“Kalau Bukan Kita, Siapa? Kalau Bukan Sekarang, Bila?”
As-Sarawaki, 10 April 2007: Hatiku merindui Jannatul Firdaus! Kata-kata ini menjadi sumber inspirasi dalam menjalani kehidupan dalam masa seminggu ini. Benarlah bahawa “sumbangan terbesar seorang manusia ialah membantu orang lain agar mereka dapat membantu diri sendiri” dan “bergaullah sesama manusia dengan satu pergaulan yang mana jika kamu tiada mereka akan rindu kepadamu dan jika kamu mati mereka akan menangisimu!”
Alhamdulillah! Minggu yang sudah bolehlah diibaratkan sebagai Minggu Tarbiyyah buat saya. Melatih dan dilatih dengan pelbagai kemahiran dan ilmu kehidupan. Sungguh, keletihan dan rasa ‘exhausted’ amat dirasai sepanjang minggu ini. Namun apabila bermuhasabah diri, rasa damai, mulia dan bahagia mula berbunga di hati. Kata-kata ‘hidup ini adalah perjuangan dan pengorbanan’ sering menjadi sumber inspirasi, penguat jiwa dan pendorong semangat untuk terus menabur khidmat dalam usaha dakwah dan islah. Redhamu Ya ALLAH yang kudamba!!
Pada 5 – 8 April yang lalu, alhamdulillah saya berkesempatan memberi khidmat sebagai urusetia Kem Motivasi Insan Cemerlang (KMIC) PMR 2007 anjuran Jawatankuasa Bertindak (Task Force) Pengurusan Kecemerlangan, Unit Pendidikan Islam dan Moral, Pejabat Pelajaran Gabungan Miri yang telah diadakan di Kampung Sukan Petronas. Seramai 154 orang pelajar Islam Tingkatan 3 dari seluruh Daerah Miri-Bakong, Subis dan Baram-Marudi yang mempunyai potensi cemerlang telah mengikuti program selama 4 hari 3 malam ini. Di dalam program ini juga, saya telah diamanahkan untuk menyampaikan ceramah motivasi selama 4 jam (2 jam pada malam 5 April dan bersambung 2 jam pada pagi 6 April) bertajuk “Rahsia Kecemerlangan: Berjiwa Besar, Bercita-cita Jelas dan Berfikir Sedar”.
Selepas menyampaikan ceramah pada pagi 6 April di Kampung Sukan Petronas, pada malamnya pula alhamdulillah saya terlibat di dalam menjayakan Kem Ibadah yang melibatkan lebih kurang 100 orang pelajar SMK Pujut Miri dengan mengisi Slot Ceramah 1: “Adab Pelajar Muslim dalam Menuntut Ilmu”. Seterusnya pada keesokan harinya iaitu 7 Julai, saya bergegas ke Taman Negara Niah yang terletak lebih 100km dari Bandaraya Miri bagi memenuhi jemputan Persatuan Pelajar Islam Kolej (PPIK) untuk menyampaikan ceramah motivasi kepada lebih kurang 50 orang pelajar Islam Kolej Tun Datu Tuanku Hj Bujang yang akan menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini. Selesai menyampaikan ceramah di Niah, saya terus balik ke Miri untuk menjalankan amanah sebagai Penolong Pengurus Program KMIC dan seterusnya pada Subuh Ahad keesokannya iaitu 8 April, saya telah diberi tugas untuk menyampaikan Kuliah Subuh dengan tema “Cintailah CINTA”. Alhamdulillah ‘ala kulli hal!
(Nota: Alhamdulillah, semua ceramah motivasi yang saya sampaikan adalah percuma dan tidak mengharapkan apa-apa imbuhan. Niat saya cuma satu, biarlah para pelajar ini sedar tentang tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim dan insaf bahawa mereka merupakan insan mulia dan merupakan sebaik-baik umat yang diutuskan oleh ALLAH SWT yang berhak hebat dunia dan Akhirat!)
