“Kembara Menagih KASIH (keKASIH 2007), Task Force Kecemerlangan Miri”
As-Sarawaki, 24 Ogos 2007: Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT di atas segala-galanya. Pertama sekali, saya ingin memohon maaf kepada tetamu ziarah yang budiman sekalian khususnya pembaca setia blog ini kerana sudah seminggu saya tidak mengemaskini laman ini. Maaf kerana atas keterbatasan masa dan kesibukan aktiviti selain faktor akses internet yang terhad sepanjang berprogram baru-baru ini menyebabkan blog ini sepi dari entri-entri baru. Entri ini saya tulis dari Golden Lounge, KLIA – transit dari Miri sementara menunggu penerbangan seterusnya ke Amsterdam pada pukul 11.55 malam ini. Insya Allah saya akan outstation ke bumi Belanda selama sebulan setengah, menyambut Ramadhan sekali lagi di sana dan akan kembali ke tanah air pada 8 Oktober 2007 iaitu 5 hari sebelum Hari Raya ‘Aidil Fitri. Doakan semoga permusafiran saya kali ini selamat pergi dan kembali serta segala-galanya membawa kebaikan, kemuliaan dan keredhaan Allah. Amiin.
Alhamdulillah, bermula dari 18 Ogos sehingga semalam 23 Ogos, saya dan rakan-rakan seperjuangan Task Force Pengurusan Kecemerlangan Miri telah terlibat di dalam ‘Kembara Menagih KASIH 2007′ (keKASIH ‘07) iaitu program Rehlah Dakwah dan Mahabbah merentasi negara Brunei Darussalam untuk retreat perancangan strategik Task Force Kecemerlangan Miri sambil menjelajah negeri Sabah Di Bawah Bayu melalui jalan darat dari Kota Kinabalu ke Semporna. Selain itu, dalam perjalanan pulang, rombongan jaulah kami yang terdiri daripada 16 orang juga berkesempatan singgah di daerah Lawas untuk menjayakan program ‘Jom Cemerlang’ di SK Agama (MIS) Lawas. Sungguh, terlalu banyak cerita, kisah, pengalaman, ilmu, hikmah, pengajaran, iktibar, nasihat dan ‘ibrah yang diperolehi!
Petikan Kertas Kerja Program ‘keKASIH ‘07′:
‘Di sini ku berdiri, berpijak di bumi, menjunjung langit yang luas’. Demikianlah sedikit petikan lagu nasyid yang agak popular suatu ketika dulu. Berjalan, melihat dan merenung keindahan ciptaan Allah adalah merupakan satu ibadah yang sangat penting bagi melahirkan individu yang tahu dan mahu bersyukur. Semasa terikat dengan rasa kesyukuran itu, adalah lebih baik kita memberikan bukti rasa bersyukur kepada Allah atas kurniaanNya samada dengan merapatkan lagi ikatan persahabatan dan ukhuwwah, atau melakukan sesuatu yang Allah suruh dan perintah. Allah pasti sayang dan suka. Ukhuwwah dan rasa kasih atau rasa sayang itu adalah fitrah yang perlu dicari, ditagih dan dipertahankan oleh kita semua.
Menyedari hakikat ini, Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan, Unit Pendidikan Islam dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri mengambil inisiatif mengadakan satu lawatan sambil belajar, menyegar minda sambil beramal yang dinamakan ‘Kembara Menagih KASIH 2007’ atau singkatannya ‘keKASIH ‘07’. Program ini dirangka khusus bagi memberi peluang kepada setiap ahli jawatankuasa belajar adat dan budaya masyarakat lain sambil menjalankan aktiviti yang boleh merapatkan ukhuwwah. Ini memandangkan Task Force Kecemerlangan telah banyak diberi kepercayaan menjalankan aktiviti menggilap bakat, meningkatkan ilmu dan akhlak generasi tua dan muda di Bahagian Miri hampir setiap minggu. Malah melalui program rehlah kembara ini, ahli-ahli Task Force kecemerlangan juga berpeluang mengadakan diskusi memuhasabah pencapaian dan membincangkan perancangan strategik jawatankuasa ini pada masa akan datang.
