Sila Klik Di Sini Untuk Foto-foto Kembara..
As-Sarawaki, 19 Februari 2007: Imam Shafie rahmatullahi ‘alaih telah berkata benar dengan kata-katanya tentang faedah bermusafir. Beliau menyatakan: “Bermusafirlah kamu, kamu akan bertemu ganti dengan orang yang kamu tinggalkan. Hendaklah kamu berpenat-penat kerana sesungguhnya kelazatan hidup itu adalah di dalam berpenat-penat.”
Alhamdulillah, hujung minggu yang sudah dari 16-18 Februari diri telah menjejakkan kaki ke Kota Venice, Itali. Ziarah ke negara The Italian Republic yang beribu kotakan Kota Rom dan kembara ke negara yang di dalamnya terletak dua wilayah merdeka iaitu San Marino dan Vatican City ini merupakan percutian rehat yang amat bermakna dan penuh ‘ibrah!
Venice (atau Venezia di dalam bahasa Italia), yang terkenal dengan gelarannya “The City of Romance” merupakan salah satu dari kota yang sudah lama diri impikan untuk menjejakkan kaki ke dadanya selain kota Paris dengan timangannya “The City of Love” di Perancis yang telah diziarahi pada 6-8 Oktober 2006 yang lepas.
Alhamdulillah, diri kini sekali lagi berpeluang untuk ziarah di dalam tugas ke bumi Eropah untuk kali ketiga. Ziarah kali ini lebih suka untuk diri sinonimkan dengan tema ‘Hibernasi Winter’ bersesuaian dengan musim sejuk ketika ini. Diri kini sedang menghadiri kursus M114: Instrumentation and Basic Process Control dan M118: Plant Control and Supervisory System di Shell Exploration and Production International Learning Center (Shell EPiCenter), Rijswijk, The Hague, Belanda selama 3 bulan dari 8 Januari sehingga 23 Mac 2007. Kursus ini juga sebenarnya sebahagian daripada Master of Technology in Petroleum (Part Time) yang merupakan Twinning Program di antara Shell Global Solutions dan Curtin University of Technology, Australia.
Perancangan untuk melawat Kota Venice telah dimulakan pada 20 Januari dengan menempah tiket online pergi-balik dari Amsterdam (Schiphol) Airport ke Venice (Marco Polo) Airport dengan menggunakan KLM Airlines yang menelan tambang keseluruhan sebanyak Euro278.39 = RM1,330. Selain itu, penginapan turut telah ditempah melalui Booking.Com di Hotel Venice Resort dengan kadar bayaran sebanyak Euro140 = RM650 untuk 2 malam.
e-Ticket dan Boarding Pass
Alhamdulillah, peluang ziarah ke Kota Venice ini diri rasakan sangat relevan pada masanya dan merupakan satu peluang yang amat sesuai untuk merehatkan minda, melepaskan lelah mentelaah dan menyegarkan fikiran. Apa tidaknya, selama 6 minggu (masih berbaki 5 minggu) berkursus lima hari seminggu dari 8.30pagi – 4.30petang dengan dipenuhi kuliah-kuliah teknikal yang kadangnya amat baharu dan mencabar buat jurutera muda dan masih mentah seperti diri. Selain itu, terdapat 4 exams yang terdiri daripada Control Principles, Measuring Principles, Control Valves dan Quality Measuring Instruments (QMI) yang diadakan hampir setiap minggu serta ditambah lagi dengan Laboratory Practical Works yang memerlukan sebanyak 8 laporan makmal (Lab Reports), yang mana kesemuanya ini memerlukan diri untuk membuat penelahaan, percambahan fikiran dan keseriusan bekerja.
Bermulanya Satu Kembara (16 Februari 2007)
Setelah selesai Kuliah dan Latihan Amali berkenaan Phoenix Contact Assembly Designer menggunakan Clip Project 6.5, lebih kurang pukul 12.40tengahari, diri bergegas menuju ke The Hague dengan menaiki tram untuk menunaikan Solat Jumaat. Alhamdulillah suasana Solat Jumaat di Masjid Al-Muhsinin akan membuatkan sesiapa sahaja yang berada di dalamnya akan merasakan seolah-olah tidak berada di Eropah kerana bangunan masjid 5 tingkat ini dipenuhi dengan ramai jemaah Muslimin.
Berbeza dengan di Malaysia yang mana kebanyakan imam masjid hanya membaca teks khutbah yang disediakan oleh jabatan agama dengan segala limitasinya, khatib yang bertugas di Masjid Al-Muhsinin pada hari tersebut benar-benar berkhutbah. Khutbah yang disampaikan secara spontan dan dengan gaya penyampaian yang meyakinkan telah menggamit para jemaah untuk mendengar dan mendasari isi khutbah serta sekaligus menghayatinya. Dan pastinya khutbah yang disampaikan dengan berkesan seperti ini tidak akan membuatkan jemaah tertidur sebagaimana senario biasa yang sering diperhatikan di Malaysia!
Khutbah di dalam bahasa Arab yang disampaikan kali ini adalah menyentuh tentang Birrul Walidain iaitu berbuat baik kepada kedua ibubapa pada khutbah pertama dan disambung dengan peranan As-Syabab, pemuda-pemudi di khutbah kedua. Diri merasa amat terkesan ketika mendengar khutbah selama 45 minit tersebut dengan segala butiran penjelasan, nasihat-nasihat dan dalil-dalilnya. Diri lebih terharu dan tersentuh apabila jemaah di sebelah diri mengalirkan airmata dan mengesat airmatanya beberapa kali dalam sedu-sedan ketika mendengar khatib membicarakan tentang fungsi dan tanggungjawab anak terhadap ibubapanya. Diri sekaligus merasa insaf dan terkenang ibu dan ayah tercinta nun jauh di kampung halaman. Terlalu banyak jasa dan pengorbanan mereka yang tidak mungkin diri ini membalasnya. “Ya Allah, ampunkanlah dosa kami dan dosa kedua ibubapa kami dan kasihanilah keduanya sebagaimana mereka telah mengasihani kami sejak kami masih kecil!” Amiin.
Firman Allah SWT di dalam Al-Quran Surah Al-Isra’ ayat 23 – 24 bermaksud: “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia. Dan agar kamu berbuat baik terhadap kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripadanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu, janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada kedua-duanya perkataan ‘Ah!’ dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah, “Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidik aku sejak aku kecil lagi.”
Keluarga Tercinta
Setelah solat Jumaat dan beramah mesra dengan beberapa orang jemaah, diri menuju ke Restoran Sukur Donor untuk makan tengahari dengan Kebab Turki dan memesan satu lagi ditapau untuk makan malam. Selepas itu diri menuju ke stesen Den Haag Holland Spoors untuk menaiki keretapi menuju ke Schiphol International Airport.