“Berjiwa Besar Bercita-cita Jelas dan Berfikir Sedar”
MemberiTAHU, MemberiMAHU dan MemberiMAKNA
Alhamdulillah, sepanjang program berlangsung banyak pengisian telah dilaksanakan merangkumi ceramah-ceramah motivasi dan pengurusan, aktiviti berbentuk fizikal dan riadhah, latihan dinamika kumpulan, slot koreksi diri (muhasabah), slot kamceng solat, slot destinasi kecemerlangan, slot anak soleh dan beberapa modul lain. Alhamdulillah juga, sepanjang program ini pihak penganjur berusaha dengan semaksima mungkin untuk memastikan adab-adab dan syariat beragama terjaga termasuklah pemisahan antara lelaki dan perempuan di dalam segala aktiviti yang dilaksanakan. Ini semua penting agar program yang dianjurkan bukannya Trend Menyuburkan Dosa Melalui Kursus Motivasi sebagaimana yang dinyatakan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil di dalam blognya.
Segala puji bagi ALLAH SWT, hasil daripada feedback dan penilaian yang diterima dari peserta, sedikit-sebanyak program ini telah menaikkan motivasi, memberi manfaat, banyak membantu, mengobarkan semangat dan menimbulkan kesedaran kepada pelajar. Insya ALLAH, riang tawa, air mata, suka duka dan pelbagai rasa-rasa yang dikongsi bersama antara urusetia, fasilitator dan peserta akan menjadi memori indah yang tidak akan dilupakan. Mudah-mudahan ianya akan membawa khair dunia dan Akhirat.
Sesungguhnya saya amat bersemangat di dalam melaksanakan program-program ini. Teras utamanya ialah ingin mengajak para pelajar Islam agar dengan penuh semangat enthusiasme ayuh kita teruskan usaha mencapai kecemerlangan. Hati kecil saya sentiasa membara untuk melihat pelajar Islam mencapai kecemerlangan yang komprehensif merangkumi kecemerlangan akademik, sahsiah, fikrah dan kesedaran ummah. Apa yang membuat saya terharu ialah apabila di kalangan peserta ada yang telah mengikuti ceramah motivasi saya untuk kali ke-2, ke-3 malah ada yang kali ini merupakan kali ke-4! Namun mereka masih sudi menjadi peserta kerana katanya “ceramah Abg Muhtar best”, “nak lonjakkan cetusan kecemerlangan”, “nak dapat semangat motivasi” dan pelbagai lagi komen positif yang saya terima.
Apapun, bagi saya biarlah keikhlasan berbicara dan sesungguhnya mudah-mudahan usaha yang sedikit ini akan menjadi amal ibadah yang dikira oleh ALLAH SWT sebagai amal soleh yang akan menjadi bekal berharga di Akhirat kelak, sekaligus melayakkan diri untuk masuk ke dalam SyurgaNya dan terlepas dari seksa api nerakaNya. Amiin.
Suka juga dikongsikan beberapa pengisian yang disampaikan dalam ceramah tempoh hari untuk menjadi pedoman bersama. Saya telah memulakan ceramah dengan menyatakan kepada peserta bahawa: “Tanamkanlah dalam khayalanmu tentang kejayaan dan biarlah ianya tertulis utuh di dalam hatimu” dan seterusnya “Andalah Harapan Bangsa, Negara dan Agama.. Jangan Hampakan Impian Kami!”.
Sememangnya, senario semasa di Miri amat mewajarkan para pelajar dan generasi muda Islam di Miri dibuka mindanya untuk melihat ke hadapan dan berminda futuristik. Keadaan, keberadaan dan kemandirian umat Islam di Miri 10-20 tahun akan datang banyak dipengaruhi dan akan dicorakkan oleh mereka yang merupakan barisan pelapis kepimpinan kini. Justeru mereka dituntut untuk mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, soft skills, kemahiran kepimpinan serta amat perlu untuk berjiwa besar dan bersemangat kental. Kita tidak ingin kisah di bawah akan terjadi sekiranya tiada tindakan proaktif dan berterusan dilaksanakan untuk menyedarkan peripentingnya penguasaan siasah, ekonomi, sosial dan pendidikan dalam membentuk kecemerlangan umat.
