“Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila Lagi?”
As-Sarawaki, 4 Mei 2008: Alhamdulillah! Segala puji, puja dan syukur padaMu Ilahi Rabbi di atas nikmat Iman dan Islam yang Kau tanjapkan kukuh dalam diri kami. Ya Allah, berilah kami taufiq dan hidayahMu agar hidup dan mati kami semata-mata kerana ikrar janji setia yakni penyaksian bahawa ‘La ilaha illalLah, Muhammadur RasulululLah’. Amiin Ya Rabb!
Alhamdulillah, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan Miri baru sahaja selesai melaksanakan Kem Motivasi Insan Cemerlang (KMIC) UPSR yang merupakan program motivasi, kepimpinan dan pendidikan bersiri ke-3 selepas KMIC SPM pada Februari 2008 dan KMIC PMR pada Mac 2008 yang lalu. Program ini telahpun masuk tahun ke-3 penganjurannya dan merupakan program ‘amal demi kelangsungan kecemerlangan anak-anak generasi pelapis Muslim. Alhamdulillah, semoga usaha murni ini beroleh rahmat dan bantuan Allah ke arah melahirkan manusia berfungsi dalam masyarakat sekaligus menjadi Muslim yang berjaya di dunia dan lebih-lebih lagi di Akhirat.
Di dalam melaksanakan program-program sebegini, salah satu hal utama yang wajar diutamakan ialah bagaimana untuk membentuk diri dan peserta untuk bersungguh-sungguh dalam berakidah. Kesungguhan dalam berakidah yang membawa kepada nikmat beragama! Nikmat beragama yakni dengan mempercayai dan meyakini betapa perlunya manusia kepada Tuhan! Bersetuju dengan pepatah ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’, maka pendekatan sebegini diharapkan mampu menatijahkan para peserta agar lebih mencintai Allah dan memandaikan diri dengan hal ehwal agama.
Agenda menyeru kepada penghayatan nikmat beragama wajar dijelmakan dan terus diperkasakan agar ia sebati dalam jiwa setiap insan. Usaha sebegini adalah salah satu ikhtiar manifestasi tanda bersetuju betapa perlunya program yang memberi penekanan kepada persoalan berakidah ini terus dititikberatkan.
Ustaz Hasrizal Abdul Jamil telah memperincikan akan hal ini di dalam entri beliau ‘Perlukah Manusia Kepada Tuhan?‘:
Jika persoalan “perlukah manusia kepada Tuhan” tidak diselesaikan, kita mahu membebel marahkan orang yang enggan bersolat, kita mahu menyuruhnya bersolat untuk menyembah apa? Menyembah siapa?
Seandainya hal ini tidak selesai, segala nasihat tentang tudung, aurat, berpakaian sopan dan sebagainya… adalah seumpama bunyi motor rempit melintas jalan di depan rumah. Mengganggu ketenteraman awam, dan menyakitkan telinga.
Cabaran terbesar bagi saya sebagai seorang pendakwah, adalah untuk mengajak manusia berfikir, “perlukah mereka kepada Tuhan?” Itulah sebesar-besar persoalan yang mesti diselesaikan, sebelum segala wacana agama mahu diketengahkan.
“Alangkah Hebat dan Tingginya Darjat Orang-orang Yang Beriman!”
Melalui entri kali ini, saya suka untuk berkongsi dengan tetamu ziarah yang beriman dan budiman sekalian salah satu pengisian yang selalu saya sampaikan sekiranya diminta memberi tazkirah untuk program-program yang dianjurkan sama ada oleh Yayasan ‘Amal Malaysia (Miri), Task Force Pengurusan Kecemerlangan Miri dan beberapa badan Islam yang lain. Semoga ada manfaatnya dunia dan Akhirat, mudah-mudahan.
Kesungguhan Dalam Berakidah
Salah satu kelalaian diri kita dan kebanyakan bahkan majoriti generasi muda dalam hal iman ialah kurang bersungguh-sungguh. Sepanjang program-program yang dilaksanakan, seringkali keluhan yang diluahkan ialah kurangnya pendedahan untuk memahami agama yang menjadi penyebab tiadanya kemahuan sebenar untuk melaksanakan solat kerana ibubapa mereka juga tidak bersolat, seronok malah sesetengahnya menjadi ghairah dengan maksiat kerana suasana rumahtangga yang tidak berpersekitaran bahagia, berbangga dengan ketidaktaatan dan kian teruja dengan budaya hedonisme kerana pengaruh rakan dan media, serta pelbagai lagi alasan bersifat kejahilan, kemalasan serta ketidaksungguhan. Hal derita ini akhirnya membawa kepada keluh-kesah, keliru, celaru dan haru-biru dalam menjalani Sekolah Kehidupan.
Allah SWT berfirman:
“Peganglah teguh-teguh apa yang Kami berikan kepadamu dan ingatlah selalu apa yang ada di dalamnya, agar kamu bertaqwa” (Surah Al-Baqarah, ayat 63).