Perjalanan selama 45 minit itu diri gunakan untuk menyelesaikan pembacaan buku “The Road To Mecca” karangan Muhammad Asad yang baru separuh habis dibaca. Sebenarnya diri merasa sedikit kecewa dengan tahap dan peluang pembacaan yang ada sepanjang enam minggu di bumi Belanda setakat ini. Mungkin disebabkan kesibukan berkursus dan bebanan bacaan bahan kuliah sepertimana yang telah disebutkan, diri hanya sempat membaca dan mengkhatamkan 3 daripada 6 buah buku yang dibawa dari Malaysia. Hanya 3 buku dalam 6 minggu!! Sementara 3 buah buku lagi termasuk “The Road To Mecca” selain “Shaidul Khathir: Cara Manusia Cerdas Menang Dalam Hidup” karangan Imam Ibnu Al-Jauziy (hadiah dari sahabat akrab Akhi Mohd Sharifuddin Mohd Nor) dan “Insan Ingatlah!: Sebuah Panduan Menuju Hati Yang Tenang” karangan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat masih separuh jalan dalam membacanya. Semoga Allah mempermudah dan melapangkan masa untuk diri untuk terus membaca. Ayuh bersama terus membaca ke arah anjakan paradigma dan meningkatkan daya fikir atas urusan dunia dan Akhirat.
Setibanya di Schiphol International Airport lebih kurang pada pukul 3.30 petang, diri terus mencari kedai-kedai buku yang terdapat di kompleks membeli-belah di dalam lapangan terbang tersebut. Dari awal sememangnya niat diri untuk datang awal (meskipun penerbangan ke Venice dijadualkan hanya akan berlepas pada pukul 9.00malam) agar beroleh peluang membelek buku-buku dan seandainya ada yang berkenan akan dibeli untuk menambah koleksi-koleksi buku yang sedia ada. Lebih kurang sejam dihabiskan di dua buah buku yang mana kebanyakan buku-buku yang ada hanyalah buku-buku fiksyen selain beberapa buku non-fiksyen dan hampir keseluruhannya adalah tulisan penulis Barat. Betapa sukarnya mencari buku-buku Islami di sini! Alhamdulillah, setelah puas mencari buku-buku yang bersesuaian, akhirnya diri membeli buku “Muhammad Ali: The Soul of a Butterfly, Reflections on Life’s Journey” (berharga Euro13.95 = RM66) karangan Muhammad Ali dan anaknya Hana Yasmeen Ali di AKO News and Media yang merupakan buku biografi peninju Islam terkenal tersebut. Sebuah lagi buku iaitu “Constantinople: The Last Great Siege 1453” (berharga Euro19.95 = RM94) karangan Roger Crowley dibeli di kedai News and Books Zuid. Buku ini mengisahkan secara terperinci bagaimana pertempuran dua blok tentera yang akhirnya menyaksikan kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh membuka kota Konstantinopal yang kini dikenali sebagai Istanbul, dan sekaligus menandakan kejatuhan ibukota ribuan tahun Kerajaan Kristian Byzantium tersebut ke tangan Kerajaan Khilafah Uthmaniyyah.
Setelah membeli buku-buku tersebut, diri menuju ke balai pelepasan dan terus check-in secara online dengan menggunakan mesin komputer yang disediakan. Setelah mendapat e-tiket dan boarding pass serta melalui proses scanning hand-luggage dan lain-lain prosedur keselamatan, diri ke Gate B29 yang merupakan pintu berlepas untuk penerbangan KL1663 Amsterdam-Venice. Setibanya di Gate 29, lebih kurang pukul 5.30 petang, diri dapati ruang tersebut masih kosong memandangkan waktu berlepas hanyalah pada pukul 9.00 malam. Hanya ada beberapa penumpang di ruang menunggu bersebelahan yang akan menuju ke destinasi yang lain. Setelah memilih tempat duduk di sudut ruang menunggu tersebut, diri sempat menghubungi ibu dan ayah serta jiran di Malaysia untuk bertanya khabar dan bertukar-tukar berita. Alhamdulillah, berkongsi bahagia sesungguhnya amat bermakna dalam hidup ini. Hidup dengan ikatan kasih sayang yang murni adalah nikmat yang amat menggembirakan dan akan mengaktifkan pesona hidup!
Masa yang masih berbaki lebih kurang 3 jam sebelum berangkat, diri isi dengan memulai pembacaan buku biografi Muhammad ‘Ali. Diri juga dapati beberapa pasangan warga tua yang ada di ruangan menunggu tersebut sedang asyik membaca buku; satu fenomena yang biasa di sini tetapi masih janggal di Malaysia. Budaya membaca rakyat negara kita sesungguhnya masih berada di tahap yang amat perlu dipertingkatkan. Menurut satu statistik yang pernah diri baca, secara purata rakyat Malaysia hanya membaca satu muka surat setahun!Ya, secara purata hanya satu muka surat setahun!
Berbalik kepada buku biografi Muhammad ’Ali tersebut, buku ini merupakan buku kedua tentang pejuang kulit hitam Muslim yang menentang dasar apertheid di Amerika ketika Black Revolution pada tahun 1960-an selepas buku biografi Malcolm-X yang hidup sezaman dengan Martin Lurther King yang alhamdulillah dikhatamkan pada tahun 2004. Sesungguhnya, membaca buku berkenaan tokoh-tokoh segigih mereka dan orang-orang yang berjaya akan meningkatkan motivasi diri dan sekaligus mencetuskan idea merancang strategi dalam mengangkat martabat perjuangan diri dan gerakan. Dari kisah hidup mereka akan terdapat pengajaran-pengajaran bermakna yang boleh dijadikan panduan mahupun sempadan dalam mengharungi mehnah, tribulasi dan pancaroba kehidupan.
Muhammad Ali yakni seorang peninju yang mana ibunya adalah seorang Baptist dan ayahnya pula seorang Methodist dan telah mendapat cahaya hidayah serta memeluk Islam pada tahun 1967, telah menyatakan di dalam pendahuluan buku tersebut satu kata-kata menarik dan menyentuh yang wajar kita renungkan bersama. Kata-kata tersebut telah diri sunting secara bebas sepertimana berikut:
“I had more time then to develop my spiritual being the way that I once developed my muscles and agility. When I look at the world, I see that many people build big beautiful houses but live in broken homes. We spend more time learning how to make a living than we do learning to make a life. What I hope to share with you are the beliefs that I have come to live by. Many of the philosophies, stories, and ideals that have touched my soul and inspired my heart I learned from my study of Islam. I have shared this knowledge with my family and friends; now I offer it to the world.
At night when I go to bed, I ask myself, “If I don’t wake up tomorrow, would I be proud of how I lived today?” With that question in mind, I have tried to do as many good deeds as I can, whether it is standing up for my faith, signing an autograph, or simply shaking a person’s hand. I’m just trying to make people happy and get into Heaven.
My soul has grown over the years, and some of my views have changed. As long as I’m alive, I will continue to try to understand more because the work of the heart is never done. All through my life I have been tested. My will has been tested, my courage has been tested, my strength has been tested. Now my patience and endurance are being tested. Every step of my way I believe that God has been with me. And, more than ever, I know that He is with me now. I have learned to live my life one step, one breath, and one moment at a time, but it was a long road. I set out on a journey of love, seeking truth, peace, and understanding. I am still learning.”