“Ada satu cerita tentang 4 orang bernama SEMUAORANG, SESEORANG, SESIAPA, dan TIADASIAPA. Ada tugas yang penting untuk dibuat dan SEMUAORANG pasti yang SESEORANG akan buat. SESIAPA sahaja boleh membuatnya, tetapi TIADASIAPA yang membuatnya. SESEORANG amat marah kerana ia merupakan kerja SEMUAORANG. SEMUAORANG ingat SESIAPA saja boleh membuatnya, tetapi TIADASIAPA sedar bahawa SEMUAORANG tidak ingin membuatnya. Ia berakhir dengan SEMUAORANG menyalahkan SESEORANG apabila TIADASIAPA buat apa yang SESIAPA sahaja boleh buat.”
Teori MUKHTAR©
Salah satu pengisian utama yang sering saya kongsikan di dalam siri ceramah motivasi yang disampaikan ialah satu formula yang saya namakan Teori MUKHTAR©.
“Teori MUKHTAR©”
Terdapat 2 Teori MUKHTAR© yang cuba untuk dibentangkan kepada peserta untuk diimplementasikan dan diuji keberkesanannya. Teori MUKHTAR© yang pertama ialah satu prinsip yang boleh digunapakai oleh sesiapa sahaja, di mana saja dan bila-bila masa sahaja sepanjang manjalani kehidupan dunia sebagai seorang Muslim atau Muslimah sejati. Teori MUKHTAR© untuk kehidupan dirangkumkan di dalam akronim seperti berikut:
M = Mission
U = Ummatic
K = Knowledge
H = Holistic
T = Tarbiyyah
A = Altruistic
R = Rabbaniyyah
Sebenarnya teori ini (kalau ianya sesuai untuk dianggap sebagai teori) amat relevan untuk diadaptasi di dalam kehidupan. Dan perlu juga dinyatakan di sini sebagai peringatan buat diri betapa tujuan dakwah bukanlah untuk mempopularkan diri, tetapi sebaliknya tujuan dakwah adalah untuk mempopularkan ALLAH SWT, menjadikan Rasulullah sebagai Diva (Qudwah), pengajian agama sebagai Akademika Fantastika dan memastikan ajaran agama sebagai sillabus kehidupan.
Secara ringkas dikongsikan perincian dari prinsip atau teori di atas. Yang pertama ialah perlunya seseorang itu mempunyai misi yang jelas di dalam hidupnya. Apakah tujuan hidupnya? Apa yang dia mahu dari hidup ini? Adakah sekadar lahir, makan, minum, ke tandas, berkahwin, beranak-pinak, kemudian menganjak usia senja dan akhirnya mati?? Atau sekadar menjadi bayi kemudian membesar menjadi kanak-kanak, lalu menjadi remaja, dewasa, veteran dan penghujungnya menjadi orang tua yang menanti saat kematian??
Justeru persoalan misi hidup ini sebenarnya amat penting untuk diperjelaskan, difahami dan dipakubesikan di minda dari awal kehidupan seseorang agar dia berjaya di dunia dan di Akhirat. Sebab itu, saya menyatakan dalam slide show tersebut bahawa insan cemerlang mempunyai peta dan kompas hidup serta berminda futuristik. Ini amat penting kerana bila matlamat dan haluan kehidupan seseorang itu adalah matlamat dan haluan yang Rabbani, bererti dia telah mengetahui dari mana dia datang dan ke manakah dia akan pergi serta manakah tempat kekalnya.
Setelah misi hidup sudah jelas, maka seterusnya ia perlulah bersifat ummatik dari segi prinsipnya kerana Islam adalah agama yang bersifat ‘alamiyyah ya’ni sejagat sehinggakan Rasulullah itu sendiri diutus untuk rahmat sekalian alam.
Selain itu, tidak boleh tidak ilmu juga adalah prasyarat utama untuk kejayaan di dua dunia. Fahamilah firman ALLAH SWT di dalam Surah Al-Mujaadalah, ayat 11: “Hai orang-orang yang beriman, apabila dikatakan kepadamu: “Berlapang-lapanglah dalam majlis”, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untukmu. Dan apabila dikatakan: “Berdirilah kamu”, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Malah Rasulullah SAW bersabda: “Menuntut ilmu adalah wajib ke atas setiap Muslim”. Dan seperkara lagi ialah perlu juga difahami bahawa “ilmu tanpa amal adalah seperti pohon tanpa buah, seperti awan tanpa hujan.”