Ya, alhamdulillah meskipun suasana yang saya nyatakan di atas mungkin perkara biasa yang selalu dihidangkan bila berhadapan dengan generasi alaf baru dan seolah-olah sudah disebatikan dengan ehwal generasi muda kini, namun alhamdulillah masih ramai dalam kalangan mereka yang ada cinta, kasih dan sayang dalam hatinya terhadap Islam. Malah sekiranya ditanya kepada mereka sama ada mereka berkeinginan untuk menggapai redha Allah di dunia ini dan beroleh SyurgaNya di Akhirat kelak, melalui pengalaman saya bersama para remaja ini, hati jujur mereka sentiasa bersemangat mengatakan ya kami mahu turut merasai nikmat beragama. Justeru menjadi tanggungjawab kita semua ke arah meyakinkan dan mengajak diri kita dan mereka dengan penuh hikmah agar sentiasa berpegang teguh dengan Kitabullah (Al-Qur’an) dan Sunnah Nabi Muhammad SAW dengan bersungguh-sungguh. Bahkan inilah rahsia keselamatan dan kebahagiaan kita di dalam kehidupan dunia ini.
Bergembiralah Dengan Jual Belimu Kerana Allah
Dr. ‘Aidh Bin Abdullah Al-Qarni menyatakan bahawa maksud daripada kesungguhan dalam berakidah bahawa kamu hidup dan berinteraksi penuh dengannya dan hendaklah akidah ini bagimu lebih mahal daripada ibumu, bapamu, isterimu dan daripada anak dan saudara-saudaramu, dan kamu juga mengetahui bahawa hujahmu yang berada di atas dua bahumu merupakan buah dan hasil untuk akidah ini.
Allah SWT berfirman di dalam Surah At-Taubah, ayat 111:
Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta-benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (kitab- kitab) Taurat dan Injil serta Al Quran dan siapakah lagi yang lebih menepati janjinya (selain) daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual belinya itu dan (ketahuilah bahawa) jual beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar.
Kamu hidup dengan akidah, kamu mati kerana akidah, kamu rela kerana akidah dan kamu marah kerana akidah, lalu kamu tidak pernah menawar-nawar terhadap akidahmu ini meskipun dengan yang paling mahal sekalipun dan kamu tidak sama sekali akan menjual akidahmu dengan sesuatu apapun!
Lembaran Kisah Pengorbanan Dalam Mencari Nikmat Beragama
Seringkali generasi muda kini didendangkan dengan kisah-kisah artis popular yang akhirnya menjadi idola, ratu-ratu cantik yang membuakkan nafsu, ikon-ikon sukan yang membawa kepada krisis identiti dan rencam personaliti non-akademia yang menjadi diva masa kini. Sebagai alternatif, mengapa tidak usaha digerakkan untuk mereka ini mengenali susuk tubuh mujahid/ mujahidah Islam yang pastinya akan memberi suntikan semangat dan kekuatan buat mereka dan kita semua selaku pejuang agama Allah? Sekiranya kisah-kisah hebat mereka ini disajikan dan menjadi ikutan teladan (qudwah hasanah) kepada setiap umat Islam, maka pasti sudah tiada masa buat kita semua menyanjung artis, ratu, ikon-ikon sukan dan personaliti yang mereka sendiri sebenarnya masih keliru, celaru dan haru-biru!
Seterusnya, marilah kita mengenang cerita dan derita insan-insan yang telah bergembira dengan jual beli mereka kepada Allah. Sehingga mereka redha kepada Allah dan Allah juga redha kepada mereka. Semoga titipan beberapa lembaran kisah mereka yang menderita kerana agama dan berkorban dalam mencari nikmat beragama ini menyemarakkan obor kehidupan Islami kita. Semoga ada manfaatnya dunia dan Akhirat.
1. Kisah-kisah Rasul Ulul Azmi (Ulul Azmi maksudnya yang hatinya sangat teguh dan segala cita-citanya dikejar dengan segenap tenaga yang dimiliki sehingga tercapai) iaitu Nabi Muhammad SAW, Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s. dan Nabi Isa a.s. Kisah-kisah mereka amat hebat sehingga Allah SWT berfirman, “Maka bersikap sabarlah kamu sebagaimana sabarnya Rasul-rasul yang termasuk Ulul Azmi” (Surah Al-Ahqaf, ayat 35).
2. Nabi Zakaria a.s. telah digergaji, manakala Nabi Yahya a.s. pula mati dipancung, semuanya kerana agama! Demi agama, Allah sanggup melihat kekasihNya terkorban dan dikorbankan!
3. Sumayyah r.anha mati ditombak di kemaluan kerana agama ini, sementara keluarga Yassir pula mati diseksa kerana mempertahankan akidah! Ini membuktikan kesungguhan berakidah mereka!
4. Bilal bin Rabah r.a. yang hidup diseksa, dijemur di padang pasir sedang di dadanya dipasak dengan batu sebesar raksasa, saban malam di cemeti bergilir-gilir pula. Semuanya ini semata-mata kerana cintanya pada Yang Esa!
