“Love Others… And Love Will Come Back To You..”
As-Sarawaki, 17 Ogos 2007: Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana masih diberi taufiq dan hidayah kepada hambaNya ini untuk menjadikan hari Jumaat penghulu segala hari sebagai medan merencana strategi dan memberi khidmat serta sekaligus menjadi wasilah menambah saham Akhirat. Semoga saya dan tetamu ziarah yang budiman sekalian mampu terus berada dalam gerakan untuk memperjuangkan Islam dan sentiasa membara di hati kita untuk menyebarkan agama Allah berpandukan ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah.
“Work Hard Play Hard Day”
Alhamdulillah, hari ini adalah hari WHPH di syarikat tempat saya bekerja. Setiap hari Jumaat minggu ke-3 setiap bulan sebenarnya diisytiharkan sebagai hari yang dikenali sebagai Work Hard Play Hard (WHPH) iaitu peruntukan masa bagi mengadakan aktiviti-aktiviti yang ‘tiada berkaitan dengan kerja core business‘ untuk merehatkan minda, bersukan, beriadhah, beraktiviti luar, berdiskusi santai dan aktiviti seumpamanya sama ada bersama department dan unit masing-masing atau secara massa. Pendek kata ia adalah aktiviti untuk menyatakan ‘kerja, kerja juga’ tetapi keseimbangan dan gaya hidup sihat mesti sentiasa dipelihara dan dipulihara dalam masa yang sama.
Hari ini terdapat 2 aktiviti WHPH secara massa yang telah berjaya dilaksanakan dengan baik. Yang pertama ialah “Up Close & Personal” pada pukul 10.00 pagi yang dibawakan khas oleh Malaysian Senior Staff Council (MSCC) dan “Work Hard Pray Hard” pada jam 2.00 petang anjuran Badan Kebajikan Pekerja Islam Petroleum (BKPIP). Perhatikan sedikit perbezaan antara 2 WHPH, satu ialah ‘Work Hard Play Hard’ dan satu lagi ialah ‘Work Hard Pray Hard’. ‘Work Hard Pray Hard’ ini sebenarnya telah sengaja saya dan jawatankuasa penganjur ubah sedikit dengan harapan semoga program tersebut mampu menyuntik bius beragama kepada saya dan rakan sekerja.
“Up Close & Personal” kali ini menampilkan (Encik) Mohd. Anuar Taib, Regional Wells Manager. Program bersiri ini sudah masuk kali ke-3 dianjurkan. Kali pertama ialah bersama (Encik) Sauu Kakok – anak Bidayuh yang berjaya menduduki jawatan tinggi di Shell sebagai Vice President Support – Asia Pacific, manakala edisi kali kedua menampilkan (Encik) Wee Yiaw Hin, Local Senior EP Representative and Sarawak Shell Berhad Managing Director. Program ini adalah satu platform untuk para pekerja menimba ilmu dari rakyat Malaysia yang berjaya menduduki jawatan utama dan membuktikan kehebatan kerja mereka di dalam syarikat di arena antarabangsa. Tips-tips, rahsia-rahsia kecemerlangan dan petua-petua kejayaan yang dikongsikan diharapkan akan menghasilkan lebih ramai Malaysian achievers pada masa akan datang.
“Up Close & Personal With (Encik) Mohd Anuar Taib”
Sekiranya tetamu ziarah yang budiman sekalian teliti perenggan di atas, saudara-saudara dan saudari-saudari akan dapati saya telah meletakkan perkataan ‘Encik’ di dalam kurungan. Ini kerana di syarikat tempat saya bekerja yang merupakan syarikat antarabangsa, penggunaan kata ganti nama hormat di hadapan nama adalah tidak penting dan tidak menjadi budaya. Malah pihak pengurusan tertinggi sekalipun hanya dipanggil dengan nama mereka. Boss saya sendiri yang berasal dari UK serta jauh lebih senior dalam penjawatan daripada saya hanya saya panggil dengan nama beliau, tanpa Encik atau Mr. atau Tuan! Saya perhatikan beliau sebenarnya sedikit amazed apabila saya memanggil beliau dengan Sir dan Mr. ketika saya mula-mula masuk bekerja lebih setahun yang lepas. Inilah budaya masyarakat Barat, mereka lebih selesa begitu dan they feel honoured if you call them by their first name.