Nama ‘Kembara Menagih KASIH 2007’ atau singkatannya ‘keKASIH ‘07’ dipilih untuk program lawatan sambil belajar ini bagi memastikan hasrat setiap ahli Task Force Kecemerlangan yang inginkan kasih sayang dan persahabatan tercapai, sambil belajar melihat adat dan budaya masyarakat di Sabah serta memberikan khidmat motivasi kepada generasi seIslam di sana. Biarlah tagih itu dicernakan dengan kasih sayang, bukan dengan sesuatu maudu’ yang lain.
Sebagai muqaddimah dan catatan awal ‘keKASIH ‘07′ (insya Allah luahan rasa, nota perjalanan, pemerhatian kehidupan dan catatan susulan akan dikongsikan dalam entri akan datang), berikut dikongsikan agenda kembara selama 6 hari 5 malam tersebut, mudah-mudahan ada khairnya:
18 Ogos 2007:
Bertolak dari Miri melalui negara Brunei – Limbang – masuk ke Brunei semula – Lawas dan kemudian merentas sempadan Sarawak – Sabah untuk menuju ke Kota Kinabalu. Kami bertolak dari Miri dalam pukul 7.30 pagi dan alhamdulillah setelah singgah di beberapa tempat (serta mengecop passport 4 kali bagi warga Sarawak dan 6 kali bagi warga negeri lain), kami tiba di Kota Kinabalu pada jam 6.30 petang. Setelah check-in di Marina Court Resort Condominium, kami bergegas ke SMK Agama Kota Kinabalu untuk mengambil bahagian dalam satu program ibadah dan motivasi di sekolah berkenaan. Alhamdulillah, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ceramah bertajuk “Menghayati Perasaan-perasaan Islam” yang kemudiannya diikuti dengan sesi muhasabah diri oleh sahabat karib saya, Ustaz Roshaidin Othman.
“Ceramah Menghayati Perasaan-Perasaan Islam @ SMK Agama Kota Kinabalu”
“Muhasabah Diri oleh Ustaz Roshaidin Othman @ SMK Agama Kota Kinabalu”
19 Ogos 2007:
Perjalanan ke Semporna dari Kota Kinabalu melalui jalan darat dengan menaiki coaster sebagai kenderaan kembara kali ini yang digunakan bermula dari Bandaraya Miri lagi. Perjalanan mengambil masa selama 13 jam dan alhamdulillah kami tiba di Semporna lebih kurang pukul 8.30 malam setelah melalui daerah Kundasang, Ranau, Telupid, Sandakan dan Lahad Datu, selain singgah makan tengahari serta singgah di sebuah surau untuk solat jama’ Zuhur dan ‘Asar di daerah Kinabatangan. Kota Kinabatangan cukup terkenal di Malaysia salah satunya disebabkan kelantangan wakil rakyatnya bersuara di Parlimen. Siapa yang tidak kenal Bung Mokhtar Radin?
“Papan Tanda ‘Alhamdulillah’ Yang Boleh Dilihat Di Tepi Jalan Kinabatangan”
Alhamdulillah, setibanya kami di Semporna, ahli rombongan terus check-in di Dragon Inn – Floating Hotel iaitu sebuah hotel yang dibina di atas air. Setelah makan malam dan diteruskan dengan usrah ringkas bermodul ta’ruf, semua ahli rombongan syahid seketika untuk menghibur lelah, merehatkan jasad dan melapangkan minda. Allahumma Ya Allah, dengan namaMu kami hidup dan mati!
“Penginapan di Dragon Inn – Floating Hotel, Semporna, Sabah”
“Gambar Kenangan di Dragon Inn – Floating Hotel, Semporna”
“Gambar Kenangan di Dragon Inn – Floating Hotel, Semporna”
“Gambar Kenangan di Dragon Inn – Floating Hotel, Semporna”
20 Ogos 2007:
Sepanjang hari ini kami telah mengelilingi bandar Semporna serta menjejaki 2 buah pulau iaitu Pulau Mabul dan Pulau Bait dengan menaiki bot laju. Pada asalnya, kami bercadang untuk melawat Pulau Sipadan yang dikenali di seantero dunia, tetapi disebabkan masalah permit dan tempahan ke sana yang fully booked, hasrat tersebut tidak menjadi kenyataan.