5. Khabbab bin Alarat r.a. telah diseksa kerana agama. Beliau telah diseret di atas bara api sehingga lemak dan darahnya telah memadamkan bara api.. Semuanya kerana agama yakni berkorban dalam mencari nikmat beragama…!
6. Cuba perhatikan pula kisah Habib bin Zaid r.a., seorang pemuda yang cerdik dan cerdas yang dengan ketegarannya berangkat menemui Musailamah Al-Kazzab. Musailamah Al-Kazzab memintanya untuk kembali dari agamanya (murtad dari agama Islam), tetapi beliau menolak. Maka Musailamah memotong sebahagian dagingnya sehingga dia terjatuh ke tanah. Akan tetapi Habib tetap menolak untuk murtad sehingga dipotong lagi sebahagian dagingnya, namun beliau tetap tegar dan menolak untuk murtad. Maka kali ketiga dagingnya dipotong lagi sehingga jasadnya habis terpotong!
7. Cuba perhatikan lagi Abdullah bin Hadzafah As-Sahmi r.a. yang pergi menemui Raja Parsi, ada yang mengatakan Raja Rom, lalu beliau melihat jasad-jasad kaum Muslimin yang direbus di dalam kuali-kuali besar. Maka si raja berkata kepadanya: “Mahukah kamu kembali dari agamamu (murtad dari Islam) dan kamu akan mendapatkan setengah dari kerajaanku?!”. Dengan tegar Abdullah mengatakan: “Demi Dzat yang tidak ada Tuhan selainNya, seandainya kamu memberikan semua kerajaanmu dan kerajaan bapa dan nenek moyangmu, supaya saya kembali sedikitpun dari agamaku, saya tidak akan melakukan hal itu!”.
8. Bahkan sebahagian kaum Muslimin ada yang dibakar dengan api, namun mereka tetap tegar mempertahankan kalimat “Laa Ilaaha Illallah, Muhammadur Rasulullah” sehingga mereka menemui ajal. Malah turut dikisahkan bahawa seorang sahabat ketika hendak dicampak ke dalam api oleh seorang kafir telah menangis sambil berkata: “Aku menangis bukan kerana takut mati, aku menangis kerana aku hanya ada satu nyawa sahaja.. Seandainya aku mempunyai nyawa sebanyak bulu roma di badanku, maka satu demi satu akan kukorbankan untuk agama!”.
9. Kisah terakhir yang suka dikongsikan melalui entri kali ini ialah kisah Khubaib bin Adi r.a. Cuba kita hayati tegarnya Khubaib yang ketika beliau dibawa menuju ke tiang gantung, dengan penuh keyakinan dan iman yang kuat mendendangkan beberapa bait syair:
Saya tidak akan peduli bagaimanapun bentuk kematianku ketika menghadap Allah, asalkan kematianku sebagai seorang Muslim kerana Allah semata-mata!
Kalau Sang Pencipta mengkehendaki, Dia akan memberkati serpihan-serpihan tubuhku dan percikan-percikan darahku yang tercincang dan berserakan.
Akhirnya, Khubaib r.a. menemui kesyahidannya dalam keadaan iman yang tegar, tidak murtad dari agamanya. Ketika Khubaib r.a. berada di tiang gantung, Abu Sufyan bin Harb berkata kepadanya: “Wahai Khubaib, relakah kamu sekiranya Muhammad berada pada tempatmu ini?”. Khubaib r.a. menjawab: “Demi Allah yang jiwaku dalam kekuasaanNya, saya tidak akan rela berada di tengah-tengah harta dan keluargaku, sementara Nabi Muhammad SAW terkena duri sekalipun!!”.
Muhasabah Penutup
Sesungguhnya, di sebalik semua seksaan dan derita yang dialami oleh manusia-manusia hebat di atas, mereka merasai nikmat beragama yang amat sangat! Tidak terhitung banyaknya telah mengalir air mata dan darah para pejuang agamaNya semata-mata kerana kesungguhan mempertahankan akidah! Nikmat dalam derita, bahagia tiada terkira!
Persoalannya buat kita… Pernahkah kita merasai nikmat beragama? Jika sudah, alhamdulillah, pujilah Allah dan istiqamahlah! Jika belum, pohonlah hidayahNya dan bersungguh-sungguhlah dalam berakidah!
Wallahu a’la wa a’lam.




aslmkm..
mudahan sentiasa dlm petunjuk Yang Esa.. akhi.. upload le masuk youtube. blh berkongsi.. (”,)
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh;
Akhi Basheer;
Alhamdulillah dan terima kasih di atas do’a, amat ana hargai. Sekadar makluman, tazkirah yang disampaikan belum pernah ada yang divideokan. Sesi motivasi ada yang divideokan dan mungkin boleh diusahakan pada masa akan datang.
Wallahu a’lam.
Berbuat baik aduhai rakan
Jika tidak dikenal orang
Dicampak ke dalam lautan
Jika tidak dikenal ikan
Tuhan tahu ia kah bukan
Pendita Za’ba
Teruskan perjuangan!!!!
Assalamualaikum…
Semoga mendapat rohmat Allah SWT.