Selanjutnya, secara tuntas untuk menjadi insan yang benar-benar cemerlang, saya juga menyatakan betapa ia perlu holistik sifat dan pendekatannya. ‘Re-engineering’ modul pembangunan insan perlu kepada asimilasi antara kecerdasan intelek (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spritual (SQ) yang juga merupakan penanda aras ke arah melahirkan manusia ideal yang berjaya dunia dan Akhirat.
Malah Ary Ginanjar Agustian, penulis Indonesia yang saya hormati di dalam bukunya ESQ Power menyatakan bahawa: “nilai-nilai ESQ yang diadun dengan IQ akan meningkatkan kemampuan untuk mengangkat suara hati spiritual yang paling dalam (unconscious mind) sehingga sumber kecerdasan spiritual yang terletak pada God Spot manusia dapat dizahirkan dalam kehidupan sehari-hari.”
Justeru proses pembentukan insan cemerlang mesti mengambil kira ketiga-tiga aspek ini: IQ, EQ & SQ. Malangnya, sistem pendidikan kini lebih fokus kepada pembangunan IQ dan mengambil ringan aspek EQ dan SQ. Sedangkan didapati IQ hanya memainkan peranan 6% dalam pembentukan peribadi sedangkan 94% lagi adalah ditentukan oleh EQ dan SQ. Dan semuanya ini memerlukan tarbiyyah ya’ni pendidikan dan latihan yang berterusan.
Selanjutnya saya turut berhujah bahawa perlunya kecemerlangan hidup itu dicerna dengan pendekatan yang altruistik dan dipimpin dengan akhlaq yang baik melalui pembudayaan sifat-sifat mahmudah dan menjauhi sifat-sifat mazmumah. Pembentukan ukhuwwah Islamiyyah amat penting ke arah menjayakan segala perancangan dan modus operandi pemerkasaan umat dan dalam usaha mengembalikan zaman emas kegemilangan Islam. Dalam hal ini, gurindam Raja Ali Haji ada kerelevanannya untuk dihayati bersama:
Cari olehmu akan sahabat yang boleh dijadikan ubat;
Cari olehmu akan guru yang mengenal segala seteru;
Cari olehmu akan isteri yang boleh menyerahkan diri;
Dan jadi olehmu akan abdi yang ada baik budi.
Secara khulasah dan sebagai konklusinya semua pendekatan dalam teori ini sebenarnya anak tangga menuju redha ALLAH dan oleh kerana ALLAH matlamatnya maka ciri Rabbaniyyah tidak boleh tidak merupakan teras utama pemacu ke arah tercapainya impian murni kehidupan.
Sebagai memanifestasikan hasrat murni ini dan sekaligus menanamkannya di minda para peserta, lagu tema ‘Menuju Wawasan’ dendangan Suara Firdaus telah dipilih dengan tujuan mengajak para peserta untuk menjadi insan yang menjiwai agama dengan sebenar-benarnya.
“Jadilah Insan yang Menjiwai Agama!”
Sesungguhnya, lagu nasyid ini beserta liriknya amat berkesan dalam diri dan menjadi pemerkasa keyakinan, penaik semangat dan penguat iltizam di kala rasa ‘down’ dan pada saat merudum kemahuan. Dikongsikan lirik lagunya yang mudah-mudahan membakar semangat dan menyalakan api semangat juang kerana ALLAH.
Umat Islam harus cemerlang
Hari ini mesti lebih baik dari semalam
Jangan buang masa
Siapa kata kita tidak boleh
Kita ada ALLAH Maha Kuasa
Kita punya kuasa tenaga
Do’a sebagai senjata
Umat Islam sentiasa boleh!
Umat Islam sentiasa boleh!