Sungguh banyak pemerhatian yang kami perolehi dari lawatan ke 2 buah pulau ini terutamanya Pulau Mabul. Hipotesis yang paling penting ialah di pulau ini kita dapat perhatikan kehidupan antara 2 darjat. Satu darjat ialah kemewahan yang dihidangkan oleh 6 buah resort yang ada di sana yang menggamit kehadiran pelancong kaya raya datang untuk bercuti, scuba diving atau sekadar berjemur di pantai dengan hanya berbikini dan berseluar dalam! Satu darjat lagi ialah kehidupan miskin dan dhaif, kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang penduduk di pulau tersebut. Insya Allah saya akan menulis lebih lanjut tentang perkara ini kemudian.
“Perjalanan Ke Pulau Mabul Menggunakan Perkhidmatan Bot Laju”
“Pulau Mabul, Semporna, Sabah.. SubhanalLah, Maha Suci Allah!”
“Keindahan Pulau Mabul.. Tarikan Percutian Pelancong (Scuba & Berjemur!)”
“Bersama Imam Masjid Pulau Mabul/ Madrasah Al-Islamiyyah Pulau Mabul”
“Kanak-kanak Harapan Pulau Mabul.. Bagaimana Masa Depannya?”
“Kanak-kanak Harapan Pulau Mabul.. Moga Menjadi Mukmin Sejati!”
“Gambar Kenangan di Pulau Bait @ SK Pulau Bait, Semporna, Sabah”
Alhamdulillah, pada sebelah malamnya pula, ahli jawatankuasa Task Force Kecemerlangan telah bermesyuarat untuk membincangkan perancangan strategik tiga (3) tahun yang telah dirangka termasuklah memuhasabah keberkesanan program, tanda aras pencapaian, menganalisa kekuatan dan kelemahan serta merancang strategi masa depan. Alhamdulillah, beberapa program untuk suku ke-4 tahun 2007 juga telah berjaya diputuskan. Doakan semoga segalanya khair. Amiin.
21 Ogos 2007:
Bertolak pulang ke Kota Kinabalu dari Semporna. Sepanjang perjalanan kami sempat singgah untuk makan tengahari di Ranau dan solat jama’ Zuhur dan ‘Asar di Masjid Ranau, sempat merasai berdiri dan berjalan-jalan di atas Jambatan Gantung Matupang, singgah sebentar di Kundasang dan melawat Taman Negara Kinabalu serta berpeluang menjejakkan kaki di atas Jambatan Tamparuli yang terkenal kerana dendangan sebuah lagu tentangnya. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 9.30 malam kami tiba di Kota Kinabalu dan setelah menyelesaikan sedikit masalah dengan tempahan hotel akibat kecuaian pekerja hotel berkenaan, akhirnya kami berjaya check-in dalam satu apartment di Marina Court Resort Condominium.
“Mengisi Minyak di Sabah Oil.. Apapun, Minyak di Brunei Jauh Lebih Murah!”
“Masjid Ranau.. Terasa Tenang Beribadah Di Dalamnya.. Apa Rahsianya?”
“Penghubung Kehidupan… Jambatan Gantung Matupang, Sabah”
“Jambatan Tamparuli: Jambatan Kayu Tergantung, Terkenal Kerana Lagu”
“Kompleks Taman Negara Kinabalu.. Memori dan Kenangan Mengusik Jiwa”
“Pemandangan Water Front Kota Kinabalu dari Bilik Marina Condominium”
22 Ogos 2007:
Berjalan-jalan sambil membeli-belah di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu sebelum bertolak ke Lawas untuk program selanjutnya di sana. Kebanyakan ahli rombongan pergi ke Pasar Kraftangan Kota Kinabalu untuk membeli cenderamata kenang-kenangan sebagai ole-ole buat ahli keluarga dan sahabat handai. Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau pun lebih dikenali sebagai Pasar Filipina di kalangan penduduk dan pelancong adalah merupakan satu tempat yang cukup terkenal di Bandaraya Kota Kinabalu. Ia terletak di Jalan Tun Fuad Stephen bertentangan dengan Kompleks Sinsuran.