Seterusnya beliau menukilkan sebuah puisi penuh harapan bertajuk “God bless the World”:
I hope that one day
All nations great and small
Will be able to stand up and say
We lived in pursuit of peace for all.
Maybe then there will come a day
When instead of saying:
“God bless America,” or
“God bless some other country,”
Everyone everywhere will say:
“God bless the World!”
Lebih kurang pukul 8.00 malam, ruang menunggu tersebut mula sesak dengan para penumpang. Ukhti Nurul Wahida Mohd Jammal (ex-UIA dan juga merupakan seorang jurutera di Shell) yang turut akan berangkat dalam penerbangan yang sama tetapi dengan itinerary berbeza ketika di Venice turut tiba dan sempat berkongsi cerita dan pengalaman. Terima kasih Ukhti Nurul Wahida kerana sudi membelikan roti sebagai bekalan makanan tambahan ketika di Venice. Shukran jazilan, Allah ma’ak!
“It is said that there are two ways of dealing with people: One way is to control them, the other is to respect them. By controlling, you weaken the will of the other person. By respecting, you acknowledge the other’s personal will. In one case, you make a person a slave, in the other, you make him a partner.” Fikir-renungkanlah kata-kata ini dalam habluminannas yakni hubungan kita sesama insan di dalam hidup ini.
Lebih kurang pukul 9.00 malam kami masuk ke pintu untuk pelepasan dan kemudiannya menaiki bas menuju ke kapal terbang yang terletak agak jauh dari terminal. Setibanya di dalam kapal terbang diri terus ke tempat duduk 8F dan dua orang yang duduk bersebelahan ialah sepasang kekasih dari Itali yang baru balik dari jalan-jalan dan bercuti di Amsterdam. Selepas berbual-bual dan berkenalan secara ringkas, diri terus menumpukan perhatian dan teruskan pembacaan yang tergendala sebentar tadi. Perjalanan dari Amsterdam ke Venice tersebut mengambil masa lebih kurang 2 jam 15 minit. Dan alhamdulillah, segala puji bagi Allah atas sehala kekuatan dan kalapangan masa, 5 minit sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Venice (Marco Polo), buku biografi Muhammad ’Ali setebal 219 muka surat telah berjaya dikhatamkan. Buat sahabat-sahabat yang berminat mengetahui perjalanan seorang anak jalanan yang akhirnya menjadi seorang jaguh tinju yang hebat dan disegani, seorang yang tiada arah tujuan dalam hidup akhirnya bertemu hidayah Islam, seorang pejuang kulit hitam yang berjuang ke arah kesaksamaan manusiawi dan seorang manusia yang ingin melihat semua manusia hidup dalam cinta dan aman, diri syorkan agar buku ini termasuk dalam salah satu senarai wajib baca kalian. Insya Allah pasti ada khairnya!
Setelah tiba di lapangan terbang dalam lebih kurang 11.30 malam, diri terus menuju ke tempat menunggu bagi menempah teksi untuk menuju ke Hotel Venice Resort. Masya Allah, dengan perjalanan yang hanya sejauh 1km dan kurang dari 5 minit, diri terpaksa membayar tambang teksi tersebut sebanyak Euro15 = RM70!
Hotel Venice Resort
Setibanya di hotel empat bintang tersebut dan selesai check-in untuk bilik 203, diri berehat seketika untuk melepas lelah. Selepas itu diri terus mandi dan membersihkan diri untuk kesegaran badan dan kemudiannya solat jama’ dan qasar Maghrib dan Isya’. Seterusnya dek keletihan dan untuk mengecaj tenaga demi jaulah keesokan harinya, diri terus terlena dengan amat nyenyak. Syahid seketika dan mudah-mudahan menjadi ibadah!
Bienvenuto a Venezia – Selamat Datang ke Venice (17 Februari 2007)
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, diri masih terus diberi peluang meneruskan perjuangan hidup dengan kurnia usia dariNya. Tidur sesungguhnya satu nikmat, rehat yang amat nikmat! Namun, nikmat tersedar dari tidur itu yang lebih utama disyukuri kerana bangun dari tidur maknanya satu lagi episod baru dalam ‘menguji siapakah di kalangan kita yang terbaik amalnya’.
Setelah menunaikan Solat Subuh, mandi, menunaikan segala urusan kendiri dan sempat bersarapan dengan cornflakes, roti ringkas beserta teh panas di Cafe hotel, diri telah mendapatkan sedikit sebanyak maklumat dari receptionist hotel tentang kota Venice dan cara terbaik dan paling selesa untuk sampai ke Venice dari hotel tersebut. Setelah mendapat penerangan serba ringkas di dalam bahasa Inggeris slanga Itali yang kadang-kadang sukar difahami, diri terus menuju ke perhentian bas terdekat di Triestina. Pagi yang indah di kawasan kehijauan pertanian di sekitar Hotel Venice Resort menggamit mata memandang dan menceriakan rasa. Sesungguhnya kehijauan merupakan satu tanda kehebatan Dia!
Setelah menunggu selama lebih kurang 10 minit, bas No. 5 yang menghubungkan Aeroporto Marco Polo – Tessera – Venice tiba dan dengan bayaran tambang sebanyak Euro1.50, diri menuju ke kota Venice bersama dengan beberapa pelancong lain di dalam bas tersebut yang baru tiba dari lapangan terbang. Perjalanan dari daratan utama di Mestre menuju ke kota Venice yang terletak di Venetian Lagoon akan menghidangkan pemandangan yang tidak jemu mata memandang. Keindahan dan betapa cantiknya panorama Venice dari atas bas akan mula dirasai dan terserlah apabila melalui jambatan panjang laluan Strada Statale N0 11 Pontel Della Liberta. Selain bas, terdapat juga perkhidmatan keretapi yang menghubungkan Venice dengan daratan utama.
Setelah melalui perjalanan selama 20 minit, lebih kurang pukul 9.00 pagi bas yang dinaiki akhirnya tiba di stesen bas di Piazzale Roma yang sebenarnya merupakan hentian terakhir bagi semua jenis kenderaan darat. Ini kerana Venice adalah kota yang tidak mempunyai jalan raya untuk dilalui mana-mana kenderaan. Sebagaimana Venice yang terkenal dengan gelarannya sebagai “Kota Air” atau “City of Water”, maka sememanganya segala sistem perhubungan (transportion) di sini adalah melalui sungai-sungai dan terusan-terusan yang boleh dilayari dan dimudiki dengan pelbagai jenis perahu. Kenderaan darat termasuk bas, kereta dan motosikal hendaklah diparking di pinggir kota atau di daratan utama. Konon ceritanya, pada tahun 1832, kuda dilarang digunakan di Venice, dan bermula dari ketika itulah semua akses, aktiviti dan segala perhubungan ‘dilakukan’ di air. Hanya ada jalan-jalan kecil dan dataran (square) di sini yang menjadi alternatif kepada para penduduk dan pelancong untuk bergerak dari satu destinasi ke destinasi yang lain.
