pada Semester Kedua Tahun 6 sebelum menduduki UPSR saya mendapat tempat pertama (satu-satunya selama 6 tahun di Sekolah Rendah!). Alhamdulillah, satu lagi kenangan indah pada tahun 1993 ialah sekolah kami mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya 3 orang murid sekolah pedalaman di Subis ini memperolehi semua A iaitu 4A dalam UPSR. Nikmat dan kejayaan dunia anugerah Allah yang wajib disyukuri!
Sempena Hari Guru ini saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengetua-pengetua, guru-guru besar dan guru-guru yang pernah menabur bakti kepada saya dan tidak lupa juga rakan-rakan guru di dalam Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan, UPIM Miri khususnya Pengerusi yang dikasihi, Ustaz Ahmad Fauzi Yaakob yang juga sebenarnya guru yang banyak berjasa semasa saya menuntut di Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri.
Senarai Guru Besar dan Pengetua saya:
SRK Kelapa Sawit No. 5, Subis:
1988 - Cikgu Norlida (saya tidak ingat nama penuh beliau, tetapi rotan bergelung getahnya yang dibawa ke mana-mana sentiasa dalam ingatan saya.)
1989-1993 - Cikgu Henry Anoi Sang
Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri:
1993-1994 - Cikgu Joseph Simon
1994-1998 - Cikgu Lily Haji Morni
Senarai guru kelas dan guru tingkatan saya:
SRK Kelapa Sawit No. 5, Subis:
Tahun 1 – Cikgu Masrich Hj Keria
Tahun 2 – Cikgu Rosline Sering
Tahun 3 – Cikgu Rosline Sering
Tahun 4 – Cikgu Sinjang Hj Jumat
Tahun 5 – Cikgu Sinjang Hj Jumat
Tahun 6 – Cikgu Hassan Sami
Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang Miri:
Tingkatan 1 – Cikgu Esuwan Mas’ud
Tingkatan 2 – Cikgu Azalina Azmi
Tingkatan 3 – Cikgu Azalina Azmi
Tingkatan 4 – Cikgu Lily Anita
Tingkatan 5 – Cikgu Loretta Entili (memeluk Islam pada tahun 1998.)
Memetik kata-kata sahabat saya, Ustaz Afandi Yusof: “Guru bukan yang kerjanya mengajar di sekolah atau maktab sahaja… Mereka yang mengajar di surau/ masjid dan di tempat-tempat lain pun guru juga…”. Maka jazakumullahu khairan kathiran buat semua guru formal dan informal saya. Jasa kalian akan saya kenang sampai bila-bila… Semoga kalian beroleh SyurgaNya!
Sebagai perkongsian dengan tetamu ziarah yang budiman sekalian, berikut saya kongsikan entri bertajuk “Terima Kasih Guru Kerana Mengajarku Ilmu Hayat” yang saya tulis bersempena dengan Hari Guru 2007 yang lepas. Semoga ada manfaatnya, mudah-mudahan.
——————————————————————————————————————————
As-Sarawaki, 14 Mei 2007: (Khusus buatmu guru-guruku yang amat kukasihi). Sempena 16 Mei ini, anak didikmu ingin mengucapkan: “Selamat Hari Guru teristimewa buatmu!”.. Terima kasih cikgu!! Insya Allah, ketulusan jasa dan keluhuran budimu akan tetap kukenang selama-lamanya.. Kudoakan semoga dirimu bahagia dan beroleh redha Allah di dunia ini serta beroleh SyurgaNya di Akhirat sana!! Amiin.
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang Ulama’ yang mulia
Jika hari ini seorang Peguam menang bicara
Jika hari ini seorang Profesor petah bersyarah
Jika hari ini seorang Penulis terkemuka
Jika hari ini seorang Doktor pakar segala
Jika hari ini seorang Akauntan hebat kira-kira
Jika hari ini seorang Eksekutif syarikat ternama
Jika hari ini seorang Jurutera yang berjaya
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca!
(Adaptasi dengan penambahan dari Puisi Guru O Guru oleh Usman Awang).
“Pendidik Berwibawa merupakan asas utama Kejayaan Pendidikan”
“Guru.. Bimbinglah Kami ke arah Kejayaan yang Cemerlang..”
Berikut dikongsikan dengan tetamu ziarah sekalian satu kisah untuk renungan bersama, semoga ada khair dan manfaatnya. Mudah-mudahan.
Ingin dikisahkan mengenai seorang guru yang telah lama bersara dan hidup mewah di Kuala Lumpur. Selepas keluar maktab pada tahun 60-an, Cikgu Notrah dihantar mengajar ke sebuah kampung di pedalaman negeri Sarawak Bumi Kenyalang.
Perasaan Cikgu Notrah sangat tertekan kerana dia dilahirkan serta dibesarkan di Kuala Lumpur. Dia tidak pernah terfikir akan dihantar ke kawasan pedalaman yang sangat dhaif di mana murid-muridnya berkaki ayam, comot dan penuh lumpur.