Umat Islam zaman lampau
Taat perintah Rasulullah
Bersama berusaha
Bersatu tuju wawasan
Dunia dan Akhirat
Wawasan dunia dan Akhirat
Akhirnya Islam cemerlang seluruh dunia
Wawasan diri
Penuhi dada dengan ilmu
Wawasan agama
Bekalan masa depan dan Akhirat
Kuat usaha
Jujur dan amanah
Sentiasa mengharap keredhaan ALLAH
Aqidah ibadah harus sempurna
Ibadah tanpa aqidah wawasan syaitan
Ulama’ warisan anbiya’
Pegangan mereka harus diikut
Ajaran sesat wajib hindari!
Seterusnya, Teori MUKHTAR© kedua pula saya tujukan khas buat para pelajar dan mahasiswa. Teori ini disyorkan agar dijadikan sebagai guideline di dalam menempah kejayaan di bidang pelajaran dan peperiksaan. Berikut merupakan makna tersurat dan tersirat yang ingin dimajukan yang dicerakinkan berdasarkan akronim M.U.K.H.T.A.R tersebut:
M = Matlamat yang jelas
U = Usaha yang tidak mengenal jemu
K = Kesungguhan untuk berjaya
H = Hero nan hebat
T = Teknik dan strategi
A = Altruistik dan akhlaq
R = Religious-concious ya’ni berkesedaran agama yang tinggi.
Semoga konsep dan prinsip ini ada manfaatnya buat kita semua di dalam menjalani kehidupan dan seterusnya mencipta kecemerlangan demi redha ALLAH SWT. Amiin.
Selain Teori MUKHTAR©, apa yang sering saya tekankan di dalam ceramah motivasi yang disampaikan ialah USAHA, USAHA, USAHA! Dengan usaha insya ALLAH biiznillah kita pasti berjaya! Atas keprihatinan dan komitmen inilah, salah satu nada irama yang sentiasa menjadi pengisian ceramah motivasi saya ialah lagu Tanya Sama Hati berikut:
Tanya sama ayah
Apa erti sayang
Nanti jawab ayah
Tanyalah ibu
Tanya sama ibu
Apa erti sayang
Nanti jawab ibu
Kasih dan mesra
Cinta pada ALLAH
Cinta Rasulullah
Cinta ibubapa, guru dan rakan
Tanya sama hati
Apa erti jaya
Nanti jawab hati
Tingkatkan usaha..
Matlamat Tarbiyyah Islamiyyah
Manakala di dalam Kuliah Subuh pada hari terakhir Kem Motivasi Insan Cemerlang tersebut, alhamdulillah saya telah berkongsi dengan para peserta tetang matlamat Tarbiyyah Islamiyyah atau Pendidikan Islam. Matlamat tarbiyyah di dalam Islam itu termasuklah:
1. Melahirkan umat muttaqin yang mempunyai ta’alluq billah yang kuat – Tarbiyyah Islamiyyah bermatlamatkan melahirkan para mu’min yang hidup dan matinya, ibadah dan pengorbanannya untuk ALLAH.
2. Melahirkan insan berkarakter dan berperibadi unggul yang menyerah diri sepenuhnya kepada ALLAH – berlumba-lumba mendapatkan keampunan dan syurgaNya serta benci dan takut dilemparkan oleh ALLAH ke neraka Jahannam.
3. Melahirkan para mu’min yang menghayati perjuangan yang mana perasaan, percakapan dan tindakan mereka telah dikuasai kesanggupan terhadap perjuangan demi ALLAH.
“Tidak akan kamu berasa gundah walau sekali jika kau tahu apa yang dicari!”
(Sayyidina ‘Umar al-Khattab r.a.)
Aku Impikan ke Syurga!
Sekadar di sini dahulu catatan kali ini. Sekadar perkongsian, Insya ALLAH berikut merupakan program-program akan datang yang insya ALLAH protaz dan engineer dae’i yang mudah-mudahan berjiwa besar ini akan turut serta dalam menjayakannya. Semoga segalanya khair dunia dan Akhirat. Amiin.