Tour de Venice
Venice atau Venezia di dalam bahasa Italinya merupakan bandar yang terletak di sebelah timur laut Itali dan juga merupakan ibukota wilayah Veneto. Menurut Wikipedia, Venice terdiri daripada 120 pulau yang terbentuk dari 177 terusan (canal) yang merentas antara mulut Sungai Po (Selatan) dan Sungai Piave (Utara) dan menghadap Laut Adriatic. Oleh kerana lokasi dan peranannya pada masa lampau sebagai ‘penguasa kelautan’ dan juga pusat komersil saudagar-saudagar lama, maka kota ini mempunyai jolokan yang cukup terkenal iaitu “Queen of the Adriatic” iaitu “Ratu Adriatic”, selain gelaran “Kota Air” sebagaimana yang telah dinyatakan. Menurut sejarahnya, satu masa berabad-abad yang lalu, warga Itali yang diburu oleh tentera Barbar telah melarikan diri ke laguna (diri kurang pasti sama ada laguna adalah alih bahasa yang sesuai untuk lagoon) di sudut Laut Adriatic.
Sememangnya dari pandang pertama ketika menjejakkan kaki di Venice, diri perlu akui betapa antara tarikan utama yang membuatkannya lebih istimewa berbanding kota Eropah yang lain ialah keunikan dan kecantikkan terusan-terusan yang menjalari bumi kota ini. Kota yang dibangun dari gugusan pulau-pulau ini dihubungkan dengan tidak kurang oleh 400 jambatan yang merintangi terusan-terusan yang terpelihara unsur semulajadinya. Di atas “serpihan-serpihan” tanah yang tidak berpenghuni inilah Venice mulai mekar menjadi sebuah kawasan kediaman yang seterusnya berkembang menjadi kota yang hebat dengan suasana persekitaran menarik dan bangunan-bangunan distruktur dengan arkitektur yang unik. Ketinggian dan keterampilan seni warga Venice membuatkan kota ini indah melebihi impian. “It shouldn’t exist, but it does!”, komentar seorang penulis yang tertera di dalam Tourist’s Guide untuk menggambarkan bagaimana sebuah tanah yang tiada potensi membangun pada asalnya akhirnya menjadi kota romantis yang cukup terkenal di seantero dunia.
Venice – The City of Romance
Setelah mundar-mandir di kawawan Piazzale Roma memerhatikan gerak-geri pelancong dengan pelbagai ragam dan datang dari seluruh dunia, diri terus membeli Buku Panduan Pelancong beserta peta untuk memulakan Tour De Venice secara ‘lone ranger’. Ah, jaulah dan ziarah seorang bujang seperti diri ke Venice ini tentunya lebih istimewa sekiranya pada saat ini diri sudah berumahtangga dan isteri tercinta ada bersama. Kota romantis ini sememangnya amat sesuai untuk dijadikan tempat berbulan madu bagi menghangatkan lagi perasaan kasih dan sayang dua hati yang bercinta fillah (diri maksudkan di sini pasangan yang sudah diijabqabulkan kerana Islam sama sekali tidak mengiktiraf percintaan liar yang bertentangan dengan syariat). Justeru, bagi sesiapa yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan, ataupun sesiapa sahaja yang ingin berbulan madu untuk kali kedua, ketiga, keempat atau kesekian kalinya, pertimbangkanlah Venice sebagai destinasi ’honeymoon’ kalian!
Setelah beroleh beberapa maklumat hasil dari Tourist’s Guide dan bertanya dengan pihak yang berkenaan, diri kemudiannya membeli pakej Tourist Ticket untuk 24 jam berharga Euro15 = RM70 untuk perkhidmatan Actv Vaporetto (Water Bus – Bas Air) yang juga boleh digunakan untuk perkhidmatan Urban Bus ke Mestre dan Lido. Perkhidmatan ini turut menyediakan kadar bayaran berbeza untuk pakej berbeza iaitu Euro6 untuk perjalanan sehala, Euro13 untuk pakej 12 jam dan Euro20 untuk pakej 36 jam. Selepas membeli tiket tersebut, diri terus ke hentian vaporetto Piazzale Roma dan berbaris panjang serta bersesak-sesak dengan pelancong yag lain menunggu vaporetto seterusnya yang akan membawa kami menjelajahi Grand Canal menuju ke San Marco (St. Mark) iaitu kawasan tumpuan utama pelancong di Venice.
Perkhidmatan Vaporetto
Grand Canal atau Canal Grande dalam bahasa Italinya merupakan terusan terbesar dan utama di Venice. Terusan ini berbentuk seperti huruf “S” terbalik yang bermula dari Piazzale Roma dan berhubung terus dengan stesen kereta api Santa Lucia yang terletak di hentian berhampiran iaitu Ferrovia dan berakhir di San Marco. Grand Canal sepanjang 3km ini dikatakan merupakan laluan angin berhembus menembus Venice dari barat laut ke tenggara dan sekaligus membelah kota menjadi dua yang hampir sama besar. Selain itu, Grand Canal ini juga dirintangi oleh 3 jambatan utama iaitu Ponte degli Schalzi, Ponte del Rialto dan Ponte del Accademia yang akan dilalui sepanjang perjalanan dengan vaporetto tersebut.
Grand Canal ini pada asalnya berfungsi sebagai sebuah pelabuhan. Namun pada abad ke-15 apabila saudagar-saudagar kaya membangun istana-istana di sekitar Grand Canal ini, maka terusan ini tidak lagi berfungsi sebagai pelabuhan sebaliknya menjadi kota klasik mewah. Sepanjang memudiki Grand Canal ini, diri dan para pelancong merasa teruja dan kesempatan ini dipergunakan menikmati indahnya kota Venice dengan bangunan-bangunannya khasnya di sepanjang tepian terusan yang memperlihatkan keunggulan masa lampau zaman Byzantine. Di sepanjang Grand Canal, terdapat banyak palazzo, hotel, pejabat, muzium, galeri dan gereja-gereja dengan rekabentuk Eropah lama dan turut menampakkan elemen-elemen Renaissance yang pelbagai. Peluang ini juga digunakan untuk mengabadikan beberapa foto kenangan dan foto panorama indah Venice.
Canal Grande/ Grand Canal
Venice juga terkenal dengan sejenis kenderaan air yang dikenali sebagai gondola. Gondola merupakan salah satu alat perhubungan utama di Venice selain vaporetto dan traghetto (sejenis perahu yang digunakan oleh Venetian (orang asli Venice) untuk menyeberang terusan dari satu tebing ke tebing yang lain sebagai pengganti jambatan). Gondola ini boleh dinaiki oleh maksimum 5 orang penumpang termasuk pemandu. Biasanya pemandu gondola ini berpakaian baju belang hitam-putih dan berkaca mata hitam dan mengendalikan gondola tersebut dengan hanya satu pendayung tunggal dalam keadaan berdiri.