Terdapat beraneka jenis kraftangan dijual di sini. Selain cenderamata dan kraftangan tempatan seperti rantai kunci, T-shirt dan juga ukiran kayu, terdapat juga kraftangan daripada negara-negara Asia yang lain. Sarung batik, tikar rotan, ukiran khat, kerongsang dan juga mutiara boleh ditemui di pasar ini. Alhamdulillah, saya dan rakan-rakan berasa puas shopping sambil tawar-menawar dengan pelbagai karenah. Kami juga sempat membeli 2 buah gendang yang insya Allah bakal digunakan untuk membentuk kumpulan nasyid Task Force Kecemerlangan.
Atas segalanya, benarlah bahawa “sembilan persepuluh sumber rezeki adalah datang dari perniagaan.”
“Marina Court Resort Condominium.. Penginapan di Kota Kinabalu”
“Pasar Kraftangan Kota Kinabalu atau Pasar Filipina”
“Tawar-Menawar di Pasar Filipina.. Negotiation Skills Diperlukan”
“Sembilan Persepuluh Sumber Rezeki Adalah Datang Dari Perniagaan”
“Water Front Kota Kinabalu Berlatarbelakangkan Laut China Selatan”
Setelah selesai segala urusan, kami check-out dari Marina Court Resort Condominium dan terus bertolak ke Lawas dan sempat singgah di Beaufort untuk makan tengahari serta sekaligus solat jama’ Zuhur dan ‘Asar di Masjid Beaufort dan seterusnya singgah sebentar di Sipitang untuk memberi ruang kepada pemandu berehat seketika. Alhamdulillah, lebih kurang pukul 5.00 petang kami selamat tiba di Lawas dan terus check-in di Hotel Perdana.
“Masjid Beaufort.. Alhamdulillah Masjid Ada Di Mana-Mana – Besar dan Sunyi!”
“United Sabah Islamic Association (USIA).. Semoga Maju Jaya!”
“Cadangan Pembinaan Esplanade di Pesisir Pantai Pekan Sipitang”
“Ceramah Informal Buat Adik-adik UPSR Yang Ditemui di Sipitang, Sabah”
“Hotel Perdana.. Penginapan Selama Semalam Di Lawas, Sarawak”
Alhamdulillah, lebih kurang pukul 7.15 malam ahli rombongan menerima pelawaan untuk makan malam di Leeya Cafe yang ditaja khas oleh Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lawas dan SK Agama (MIS) Lawas. Setelah selesai makan malam, kami terus bertolak ke SK Agama (MIS) Lawas untuk melaksanakan sesi Muhasabah Diri buat murid-murid Tahun 6 yang bakal menduduki Peperiksaan UPSR pada 3-5 September ini. Sesi pertama ini telah disampaikan oleh Ustaz Roshaidin Othman sementara ahli-ahli Task Force Kecemerlangan yang lain menjadi fasilitator secara tidak langsung.
Sesungguhnya saya amat terharu dengan sambutan mesra dan layanan amat baik pihak di Lawas kepada kami khususnya Ustaz Shah Rizan yang merupakan koordinator kepada program ‘Jom Cemerlang’ di sana. Beliau seorang yang saya dapati bersemangat dan menguruskan segala perkara berkaitan program dengan berkesan. Terima kasih juga kepada Pegawai Pelajaran Daerah Kecil Lawas, Encik Matzinan dan Guru Besar SK Agama (MIS) Lawas, Tuan Haji Omar Matusin di atas kebaikan dan budi luhur kalian. Selain itu, semangat turun padang guru-guru yang sanggup mengorbankan cuti sekolah semata-mata demi melihat anak didik mereka cemerlang juga pastinya wajar saya berikan pujian. Sungguh, guru adalah insan mulia! Semoga kita semua terus diberi kekuatan ber’amal liridhalLah.