Saya pada mulanya agak janggal dengan suasana begini sebab semasa saya belajar di UIA dahulu saya diajar untuk memanggil orang yang lebih tua dan terhormat dengan panggilan seperti sir, pakcik, makcik, tuan, puan, encik, cik, abang, kakak.. Malah senior saya yang hanya setahun lebih tua dari saya pun saya panggil abang. Satu lagi budaya di UIA ialah kita akan menggunakan panggilan Brother untuk lelaki dan Sister untuk perempuan untuk menyemai budaya kekitaan dan kebersamaan. Di Malaysia pula, negara kita yang tercinta juga mempunyai banyak gelaran anugerah kehormatan seperti Tun, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk Paduka, Datuk, Dato’ dll. Manakala di Sarawak pula kita ada Pehin Seri, Datuk Patinggi, Datu’ dll. Sehingga ada orang besar namanya sahaja sudah cukup panjang… Tan Sri Datuk Seri Dr. Hj. Fulan Fulen Fulin bin Datuk Seri Fulan Fulen. Bagi yang perempuan pula, sekiranya ingin hendak mudah mendapat gelaran kehormat secara segera, maka berkahwinlah dengan Tun, Tan Sri, Datuk Seri atau Datuk kerana dengan itu secara automatik anda akan bergelar Toh Puan, Puan Sri, Datin Seri dan Datin!
Apapun, dalam kedua-dua keadaan ini ada pro dan kontranya. Saya sendiri meskipun di pejabat terbiasa dengan budaya seperti yang disebutkan di atas, namun apabila berada di luar saya tetap percaya menghormati orang tua dengan cara dan versi Malaysiana adalah lebih bersopan dan berakhlak. Apa yang penting ialah “in terms of style, swim with the current; but in terms of principle, stand like a rock!”. Cuma kenalah kita selalu ingat, sepanjang dan sebanyak mana pun gelaran pada nama kita, suatu masa nanti akan ditambah satu lagi gelaran di depan nama-nama yang berjela-jela itu iaitu Allahyarham Tan Sri Datuk Seri Dr. Hj. Fulan Fulen Fulin bin Datuk Seri Fulan Fulen. Sudah bersediakah? Pertanyaan ini bukan sahaja kepada mereka yang ada gelaran, bahkan yang tidak bergelar seperti saya pun perlu sentiasa menanyakan soalan ini kepada diri sendiri: bersediakah saya untuk mati? Ketahuilah bahawa kita semua suatu masa nanti pasti akan mati!
Sebenarnya persoalan tentang persediaan mati ini adalah salah satu pengisian utama yang telah disampaikan Al-Fadhil Ustaz Mohd. Juneed bin Ismail ketika menyampaikan ceramah di dalam sesi “Work Hard Pray Hard” anjuran BKPIP petang tadi. Ceramah yang telah beliau sampaikan bertajuk “Being a Good Muslim and Its Relation to Corporate Social Responsibility” (Menjadi Muslim Sejati dan Kaitannya Dengan Tanggungjawab Sosial Korporat). Tema program pula ialah “Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?”
“BKPIP Presents… Special Work Hard Pray Hard: Being a Good Muslim and Its Relation to Corporate Social Responsibility”
Tujuan hidup adalah untuk mati.. Tiada ertinya kehidupan tanpa kematian! Demikianlah dalam Surah Al-Mulk, ayat kedua, Allah mengisytiharkan bahawa “Dia yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya.”