Gondola
Menurut ceritanya, bentuk dan warna gondola sepertimana yang digunakan sekarang ini merupakan ‘akibat’ dari pelaksanaan undang-undang pada masa lampau yang mewajibkan semua gondola dicat dengan warna hitam. Dan dari pemerhatian yang dilakukan sememangnya hampir kesemua gondola berwarna hitam dengan sedikit ornamen berwarna emas khusus untuk gondola yang disewakan kepada para pelancong. Sebenarnya diri berkeinginan untuk menaiki gondola tersebut, tetapi apabila memikirkan sewanya yang agak mahal antara Euro100 – Euro150 (RM470 – RM805), diri memendamkan sahaja hasrat tersebut. Kalau ada rezeki setelah berkahwin nanti dan datang berhoneymoon bersama isteri ke sini, insya Allah akan diusahakan untuk beromantis dengan menaiki gondola!
Selain terusan, jambatan juga merupakan salah satu daripada tarikan utama pelancong di Venice. Sepertimana yang telah dinyatakan, Ponte degli Schalzi, Ponte del Rialto dan Ponte del Accademia merupakan 3 jambatan yang terletak di Grand Canal. Menurut sejarahnya, Ponte del Accademia awalnya telah diusulkan pembinaannya pada 1488, namun hanya sehingga tahun 1854 barulah jambatan tersebut dibina. Rekabentuk asalnya diperbuat daripada simen yang direkacipta oleh oleh Alfred Neville, namun kemudian dibongkar dan diganti dengan jambatan kayu pada tahun 1930an. Pada tahun 1985, jambatan ini diruntuhkan dan kemudian dibina semula sepertimana rekabentuk asalnya sebagai sebahagian daripada usaha pemuliharaan. Ponte del Rialto pula merupakan jambatan yang tertua dan terkenal di Venice yang telah direkacipta oleh Antonia de Ponta dan telah dibina pada akhir abad ke-16 (1591). Dari jambatan ini, para pelancong dapat melihat panorama sepanjang Grand Canal yang sangat cantik.
Ponte del Accademia
Selain tiga jambatan ini, sebuah lagi jambatan yang terkenal ialah Ponte dei Sospieri. Ponte dei Sospieri (The Bridge of Sights) menghubungkan ruang di antara Palazo Ducale dengan sebuah penjara lama. Disebutkan bahawa dari jambatan inilah para banduan buat terakhir kalinya dapat melihat pemandangan terindah di Venice sebelum menghabiskan waktu hukumannya di dalam penjara. Disebutkan juga bahawa di penjara inilah Casanova dan Galileo Galilei menghabiskan sebagian dari hayat hidupnya.
Setelah lebih kurang 40 minit menikmati keindahan Venice sepanjang Grand Canal dan berhenti di beberapa hentian termasuk Ferrovia Scalzi, Riva di Biasio, S. Marcuola, Ca’ d’Oro, Rialto Ferro, S. Silvestro, S. Angelo, S. Toma, Ca’ Rezzonico, Accademia dan S. Maria di Giglio, akhirnya vaporetto yang ditumpangi tiba di hentian San Marco Giardinetti di mana berhampiran hentian ini terletaknya Piazza San Marco atau St Mark’s Square. Ada yang mengatakan bahawa Piazza San Marco yang didirikan pada abad ke-15 ini merupakan ’the most beautiful lounge in the world’, bak kata Napoleon Bonaparte ’the drawing room of Europe’. Antara bangunan yang terdapat di sini termasuklah Basilica di San Marco, The Clock Tower, Campanile (St Mark’s Bell Tower) dan Procuretie. Procuretie adalah 3 bangunan yang saling terhubung, terdiri dari Procuratie Vecchie (1496), Procuratie Nuove (1584) dan Napoleonic Wing. Campanile pula merupakan menara jam dengan ketinggian 100 meter dan merupakan bangunan tertinggi di Venice. Pengunjung dan pelancong juga boleh naik ke atas menara ini (pastinya dengan bayaran beberapa Euro) untuk melihat pemandangan keseluruhan kota Venice. Namun disebabkan barisan yang cukup panjang, akhirnya diri membuat keputusan untuk tidak naik ke atas menara tersebut.
Piazza San Marco
La Basilica di San Marco atau St. Mark’s Basilica di Venice merupakan katedral ketiga terbesar setelah Basilica di San Pietro di Rome dan St. Paul Cathedral di London. Pembinaan katedral ini telah dimulakan pembinaannya pada abad ke-9 dan direka khas oleh arkitek khas Byzantine. Eksteriornya dipenuhi dengan tiang-tiang besar yang berukir dengan bahagian tengahnya terdapat 4 patung kuda St. Mark atau juga dikenali sebagai The Triumphal Qaudriga. Katedral ini mempunyai 3 sisi pintu masuk dengan spesifikasi eksterior yang berbeza dan di salah satu sisi pintu masuknya terdapat patung marmar ‘tertraarch’ yang melambangkan 4 raja. Selain itu, di Piazza San Marco ini juga terletaknya Palazzo Ducale atau Doge’s Palace yang merupakan tempat tinggal pemimpin tertinggi di Venice. Istana ini merupakan simbol dari Venetian Gothic dan istana yang ada sekarang ini telah didirikan di antara tahun 1309 dan 1424 dan direkacipta oleh Filipo Calendario. Sebenarnya istana ini telah mula dibina pada tahun 814 tetapi ianya telah musnah dijilat api sebanyak 4 kali dan setiap kali terbakar bangunan yang baru akan dibina untuk menggantikannya dan bangunan baru ini mempunyai saiz yang lebih besar dari sebelumnya.
Selain menikmati kecantikan arkitektur bangunan-bangunan tersebut, di Piazza San Marco juga para pelancong boleh memberi makan burung-burung merpati yang jumlahnya sangat banyak sambil mengabadikan gambar kenangan. Makanan burung berupa jagung kering berharga Euro1 boleh didapati di dataran tersebut.
Procuratie Vecchie
Selain itu, antara tarikan utama lain yang dapat diri perhatikan ialah ramai di kalangan pelancong dan rakyat tempatan di sini juga berpakaian Le maschere del Carnivale yakni berpakaian mewah kerabat diraja lama atau berpakaian hantu dan turut mengenakan topeng karnival. Di Venice setiap tahun akan ada karnival atau pesta khas (masquerade) yang mengharuskan semua orang mengenakan topeng untuk menyembunyikan identiti sebenar. Orang Venice mengatakan bahawa pesta topeng adalah demi kesetaraan dan kesamaan. Banyak juga topeng-topeng pesta yang hanya sekadar hiasan yang dijual sebagai cenderamata. Diri sempat mengabadikan beberapa gambar dengan mereka khususnya dengan bambina (kanak-kanak). Entah mengapa di dalam hampir kesemua kembara hati sentiasa tertarik apabila melihat kanak-kanak. Bukankan merekalah aset masa hadapan kepada dunia ini? Diri berdoa semoga kanak-kanak ini akan mereka beroleh hidayah menuju Islam, dan insya Allah mudah-mudahan mereka-mereka inilah bakal peneraju, mujahid dan mujahidah buat Ummah!