“Makan Malam Tajaan Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lawas”
“Ustaz Shah Rizan, Koordinator ‘Jom Cemerlang’ di SK Agama (MIS) Lawas”
“Cenderamata SK Agama (MIS) Lawas Dari Haji Omar Kepada Ustaz Fauzi”
“Ustaz Roshaidin Bersemangat Menyampaikan Ceramah Muhasabah Diri”
“Do’a Dan Air Mata Keinsafan Putera-Puteri SK Agama (MIS) Lawas”
“Bakal Mujahid Ummah Cemerlang, Putera-Putera SK Agama (MIS) Lawas”
“Bakal Mujahidah Ummah Cemerlang, Puteri-Puteri SK Agama (MIS) Lawas”
“Azam Dan Janji Putera-Puteri Cemerlang Buat Ibubapa, Guru dan Rakan”
23 Ogos 2007:
Hari terakhir program ‘keKASIH ‘07′. Selepas bersarapan bersama-sama, sahabat-sahabat Task Force Kecemerlangan yang lain bertolak pulang ke Miri dengan menaiki coaster melalui jalan darat merentasi daerah Limbang dan negara Brunei Darussalam. Sementara saya pula meneruskan agenda ‘Jom Cemerlang’ dengan menyampaikan 2 slot Ceramah Motivasi: “Hidup Lebih Hidup Dengan Kejayaan” di SK Agama (MIS) Lawas selama 4 jam. Saya amat bersemangat untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan anak-anak harapan agama, bangsa dan negara ini serta mencuba dengan sehabis baik termasuk menggunakan pendekatan ‘merendahkan sedikit standard pemikiran’ bagi memudahkan kefahaman para peserta sekolah rendah berkenaan. Alhamdulillah, dari wajah putera-puteri ini, saya doakan semoga mereka akan mencapai keputusan hebat dalam UPSR 2007 dan seterusnya menjadi insan cemerlang di dalam Sekolah Kehidupan. Adik-adikku, masa depan umat Islam di tangan kalian!
Setelah selesai program dan makan tengahari, saya sempat berdiskusi ringkas dengan Tuan Haji Omar dan Ustaz Shah Rizan tentang pencapaian murid dan sekolah selain mencambah buah fikiran tentang penyelesaian kepada masalah ummah setempat. Selepas itu, Ustaz Shah Rizan telah membawa saya solat di Masjid Baru Lawas yang terletak di kedudukan strategik di atas bukit sebelum check-in di Lapangan Terbang Lawas untuk balik ke Miri dengan pesawat Twin Otter. Selepas check-in, Ustaz Shah Rizan sempat membawa saya untuk minum petang di Water Front Lawas, tempat berlangsungnya Regatta Pesta Lawas yang baru sahaja selesai. Ustaz Shah Rizan juga banyak berkongsi pengalaman dakwah dan usaha islah di Lawas termasuk program-program dan gerakan dakwah Perkedis, Hikmah, JAIS dan lain-lain. Alhamdulillah, usaha dan ikhtiar dakwah kian bergerak di Bumi Kenyalang.. Jom, bersama kita semarakkannya! Syukran jazilan ya Ustaz Shah Rizan atas buah fikir, perkongsian ilmu dan sumbangsaran yang telah didiskusikan. Semangat membara ustaz membangkitkan semangat juang dan rasa kebangkitan dalam diri saya! Jazakallahu khairan kathira!
Penutup Bicara:
Penerbangan saya terbang pulang ke Miri dari Lawas pada pukul 3.45 petang mengakhiri permusafiran penuh makna kali ini. Demikianlah berakhirnya sebuah Rehlah Iman ‘Kembara Menagih Kasih 2007′ dengan Misi Dakwah dan Ukhuwwah. Semoga menjadi ‘amal bermanfaat yang diterima olehNya. Semoga juga beroleh ampunan Allah Yang Maha Pengampun di atas segala kekhilafan sepanjang program ini.
“Rahsia Kejayaan dan Kecemerlangan Terkandung Di Dalam Al-Qur’an”
Kepada ahli rombongan – Ustaz Ahmad Fauzi, Puan Lily, Ustaz Roshaidin, Ustaz Afandi Yusoff, Ustaz Fakhrurrazi, Cikgu Mohd Shahril, Akhi Mohd Faisal, Abang Puasa (pemandu coaster), Ustazah Noresah, Ustazah Mariani, Ustazah Norafifah, Ustazah Fuziah, Ustazah Roshanidawati, Ustazah Norizan dan Ustazah Hasliza, saya memohon maaf atas segala silap dan salah.