Maka dari firman Allah ini, jelas menunjukkan bahawa tujuan mati dan hidup itu diciptakan adalah untuk menguji siapakah di antara kita yang lebih baik amalnya. Untuk memudahkan pemahaman kita, bolehlah dikatakan bahawa yang terbaik di antara sekalian manusia ialah yang paling baik aktiviti dan kegiatan hidupnya. Seterusnya, bagi membolehkan kita mempunyai aktiviti, kegiatan dan amal yang terbaik, maka kita perlu menjadi Muslim yang sejati dan Mukmin yang unggul. Untuk menjadi seorang Muslim yang sejati pula, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengenal diri. Masalah utama umat Islam kini ialah kerana ramai di kalangan kita tidak kenal akan asal penciptaan kita sehingga akhirnya ramai di kalangan kita menjadi lupa diri. Lebih malang lagi, disebabkan kita tidak mengenal diri dan asal-usul kejadian kita akhirnya kita gagal mengenal keindahan Islam dan keutuhan keimanan yang sewajarnya sebati dalam diri kita. Benarlah kata pepatah Melayu, tak kenal maka tak cinta!
Allahlah Yang Maha Bijaksana dan telah menjadikan sesuatu itu dari tiada (Al-‘Adam) kepada ada (Al-Wujud). Hakikat seluruh kejadian dicipta ini, semuanya bertujuan untuk memainkan peranan ‘ubudiyyah yakni memainkan peranan kehambaan dengan mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah dan sentiasa beribadah dengan penuh keihklasan. Semuanya ini diisyaratkan dengan jelas dalam lafaz firman Allah yang berbunyi “Wamaa Kholaqtul Jinna Wal Insa Illaa Liya’buduun” (Tidak Aku jadikan jinn dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu”). Prinsip ‘ubudiyyah ini telah diwartakan dalam Kitab-Kitab besar yang telah diturunkan dari langit sejak zaman berzaman, dan dengan kemasnya disempurnakan secara muktamad dengan Al-Quran seperti yang kita petik dari ayat di atas.
Islam seterusnya menetapkan pembalasan di Akhirat yang dilambangkan melalui kewujudan nikmat Syurga dan azab Neraka sebagai satu lagi asas keimanan. Maka menjadi keperluan untuk kita memaknakan kehidupan ini dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup kita, sesuai dengan makna Islam itu sendiri iaitu menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah SWT. Seandainya kita tidak serah diri, kita akan buat haluan sendiri yang akhirnya menyebabkan kita gagal dalam kehidupan duniawi dan Ukhrawi. Na’udzubillahi min dzalik.
Selain itu, seorang Muslim sejati tidak hanya mementingkan dirinya sendiri. Dengan memahami prinsip ‘ubudiyyah dan adanya Syurga dan Neraka, maka dia akan berusaha dengan sehabis daya untuk melakukan yang terbaik untuk dirinya dan masyarakatnya. Untuk dirinya ialah memperbaiki hubungannya dengan Allah dan untuk masyarakatnya yang kita sebut sebagai tanggungjawab sosial korporat, dia akan membantu dengan apa jua cara sama ada dengan tenaga, masa, harta, kepakaran, perkhidmatan dan lain-lain untuk memastikan Islam terus terbela dan memerintah dunia. Ini sekaligus akan melahirkan satu umat yang mana perasaan, percakapan dan tindakan mereka telah dikuasai oleh kesanggupan untuk hidup dan mati semata-mata kerana Allah SWT. Perjuangan dan pengorbanannya demi redha Allah!
“Get Up! Continue Spreading Islam By Dakwah…”
Tanggungjawab sosial yakni peranan bermasyarakat yang merangkumi peranan dakwah dan islah ini amat wajar dihidupkan dan disemai dengan sesuburnya sebagaimana firman Allah SWT:
“Kalian adalah umat terbaik yang diutus untuk manusia. Kalian menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 110).
“Dan hendaklah ada di antara kamu, segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyeru yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 104).