Le Maschere Bambina
Setelah puas dan mengitari Piazza San Marco beberapa kali, diri seterusnya mengambil keputusan untuk balik ke Piazzale Roma. Cuma kali ini vaporetto yang dinaiki melalui laluan berbeza iaitu melalui Bacino di San Marco menuju Canale della Guidecca, Canale di Fusina, Bacino della Stazione Marittima dan berhenti di satu hentian yang dinamakan Tronchetto. Sepanjang laluan ini akan dapat diperhatikan keindahan dan kebiru-hijauan terusan-terusan yang disebutkan tadi. Selain itu, sepanjang perjalanan ini juga akan dapat diperhatikan bangunan-bangunan menarik di Zattere, Mulino Stucky dan Stesen Maritim yang merupakan kawasan larangan tentera. Alhamdulillah, akhirnya setelah lebih kurang 45 minit perjalanan, vaporetto yang dinaiki tiba di Piazzale Roma iaitu tempat jeti berlepas pagi tadi.
Dari Piazzale Roma ini diri menuju ke dataran stesen keretapi Santa Lucia berhampiran hentian vaporetto Ferrovia dengan menyeberangi Ponte degli Schalzi yang sememangnya menjadi tumpuan ramai pelancong. Di hadapan dataran keretapi ini dengan duduk bersimpuh di tebing menghadap terusan Grand Canal yang jernih airnya dan beralun damai arusnya, terhasillah “Puisi Rasa di Kota Romantika” berikut. Alhamdulillah!
Rencam rasa-rasa
Yang hadir dalam jiwa
Lumrah tiap manusia
Yang hidup di dunia fana
Menanti hari kembali ke sana
Rasa resah gelisah
Duka dan marah
Batin pasrah tersiksa
Bukankah rasa-rasa ini buat hati parah?
Rasa riang gembira
Suka dan ceria
Sukma nan sakinah
Bukankah rasa-rasa ini buat hati bahagia?
Saat resah gelisah
Lonjakkanlah jiwa
Riang gembiralah!
Tika duka dan marah
Kuatkanlah jiwa
Suka dan cerialah!
Bila batin pasrah tersiksa
Ingatlah Allah Maha Kuasa
Agar sukma rasa sakinah!
Hati parah dalam derita
Ada rasa mahu mengubahnya?
Ada rasa mahu hatimu bahagia?
Riang gembiralah!
Suka dan cerialah!
Dan ingatlah Allah Maha Kuasa sentiasa!
MUHTAR SUHAILI
Grand Canale, Venice
17 Februari 2007, 2.02pm.
As-Sarawaki @ Venice
Jam di tangan sudah menunjukkan lebih pukul 2.30 petang. Perut sudah terasa lapar. Sudah diusahakan untuk mencari makanan halal dari restoran-restoran berhampiran tapi masih belum berhasil. Pada masa yang sama diri masih belum menunaikan solat Zuhur dan ‘Asar. Biasanya sekiranya pergi kembara ke mana-mana kota di Eropah, antara tempat yang akan dicari ialah lokasi masjid atau musolla. Namun setelah bertanya di kaunter informasi dan melihat di atas peta, diri dapati tiada petunjuk yang menunjukkan keberadaan mana-mana masjid di kota Venice ini.
Setelah tidak berhasil menemui mana-mana restoran halal dan mana-mana masjid atau musolla, diri mengambil keputusan untuk balik ke hotel penginapan dan menuju ke stesen bas di laluan A2. Lebih kurang pukul 3.00 petang bas No.5 tiba dan diri terus naik ke atas bas tersebut. Dan alhamdulillah tanpa disangka-sangka sebelum bas bertolak, mata terpandang ukhti Nurul Wahida dan terus turun dari bas dengan harapan kemungkinan ukhti Nurul Wahida boleh membantu. Sememangnya diri ada niat untuk menghubungi beliau sebentar tadi tetapi disebabkan Lyca Mobile yang digunakan tidak ada line di Venice maka semua itu adalah mustahil. Alhamdulillah, setelah berbual serba ringkas, diri minta izin untuk solat di hotel ukhti Nurul Wahida yang terletak di tengah kota Venice. Ukhti Nurul Wahida juga memaklumkan bahawa hasil dari maklumbalas yang diterima dari receptionist hotel yang merupakan seorang mahasiwa dari Pakistan yang mengambil PhD di Venice dan bekerja part-time di situ, sememangnya tiada masjid di Venice dan yang ada hanyalah satu rumah kedai yang dijadikan tempat perkumpulan untuk Solat Jumaat tetapi tempatnya agak terpencil. Beliau juga memaklumkan tentang lokasi-lokasi restoran yang ada menjual makanan halal yang jumlahnya agak terhad, iaitu hanya ada dalam 3-4 restoran sahaja.
Setelah menunaikan solat jama’ Zuhur dan ‘Asar, diri menuju ke sebuah restoran yang terletak di Fond Pagan. Setelah tiba di restoran Pizzeria tersebut dan bertanyakan status halalnya, diri membeli sepotong pizza dan kebab ayam sebagai makanan tengahari. Selesai menikmati makanan tengahari di tebing Rio Nuovo di Fond Cossetti, diri minta diri untuk pulang ke hotel di Tessera untuk berehat setelah sehari suntuk menjelajahi kota Venice.
Bas yang dinaiki mengambil masa lebih kurang 25 minit untuk sampai ke hentian bas Triestina yang terletak berhampiran hotel dan diri tiba di hotel lebih kurang pukul 5.30 petang. Disebabkan keletihan, diri terlelap seketika dan hanya tersedar dari tidur dalam pukul 8.00 malam. Bangun dari tidur, diri terus menuju ke bilik air untuk mandi, seterusnya makan malam dengan pizza dan kemudiannya solat jama’ Maghrib dan ‘Isya’. Selesai solat dan zikir, diri menonton sebentar berita-berita di CNN dan kemudiannya menyambung bacaan buku “The Road to Mecca” yang masih belum dikhatamkan. Dalam lebih kurang pukul 11.30 malam, mata sudah terasa amat berat dan diri mengambil keputusan untuk berehat dan seterusnya menyambung tidur. “Allahumma bismika amutu wa ahya – Ya Allah Ya Tuhanku, dengan NamaMu aku mati dan aku hidup!” Doa diri semoga tidur ini tidur yang di dalam iman. Amiin.