Semoga kita semua terus diberi taufiq dan hidayah untuk memaknakan kehidupan kita dan memberi manfaat kepada insan lain. Aslih nafsak, wad’u ghairak! Sesungguhnya kecemerlangan Akhirat adalah melalui prestasi hidup di dunia.. ‘Isy ‘azizan aumut syahidan!
Wallahu a’la wa a’lam.









































Assalamualaikum akhi Muhtar..
Syukran sbb datang ke SMK Agama Kota Kinabalu.. Walaupun penat datang dari Miri.. Namun Ceramah akhi tetap bersemangat…
Ikhlas dari hati saya.. Selepas habis program tersebut.. Semangat jihad fisabillah berkobar-kobar di dalam diri.. Semangat saya membara utk menegakkan kalimah Allah di muka bumi ini..
Rasa bersyukur sangat sbb sblm tu hati saya resah gelisah mcm ada sesuatu yg tak ok.. Apapun, selepas kena tarbiah oleh Ust Din.. Alhamdulillah hati saya tenang semula..
Saya harap jika ada kesempatan.. Jemputlah datang ke SMK Agama KK lagi.. Semoga jihad fisabilillah mendapat kasih tertinggi mardhatillah..
Wassalam..
Salam.
Alhamdulillah, Tahniah dan Syabas atas usaha mulia Muhtar mula mencoret catatan pengembaraan keKASIH ‘07 untuk dimanafaatkan bersama. InsyaAllah, banyak iktibar yang boleh kita pelajari di sepanjang lawatan belajar itu. Semoga kita sama-sama terus berusaha gigih menghasilkan kecemerlangan: Kalau bukan kita, siapa? Kalau bukan sekarang, bila?
Assalamualaikum wrh bkth, ya ALLAH, ruginya ana tak ikut..
insyaALLAH ada rezeki kita buat program lagi ya? kirim salam kt sahabat2 d Miri ya Bro? insyaALLAH, keep on Jihad!
Assalamualaikum..
Alhamdulillah.. diberi kesempatan oleh Allah S.W.T mencoret kiasan kata dalam blog ini… Kembara Menagih Kasih ‘07 memberi seribu erti kenangan dan harapan pada semua pihak termasuklah rombongan. Semua orang menagih harapan kepada semua orang… Kerja untuk menabur kasih kepada masyarakat perlu diteruskan tidak kira siapa pun kita.. Harapan hati kecil ini, samalah kita menjadi orang yang menggerakkannya… Insya Allah…
Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh…
Kembara keKASIH ‘07… Kenangan yang bernilai dan penuh makna… Kembara yang telah mendekatkan saya secara langsung dengan ‘orang2′ kuat Task Force Kecemerlangan… Kembara yang telah menaikkan semangat saya untuk bekerja lebih kuat di dalam membimbing pewaris2/ pejuang2 Islam akan datang… Insyaallah… Amin…
Assalamualaikum warahmatullah…
Alhamdulillah, akhirnya KeKASIH ‘07 telah berjaya direalisasikan. Tahniah kepada semua!! Semoga rehlah sepanjang 6 hari 5 malam yang dilalui memberi lebih pengalaman dan pengertian tentang makna hidup di sekolah kehidupan.
Assalamualaikum…
Tahniah untuk semua yang menjayakan rehlah tersebut, terutama pengurus program Ustaz Roshaidin.
Walaupun beberapa rintangan yang dihadapi, bermula hari pertama hingga masalah permit masuk Brunei, alhamdulillah kita dapat tangani dengan bijaksana berkat semangat muafakat dan kerjasama.
Mabruk alaikum jamian… Wassalam
Assalamualaikum w.r.t w.b.t…..
Tahniah atas usaha semua pihak yang menjayakan Kembara Kekasih ‘07. Catatan peristiwa yang dilalui, pahit manis, senda gurau, nasihat dan teguran serta muhasabah yang diterima tidak dapat dibeli di mana-mana. Pengalaman yang pasti menghidupkan jiwa yang telah mati dan lalai…………….. Insyaalllah
Kepada akhi Mukhtar…..