Selain itu, tanggungjawab sosial seorang Muslim ini juga dapat kita fahami melalui hadith Nabi SAW berikut:
“Perumpamaan orang Mukmin dalam kasih sayang, ramah mesra dan hubungan baik mereka adalah seperti satu jasad, apabila satu anggota padanya sakit akan menyebabkan semua anggota berjaga malam menahan sakit.” (Hadith Riwayat Muslim).
Malah, Rasulullah SAW menyifatkan orang Mukmin dengan Mukmin yang lain sama seperti satu bangunan yang saling kukuh-mengukuhi antara satu sama lain seperti mana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Musa Assyaari. Rasulullah telah menyifatkan orang Mukmin dengan Mukmin lain seperti satu bangunan menunjukkan perlunya peranan tanggungjawab sosial ini dipikul oleh kita semua!
Sebagai kesimpulannya, marilah kita sama-sama berusaha memperbaiki diri dan sama-sama mengajak orang lain untuk memperjuangkan Islam. Aslih nafsak, wad’u ghairak! Dirikanlah dahulu Daulah Islamiyyah dalam jiwa setiap Muslim, insya Allah Islam akan ditegakkan. Sesungguhnya, kecemerlangan Akhirat adalah melalui prestasi hidup yang hebat di dunia! Fahamilah…
Wallahu a’la wa a’lam.






assalamualaikum brother..
just nk share..saya kat sini pun terpaksa address supervisor as his/ her first name. kekdg dgn nama panggilan dia.. sudahlah mereka berpakaian x formal bila bekerja. kdg2 kita rasa kita lah plg formal di sini!
dulu masa buat masters, tak biasa lagi dan slalu panggil ’sir’ and ‘dr..’ .. skang baru boleh adapt.. cuma though kita panggil dia dgn first name, kita masih hormat dia..
Assalamualaikum. Lama tak dengar cerita. Harap sihat selalu. Perjuangan untuk menyebarkan dakwah melalui pena mesti diteruskan. Moga kita dikurniakan sifat istiqamah dalam menegakkan dakwah walau di mana kita berada.
[...] 20th, 2007 by Fauzan Ibrahim Hidup Untuk Mati, Al Mulk disingkap pada tinta kedua henti, “Kullu Nafsin Dzaiqotul Maut” [...]
Untuk renungan bersama:
Ramai orang membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan..
Ramai orang membuat persediaan untuk menyambut sesuatu perayaan..
Dan ramai orang yang menghitung persediaan selepas persaraan..
Namun berapa ramai yang membuat persediaan yang rapi untuk menghadapi hari bertemu TUHANNYA???
“Syaitan menjanjikan kamu dengan kemiskinan dan menyuruh kamu berbuat kejahatan sedang Allah menjanjikan untukmu keampunan daripadanya”
[ Al Baqarah : 268 ]
Ayat diatas tu menerangkan dua sikap manusia terhadap future dan apa akibatnya. Simply put..kalau kita pikirkan pasal future of dunia..maka syor sang syaitan akan bubuh dalam diri kita perasan takut..takutlah jadi miskin, takut bos marah, takut kawan kecik ati, takut antu, bla bla bla…dan akhirnya tu yang jadi merebaknya penyakit wahan..isk isk isk…tapi kalau kita pikir panjang pasal akhirat Allah, still kita rasa takut..but then takut tu ada pengharapan dan keampunan. Takut yang baguslah senang crita…hmmm…
Ingat …ketakutan terjadi sebab kita tak bersedia. So kalau kita takut dunia kita akan prepared AKAN TETAPI kita akan tetap tension berpanjangan selagi kita tak mati..isk isk isk..…Tapi kalau kita takut akhirat, insyaAllah kita akan prepare tapi ada perasaan good anticipation from Allah…percayalah..
Ps : takut dunia = tension, takut akhirat = insyaAllah keampunan.
ana suka baca blog enta ni. inspiring … doakan semoga ana beroleh kekuatan.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah atas segala-galanya. Semoga kita semua terus beroleh kekuatan membuat kebaikan dan menyebar kebahagiaan. Amiin.
Wallahu a’lam.