Grazie Venezia! – Terima Kasih Venice! (18 Februari 2007)
Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam bukunya “Insan Ingatlah!: Sebuah Panduan Menuju Hati Yang Tenang” mengungkapkan: “Hidup ini penuh dengan perulangan. Kita bangun, berdoa, berwudhu’, bersolat, makan, minum, kerja, rehat, bermain dan tidur semula. Kita mengulanginya seterusnya esok dan lusa. Hampir kita lupalah apabila kita terlalu biasa dengan rutin hidup sebegini sehingga kita perlukan orang lain untuk mengingatkan kita sesuatu yang lebih penting dalam hidup kita iaitu mati dan alam hidup sesudah mati.”
Allah SWT menjadikan “manusia hidup dan mati serta mati dan hidup dengan satu sahaja tujuan iaitu untuk diuji tentang ahsan atau tidaknya amalan (aktiviti) kita” (matan maksud Surah Al-Insaan Ayat 2).
Alhamdulillah, lebih kurang pukul 5.45 pagi, diri tersedar dari lena yang panjang dan dengan badan terasa sedikit segar diri terus menuju ke bilik air untuk urusan membersihkan diri dan mandi. Seterusnya diri menunaikan solat Subuh dan kemudiannya mentadabburi Firman-firman Allah SWT di dalam Surah At-Taubah ayat 1 hingga ayat 35. Ada yang mengatakan bahawa ayat-ayat awal surah yang tidak dibaca Basmallah di awalnya ini dianggap sebagai ‘ayat-ayat politik’ iaitu tentang bagaimana seharusnya orang Islam bersiasah, berhubung, berurusan dan berstrategi dengan kaum Musyrikin dan orang-orang Kafir. Selain itu, sebahagian intisari lain ayat-ayat tersebut yang suka untuk dikongsikan ialah ayat 18 dan ayat 24 seperti berikut yang mudah-mudahan menjadi renungan kita bersama.
“Hanyalah yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada sesiapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah golongan yang termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk.” (At-Taubah, ayat 18)
“Katakanlah: “Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya.” Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik.” (At-Taubah, ayat 24)
Al-Qur’an di Hati
Setelah bersarapan di cafe hotel, diri mengemas semua barangan yang dibawa dan terus check-out dari hotel tersebut. Seperti semalam lebih kurang pukul 8.15 pagi, diri terus menunggu bas di hentian Triestina. Di hentian bas ini, diri bertemu dengan dua orang pelancong dari Taiwan iaitu Robert dan Archen yang baru tiba untuk percutian selama dua minggu di Eropah dan Venice merupakan destinasi pertama. Kami sempat berkenalan, berbual-bual dan bertukar-tukar info tentang diri masing-masing. Mereka kemudiannya bertanyakan tentang Venice dan diri menerangkan serba-sedikit hasil dari pengalaman jaulah semalam.
Setibanya di Venice, diri sekali lagi membeli Tourist Ticket, cuma kali ini menggunakan pakej 12 jam yang berharga Euro13. Hari ini dengan menaiki vaporetto dari Piazzale Roma diri menuju ke hentian Accademia. Setibanya di hentian Accademia, diri mengambil peluang melihat panorama indah Grand Canale di pagi hari dan sempat melihat pertandingan lumba gondola. Dari jambatan ini dapat diperhatikan Gereja Santa Maria della Salute yang merupakan sebuah gereja dengan kubah-kubah yang sekiranya dilihat dari jauh seolah-olah sebuah bangunan masjid – ala-ala Masjid Putrajaya.
Gondola Racing
Dari jambatan ini, diri kemudiannya bersiar-siar dengan berjalan kaki di tepian Canale della Giudecca yang memperlihatkan pemandangan terusan yang saujana mata memandang. Di sepanjang tebing terusan di Zattere ini terdapat juga banyak bangunan yang menarik antaranya San Maria di Visitaz, Parrochia S. Mario Del Risario, Opera Don Orione Artigianelli dan juga bangunan Stazione Marittimma. Di sini juga terletaknya sebuah universiti iaitu Universita’ Ca’ Foscari. Di Fondamenta Zattere Ponte Lungo ini juga diri sempat memasuki sebuah pasar raya besar tetapi sekiranya dilihat dari bangunan luarnya ianya hanyalah sebuah bangunan lama. Bangunan lama dengan rekabentuk luarnya yang nampak epik menjadi keunikan kota Venice. Ini kerana sememangnya pemerintah menjadikan perkara tersebut sebagai satu hal wajib yang perlu dijaga keasliannya sebagai mengekalkan tradisi zaman-berzaman dan sekaligus menjadi tarikan pelancong. Namun demikian segala bentuk interior dalamannya terserah kepada pemilik bangunan untuk mengubahsuainya mengikut kemodenan zaman.
Bacino di San Marco
Sebenarnya masih banyak lagi tempat-tempat di Venice yang menarik untuk dikunjungi seperti Arsenale dan pulau-pulau terdekat seperti Pulau Murano, Burano, Lido dan Torcello. Namun kerana keterbatasan masa, tempat-tempat ini tidak sempat untuk diziarahi dan dinikmati keindahannya.
Dari Zattere, diri mengambil keputusan untuk balik ke Piazzale Roma dengan berjalan kaki melalui lorong-lorong kecil yang sedia ada sambil mengambil gambar pemandangan-pemandangan dan bangunan-bangunan yang menarik. Berjalan kaki di dalam kota Venice agak mudah kerana penunjuk arah ke Piazzale Roma dan tempat-tempat utama yang lain ada disediakan di mana-mana. Sebagai memenuhi keperluan biologi, diri telah berpeluang menggunakan perkhidmatan sebuah tandas awam dan bayarannya per entry ialah sebanyak Euro1 = RM4.70! Sebelum sampai ke Piazzale Roma, diri sempat singgah di La Chiesa ed il Campo dei Santi Giovanni e Paolo dan sebuah lagi bangunan yang mempamerkan hasil seni Leonardo da Vinci. Selain itu, diri sempat juga melalui sebuah deretan kedai menjual barang-barang lama termasuk buku-buku terpakai. Malangnya semua buku yang dijual kesemuanya di dalam bahasa Itali!
Sebelum sampai di Piazzale Roma, satu lagi peristiwa yang akan dikenang ialah apabila kamera diri terhempas di atas simen sekaligus menyebabkannya rosak dan tidak boleh digunakan apabila secara tidak sengaja dijatuhkan oleh seorang pelancong yang diri minta untuk mengambil gambar. Alhamdulillah, diri masih mampu tersenyum dan pelancong tadi dan teman wanitanya (atau isterinya – apapun di sini bagi kebanyakan warga Eropah sama sahaja isteri atau teman wanita: segalanya boleh!) telah memohon maaf dengan rasa amat bersalah. Dengan tersenyum diri memaklumkan, “It’s ok, don’t feel guilty. It’s not a big deal”. Mengapa harus bersedih hanya semata-mata kerana sebuah kamera!