Selamat berjuang di bumi perantauan…… Umat Islam pasti cemerlang…………….
Wassalam…………
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih di atas semua komen yang dinyatakan.
Adik Najihah92;
Alhamdulillah, semoga kita semua terus istiqamah dalam kebaikan dan perjuangan demi redha Allah. Saya doakan ukhti akan cemerlang dalam Sekolah Kehidupan serta sentiasa bahagia dan mulia dunia dan Akhirat. Insya Allah ada masa kita boleh aturkan program yang lebih tersusun dan rapi di SMK Agama Kota Kinabalu pada masa akan datang. Inisiatif pihak sekolah amat dialu-alukan. Jazakumullahu khair!
Akhi Syukran;
Insya Allah, akan diusahakan. Mungkin akhi dan sahabat-sahabat di Politeknik Kota Kinabalu boleh merancang dan melaksanakan program yang sama. Semoga segalanya memberi manfaat.
Cikgu Lily, Cikgu Shahril, Ustaz Afandi, Ustazah Hasliza, Ustazah Noresah dan Ustazah Norafifah;
Alhamdulillah, rehlah penuh mehnah yang membawa mawaddah, rahmah dan barakah atas tujuan dakwah dan islah. Semoga segala ilmu, pengalaman dan kenangan mengusik jiwa terus mendewasa dan mematangkan pemikiran dan perjuangan liridhalLah. Teruskan perjuangan. InnalLaha ma’ana!
Wallahu a’lam bissawab.
Assalamualaikum….
Tahniah atas kejayaan kembara amal Kembara Menagih KASIH (keKASIH ‘07) kalian di Negeri di Bawah Bayu. Aku hanya terpaku cemburu melihat kalian berkhidmat menyumbang bakti, menyoroti kehidupan umat Nabi Muhammad s.a.w di bumi Allah….
Teruskan perjuangan… teruskan perjuangan menyebarkan kasih sayang Tuhan… teruskan perjuangan menyebarkan Misi Rasul, Misi Rahmatan lil ‘alamin… Misi Rahmat Seluruh Alam!
Dari Miri membawa makna,
Sanggup kuredah meredah bahana,
Tiadalah mehnah berat terasa,
Asal umat terbela, Tuhankan redha! =)
Salam. Tahniah di atas usaha murni menjayakan Kembara Menagih Kasih (KeKASIH ‘07). Semoga sepanjang kembara tersebut nikmat dan rahmat Allah bersama kita semua, banyak iktibar diperolehi untuk mematangkan perjalanan hidup ini. Pengalaman yang ditimba akan menajamkan lagi pemikiran kita…… Insyaallah kita akan teruskan lagi kembara ini kerana “Perjuangan Belum Selesai”. “We Make Things Happen”..
Dipersilakan mengunjungi: http://pratchai.fotopages.com/ – Gambar-gambar Kembara Menagih Kasih (KeKASIH ‘07).
Assalamualaikum ya akh.
Tahniah atas usaha kalian semua bermusafir, berkelana ilmu dan meneruskan lagi denai-denai usaha murni ini.
Jika ada kesempatan dan ruangan masa, bumi semenanjung sentiasa menanti kalian untuk kunjungan ziarah…
Semoga segalanya khair di Belanda.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Akhi Azrul;
Selamat maju jaya dalam study. Insya Allah setahun akan datang akan bertambah seorang lagik tenaga dae’i di Miri..
Ustaz Ahmad Fauzi;
Teruskan perjuangan dan teruslah mengetuai gerak kerja dan usaha dakwah Task Force Kercemerlangan Miri dengan penuh semangat waja dan misi keIslaman tulen. Siiru ‘ala barakatillah.
Akhi Nizam;
Alhamdulillah. Insya Allah sekiranya ada masa kita boleh usahakan program bersama di tempat akhi dan di Semenanjung. Sarawak Bumi Kenyalang juga sentiasa menanti kalian untuk kunjungan ziarah, Jalan-Jalan sambil Berdakwah ke sini..
Syukran ‘alaik atas do’a. Amiin.