14 April 2007: Ceramah Motivasi “Jom Cemerlang!”, SK Agama Miri
15 April 2007: Kaunseling Kerjaya, SM Sains Miri
18 April 2007: Usrah @ Diskusi Intelligentsia
21 April 2007: Motivational Talk: “First Step Towards Excellence”, SM Sains Miri
26-28 April 2007: Ceramah Motivasi Cemerlang, Kem Motivasi SPM, SM Sains Miri
3-5 Mei 2007: Ceramah Motivasi Cemerlang, Kem Motivasi PMR, SM Sains Miri
11 Mei 2007: Program Motivasi, SMK Bekenu Miri
12-13 Mei 2007: Program Masih Ada Yang Sayang, PPDK Subis
15-17 Jun 2007: Program Titian Kasih, SM Sains Miri
22-23 Jun 2007: Program Jom Cemerlang, Task Force Kecemerlangan Miri
29 Jun – 1 Julai 2007: Kem Bina Jatidiri, Taman Negara Similajau, Bintulu
Akhirnya, buat adik-adik peserta yang membaca catatan ini, sehingga berjumpa lagi di puncak kejayaan dan singgahsana kecemerlangan.. Buktikan sememangnya ANDA HEBAT! Ingatlah selalu: Jangan kamu korbankan ISLAM tetapi berkorbanlah untuk ISLAM! Akhiran.. Semoga bertemu lagi di Syurga nan abadi! Sabda Rasulullah SAW: “Berikan enam jaminan kepadaku, nescaya aku jamin SYURGA bagimu.. Jujurlah bila berbicara, tepati janji, laksanakan amanah yang dipercayakan kepada anda, peliharalah kemaluan anda, jaga baik-baik pandangan anda dan kendalikan pula tangan anda dengan sebaik-baiknya.”
Segala yang baik datangnya daripada ALLAH SWT, dan yang kurang itu datangnya dari penulis ini yang merupakan hambaNya yang serba-serbi dhaif.
Kalau Bukan Kita, Siapa?
Kalau Bukan Sekarang, Bila?
Wallahu a’la wa a’lam.






alhamdullilah..nang bena bah..best kitak tok berceramah…apakabar semua..???alhamdulillah,sangat sihat, luar biasa baik,cemerlang..SAYA HEBAT…masih gik tergiang-giang di telinga..
alhamdullilah syukur, mudahan selepas kem motivasi tok blaku lh prubahan ke atas dirik kamek tok….amin..kerana sesungguh nya manusia itulah yang perlu berusaha ke arah kehendak nya…di harap lah ABG MUHTAR dpt dtg singgah skali gik ke miri utk mberik ceramah MOTIVASI kpd kamek orang di sitok…
dengan akhir kata.. ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHIWABARAKATUH….
p/s:Kenak..??sik kenak nya, miss ajak..(ingat siapa yg madah tok..??im really sorry sebab menyampok masa ya..mudah-mudahan ALLAH mgampunkan dosa kamek dan dosa tuan…AMIN)
Assalamualaikum..
Nampaknya teori MUKHTAR amat berguna untuk sesiapa yg bergelar pelajar, termasuk diri ana juga. Jazakallah! Agaknya bila pula nta nak berceramah motivasi di UMP ye..
Muhammad Shukri;
Alhamdulillah atas segala-galanya. Selamat maju jaya. Semoga cemerlang dunia dan Akhirat.
Achik Solehah;
Insya Allah, sekiranya ada program-program berkenaan di UMP, kita boleh bersama-sama ikhtiar dan jayakan. Fastabikul khairat.
Secara tidak sengaja saya melayari laman web ini kerana nak cari kem motivasi untuk anak. Setelah membaca saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada saudara seorang engineer yang mempunyai semangat begini dan telah mengambil langkah untuk melaksanakannya. Saya doakan usaha saudara sentisa mendaoat bantuan Allah dan semoga berterusan hingga ke akhir hayat. Saya amat bangga dan bersyukur kerana wujudnya insan spt saudara, alhamdulillah.
[...] http://muhtarsuhaili.wordpress.com/2007/04/10/jom-cemerlang-umat-islam-berhak-hebat/ [...]
Assalamualaikum, sheikh ana nak tanya apa nama kumpulan nasyid yang enta buat kat atas ni, ana nak cari lagunya kat dalam internet, terima kasih…