Kini, setelah berpuluh-puluh tahun meninggalkan sekolah buruk itu, satu hari Cikgu Notrah menerima surat yang menjemput dia hadir ke majlis perasmian sekolah baru di kampung itu. Cikgu Notrah bersetuju untuk hadirkan dirinya. Dia diletakkan di sofa paling depan bersama tetamu kenamaan lain. Perasminya ialah seorang Pegawai Daerah yang baru ditugaskan ke daerah itu.
Khabarnya Pegawai Daerah tersebut adalah anak kampung itu yang pernah bersekolah di sekolah berkenaan. Ketika dijemput membuat ucapan perasmian, beliau menceritakan pengalaman zaman kanak-kanaknya di kampung itu. Katanya, dulu dia berkaki ayam ke sekolah, berbaju kotor dan comot kerana jalan kampung yang becak semasa hujan.
“Tetapi, cikgu-cikgu saya telah membimbing saya dengan baik. Kalau tidak kerana mereka, tentunya saya tidak ke mana-mana,” dia berhenti seketika menyurai sebak. Suasana menjadi sepi seketika. “Salah seorang yang paling berjasa kepada saya ada bersama-sama kita…,” kata Pegawai Daerah itu meninggalkan restrom dan menuju ke arah Cikgu Notrah.
Dia menyalam sambil mencium tangan Cikgu Notrah dengan air mata yang berjuraian. Cikgu Notrah tergamam. Dia tidak kenal pun dengan Pegawai Daerah ini. “Tuan Pegawai Daerah ni siapa?” tanya Cikgu Notrah sungguh-sungguh. Entah kenapa dia tiba-tiba rasa sayu. Sudah lama tidak ada yang membahasakan dirinya cikgu.
Pegawai Daerah itu tidak menjawab. Sebaliknya, dia menghulurkan sebuah bungkusan dan meninggalkan Cikgu Notrah dengan penuh tanda tanya. Ligat dia memikirkan, irasnya tidak ada pada anak muridnya yang berbau selut suatu waktu dulu.
Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Cikgu Notrah rakus membuka bungkusan tadi. Di dalamnya berisi sebiji pasu bunga kecil. Disisipkan sekeping nota, “Maafkan saya cikgu, saya mengambil masa yang lama menggantikan pasu bunga cikgu.” Sepantas kilat lingkaran ingatan Cikgu Notrah kembali pada hari pertama dia di sekolah itu pada tahun 60-an dulu. Seorang murid berbau hamis, kotor dan berkaki ayam terlanggar pasu bunga di atas mejanya. Pasu itu jatuh dan berkecai.
Kebencian dan kemarahan bersatu. Cikgu Notrah menyambar penyapu bulu ayam dan membelasah murid itu semahu-mahunya. Setiap kali rotan singgah di punggungnya, dia tersentak. Mula -mula murid itu menangis tetapi lama kelamaan tangisannya hilang. Dia seperti reda dengan apa yang dilakukan ke atasnya.
Cikgu Notrah tidak ingat berapa kali dia melibas rotan itu. Yang dia sedar, tenaganya semakin hilang.. Paha budak itu pula berjajar merah. “Cikgu…., ampunnnn…,” kata-kata yang perlahan itu bagai tidak bermaya masih terlekat di ingatannya. Cikgu Notrah tersedar dia gagal menguruskan kemarahan dan kebenciannya.
Perlahan-lahan airmata Cikgu Notrah jatuh di atas pasu yang dipegangnya. Pandangan menjadi kabur dek air mata yag berjuraian. Dia menangis semahu-mahunya. Dia mengambil masa berpuluh tahun untuk menangis di atas perlakuannya.
“If Someone Hurts You, Betrays You, or Breaks Your Heart.. Forgive Them..”
Atas segalanya.. Buat semua guru-guruku di mana jua kalian berada.. Selamat Hari Guru! Sesungguhnya kalian adalah insan-insan mulia! Terima kasih sekali lagi kerana mengajarkanku ilmu hayat! Terima kasih kerana mengenalkanku akan indahnya kehidupan! Terima kasih guru atas segala-galanya!!
Ikhlas dari Anak Didikmu;
Muhtar Hj. Suhaili As-Sarawaki
1988-1992: SRK Kelapa Sawit No. 5, Subis
1993-1998: Kolej Tun Datu Tuanku Hj. Bujang, Miri
1999-2000: Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
2001-2005: Kulliyyah Kejuruteraan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
2007-Kini: Shell Open University & Curtin University of Technology
2005-2006: PVD Department, Perodua Auto Corporation Sdn. Bhd.
2006-Kini: Engineering Smart Fields Department, Sarawak Shell Berhad.
1981~2008: Sekolah Kehidupan, Dunia menuju Akhirat.
Wallahu a’la wa a’lam.





Selamat Hari Guru buat semua yang bergelar guru. Memetik kata-kata Saidina Ali: “Barangsiapa yang mengajarkan aku walaupun satu ayat maka dialah guruku…”
Gayu guru gerai nyamai.