[...] Inna lillahi wa inna ilaihi raaji”un! Benarlah demi Allah betapa sesungguhnya Tujuan Hidup Adalah Bersedia Untuk Mati! [...]
[...] Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un. Inilah satu kepastian: Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNyalah kita akan dikembalikan! Hujung minggu yang sudah adalah minggu kesibukan berprogram dan minggu turut sama merasai musibah. Semoga usaha ini diterima oleh Allah SWT sebagai ‘amal bermanfaat di dalam Memburu Kecemerlangan Di Sekolah Kehidupan. Benarlah betapa Tujuan Hidup Adalah Bersedia Untuk Mati! [...]
Saya suka ayat ‘Whatever you give to life, it gives you back…..’
[...] Siri Ketiga selepas Siri 1 oleh Ustaz Mohd Juneed Ismail yang membentangkan tajuk “Being A Good Muslim and its Relation to Corporate Social Responsibility” dan Siri 2 oleh Ustaz Mohd Nassru Abdul Latif yang membicarakan “Islam Considers Work as ‘Ibadah”. [...]
Salam semua
Mahasuci Allah yang telah membentuk segala yang ada di Alam ini termasuklah manusia, dari tiada kepada ada. Bagaimanapun sekiranya kita mengatakan bahawa Dia mengadakan kita dari tiada dengan yang sesuatu yang tiada, maka implikasinya ialah adanya sesuatu yang lain daripada zatNya. Secara saintifiknya, terbatallah Thermodyamic Law no satu, itupun kalau kita percaya dengan sains dan cuba untuk mengaitkannya dengan akidah kita.
Kita sebagai roh, yang diberikan jasad di Dunia, melalui 7 phasa kehidupan di alam Allah. Dengan adanya roh (pemandu) dan jasad (kenderaan) maka kita di gelar An Naan (pelupa) kerana semamangnya itu yang berlaku. Di alam roh sebelum diberikan kenderaan baru, roh kita telah kenal dengan sekenal-kenalnya Allah, tetapi akibat kecanggihan BMW yang diberikan, terus lupa diri dan mememandu laju, tanpa menghiraukan had-laju dan peraturan yang disediakan.
Alam ke3 yang akan kita lalui ialah alam Barzah, persempadanan, antara kebangkitaan dan keduniaan. Dan kita tidak lagi berada di di dimensi yang sama seperti di dunia, kerana kereta kita dah reput, bukan dimakan ulat dari tanah, tetapi ulat yang hidup dari microorganism yang sememangnya hidup bersama kita di dunia, walaupun tidak kita sedari atau tidak kita mahu menerima keberadaannya. Kita (roh) tidak ke kubor, tetapi ke alam Barzah. Kalau kita ke kubur mudahlah untuk kita mengelak soalan dengan menyertai projek membeku jasad yang berleluasa sekarang ni.
Kehidupan yang ke4 ialah apbila kita dikejutkan dengan semboyan alam kebangkitan, bukan dari tidur lena di kubur, tetapi dari alam barzah. Protein-protein jasad kita tadi telah bertuka dari complex molecules kepada basic element seperti hidrogen, oxygen dan sebagainya dan diserap oleh akar-akar dan udara yang ada di persekitaran kawasan kubur. Allah telah mengajar kitar semua dari azali.
Kehidupan ke5 apabila kita berkumpul untuk kemudian menerima buku akaun (kehidupan ke 6) dan akhirnya mendapat balasan (ke7). Setiap fasa mengambil masa yang lama dan Al Quran mengingatkan “Adakah kau ingat kau hidup lama di dunia?”
Maka mendefinasikan mati sebagai ‘habislah, tiada kehidupan lagi’ merupakan satu mitos yang perlu diperbaharui kalau tidak mahu diperbetulkan. Setuju dengan kenyataan Dunia bahawa hidup itu untuk mati, tetapi aktifnya kita di dunia menggunakan nikmat Allah, akan menunjukkan adakah kita akan bersikap ‘habislah … mati’ di alam-alam berikutnya.