Wallahu a’lam bissawab.
[...] 28 Ogos 007: Entri ini adalah lanjutan kepada entri Kembara Menagih KASIH 2007 (keKASIH ‘07). Alhamdulillah, sepanjang program keKASIH ‘07, ahli rombongan berkesempatan melawat 2 pulau [...]
Salam…
Rasa terkilan juga tak dapat join program ke Sabah…
Tahniah dan syabas atas kejayaan program di Sabah…
Tahniah atas usaha Bro Muhtar dan para sahabatnya. Komitmen, kerjasama, sedia mengorbankan kesenangan diri, tidak mudah melatah, bertolak ansur dan yakin dengan janji-janji Allah barangkali sesuai untuk dilabelkan kepada Bro Muhtar dan sahabatnya.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Kak Tum;
Insya Allah, program-program akan datang boleh turut serta. Apapun, tahniah di atas pertunangan tempoh hari.
Semoga segalanya berjalan lancar.
Akhi Supian;
Semoga kita semua terus istiqamah. Amiin.
Wallahu a’lam.
Salam…
Syukran jazilan di atas perkongsian catatan keKASIH ‘07. Mudah-mudahan kita terus dianugerahkan dengan selaut semangat dan segunung ketabahan bekal merentasi pelbagai rencam mehnah dan tribulasi dalam usaha memartabatkan ISLAM ke mercu tertinggi… InsyaALLAH.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Ustazah Mariani;
Teruskan ikhtiar memberiTAHU, memberiMAHU dan memberMAKNA.
Selamat maju jaya.
A’kum Dan Salam Perjuangan buat semua barisan Task Force yang telah memberi sesuatu yang cukup bermakna kepada anak-anak didik di SK Agama Lawas….Semoga usaha yang murni ini diteruskan bagi memastikan kesinambungan deen Islam itu bersinar dengan terangnya di bumi kenyalang ini..
Kepada Akhi Muhtar…Teguhkan tekad dan thabatkan prinsip untuk terus berjuang.Tahun 2008, SK Agama menantimu lagi…Terima Kasih.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Ustaz Abu Zarkasyi;
Syukran jazilan ya ustaz atas buah fikir, perkongsian ilmu dan sumbangsaran yang telah didiskusikan semasa di Lawas. Semangat membara ustaz membangkitkan semangat juang dan rasa kebangkitan dalam diri saya! Jazakallahu khairan kathira!
Insya Allah sehingga berjumpa lagi tahun hadapan. Siiru ‘ala barakatillah.
Wallahu a’lam bissawab.
Aslm wbt..
Pengalaman yang menarik. Ingin sekali bergiat sama. Semoga Kem Eksplorasi Minda yang ana rancangkan ini akan menjadi kenyataan!
Azri Bohari
NUI, Galway
[...] [ISAC Studio Insya Allah akan menganjurkan programnya yang pertama, iaitu Kem Eksplorasi Minda 2008 - Borneo! Kem Eksplorasi Minda ini merupakan program berbentuk motivasi + Islami + tarbiyyah yang mensasarkan para pelajar sekolah menengah. Maklumat lanjut sila baca di sini »». Sila baca juga catatan Kembara Menagih KASIH 2007 (keKASIH ‘07).] [...]
Moga ada kesempatan waktu dapat datang ke bumi Semporna lagi, sayangnya saya tiada di sana semasa kedatangan rombongan ini. Apapun, insya ALLAH, moga dipertemukan di masa akan datang dalam misi memperjuangkan Islam.
alhamdulillah.. suka saya tengok dengan ciptaan Allah yang pelbagai bentuk, rupa n perangai..
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Akhi Azri Bohari;
Insya Allah jumpa di KK dalam program Kembara Eksplorasi Minda Borneo kelak.
Akhi M Saidin S;
Insya Allah, semoga kita akan bertemu suatu masa nanti, sekiranya tidak di dunia mudah-mudahan di Syurga nanti. Amiin.
Akhi Wan Mus;
Semoga terus maju jaya dalam “Internet Marketing | Monetize Blog | Malaysian Muslim Entrepreneur”..
[...] Gambar diambil dari blog Ustaz Muhtar Suhaili [...]