Wahh… Mesti penin kepala Cikgu Masrich Hj Keria (Cikgu di Tahun 1) dulu dgn seorang budak lelaki yg bernama Muhtar ni kan? hehe.
Sekarang nih… dah jadi jurutera yang berjaya pun.
Tahniah Bro Muhtar!!
Semoga menjadi guru yg terbaik utk anak-anak kalian pula ye
Ustaz Muzaha;
Alhamdulillah dan Selamat Hari Guru buat ustaz. Semoga terus bersemangat mendidik anak bangsa.
Sekadar makluman buat semua tetamu ziarah, “gayu guru gerai nyamai” sebenarnya bukan ucapan sempena Hari Guru tetapi ucapan sempena Hari Gawai (1 Jun setiap tahun) dalam bahasa Iban yang bermaksud “kesejahteraan, kesihatan dan nasib yang baik”.
Ukhti Izyan;
Kenangan indah zaman persekolahan.
Alhamdulillah dan terima kasih di atas do’a. Semoga saudari juga terus cemerlang dunia dan Akhirat.
Wallahu a’lam.
Alhamdulillah, sama-sama doakan untuk guru-guru kita.
Pernah pensyarah kami bersolat jema’ah bersama, beliau menjadi makmum. Menitis airmatanya kerana dalam do’a yang diaminkan, anak didik turut mendoakan kesejahteraan guru-guru. Dipeluk diciumnya terharu.
Saya percaya ramai di luar sana yang mendoakan guru-guru mereka. Lupa nama pun, wajah dan kenangan masih kuat diingatan.
Pendidik di peringkat Kolej/ Universiti juga rasanya wajar untuk dimasukkan dalam kategori untuk diraikan sempena hari Guru. Ape pendapat akhi?
Wallahu a’lam…
salam. mungkin sekadar berkongsi sebuah karya dari hati..utk tatapan bersama. kiranya ada nilai terimalah ia sebagai satu suara jiwa. kalau tidak biarkan saja ia menjadi rakaman memori indah masa lalu…
mengenang masa lalu..
http://muhammadaimansalmi.blogspot.com/2008/05/mengimbau-masa-lalu-sempena-sambutan_16.html
assalammualaikum. kmk bekas pelajar kat sk kelapa sawit no 5. kinek tok kmk belajar di kolej tun datu tuanku haji bujang, miri dalam tingkatan 2 gigih. thn dpn kmk pmr. nervous lh kmk walaupun belum masuk form 3.
Assalamualaikum wbt… Dear Muhtar…
I don’t know how exactly I can read your blog. something catchy in your entry especially this entry.
Sememangnya peranan guru adalah amat besar kepada kita semua. kita tidak dapat menafikan semua itu. kerana merekalah kita, saya dan juga kamu berjaya melanjutkan pelajaran sehinggalah kita berjaya mempunyai kerjaya tersendiri.
Sama ada sedar atau tidak, UNIMAS tidak menawarkan sebarang kursus yang boleh melahirkan guru berijazah setelah sekian lama ditubuhkan. UMS yang lebih muda daripada UNIMAS telah lama mempunyai program sedemikian. maka, ramailah anak jati tempatan Sabah yang boleh menyambung pelajaran di sana.
Apa yang telah terjadi kepada UNIMAS? kampus yang semakin cantik dari hari ke hari. kita sering mendengar bahawa Sarawak menghadapi masalah kekurangan guru. kita terpaksa mengimport guru-guru yang berasal dari Semenanjung untuk berkhidmat ke negeri ini. saya pasti saudara pun mengetahui, berapa lama sangatla mereka dapat menyumbang bakti kepada anak-anak Sarawak.
Kalau persoalan berkaitan dasar, tenaga pakar dan pelbagai lagi hal yang lain menjadi persoalan utama kepada kewujudan permasalahan untuk mewujudkan Fakulti Pendidikan di UNIMAS, kenapakah UMS boleh mewujudkannya terlebih dahulu?
Sekurang2nya, sekiranya diwujudkan Fakulti Pendidikan di UNIMAS, maka Insyaallah, saya amat yakin, ramailah dalam kalangan anak2 Sarawak yang akan berijazah yang boleh mengajar di sekolah2 di Sarawak. memangla di IPG ada menawarkan beberapa kursus di peringkat ijazah. namun, ramai manalah yang boleh mendapat tempat.
Saya terbaca satu artikel di Borneo Post Online hari ini. YB Datuk Daud Abdul Rahman. mungkin saudara juga boleh membacanya nanti. idea tu sangat menarik. saya cuba untuk mencari blog beliau, namun tidak berjaya. maybe kita boleh usahakan untuk mencarinya nanti. cubalah baca laporan tersebut, dan may be saudara juga boleh memberikan pandangan saudara.
Semoga ini menjadi permulaan untuk kita berhubung. banyak lagi idea sebenarnya yang boleh kita kongsikan bersama.