Grazie Venezia
Secara kebetulan, diri melalui restoran Pizzeria semalam dan terus memesan kebab dan minuman ringan untuk makanan tengahari dan sekali lagi menikmatinya di tebing Rio Nuovo di Fond Cossetti. Dan sekali lagi secara kebetulan bertemu ukhti Nurul Wahida di tempat tersebut. Sebenarnya cadangan asalnya untuk bertemu pada awal paginya di Piazzale Roma, tetapi atas sebab-sebab tertentu temujanji tersebut tidak menjadi kenyataan. Allah SWT tentunya Maha Mengetahui sebab musababnya serta diri bersyukur atas hikmahnya dan tentunya ianya lebih selamat dan menyelamatkan. Alhamdulillah!
Lebih kurang pukul 2.30 petang setelah membeli beberapa cenderamata, diri menaiki bas No.5 menuju ke Lapangan Terbang atau Aeroporto Marco Polo. Setibanya di lapangan terbang, diri cuba untuk mengakses internet tetapi gagal kerana WiFi yang disediakan adalah secured connection dan perlu membeli kad atau membuat bayaran dengan prosedur tertentu yang akhirnya menyebabkan diri mengambil keputusan untuk tidak melanggan perkhidmatan tersebut. Seterusnya setelah check-in, diri menuju ke sebuah kedai buku di lapangan terbang tersebut dan membeli sebuah buku oleh Nick Hornby bertajuk: “How to be Good.”
Setelah segalanya selesai, diri berikhtiar untuk mencari ‘silence room’ atau tempat sesuai untuk menunaikan solat. Sebelum check-in, diri telah bertanya di kaunter informasi tentang perkara ini, namun diberitahu oleh seorang wanita di situ dalam bahasa Inggeris slanga Itali: “Ops, we are sorry. We are Italian people, we are not really good in praying” dan diikuti oleh gelak ketawa oleh dua orang lelaki di kaunter tersebut. Setelah meminta ukhti Nurul Wahida menjaga beg dan barang-barang, diri ke bilik air untuk berwudhu’ dan kemudiannya pergi keluar ke pintu emergency, hamparkan jaket sebagai sejadah dan kemudiannya solat jama’ Zuhur dan ’Asar di atas tangga tersebut. Alhamdulillah, ibadah dalam kembara kadangnya manis meski dalam suasana kurang selesa! Walaubagaimanapun, kemudiannya setelah berjalan-jalan di tingkat tiga lapangan terbang tersebut, ukhti Nurul Wahida memaklumkan bahawa terdapat Sala di Culto atau Place of Worship di situ. Setelah dimaklumkan akan perkara tersebut, atas rasa ingin tahu, diri pergi ke tempat tersebut dan sememanganya terdapat sebuah bilik yang mana di dalamnya terdapat salib besar dan Bible di atas meja serta beberapa kerusi khusus untuk sembahyang Nasara/ Kristian, selain satu lagi sudut yang terdapat tungku berapi yang digunakan sebagai tempat sembahyang Majusi.
Sala di Culto – Place of Worship
Catatan Akhir: Chiao Italia – Selamat Tinggal Itali!
Alhamdulillah, demikianlah berakhirnya satu kembara ke kota Venice yang sesungguhnya memberi beberapa ‘ibrah yakni pengajaran dan iktibar. Sesungguhnya sebahagian kelazatan hidup itu terdapat di dalam nikmat bermusafir! Segala puji bagi Allah! Dan wahai diri, ingatlah sentiasa akan sabda Baginda Rasulullah SAW berikut setiap kali menziarahi kota Eropah:
Dari ‘Amru Bin ‘Auf Al Anshary, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada orang-orang Anshar pada suatu hari: “Bergembiralah kamu sekalian, nescaya kamu akan mendapati apa yang kamu inginkan; Demi Allah, bukanlah kefakiran yang lebih aku takuti (menimpa) kamu, tetapi aku takut (kalau) dunia ini dibentangkan ke atas kamu (diberi kekayaan dan dimurahkan rezeki) sebagaimana dia telah dibentangkan ke atas orang-orang sebelum kamu; maka kamupun berlumba-lumba (mencari) nya (dunia) sebagaimana mereka berlumba-lumba dengannya, lalu duniapun memusnahkan kamu sebagaimana dia memusnahkan mereka.” (Muttafaq ‘Alaihi)
Semoga kita beroleh ‘ibrah. Semoga kita terus bertaqwa!!
Akhirnya, penerbangan KL 1656 dengan KLM Airlines dari Venice ke Amsterdam pada pukul 5.15 petang 18 Februari 2007 membawa diri menginggalkan kota Venice dengan segala kenangannya yang akan diri abadikan sebagai sebahagian daripada rehlah fikiran yang memberi makna! Alhamdulillah kota Venice itu indah, tetapi ingatlah selalu betapa Syurga Allah SWT itu Maha Indah dan amat jauh lebih indah dari segala keindahan! Sekiranya Venice itu dianggap sebagai Kota Romantika, maka ketahuilah olehmu wahai diri, Syurga itulah sesungguhnya Kota Romantika atau Raudhatul Mahabbah yang kekal abadi selama-lamanya, abadan abada!!.
Catatan Kembara Seorang Muhandis;
Muhtar Ibn Suhaili As-Sarawaki
1209, The Grand Winston Hotel, Rijswijk, Holland.





















cantiiikk nian……..can i save this?..and that..and those..with me in it? huh banyaknya nak buat screen saver… hehehe.
Ukhti Aida;
Sila, semoga ada manfaatnya. Terima kasih.
Assalamualaikum..
Banyak ilmu yang saya dapat hasil catatan saudara.
Terima kasih kerana sudi berkongsi pengalaman.
Puisi yang saudara cipta pun best. Wassalam.
Wa’alaikummussalam warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah. Sebarkanlah kebaikan.. Fastabikul khairat!
Pengalaman yang boleh dijadikan satu kenangan yang terindah…
Saudara Mokhtar
Saya berasa insaf dengan kebesaran Allah SWT apabila melihat gambar-gambar yang tertera. Begitu jua dengan webblog yang cantik. Boleh ke saya belajar dengan saudara untuk membina web blog seperti ini?
Saudari Azimah;
Alhamdulillah, semoga kenangan disertai keimanan.
Saudara Saedun;
Saya syorkan saudara berdaftar dengan WordPress.Com dan insya Allah cara memulakan blog beserta tips-tipsnya juga boleh didapati di sana. Selamat mencuba dan semoga berjaya.
Salam…
Seronok baca enta punya catatan jaulah…
Boleh ana pertimbangkan tempat ni nk berbulan madu.. he he..
Nanti boley mintak idea enta ye…
Ape pun, mmg best
Wa’alaikummussalam waramatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillah ustaz. Syukran atas ziarah dan komentar bermakna.
Insya Allah, ana doakan segalanya khair dan jangan lupa maklum bila tiba masanya hari bahagia tersebut.
Ana doakan yang terbaik.
Sama-sama kita buat yang terbaik untuk Islam kerana Allah, khususnya di bumi Miri, Sarawak.
Siiru ‘ala barakatillah. Fastabiaqul khairat.